04 January 2010

Berubahlah Atas Nama Kesihatan

"Ubah Sikap!" Inilah perkara kritikal yang amat perlu dilakukan khususnya masyarakat pengguna negara ini dalam memulakan langkah memasuki gerbang tahun 2010.

Tanpa perubahan sikap, apa sahaja usaha atau kempen yang dilakukan mahupun oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasti tidak terkesan.

Wang juga mencurah-curah dihabiskan tetapi ia tidak lebih bak pepatah "Seperti Mencurah Air Ke Daun Keladi."

Contoh jelas, Kempen "Tak Nak" yang cuba menghakis tabiat merokok dan membakar wang dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka.



KENAIKAN UNTUK KEBAIKAN

Justeru, perokok di negara ini perlu berlapang dada dengan keputusan kerajaan menetapkan harga minimum rokok pada 1 Jan lepas iaitu RM6.40 bagi pek 20 batang.

Kementerian Kesihatan berbuat demikian di bawah Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No 20) 2009 yang diwartakan.

Di bawah peraturan itu, kesemua rokok yang dijual di negara ini hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

Begitu juga dengan pengumuman kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuatkuasa 1 Jan lepas, menjadikan harga gula di Semenanjung sebanyak RM1.65 sekilogram sementara di Sabah dan Sarawak sebanyak RM1.75 sekilogram.

Dua langkah ini sebenarnya mempunyai implikasi jangka panjang yang kesannya lebih memihak kepada kesejahteraan hidup masyarakat pengguna.

Ia sekali-kali seharusnya tidak dianggap sebagai menyusahkan apa tah lagi mendatangkan kesengsaraan.



MAKLUMAT MENAKUTKAN

Menyedari impak buruk ketagihan tembakau atau merokok, kerajaan melancarkan kempen anti-merokok "Tak Nak" pada 9 Feb 2004 dan memperuntuk sekitar RM20 juta setahun untuk kempen berkenaan.

Sejak itulah, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai maklumat yang sepatutnya menakutkan terutama sekali golongan perokok.

Antara maklumat yang lazim diuar-uarkan ialah tentang kandungan rokok itu sendiri. Rokok dilaporkan mengandungi sekitar 4,000 elemen dan sekurang-kurangnya 200 antaranya dikatakan berbahaya untuk kesihatan manusia.

Racun utama di dalam rokok ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. Ketiga-tiga ini, masing-masing memberi impak buruk kepada paru-paru dan peredaran darah!

Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menguar-uarkan menerusi buletinnya, World Health yang maklumatnya turut terkandung dalam laman web Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa nikotin di dalam tembakau rokok menghasilkan tindak balas kimia dalam badan sama seperti yang dihasilkan oleh heroin dan kokain.

ROKOK PEMBUNUH



Menurut laman web kementerian itu, tabiat buruk merokok ini boleh membunuh sekitar 1 bilion orang dalam abad ke-21 ini sekiranya trend merokok sekarang tidak dibendung.

Jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan kira-kira 1.15 bilion orang dan lebih 80 peratus daripada angka itu ialah penghuni negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Laman web itu juga memetik WHO sebagai berkata tembakau ialah satu daripada penyebab paling utama punca kematian di seluruh dunia.

Pertubuhan dunia itu menganggarkan lebih kurang 100 juta orang mati disebabkan oleh penggunaan tembakau di abad ke-20.



SENARIO MALAYSIA

Maklumat yang disiar di laman web Kementerian Kesihatan mengenai senario dan tabiat merokok di negara ini amat tidak menyenangkan dan sewajarnya diambil berat oleh pelbagai pihak.

Hampir separuh daripada lelaki Malaysia dilaporkan merokok dan setiap hari, lebih kurang 45 hingga 50 remaja di bawah umur 18 tahun sudah mula merokok.

Kira-kira 30 peratus daripada remaja lelaki berumur 12 hingga 18 tahun merokok dan bilangan remaja perempuan yang merokok juga semakin bertambah.

Menurut kementerian itu, impak kesihatan akibat tabiat buruk merokok ini termasuk kes kanser paru-paru bertambah dengan kadar 17 peratus setahun.

Tabiat pemusnah ini juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).

Bercakaplah dengan mana-mana pakar kardiologi, mereka pasti menunjukkan kepada jantung dan menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan organ berongga ini.

