20 September 2009

Kegagalan dan Kejayaan
Ramai orang beranggapan apa yang betul dan apa yang salah adalah dua perkara yang saling bertentangan. Mereka percaya kalau sesuatu itu betul, ia tidak mungkin salah. Mereka juga percaya perkara-perkara yang dilakukan dengan betul menghasilkan kejayaan, manakala kesilapan menghasilkan kegagalan. Oleh itu kehidupan ini menyediakan pelbagai ganjaran untuk apa-apa yg betul, dan menyediakan pelbagai hukuman bagi kesilapan dan kesalahan. Orang juga percaya bahawa kejayaan dan kegagalan adalah dua perkara yang saling bertentangan - sesuatu kejayaan tidak mungkin berupa kegagalan, manakala sesuatu kegagalan tidak mungkin merupakan kejayaan. Dalam erti kata lain, mana mungkin orang yang gagal dianggap orang yang berjaya. Begitu juga dikatakan, sesuatu yang betul tidak mungkin dapat diterima sebagai salah. Benarkah begitu? Sebenarnya, baik kejayaan mahupun kegagalan, kedua-duanya tidak saling bertentangan, disebabkan kedua-duanya adalah dua aspek proses yang sama, iaitu daya usaha. Seseorang yg tidak mempunyai daya usaha tidak menghasilkan kejayaan mahupun kegagalan. Mana-mana daya usaha yang menghasilkan kejayaan, ia juga dapat menghasilkan kegagalan. Tanpa daya usaha, tidak akan berlaku apa-apa, sama ada yang betul mahupun yang salah; baik kejayaan mahupun kegagalan. Meskipun perkara ini benar, namun ramai orang tidak dapat menerima kesalahan dan kegagalan dengan hati terbuka. Mereka menyediakan dua jenis insentif, satu untuk mendorong kejayaan, dan satu lagi untuk mencegah kegagalan. Bagi setiap kejayaan disediakan intensif positif seperti hadiah dan pengiktirafan. Bagi setiap kegagalan disediakan intensif seperti hukuman dan tiada pengiktirafan. Orang yang tidak cuba melakukan apa-apa yang baru tidak menghadapi risiko. Kalau anda seorang kerani, dan anda terus membuat kerja-kerja perkeranian anda sekarang, anda tidak menghadapi risiko, sebab anda sudah mahir membuat kerja-kerja itu. Tetapi jika anda cuba menukar kerjaya anda, daripada seorang kerani kepada seorang jurujual, anda sudah pasti menghadapi risiko, disebabkan tugas-tugas kejurujualan adalah pekara baru bagi anda. Keupayaan berfikir secara kreatif adalah penting untuk menjadi orang yang berjaya. Sebagai seorang jurujual, pendapatan anda tidak ada batasnya. Bukan seperti seorang kerani, di mana gaji anda sudah ditetapkan dari awal lagi oleh majikan anda. Sebaliknya pendapatan anda sebagai jurujual tidak pernah ditetapkan. Semakin banyak jualan anda semakin tinggi pendapatan anda. Untuk menjadi jurujual yang berjaya, anda perlu mencari cara-cara baru untuk membuat lebih banyak jualan. Ertinya seorang jurujual wajib memiliki daya kreatif. Ertinya anda mencuba, mencuba dan mencuba. Sesetengah orang takut mencuba perkara-perkara baru dan idea-idea baru disebabkan mereka takut menghadapi risiko kegagalan. Ingatlah, Thomas Edison melakukan lebih daripada dua ribu kegagalan sepanjang usahanya mencipta mentol elektrik. Kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati salah satu ciri peribadi yang ketara pada orang yang kreatif ialah sifat sangat tabah dan cekal menghadapi kegagalan demi kegagalan serta sifat tekun berusaha. Apabila mereka menghadapi masalah yang sukar diselesaikan mereka menunjukkan sifat positif terhadap masalah tersebut. Kesilapan ialah anak tangga kegagalan. Kesilapan mempunyai fungsi produktif. Dengan mengetahui apa-apa yang silap, kita dapat mendekatkan diri kepada apa yang betul. Demikianlah apa yg terjadi kepada Thomas Edison. Setiap ujikaji yg gagal bermakna dia semakin hampir kepada kejayaan. Ketabahan dan kecekalan untuk mengalami lebih dua ribu kegagalan bukanlah sifat yang ada pada orang biasa. Dan orang-orang kreatif memang bukan orang biasa. Sifat tabah dan cekal tidak timbul sendiri. Ia adalah hasil daripada proses mengalami kegagalan. Orang yang belum pernah berulang-ulang kali gagal tidak ada latihan untuk menimbulkan sifat-sifat tabah dan cekal. Jumlah kesilapan yang kita buat ditentukan oleh berapa kali kita mencuba sesuatu. Semakin banyak kali kita mencuba, semakin banyak peluang kita mencipta kesilapan, dengan itu juga kegagalan, barulah akan muncul sifat tabah dan cekal dalam diri kita. Inilah asas praktikal daya usaha kreatif. Setiap kali kita mengelakkan risiko, itu bermakna kita memilih apa yang terbukti selamat. Itu bermakna kita hanya ikut sahaja apa yg orang lain sudah buat. Ia bermakna kita mengulang kebiasaan. Orang yang bekerja dengan cara ini adalah orang yg mahir dan cekap bekerja, tetapi mereka tidak kreatif. Mereka cekap membuat lebih banyak perkara-perkara yg sama. Suatu perkara lain yg membuat kita selalu sahaja memilih jalan selamat ialah ciri personaliti kita. Ramai orang memang tidak memiliki ciri-ciri berani berhadapan dengan risiko. Memang mereka takut menghadapi apa jua bentuk risiko. Orang yg berani mencipta idea-idea baru sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko, antaranya termasuklah kerugian kewangan, dicemuh, diejek ataupun disisihkan daripada kumpulan. Tidak ramai orang yg memiliki ketabahan untuk melalui pengalaman sebegitu.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template