24 July 2010

10 penyakit manusia

Tahukah anda, kita sebagai manusia punya 10 penyakit yang sering menyerang kita? Antaranya :

1. MENYALAHKAN ORANG LAIN

Itu penyakit P dan K, iaitu Primitif dan Kekanak-kanakan. Menyalahkan orang lain adalah cara pemikiran orang primitif. Di pedalaman Afrika, kalau ada orang yang sakit, yang Dipikirkan adalah: Siapakah yang menyihirnya ? Selalu"siapa" Bukan"apa" penyebabnya. Bidang kedoktoran modern selalu mencari "apa" penyebabnya, bukan "siapa". Jadi kalau kita berpikir menyalahkan orang lain, itu sama dengan sikap primitif. Kekanak-kanakan. Kenapa ? Anak-anak selalu tidak pernah mahu disalahkan. Kalau ada piring yang jatuh," Adik itu yang salah", atau sebagainya.Kalau kita manusia yang berakal dan dewasa selalu akan mencari sebab terjadinya sesuatu.

2. MENYALAHKAN DIRI SENDIRI

Menyalahkan diri sendiri bahawa dirinya merasa tidak mampu. Anda pernah mengalaminya ? Kalau anda memberitahu tidak pernah, bererti anda bohong."Ah, orang itu boleh, orang itu kaya, orang itu dapat naik pangkat dan sebagainya, Lihat saya ini apa ?, wah saya tidak dapat jadi seperti dia. Dia punya ijazah, saya hanya diploma. Dia ada banyak waktu, saya sibuk, sudah pasti tidak boleh". Penyakit ini seperti kanser, bertambah besar, besar di dalam mental diri sehingga boleh mencapai "improper guilty feeling". Penyakit ini perlahan-lahan boleh membunuh kita. Merasa "inferior", kita tidak punya kemampuan. Kita sering membandingkan kejayaan orang lain dengan kekurangan kita, sehingga kejayaan orang lain dianggap Wajar kerana mereka mempunyai sesuatu kelebihan yang kita tidak punya.

3. TIDAK PUNYA GOAL / CITA-CITA

Kita sering terpaku dengan kesibukan kerja, tetapi arahnya tidak jelas. Sebaiknya kita selalu mempunyai target kerja dengan milestone. Buat target jangka panjang dan jangka pendek secara bertulis. Kalau "GOAL" kita hanya untuk "FUN", bagi mengisi waktu saja, hasilnya cuma biasa-biasa saja.

4. MEMPUNYAI "GOAL", TAPI SALAH MENCAPAINYA

Biasanya dialami oleh orang yang tidak "teachable". Goalnya salah, fokus kita juga salah, jalannya juga salah, arahnya juga salah. Ibarat seorang yang mahu kaya,lalu dia pergi merompak bank yang akhirnya di tangkap polis dan di penjarakan.

5. MENGAMBIL JALAN PINTAS, SHORT CUT

Kejayaan tidak pernah dicapai dengan jalan pintas. Jalan pintas tidak membawa orang ke kejayaan yang sebenarnya, "real success", kerana tidak mengikuti proses. Kalau kita menghindari proses, kejayaan yang di capai tidak sempurna.

6. MENGAMBIL JALAN TERLALU PANJANG, TERLALU SANTAI

Analoginya begini : Kapal terbang untuk membolehkannya take-off, harus mempunyai kecepatan minimum. Pesawat Boeing 737, untuk membuat take-off, memerlukan kecepatan minimum 300 km/jam. Jikalau kecepatan dia cuma 50 km/jam, manakan dapat untuk pesawat tersebut membuat take-off.

7. MENGABAIKAN HAL-HAL YANG KECIL

Dia mahunya yang besar-besar, yang hebar, tetapi ha-hal kecil tidak dilalukannya. Dia lupa bahawa struktur bangunan yang besar, pasti ada komponen yang kecilnya. Mahu saja yang hebat. Mengabaikan hal kecil saja tidak boleh, apatah lagi mengabaikan orang kecil.

8. TERLALU CEPAT MENYERAH

Jangan berhenti kerja pada masa percubaan 3 bulan. Bukan membuat kesalahan menjadikan seorang itu gagal tetapi berhenti pada tempat yang salah, jika kita membuat kesalahan, kita boleh memperbaikinya tetapi jika kita berhenti di tempat yang salah kita akan menyesal.

