04 December 2009

Buku Teks Jana Pemikiran Kritikal Dan Membina

Semasa membentangkan Bajet 2008 di Dewan Rakyat pada September 2007, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan buku teks akan dibekalkan percuma kepada pelajar semua sekolah kerajaan di seluruh negara.

Orang ramai termasuk badan-badan bukan kerajaan menyambut baik langkah itu, sambil menyatakan usaha itu akan membantu meringankan beban ibu bapa dalam memberi keperluan persekolahan pada anak-anak mereka.

Ada juga yang menyatakan langkah kerajaan dalam menyediakan buku teks secara percuma memberi ruang kepada ibu bapa membeli buku rujukan yang lain bagi meninggikan pencapaian akademik anak-anak mereka.

Tetapi ada juga yang 'kurang sedar' bahawa buku teks yang dibekalkan sekolah sudah cukup dan memadai bagi keperluan pelajaran serta peperiksaan anak mereka. Bahkan ada juga yang agak terkejar-kejar mendapatkan buku rujukan komersil untuk kegunaan anak mereka di sekolah.

"Masih ada dalam kalangan ibu bapa yang menganggap anak mereka perlu buku rujukan lain untuk mencapai markah yang baik dalam peperiksaan seperti PMR dan SPM," kata bekas guru besar Shamsuddin Meah.

SUKATAN KEMENTERIAN PELAJARAN

Menurut Shamsuddin, kandungan buku teks yang dibekalkan sekolah berada dalam linkungan sukatan pelajaran yang ditentukan Kementerian Pelajaran.

"Buku-buku teks itu sentiasa diteliti Kementerian Pelajaran yang bertanggung jawab dalam menyediakan kurikulum pelajaran di sekolah, yang menepati keperluan pelajar sekolah di seluruh negara.

"Jadi, bila menggunakan buku teks ini, pelajar tidak meyimpang daripada ilmu pengetahuan yang mereka perlukan, dan mereka berada dalam kawasan selamat kerana tidak dibebankan maklumat yang mereka tidak berapa perlu. Bagaimanapun pelajar digalakkan membaca dari sumber-sumber yang lain," kata beliau.

Ramai dalam kalangan pelajar yang gemar menggunakan buku rujukan komersil selain daripada buku teks yang dibekalkan sekolah kerana anggapan mereka, buku-buku teks 'percuma' ini tidak cukup untuk menolong mereka mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

BUKU TEKS SEKOLAH LEBIH BAIK

Sebelum tahun 2008, skim buku teks percuma hanya dipanjangkan kepada pelajar dari keluarga yang kurang mampu tetapi sejak tahun itu, skim berkenaan meliputi semua pelajar tidak kira berapa pendapatan keluarga mereka.

Di bawah skim ini, buku aktiviti serta buku kerja juga dibekalkan secara percuma.

Menurut laporan berita, Dewan Rakyat semalam (2 Dis) diberitahu bahawa buku teks sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersil yang boleh didapati dari kedai.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata buku rujukan komersil lebih 'berorientasikan peperiksaan' jika dibandingkan dengan buku teks yang dibekalkan Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, buku teks yang dibekalkan kementerian telah dipilih, ditulis, disusun dan diadaptasikan mengikut sukatan pelajaran yang ditentukan oleh pihak berkuasa pelajaran dan memang sesuai digunakan pelajar.

"Kandungan buku teks ini selari dengan apa yang dimahukan sukatan Kementerian Pelajaran," Dr Mohd Puaad dilaporkan berkata demikian.

"Buku teks sekolah disediakan dengan menggunakan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai objektif Falsafah Pendidikan Negara bagi membentuk keupayaan individu secara holistik dan berintegrasi," kata Dr Mohd Puad.

Ini juga untuk menjadikan mereka manusia yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal berdasarkan prinsip kepercayaan dan ketaatan kepada Tuhan, kata beliau.

"Oleh itu, buku teks yang diguna di sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersil," kata beliau.

Kata Dr Mohd Puaad lagi, buku-buku teks sekolah sentiasa dipantau dan dinilai oleh universiti serta juga guru pakar (master teacher) bagi memastikan kualiti.

BERFIKIR SECARA KRITIKAL, MEMBINA

Pendidik Lee Soo Chin berkata kandungan buku teks sekolah sentiasa disemak oleh Kemeterian Pelajaran.

"Oleh itu, buku-buku teks ini lebih baik daripada buku rujukan yang dijual di luar (sekolah), kerana buku teks ini sentiasa dikemaskini secara berjadual," kata beliau.

Menurut Lee, terpulang pada guru memberi motivasi kepada pelajar mereka untuk menggunakan kaedah terbaik buku teks sekolah bagi memastikan mereka memahami dengan lebih dalam pelajaran yang diajar di kelas.

Terdapat juga ibu bapa yang bertanya apakah pelajar perlu mendapatkan buku rujukan komersil bagi kerja sekolah untuk berjaya dalam peperiksaan.

"Jawapan saya adalah tidak, kerana buku yang dibekalkan oleh kerajaan sudah cukup ataupun lebih baik," menurut Aminuddin Mat, guru dari Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini.

Kata Aminuddin, walaupun buku teks sekolah kadang-kadang kelihatan tidak begitu menarik, buku-buku ini mengajak pelajar berfikir secara kritikal dan membina.

"Untuk menjadi pemimpin negara di masa depan, pelajar perlulah berupaya berfikir secara membina serta kritikal dan aspek ini memang wujud dalam buku teks sekolah," kaat beliau.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template