11 March 2010

Beza budi bahasa orang kita & Barat

Pengalaman menggunakan kemudahan awam di United Kingdom (UK) banyak bezanya berbanding dengan pengalaman di tanah air sendiri. Perbezaan bukan hanya dari segi kemudahan yang disediakan tetapi juga dari segi amalan yang jelas mencerminkan mentaliti mereka.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan mereka di Barat lebih mengutamakan orang lain, mencintai orang lain seperti mereka menyayangi diri mereka sendiri di jalan raya. Sikap yang nampak enteng ini nyata dijadikan amalan dan kesannya jelas terlihat dalam sistem masyarakat mereka yang rata-rata kita gambarkan sebagai jauh lebih individualistik berbanding masyarakat Timur. Namun jika diteliti amalan mereka dari segi keselamatan, mereka nampaknya jauh lebih 'kolektif' berbanding masyarakat kita.

Contoh jelas ketika menaiki kemudahan awam seperti bas atau tram (kereta api yang beroperasi di jalan raya di tengah kota) pengguna pengangkutan awam peka dengan simbol pengguna kurang upaya yang diletakkan di tempat duduk kenderaan. Sungguhpun mereka kadang-kala mempunyai kecenderungan untuk mengisi kekosongan tempat itu, namun jika ada golongan kurang upaya atau warga emas yang menaiki kenderaan itu, mereka bingkas bangun dan dengan lembut meminta mereka duduk di situ. Ucapan 'terima kasih' pula tidak lekang dari bibir mereka, tanda menghargai ihsan insan yang peka.

Begitu juga jika mereka terlihat wanita mengandung yang menaiki bas. Mereka yang berpakaian ala black metal, bersubang sana sini dan berseluar jeans koyak rabak segera mengosongkan tempat duduk dan meminta penumpang wanita berkenaan duduk. Kagum kita melihatnya kerana ini belum lagi menjadi budaya amalan di negara kita.

Di tanah air, semua orang kebanyakannya mementingkan diri sendiri 'siapa cepat dialah yang dapat duduk' tanpa mengambil kira kesusahan orang lain yang lebih memerlukan. Mengutamakan orang lain yang memerlukan masih menjadi budaya asing di Malaysia.

Mengimbas pengalaman sendiri di Kuala Lumpur berbelas tahun lalu, pastinya saya tidak pernah lupa dengan kesesakan menaiki bas mini untuk balik dari pusat tuisyen. Tiada tempat duduk sambil memegang sebidang kain di tangan yang berbungkus dengan plastik, seorang wanita yang sedang duduk bermanis mulut menawarkan diri untuk membantu memegang kain yang baru dibeli. Kesesakan di dalam bas membuatkan semua penumpang yang berdiri terpaksa bersesak di dalam bas. Saya sempat memerhatikan kedudukan wanita itu dan memastikan untuk mendapatkan semula kain itu darinya sebelum turun dari bas. Kesesakan yang semakin berkurangan akhirnya membuatkan saya sedar yang wanita itu turun bersama-sama kain yang dibeli itu.

Kejadian ini membuatkan saya berasa serik untuk dibantu mana-mana orang tidak dikenali sungguhpun kadang-kala beban buku yang digalas dan yang dipegang memang melebihi keupayaan untuk dibawa, tambahan lagi dalam keadaan bas yang bergerak pantas tanpa menghiraukan pengguna yang berhimpit-himpit seperti ikan sardin. Pengalaman ini secara analitikalnya mencerminkan sifat dan mentaliti segelintir ahli masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Bayangkan saja jika kejadian itu berlaku kepada pelancong asing. Pastinya pengalaman menaiki pengangkutan awam di Malaysia adalah pengalaman terburuknya! Sikap seperti ini sebenarnya membawa bahaya yang jauh lebih besar berbanding perbuatan itu sendiri.

Berbalik kepada sikap pengguna jalan raya di UK. Selain sikap penggunanya yang 'peka' dengan kesusahan orang lain, kemudahan yang digunakan juga nampaknya menitikberatkan fizikal penggunanya. Misalnya, bas yang beroperasi semuanya akan menurunkan badan bas ke aras yang lebih rendah jika pengguna yang ingin menaiki bas adalah golongan kurang upaya (termasuk warga emas) atau mereka yang berkerusi roda dan yang membawa kereta sorong bayi. Tiada masalah bagi mereka yang membawa bayi dengan menaiki kemudahan awam di UK, malah di bahagian hadapan bas turut disediakan tempat khas untuk kereta sorong bayi dan kerusi roda diletakkan dengan selamat walaupun bas sedang bergerak.

Seperkara lagi amalan menarik di sini adalah menghormati simbol pejalan kaki melintas yang memberi kemudahan kepada pejalan kaki untuk melintas jalan tanpa perlu lampu isyarat. Semua pemandu peka dengan pejalan kaki yang ingin melintas jalan dan memberi laluan kepada mereka untuk melintas.

Jika di Malaysia, tanda jalan raya itu tidak memberi makna dan tidak membawa kepada kelebihan kepada pejalan kaki melainkan mereka perlu memastikan lampu isyarat untuk bertukar ke warna merah. Silap-silap jika kita berhenti di lintasan yang tidak berlampu isyarat, kita akan dilanggar.

Itu nyata keadaan yang pernah dilalui suami seorang rakan yang baru kembali ke Malaysia dari UK. Dia dilanggar dari belakang kerana cuba memberi laluan kereta lain memasuki simpang. Di UK, lampu isyaratnya agak unik kerana tiada lampu isyarat arah ke kiri atau ke kanan. Maknanya, jika kita berada di jalan utama tetapi ingin memasuki simpang ke kiri atau ke kanan, kita perlu memberi isyarat untuk ke kiri atau kanan apabila lampu isyarat terus ke hadapan berwarna hijau.

Untuk memasuki simpang itu, kita hanya mengharapkan 'simpati' daripada pemandu di jalan bertentangan dalam keadaan trafik yang sesak. Namun untuk mendapatkan simpati itu tidak sukar. Pemandu di jalan bertentangan pasti akan berhenti dan memberi lampu tinggi tandanya kita boleh melintas memasuki simpang. Sehingga kini, belum ada kes pemandu yang tidak dapat memasuki simpang atau terpaksa menunggu terlalu lama kerana tidak diberi 'simpati' tadi. Mungkin sikap ini masih terbawa-bawa oleh rakan tadi tetapi akhirnya dia dilanggar kereta belakang.

Sikap yang ditonjolkan ini andainya diteladani pastinya boleh mengubah suasana jalan raya di Malaysia hari ini. Akan kurang bunyi hon tidak perlu dan kurang tekanan di kalangan pemandu kerana semua pemandu tidak mementingkan diri sendiri.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template