9. BAYANG-BAYANG MASA LALU

Kita selalu dipenuhi oleh memori kan? Apa yang kita lakukan, masuk memori kita, minimal sebagai pertimbangan kita untuk langkah kita berikutnya. Apalagi kalau kita pernah gagal, tidak berani untuk mencuba lagi. Ini berkaitan dengan penyakit nombor 3. Kegagalan sebagai akibat bayang-bayang masa lalu yang tidak terselesaikan dengan semestinya. Itu bayang-bayang negatif. Memori kita kadang- kadang sangat membatasi kita untuk maju ke depan. Kita kadang-kadang lupa bahawa hidup itu maju terus. "Waktu" itu terus berjalankan? Semuanya berjalan, hidup kita pun terus berjalan juga. berlari saja ke depan, kalaupun harus jatuh, pastikan jatuh ke depan. Orang yang berjaya, pasti pernah gagal. Itu memori negatif yang menghalangi kejayaan.

10. MENGHIPNOTIS DIRI DENGAN KEJAYAAN

Biasa disebut "Pseudo Success Syndrome". Kita dihipnotis dengan itu. Kita kalau pernah berjaya dengan kejayaan kecil, terus berhenti, tidak kemana-mana lagi. Sudah puas dengan kejayaan kecil tersebut. Napoleon pernah menyatakan: "Saat yang paling merbahaya datang bersama dengan kemenangan yang besar". Itu saat yang paling merbahaya, kerana orang lupa dan mabuk kemenangan. Jangan terjebak dengan goal-goal hasil yang kecil, kerana kita akan menembak sasaran yang besar, goal yang jauh. Jangan berpuas diri, jangan jadi sombong, terus takabur.

Silakan direnungkan mengenai benar atau tidaknya, semua terpulang pada pendapat masing2.
Continue Reading...

20 July 2010

Bila gugup menguasai diri!!!

Alamak! Fikiran kamu mula berkecamuk dan buntu. Kamu juga panik bila tiba-tiba saja cikgu/ketua meminta kamu untuk membentang kertas kerja/projek di hadapan sekumpulan teman sekolah/pejabat. Selama ini kamu memang terkenal sebagai pelajar/pekerja yang bijak/cekap. Namun bila time berucap, itu adalah perkara yang amat kamu takuti. Rupa-rupanya kamu menghadapi masalah gugup bila berucap dengan orang ramai. Kamu tidak menghadapi masalah untuk bergaul dengan sesiapa saja tapi amat gugup bila terpaksa berucap! Terasa bibir kamu terkunci rapat dan suara kamu tiba-tiba 'hilang'! Peluh dingin mula membasahi tubuh kamu. Macamana ni? Pelbagai perkara dan kemungkinan yang muncul di minda kamu. Kamu takut kamu akan lakukan sesuatu yang bakal malukan diri kamu sendiri nanti. '


1- Jangan bimbang yang bukan-bukan

Sebenarnya sikap gugup itu muncul bila kamu asyik fikir yang bukan-bukan. Jangan macam tu. Bawa bertenang. Mungkin kamu takut kamu tidak mampu jawab soalan-soalan daripada cikgu/teman/bos nanti atau tiba-tiba saja kamu terlupa apa yang kamu perlu cakapkan. Tentu kamu akan malu. Usah gusar. Kenapa kamu harus fikirkan ke arah negatif? Ia menunjukkan bahawa kamu tidak ikhlas dan yakin dengan diri kamu sendiri. Jika kamu tidak yakin dengan diri kamu, bagaimana kamu hendak yakinkan orang lain terhadap kemampuan sebenar kamu?

2- Fikirkan Positif

Apa kata kamu positifkan pemikiran kamu itu. Kamu seharuskan berbangga kerana kamu terpilih. Bermakna cikgu/bos kamu mempercayai dan yakin dengan kebolehan diri kamu. Jadi adalah tugas kamu untuk buktikan bahawa tanggapan mereka itu memang tepat. Takkan kamu mahu diri kamu dipandang rendah pula nanti?

3- Yakinkan diri

Sebenarnya kamu bukannya pemalu dan tidak suka berdepan dengan orang lain. Selama ini kamu cukup petah dalam mengutarakan idea-idea kamu yang cukup bernas. Tapi kamu amat tidak selesa bila terpaksa berucap di khalayak ramai. Kamu gugup bila mendapati semua mata tertumpu kepada kamu seorang. Jadi, langkah pertama ialah menarik nafas panjang-panjang dan tenangkan diri. Yakinkan diri kamu bahawa kamu sudah cukup bersedia dan mampu memberikan yang terbaik. Keyakinan diri itu perlu dalam melakukan apa juga perkara. Tidak ada sebab mengapa kamu harus berasa gugup dan tidak yakin pada kemampuan diri kan?

