13 October 2009

Pelajar maki Pengetua

Seorang pelajar Tingkatan Empat, sebuah sekolah berasrama penuh, di sini, dikenakan tindakan tegas iaitu dinasihatkan berpindah ke sekolah lain selepas dikesan menjadikan laman sosial sebagai medan melakukan serangan peribadi terhadap pengetuanya.

Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, yang hadir ke sekolah itu semalam bagi menyelesaikan kes berkenaan selepas menerima aduan berhubung perkara berkenaan daripada ibu bapa pelajar itu.

“Pelajar berkenaan melakukan perkara itu melalui Friendster pada Mei lalu dan perbuatan memaki hamun pengetua sekolah dengan perkataan kesat walaupun di laman sosial dianggap satu kesalahan berat.

"Hari ini (semalam) saya ke sekolah ini untuk berjumpa pengetua dan ibu bapa pelajar berkenaan bagi menyelesaikan kes ini.

"Pengetua menjelaskan pelajar itu memaki hamun beliau menggunakan perkataan kesat dan kotor bagi mengutuknya dalam laman Friendster. Justeru, beliau bertindak mengenakan tindakan tegas iaitu mengarahkan pelajar berkenaan berpindah ke sekolah lain sebagai pengajaran terhadap kesalahan dilakukan," katanya.

Murugiah berkata, lawatannya ke sekolah itu adalah bagi menyelesaikan dua kes yang dilaporkan ibu bapa pelajar sekolah berkenaan kepada pihaknya berhubung rasa tidak berpuas hati dengan tindakan pengetua memberhentikan anak mereka daripada sekolah itu yang didakwa tanpa sebab.

Katanya, kes kedua berlaku bulan lalu membabitkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat yang juga pengawas sekolah, diberhentikan selepas bertindak menampar 15 pelajar Tingkatan Satu berhubung satu masalah membabitkan kebersihan asrama tanpa merujuk kepada guru disiplin mahupun warden asrama terlebih dulu.

"Ibu bapa pelajar itu berjumpa saya pada Sabtu lalu ketika saya berkempen pada pilihan raya kecil di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, merayu menyiasat kes ini dengan segera.

"Selepas perbincangan dengan dua pelajar berkenaan bersama ibu bapa mereka serta pengetua sekolah, saya berpuas hati dan bersetuju dengan tindakan tegas dikenakan bagi menjaga imej dan nama baik sekolah selain memberi pengajaran," katanya.

Difahamkan, kedua-dua pelajar lelaki yang dibuang sekolah itu membuat rayuan untuk ditempatkan semula di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Murugiah berkata, kes membabitkan disiplin pelajar dan pengurusan sekolah yang diterima Biro Pengaduan Awam JPM adalah kes terpencil dan tidak serius selain dapat diselesaikan dengan baik.

"Justeru, saya menasihati ibu bapa supaya meluangkan masa berkomunikasi dengan guru kepada anak masing-masing sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk melihat pencapaian mereka selain menjalin hubungan baik dengan pihak sekolah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template