Satu daripada gaya hidup sihat yang sudah pasti menjadi syor utama mereka ialah jauhi rokok.

Ini kerana selain kolestrol tinggi, diabetes atau kencing manis, dan tekanan darah tinggi, rokok ialah penyumbang kepada masalah jantung.



ELAK JADI SEMUT



Seperti rokok, gula juga memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia tetapi sesetengah pengguna di Malaysia masih tidak bijak dalam penggunaan bahan pemanis ini.

Setiap kali berlaku krisis kekurangan gula, antaranya kerana sikap rakus segelintir peniaga yang menaikkan harga bahan ini atas alasan kekurangan bekalan, ada pengguna yang sanggup menyerbu kedai dan pasar raya, berebut-rebut membuat pembelian yang berlebihan.

Tindakan itu sebenarnya bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi lambat-laun akan merobek kesejahteraan kesihatan pengguna sendiri terutamanya apabila menjelang usia senja.

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan 20 sen harga gula baru-baru ini, senario yang sama berlaku di beberapa premis perniagaan.

Orang ramai yang dilihat ghairah berbelanja di pasar raya, mengisi troli dengan berpek-pek gula malah ada akhbar yang menunjukkan rak gula yang mulai kosong. Di setengah tempat pula ada peniaga yang cuba "menangguk di air keruh" dengan menjual gula pada harga RM1.70 sekilogram.

Malah yang lebih menghairankan apabila ada pengguna yang mengeluh dengan berkata tindakan kerajaan itu menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu!

Komen-komen seperti ini sudah pasti memeningkan kepada terutama pertubuhan bukan kerajaan yang sekian lama melaung-laungkan supaya pengguna perlu bijak mengatur perbelanjaan mengikut keutamaan mereka termasuk mengurangkan pengambilan gula.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang begitu prihatin dengan kesihatan pengguna menghasilkan buku panduan 'Gula Memudaratkan Kesihatan'.

Mereka yang meluangkan masa untuk membaca buku kecil ini sudah pasti akan berfikir, bukan sahaja dua kali tetapi berkali-kali, sebelum mengambil makanan yang manis atau menyudu gula ke dalam minuman atau apa jua hidangan.



SAKIT KERANA GULA



Menurut CAP, gula secara kimia hampir menyamai alkohol dan prosesnya sama seperti heroin. Ia bertindak seperti ubat berbanding makanan dan adalah adiktif.

Penduduk Malaysia dilaporkan mengambil 26 sudu teh gula sehari berbanding dengan saranan supaya hanya mengambil tujuh sudu teh sehari! Ini jauh berbanding dengan purata pengambilan gula dunia iaitu 11 sudu teh sehari.

Bagi mereka yang sering mencapai minuman ringan atau berkabonat apabila ke kedai atau pasar raya atau apabila memesan minuman di restoran, fikir-fikirkanlah bahawa setiap tin minuman itu mengandungi antara 7 atau 8 sudu teh.

Kita sebenarnya telah terbiasa dengan kemanisan gula sehinggakan kita merasa tidak boleh hidup tanpa gula, seperti sang semut yang sanggup mati kerana mengarak sebutir gula.

Menurut CAP, bahan putih yang juga namakan "gula" itu sebenarnya "racun buatan manusia" yang berselindung di sebalik rasa manis, dan ia bukanlah makanan sebenar.

Gula buka wujud secara semula jadi. Ia adalah bahan kimia yang diproses secara industri dan diperkenal dalam diet manusia lebih 500 tahun lalu.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menyisihkan gula daripada kehidupan mereka, ingatlah gula dikaitkan dengan 60 jenis penyakit termasuk kanser, asma, alahan, diabetes (kencing manis), penyakit jantung, batu karang hempedu, masalah sistem imun, penyakit buah pinggang dan kesihatan mental yang lemah.

Fikir-fikirkan juga statistik 2009 yang menunjukkan 17 peratus daripada 27 penduduk Malaysia menderita diabetes. Diabetes boleh menghasilkan komplikasi iaitu buta, penyakit jantung, kegagalan renal (buah pinggang) dan strok (sakit ahmar)!

Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti.

Justeru, jadilah pengguna jauhari, bijaklah memilih yang terbaik untuk diri sendiri dan juga keluarga.

Dipetik daripada: Bernama

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template