4- Buat persediaan rapi

Dalam apa juga perkara, perlu ada persiapan agar diri kamu tahu apa yang harus dilakukan. Misalnya kamu boleh merancang apa yang kamu perlu cakap dan apa yang perlu dibawa sebagai 'props'. Bila kamu rasa diri kamu sudah cukup bersedia, dengan sendirinya keyakinan itu akan datang dan rasa gugup itu akan hilang sedikit demi sedikit. Jika perlu, bawa nota kecil sebagai nota rujukan jika kamu takut tertinggal mana-mana point penting. Tapi elakkan membawa buku tebal. Cukuplah sekadar point utama yang tertulis di atas nota bersaiz kecil. Rujuk bila dirasakan perlu. Jadi, jangan digusarkan sangat!

5- Berehat sebelum bermula

Lapangkan fikiran dan tenangkan diri kamu sebelum bermula. Jangan terlalu banyak berfikir atau buat-buat sibuk kerana ia cuma akan menambahkan kegugupan dan kegusaran hati kamu. Duduk diam dan lemparkan senyuman untuk menenangkan diri. Jangan biarkan diri kamu tension kerana ia boleh menghilangkan keyakinan diri kamu.

6- Fokuskan pada suatu objek saja

Bila melihat ramai orang yang sedang menunggu untuk mendengarkan kata-kata yang bakal keluar dari mulut kamu, perasaan gugup akan datang tiba-tiba. Sejuk tangan dan kaki kamu dibuatnya. Rileks dan jangan risau. Cari sesuatu sebagai fokus utama kamu. Misalnya kamu melihat seorang teman kamu di bahagian belakang. Tumpukan pandang kamu kepadanya tiap kali kamu berasa gugup. Bila melihat orang yang rapat dan 'familliar', kuranglah sedikit perasaan itu. Tapi kamu harus ingat, jangan lupa untuk membuatkan 'eye contact' dengan orang lain juga walaupun sekejap-sekejap.

7- Bayangkan orang lain juga seperti kamu

Jika kamu rasakan darah gemuruh kamu tetap muncul, tarik nafas panjang-panjang. Kemudian pejam mata kamu sekejap dan bayangkan bahawa tidak ada orang lain di dalam bilik/dewan itu selain kamu seorang. Ini mungkin boleh membantu kamu berucap dengan lebih lancar lagi. So, selamat mencuba!
Continue Reading...

17 July 2010

Baran merosak hubungan

KEMARAHAN adalah emosi semula jadi manusia untuk menangkis persepsi, ancaman atau serangan terhadap diri. Ia juga adalah sebagai refleksi pertahanan seseorang terhadap sesuatu prinsip yang diyakininya.

Namun, masalah sering terjadi apabila kemarahan itu disalah urus dan lebih teruk sekiranya ia kekal menjadi tabiat yang dilabelkan sebagai ciri peribadinya.

Sikap baran boleh menjadi penyebab utama berlakunya konflik dalam kehidupan peribadi dan perhubungan profesional.

Tidak hairanlah hari ini, kemarahan yang melampau itu sering dizahirkan dalam perbuatan seperti keganasan domestik, sikap buruk di jalan raya, konfrontasi di pejabat hinggalah kepada perlakuan yang menjejaskan ikatan suami isteri.

Dalam soal cinta, adakah anda seorang yang berjaya mengawal emosi? Bagi setiap perselisihan pendapat yang berlaku, adakah penyelesaian akan diiringi dengan cara mengherdik atau menengking? Mungkin lebih dahsyat, bagi yang tidak dapat mengawal perasaan, kemarahan itu disertai dengan keganasan fizikal.

Sebagai langkah menghadapi situasi seperti itu, adalah disyorkan agar seseorang itu meningkatkan paras kesabarannya. Selain berfikir secara rasional, berikan peluang untuk komunikasi dua hala berlangsung.

Apabila seseorang sedang bercakap, seorang lagi perlu mendengar. Peluang untuk memberi penjelasan hendaklah diberi secara saksama. Berikut adalah antara tip untuk membimbing mereka yang mempunyai pasangan yang panas baran.

