09 April 2010

Kesabaran..

Sabar itu pahit tetapi hasilnya manis. Orang yang mampu bersabar dalam apa jua keadaan adalah orang yang tenang jiwanya dan halus hati budinya. Sabar itu merangkumi sabar daripada perasaan marah, sabar menerima kritikan dan teguran, sabar daripada menghina dan membanding-banding dan sabar dengan dugaan kehidupan.

Marah ibarat api. Apabila tidak mampu dikawal kelak membakar diri. Marah merosakkan perhubungan apatah lagi apabila dilahirkan di khalayak. Bagi mengawal marak api kemarahan, ia memerlukan air yang banyak. Namun, air yang mujarab adalah dengan mengingati Tuhan. Apabila berasa marah, cuba padamkannya dengan kesabaran.

Sabar dalam menerima kritikan dan teguran adalah penting dalam perhubungan. Orang yang tidak sabar menerima kritikan dan teguran adalah orang yang sombong. Orang yang sombong tidak disukai bahkan dibenci.

Anggaplah orang yang menegur sayang kepada kita. Kita juga sayangkan diri kita. Justeru, tindakan yang sewajarnya apabila menerima kritikan dan teguran adalah berubah. Inilah masanya memperbaiki diri.

Jauhkanlah hati kita daripada rasa dengki. Rasa dengki ini membawa kepada kekurangan kecantikan dan ketampanan sosial kita. Jangan sesekali menghina ataupun membanding-bandingkan apa sahaja berkaitan orang lain. Menghina tidak menambahkan apa-apa yang ada pada kita, bahkan mengurangkan.

Lebih baik kita memuji kerana ia bukan sahaja melahirkan rasa gembira, malah mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Begitu juga sikap membanding-banding. Sikap manusia memang suka membuat perbandingan. Mana yang baik mana yang buruk. Mana yang cantik dan mana yang tidak.

Sukakah kita apabila diri kita dibanding-bandingkan? Sekiranya tidak, mengapa kita membanding-banding?

Bagi memiliki sifat sabar dan ketabahan hati dalam menghadapi dugaan hidup, perlu kepada keazaman dan keyakinan yang teguh. Tunduk kepada kesukaran dan kesulitan hidup dengan meyeksakannya melalui perasaan negatif tidak mendatangkan apa-apa faedah selain daripada kehinaan sahaja.

Oleh sebab itu, kesukaran hendaklah ditentang dengan kesabaran dan ketabahan serta perasaan optimis. Kesabaran adalah senaman jiwa yang diketahui oleh intelek semua bangsa dan agama. Ia adalah senaman yang disanjung kerana tabiat dan hasilnya. Keazaman itu lebih tinggi mutunya daripada kebimbangan dan sikap optimis lebih berguna daripada sikap pesimis.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template