30 May 2010

Menyayangi diri sendiri

Menyayangi diri bermakna kita memikirkan keadaan diri kita, menjaga kesihatan, memikirkan masa depan, bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan diri kita sekarang dan masa depan. Berikut merupakan enam kunci asas untuk menyayangi diri sendiri (yakin terhadap diri sendiri):

1) Belas kasihan - Belas kasihan adalah umpama ubat penyembuh yang bertindak terus di kawasan luka. Dengarlah suara hati anda yang sentiasa menjaga, menyembuhkan, dan bersedia untuk menggembirakan anda. Ia wujud dalam hati kita, cuma kita yang perlu dengar kepadanya.


2) Penerimaan - Tiada manusia yang sempurna, termasuklah diri anda. Tidak kira mana-mana bahagian tubuh anda yang ingin anda ubah, penting untuk anda menilai siapa diri anda sekarang - ciptaan yang bergerak, berubah dan berkembang dengan ciri-ciri dan kelebihan yang tertentu.


3) Hormat - Dalam perwatakan tradisi, ini tidak susah atau banyak permintaan. Dalam dunia pendidikan yang mencabar pula, persaingan boleh menjadikan seseorang itu merasa rendah diri.

Ingatkah masa apabila seseorang pernah menunjukkan rasa hormat ketika anda merasa rendah diri?

Ingatkah bagaimana rasa hormat itu menceriakan anda bila anda menerima komen itu sebagai benar?

Tiba masanya untuk anda memberikan rasa hormat pada diri anda sendiri.


4) Galakan - Kita semua memerlukan galakan untuk mencapai matlamat dan perlu yakin untuk mencapainya. Berusaha untuk mencapai dan belajar dari mereka yang sering memberikan galakan kepada orang-orang lain. Jangan lupa kepada halangan-halangan realistik yang wujud dan sifat-sifat diri yang kental.


5) Sokongan - Pernahkah anda merasa tidak mahu bangun daripada tidur dan seolah-olah ingin menyorokkan diri daripada dunia sekitar? Pada ketika seperti itu barangkali anda inginkan seseorang untuk mendorong serta meniupkan semangat untuk meneruskan hidup. Kita mampu mendorong serta menyayangi diri kita sendiri dengan sedemikian cara, asalkan kita sedar mengenainya.


6) Belaian - Pernahkah anda membelai seekor kucing dan lihat bagaimana kucing itu merasa seronok dengan perbuatan anda itu? Pernahkah anda dibelai sedemikian rupa? Kita mampu membelai diri kita sendiri kerana kita berhak membelai diri kita.
Continue Reading...

27 May 2010

Mandi Songsang

Mandi songsang adalah satu kaedah terapi yang amat hebat dan menghasilkan kesan yang menakjubkan kepada pengamalnya.

Apakah itu mandi songsang? Lazimnya pada masa sekarang ramai orang akan mandi dengan menjiruskan air bermula pada bahagian kepala. Situasi ini sebenarnya akan memberikan kesan yang buruk pada kesihatan diri.

Sistem saraf pendarahan otak akan mengecut kerana siraman air tersebut… Ini akan membuatkan sistem otak akan terjejas. Cara mandi biasa akan menyebabkan sistem pertahanan badan akan menjadi lemah. Seluruh sistem hormon dan kimiawi badan adalah diatur dan disettingkan di dalam kepala, maka cara mandi biasa lebih banyak akan memberikan impak yang buruk kepada sistem pertahanan badan.

Jadi, apa itu mandi songsang? Mandi songsang adalah amalan membasahkan tubuh badan bermula dari kaki dan beransur-ansur membasahi bahagian atas badan kemudian diakhiri dengan kepala. (kecuali mandi hadas besar dimulakan dari siraman di kepala.)

KEBAIKAN DAN KELEBIHAN
1) Menjadikan pengamalnya awet muda dan fresh.
2) Mengembangkan salur darah otak-menjadikan sistem darah di bahagian otak jadi bertambah baik untuk berfungsi.
3) Menjadikan sistem pertahanan badan akan bertambah baik fungsinya seterusnya menjana sistem hormon badan dengan lebih hebat untuk tahap kesihatan yang maksimum.
4) Mengurangkan tekanan (stress) yang telah dihasilkan oleh otak.
5) Melancarkan perjalanan darah.
6) Menjadikan pengamal semakin pintar.
7) Meninggikan daya ingatan.

8)Mengelakkan atau mengurangkan sakit kepala.
9) Menjadikan state mood yang tenang dan ceria.
10) Menjadikan jiwa sentiasa bersemangat.
11) Memiliki daya ketahanan mental.
12) Menambahkan semangat berani.
13) Menguatkan gusi dan gigi dan banyak lagi yang akan diketahui apabila mula diamalk
Continue Reading...