Berdiam diri

Api tidak boleh dilawan dengan api. Maka, apabila salah seorang sedang dalam keadaan marah, hendaklah pasangannya berdiam diri dan cuba mendengar butir bicara itu sebagai input penyelesaian. Setelah habis kemarahan itu dilepaskan, berikannya 'masa tambahan' untuk meredakan perasaan. Tunggu sehingga waktu yang sesuai untuk berkata-kata.

Menjauhkan diri buat seketika

Dalam tempoh yang diberikan kepada orang yang panas baran untuk meredakan kemarahannya, jangan cuba melakukan sesuatu yang mengganggu ruang privasinya.

Ini termasuklah gangguan keselesaan persekitaran dari aspek bunyi, ruang dan pandangan. Orang yang panas baran sentiasa akan mencari sebab untuk menyalahkan orang lain jika sesuatu faktor itu diterjemah sebagai masalah buatnya.

Berikan masa untuk reda

Orang yang panas baran lazimnya akan malu sendiri akan perbuatannya. Waktu yang diberikan kepadanya tanpa diganggu akan membuatkan si baran itu memikirkan semula apa yang telah dilakukannya.

Sama ada kemarahan itu kerana dia di pihak yang benar ataupun tidak, dia akan kembali kepada pasangannya untuk sesi penyelesaian yang lebih terhormat.

Memilih corak percakapan

Berhati-hati dengan pemilihan perkataan anda. Jika anda tersilap menuturkan sesuatu, lebih-lebih lagi ketika kemarahannya belum reda, ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Keras lawannya lembut. Maka, lenggok bahasa yang santun boleh memujuk hati pasangan yang baran. Meskipun berlembut, itu tidak bermakna prinsip dan kebenaran tidak boleh disampaikan secara efektif.

Terapi minda dan fizikal

Kaedah bertenang yang paling ringkas dan mudah adalah dengan mengambil nafas panjang dan dalam. Bayangan visual yang menenangkan dari dalam ingatan atau imaginasi juga boleh membantu meredakan rasa marah. Banyak buku dan majalah yang boleh membimbing seseorang yang sedang marah atau bagi mereka yang menghadapi orang yang sedang marah.

Bagi mereka yang mengakui memiliki tabiat pemarah, boleh mencuba teknik ini. Tarik nafas panjang dan bayangkan udara memenuhi diafragma. Kemudian lepaskannya semula dengan perlahan dan pujuk diri secara psikologi dengan memikirkan perkataan seperti bertenang atau anggap mudah.

Bagi menambah kekuatan diri dalam menghadapi situasi tegang itu, seseorang boleh mencuba teknik regangan seperti dalam riadah yoga ataupun rutin ibadah sembahyang. Dalam berdepan dengan ujian perhubungan itu, kita masih perlu berharap dan berdoa.Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan. Luahkan tekanan anda, tapi biarlah dengan cara yang betul!

USAH simpan tekanan anda, luahkanlah dengan cara yang betul agar anda tidak dilanda kemurungan.LEWAT kebelakangan ini semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.

Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan.

Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri. Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang?

Jika mahu diluahkan apakah cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri dari rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.

Untuk pembaca ruangan GenK, jom kita ikuti beberapa tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.

1) Tidur yang mencukupi

Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak. Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga hingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman.

Penemuan itu dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.

2) Berwuduk (bagi yang beragama Islam)

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Secara psikologi ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.

3) Lakukan kegiatan luar seperti

bersukan

Badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Justeru, segala tekanan sewaktu bekerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

4) Amalkan diet

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet. Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

5) Menangis sepuas hati

Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati. Biasakan dengan menzahirkan masalah anda di atas kertas atau meluahkannya kepada rakan karib anda. Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja. Menangislah sepuas-puasnya tapi anda perlu tahu bila masa terbaik untuk berhenti.

6) Tingkat keyakinan diri

Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh biarpun ia susah.Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita. Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

7) Cintai diri sendiri

'Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain'. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain. Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.

8) Tarik nafas dalam-dalam

Bila anda tiba-tiba rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam.Lakukannya beberapa kali. Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia akan membantu anda berfikir dengan lebih wajar.
Continue Reading...

07 July 2010

Usah salahkan orang lain jika gagal

SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan.

Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'.

Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri.

Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.

Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri.

Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain.

Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya. Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai.

Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.


Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai.

Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.
Continue Reading...

01 July 2010

Kuatkan daya ingatan

OTAK merupakan satu bahagian anatomi tubuh yang hebat fungsinya kerana mampu merakam segala perkara dan peristiwa. Meskipun begitu, masalah kelemahan daya ingatan boleh terjadi kerana kita tidak melatih diri mengulang ingat sesuatu maklumat.

