17 July 2010

Baran merosak hubungan

KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya.

Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai ciri peribadinya.

Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional.

Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang menjejaskan ikatan suami isteri.

Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat, bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan keganasan fizikal.

Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung.

Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai pasangan yang panas baran.

Berdiam diri

Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.

Menjauhkan diri buat seketika

Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu ruang privasinya.

Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai masalah buatnya.

Berikan masa untuk reda

Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya.

Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih terhormat.

Memilih corak percakapan

Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.

Terapi minda dan fizikal

Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.

Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap mudah.

Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan itu, kita masih perlu berharap dan berdoa.Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan. Luahkan tekanan anda, tapi biarlah dengan cara yang betul!

USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.LEWAT kebelakangan ini semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.

Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan.

Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri. Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang?

Jika mahu diluahkan apakah cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri dari rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.

Untuk pembaca ruangan GenK, jom kita ikuti beberapa tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.

1) Tidur yang mencukupi

Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak. Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga hingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman.

Penemuan itu dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.

2) Berwuduk (bagi yang beragama Islam)

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Secara psikologi ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.

3) Lakukan kegiatan luar seperti

bersukan

Badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Justeru, segala tekanan sewaktu bekerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

4) Amalkan diet

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet. Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

5) Menangis sepuas hati

Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati. Biasakan dengan menzahirkan masalah anda di atas kertas atau meluahkannya kepada rakan karib anda. Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja. Menangislah sepuas-puasnya tapi anda perlu tahu bila masa terbaik untuk berhenti.

6) Tingkat keyakinan diri

Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh biarpun ia susah.Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita. Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

7) Cintai diri sendiri

'Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain'. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain. Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.

8) Tarik nafas dalam-dalam

Bila anda tiba-tiba rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam.Lakukannya beberapa kali. Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia akan membantu anda berfikir dengan lebih wajar.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template