16 May 2010

Sabarlah, Cikgu

Di Waktu Pagi


Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu...


Semasa Sesi Pengajaran

Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...

Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Jaga adik". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...





Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.

Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - Alhamdulillah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...

Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".

Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa. Kepada ustaz, ustazah, cikgu, guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini... Terima kasihku ucapkan...



Continue Reading...

11 May 2010

Minda Kaya Dan Minda Miskin

Apa yang menjadikan seseorang itu kaya atau tidak, semuanya bergantung kepada minda. Untuk menjadi kaya, kita perlu mempunyai minda kaya.

Sebelum itu, ingin saya jelaskan bahawa, dalam konteks minda, bukan maksudnya minda kaya adalah lebih baik dari minda miskin. Keadaan minda kaya akan membuka peluang-peluang yang terdapat disekeliling kita, manakala dengan mempunyai minda miskin, kita akan terasa bahawa peluang di sekeliling kita seperti tertutup.

Minda kaya fikir besar, manakala minda miskin fikir kecil.

Minda kaya mempunyai matlamat. Bukan sahaja matlamat biasa, tetapi matlamat luar biasa- matlamat yang besar. Dengan mempunyai matlamat yang besar, minda kaya mempunyai satu fokus untuk dituju. Tanpa matlamat, sudah pasti kita tidak dapat melihat kearah mana kita harus pergi.

Minda kaya menetapkan matlamat setinggi bintang. Sekiranya berusaha, tetapi tidak capai, masih lagi akan mencapai bulan.

Minda miskin pula berfikiran kecil. Sering kali, mereka adalah dalam lingkungan 98% masyarakat yang tidak mempunyai matlamat. Sekiranya ada matlamat pun, mungkin matlamatnya kecil, seperti ingin mencari wang secukupnya untuk tanggung perbelanjaan bulan depan! Dan bulan depan pula, bermatlamatkan yang sama- "ingin mencari wang yang secukupnya untuk bulan akan datang!"

Minda miskin mempunyai matlamat yang kecil dan mempunyai matlamat jagka masa yang pendek. Manakala minda kaya mempunyai matlamat yang besar dan berfikir jauh sejauhnya kehadapan!


Minda kaya melihat 2 pilihan, manakala minda miskin melihat hanya satu pilihan
Seseorang yang mempunyai minda miskin akan melihat 1 sahaja pilihan, seperti, sama ada inginkan kekayaan ATAU kebahagian. Ingin menjalankan perniagaan ATAU meluangkan masa dengan keluarga. Ingin memberi dedikasi kepada mencari harta ATAU memberi dedikasi kepada keluarga.

Minda kaya tidak melihat sebagai 1 pilihan sahaja, tetapi segalanya mempunyai pilihan. Mengapa tidak inginkan kekayaan DAN kebahagiaan? Ingin menjalankan perniagaan DAN meluangkan masa dengan keluarga. Ingin dedikasikan diri mencari harta DAN memberi dedikasi kepada keluarga.

Tiada siapa yang kata kita hanya mempunyai 1 pilihan dalam hidup. Kita mempunyai berbagai-bagai pilihan dan kita patut seimbangkan apa sahaja yang kita lakukan. Menjadi seimbang adalah dengan memiliki kedua-duanya.

Minda kaya melihat orang kaya dengan perasaan inspirasi, manakala minda miskin melihat orang kaya dengan perasaan benci

Mereka yang mempunyai minda kaya akan mendapat rangsangan dan inspirasi dari melihat orang-orang berjaya yang lain. Rangsangan tersebut akan memberi motivasi kepada mereka untuk turut serta menjadi hebat. Satu teknik kejayaan yang penting dipanggil teknik role-model di mana, kita menjadikan kejayaan seseorang lain sebagai dorongan untuk kita juga menjadi berjaya. Minda kaya sering mempunyai role-model yang positif.

Manakala minda miskin pula melihat mereka yang berjaya dan mereka yang kaya dengan perasaan iri hati, dan adakalanya benci. Minda miskin akan mengejek dan memberi respons-respons negatif apabila melihat orang berjaya. Mungkin minda akan berbisik "Eleh... bawak mercedes... mesti songlap duit syarikat" atau "Eleh... dah kaya-kaya macam ni, mesti kaki perempuan"

Apa yang terjadi pada mereka yang mempunyai minda miskin adalah, mereka memenuhi minda sendiri dengan kata-kata negatif yang berkaitan dengan orang yang kaya dan berjaya. Apabila segalanya negatif yang digambarkan untuk mereka yang kaya, bagaimana pula diri sendiri "mahu" menjadi kaya. Sudah tentunya secara tidak sedar diri sendiri "takut" untuk jadi kaya oleh kerana takut nanti orang kata kita ni songlap duit syarikat dan kaki perempuan pula!