Tidak mustahil jika ramai di antara kita pernah mengalami situasi tidak dapat mengingati barang yang baru sahaja diletakkan. Ada sesetengah pula yang tidak dapat mengingati tempat kenderaan diletakkan ketika hendak pulang dari pusat beli-belah.

Insiden itu sering membuatkan seseorang cuba mengaitkannya dengan faktor usia dan penuaan.

Namun hakikatnya, ingatan boleh diumpamakan sebagai otot dalam tubuh kita. Semakin kita menggunakannya, semakin kuat otot tersebut.

Sebagai remaja khususnya pelajar, memiliki daya ingatan amat penting untuk menentukan kecemerlangan dan kejayaan dalam peperiksaan. Daya ingatan ini berkait rapat dengan keupayaan mental dan fizikal yang sihat.

Daya ingatan yang bagus juga membantu seseorang melontarkan pandangan atau pendapat yang jitu dan bernas dalam perbincangan serta pembelajaran.

Dalam membina daya ingatan itu, terdapat beberapa aspek yang ditekankan. Mungkin panduan yang disenaraikan oleh genK dapat membantu dalam memastikan daya ingatan sentiasa di tahap optimum.

* Tidur yang mencukupi

Seperti kita memerlukan oksigen, tidur yang mencukupi dan berkualiti turut memberi manfaat kepada kita. Tidur ini bukan sahaja mampu meningkatkan daya ingatan, malah memberikan kesan yang menakjubkan iaitu membantu meningkatkan penumpuan dan kecekapan kerja, menulihkan fungsi tubuh dan juga meningkatkan kesejahteraan emosi.

Namun, dalam gaya hidup semasa, ada sesetengah orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan waktu tidurnya. Keletihan itu hanya akan mengganggu maklumat atau data yang disimpan oleh otak di samping menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Seeloknya rancang waktu tidur anda.

* Mengawal tekanan dan kemurungan

Ada sesetengah perkara dalam hidup ini kita tidak mampu mengubahnya meskipun telah berusaha keras. Berhadapan dengan hal-hal yang yang datang secara tidak direlakan atau diduga ini menyebabkan berlaku tekanan dalam hidup. Tekanan ini hanya membuatkan jiwa kita tidak tenteram dan mencetuskan kemurungan dalam hidup.

Dengan ini kita tidak dapat berfikir dengan jelas seterusnya menjejaskan daya ingatan. Oleh itu, kawal tekanan melalui bermeditasi, membaca al-Quran, beriadah, mengunjungi sauna, menggunakan aromaterapi dan sebagainya.

* Pengambilan ubat

Sesetengah daripada kita terlampau taksub untuk menjadi seorang yang bijak pandai dengan berusaha mendapatkan daya ingatan yang kuat. Ia ditambah dengan bisikan daripada rakan-rakan yang telah mencuba pelbagai kaedah sampingan. Keadaan ini membuatkan seseorang sanggup membelanjakan wang untuk produk-produk kesihatan yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan.

Namun, ada sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan penerimaan sistem tubuh hinggakan memberi kesan sampingan yang memudaratkan. Sebaiknya kita mendapatkan rujukan terlebih dahulu daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum membelinya untuk kebaikan kita.

* Bersenam

Seperti kata pepatah, otak yang cerdas bermula daripada badan yang sihat. Bagi membina badan yang sihat semestinya daripada aktiviti yang dapat menggerakkan anggota tubuh yang melancarkan peredaran darah ke otak.

Otak itu sendiri memerlukan oksigen yang mencukupi bagi memastikan tubuh dapat berfungsi ke tahap optimum.

Kekurangan bekalan oksigen hanya akan menyebabkan kita mudah mengantuk seterusnya menjejaskan kecergasan dan keaktifan otak. Luangkan masa untuk bersenam walaupun sekadar berjalan kaki dalam jarak tertentu.

* Aktiviti yang mencabar

Otak kita sentiasa perlu diaktifkan untuk meningkatkan fungsi dan memanjangkan keupayaannya. Otak yang sentiasa aktif akan menajamkan daya ingatan agar tidak dimakan usia.

Dalam mengalakkan otak berfikr secara keseluruhannya aktiviti seperti permainan catur, sudoku, sahibba dan monopoli boleh merangsang pemikiran kita.

Permainan yang berunsur mengatur strategi dan bermain dengan angka ini mampu membuatkan penumpuan dan daya kreativiti kita terserlah. Secara tidak langsung ia membantu mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan.
Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template