Jadi, berhati-hati apa yang anda katakan di minda. Jangan sampai memakan diri sendiri!


Minda kaya bergaul dengan minda kaya yang lain, minda miskin bergaul dengan minda miskin yang lain

Pepatah Mat Salleh berbunyi "If you want to fly with the eagles, you cannot be joining the turkeys".

Maksudnya, untuk berjaya, kita perlu dekatkan diri kita dengan orang-orang berjaya yang lain. Orang berjaya yang mempunyai minda kaya. Berita baiknya adalah, minda kaya boleh berjangkit! Sekiranya kita sering berdampingan dengan orang yang berjaya, minda kita juga akan turut menjadi minda kaya. Oleh sebab itu kita sering lihat, mereka yang berjaya sering mendampingi mereka yang berjaya yang lain- kerana ingin minda berjaya menjangkiti minda masing-masing!

Berita buruknya pula adalah, begitu juga dengan minda miskin. Ia juga berjangkit! Sekiranya kita sering mendampingi mereka yang tidak berjaya, maka, kita juga akan berfikiran seperti mereka.

Kita akan menjadi sama seperti kumpulan kenalan yang kita dampingi. Bukan hendak kata jangan kawan dengan mereka yang tidak berjaya, tetapi, maksud daya adalah buka fikiran untuk mendekati mereka yang berjaya juga. Silap-silap, kenalan-kenalan minda miskin anda pula akan terjangkit dengan anda dan menjadi minda kaya! Semuanya menang!

Minda kaya fokus kepada peluang, manakala minda miskin fokus kepada halangan
Minda kaya akan sering fikirkan idea-idea baru dan peluang-peluang baru. Minda kaya adalah kreatif melihat peluang.

Kreatif? Bagaimana kalau kita tak kreatif? Mudah sahaja... fikirkan bahawa "kreatif" maksudnya "menjadikan lebih baik". Kini, mudah untuk sesiapa sahaja menjadi "kreatif". Kerana, anda hanya perlu fikirkan, bagaimana hendak menjadikan sesuatu itu lebih baik?

Minda kaya akan sering melihat peluang, sehingga seringkali, halangan dihadapan tidak dapat dilihat kerana apa yang mereka fokus adalah peluang.

Minda miskin pula fokus kepada halangan. Hendak mulakan perniagaan, dikatakan tiada modal. Hendak membuat jualan, dikatakan tidak pandai berbahasa Inggeris, hendak berjumpa pelanggan, di katakan tak cukup masa. Semuanya adalah halangan yang bertopengkan alasan.

Tiada modal? Kita mulakan perniagaan kecil tanpa modal! Tidak pandai berbahasa Inggeris? Kita beli akhbar berbahasa Inggeris dan belajar perlahan-lahan. Tak cukup masa? Kita belajar cara menguruskan masa dengan lebih efisyen- itulah pemikiran minda kaya. Tiada alasan, tiada halangan. Cuma peluang!

Berhenti sebentar dan fikirkan dimanakah kedudukan minda kita. Adakah kita mempunyai minda kaya, atau kita mempunyai minda miskin. Pilihannya ditangan empunya badan- pilihannya di tangan empunya minda- diri kita sendiri!
Continue Reading...

10 May 2010

Minda Positif

Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif.

Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.

Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakon hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.

Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
10.Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.

Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:
- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.

Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:
“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”



Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:
- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran.

Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata:
- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita

Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.
Continue Reading...

09 May 2010

Memuliakan ibu bukan sekadar sekali setahun

“SAYA hendak balik kampung hujung minggu ini,” Hamisah membuka mulut dengan nada riang.

“Mengapa tiba tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal ni?” Adilah menjawab dengan penuh kehairanan. “Hai, tak tahu hujung minggu ini, 12 Mei, adalah Hari Ibu?,” kata Hamisah.

“Bila kali terakhir awak balik kampung tengok emak awak?,” tanya Adilah.

“Enam bulan lalu, masa Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk meraikan Hari Ibu bersama emak?” tanya Hamisah.

“Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya sebanyak lima kali sehari, sehabis solat lima waktu, saya mendoakan kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali untuk memberikannya wang bulanan sebanyak RM500,” jawab Adilah, tegas.

“Banyaknya awak bagi duit kat mak awak, habis awak hendak makan apa?”, tanya Hamisah, hairan.

“Jasa dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tisak ternilai. Emak berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian, emak membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar ibu jari. Emak didik saya menjadi orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi warga yang tahu erti tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung budinya! Semoga Allah merahmati emak saya,” kata Adilah.

“Tetapi mengapa susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh masukkan saja dalam akaun dia, cukuplah,” kata Hamisah.

Jawab Adilah: “Sebenarnya, saya sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa tenang berada bersamanya. Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya. Saya mahu balik memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.

“Lagipun Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman sekarang ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu kita, Subhanallah.

“Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila masa saja Allah akan menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin sedikit. Kita masih muda, duit boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.

Jawapan itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata, “Terima kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya hendak peluk dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti seorang permaisuri apabila saya balik kampung nanti.

“Saya berjanji saya akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari semalam ketika dia hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak. Saya tidak mahu kesusahan hidup menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak saya. Kesibukan bekerja dan urusan peribadi bukan alasan untuk saya tidak menjenguk dan bertanya khabar emak yang kesunyian di kampung.”

Perbualan dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”

Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”

Dia menjawab: “Masih.”

Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.

Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga stau sebaliknya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka,” (Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).

Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan ‘Hari Ibu’. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan luaran bersifat material.

Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara enak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pendidikan dan pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan dan keikhlasan, berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik.

Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan sebagai ‘budaya setahun sekali’, sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang tahun supaya amanah memulia dan memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan hadis, memberi galakan dan mengajar umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka masih hidup atau sudah tiada.

Kita seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai ‘peringatan’, apakah semua ibu (wanita) telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan kepada dua. Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu besar cintanya kepada anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau lelaki.

Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga bagi ibu/wanita, untuk menggunakan ‘tangannya’ dengan sebaik-baiknya, supaya insan kecil yang dididik dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat membacakan ayat suci dan tidak memperlecehkan kedudukan wanita/ibu.

Semoga dari ‘tangan’ ibu/wanita ini, akan lahir manusia berbudi luhur yang mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya negara tidak dipenuhi manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan merosakkan alam serta masyarakat sekelilingnya.
Continue Reading...

03 May 2010

Tips untuk rasa lebih tenang


Untuk rasa lebih tenang dan tenteram, berhentilah berharap pada orang lain. Sebab kalau kita berharap pada orang, nanti kita akan kecewa apabila harapan kita tu tak ditunaikan.

Kita ni memang biasanya suka sangat meletakkan harapan dan berhajat pada pertolongan orang, terutamanya apabila dalam kesulitan.
Ini silap besar. Islam tak ajar kita berharap pada makhluk.

Islam menyuruh kita hanya meletakkan sepenuh harapan pada Allah. Sebab hanya Allah lah yang dapat membantu kita. Setiap hari, kita berikrar dalam solat setidak-tidaknya 17 kali mengatakan “Hanya kepada Allah kita sembah, dan kepada Allah sajalah kita mohon pertolongan.”

Habis, apa perlunya lagi kita berharap dan meminta bantuan daripada manusia lain? Sedangkan manusia itu pun berharap pada Allah juga.

Apabila kita berharap pada orang lain, orang yang kita harapkan tu tak dapat tunaikan hajat kita, maka kita pasti kecewa, kita bengang dan kita akan terasa hati. Sedangkan itu semua adalah salah kita. Siapa suruh kita berharap pada makhluk? Itulah akibatnya…

Jadi untuk berasa lebih tenang dan bahagia, BERHENTILAH BERHARAP KEPADA MAKHLUK, sebab itu semua hanya akan menyesakkan dada dan menyakitkan jiwa. Kita pasti akan berasa sedih dan kecewa apabila harapan kita tidak ditunaikan.

Sebaliknya, berharaplah pada Allah. Letakkan sepenuh harapan padaNYA dan yakinlah bahawa Allah pasti akan menunaikan hajat kita. Tak cepat, lambat. Kalau bukan di sini, insyaAllah di akhirat nanti Allah balas.

Kalau pun, Allah tak tunaikan hajat kita, jangan sedih jangan gulana. Anggap sajalah bahawa Allah tak tunaikan hajat kita kerana mungkin disebabkan oleh kelemahan dan dosa-dosa yang kita telah lakukan.

Yang penting, kita kena BERHENTI LAH BERHARAP PADA ORANG LAIN sebab ianya hanya akan mengecewakan hati anda. Percayalah. Saya dah banyak kali kecewa dan berkecil hati, sebab orang lain tak dapat tunaikan harapan saya. Sedangkan semua itu bukan salah mereka. Sebaliknya saya lah yang silap sebab mudah berharap pada orang lain. Akibatnya, saya yang kecewa dan kecil hati tak tentu pasal.

Namun kini, saya hidup lebih tenang dan tenteram. Saya rasa lebih bahagia apabila saya berhenti berharap pada orang. Sebaliknya saya hanya mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah pada saya. Saya yakin hanya Allah saja yang mampu bantu dan tolong selesaikan semua masalah dan tunaikan segala hajat keinginan saya. Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang, aman, tenteram dan lebih bahagia….

Pakar howto.com

Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template