17 May 2011

Sajak - Pesan Seorang Cikgu

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang bergelar teman senasib,
Ingat pesan cikgu,

Tiap-tiap pagi,
Ketika baru bangkit dari tidur yang lena,
Orang kurang upaya penglihatan,
Hidup kita sudah terpilih,
Untuk mengharungi arus cabaran dan rintangan,
Menempuh jalan berliku dan berlekuk.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang dianggap cerdik lagi bestari,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap hari,
Ketika menuntut ilmu di sekolah,
Orang kurang upaya penglihatan,
Tiada ungkapan mudah untuk kita.
Sudah tersurat,
Kita mesti berusaha,
Dengan tulang empat kerat,
Menterjemahkan buku rujukan dan latiha,n
Dari tulisan biasa kepada Braille,
Di samping guru-guru khas,
Akan melakukan bahagian mereka.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang terkenal sikap cekal dan tabahnya,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap tengah hari,
Ketika panas matahari membenamkan bahangnya,
Orang kurang upaya penglihatan,
Seharusnya perkataan putus asa tidak tampil dalam kamus hidup kita.,
Pahit maong keringat yang menitis,
Adalah jerih-perih kita.
Ribut pencubaan yang membadai,
Adalah dugaan yang terpaksa dihadapi.,

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang sempurna sifat takwanya,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap senja,
Ketika burung-burung pulang ke sarang,
Orang kurang upaya penglihatan,
Kepada Tuhan kita berserah,
Segala usaha dan harapan,
Sambil bersujud di ruang Maha Suci,
Membiarkan jiwa dan raga,
Disinggahi suara Azan dan nyanyian Mazmur.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang diseru dengan panggilan rakan seperjuangan,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap malam,
Ketika bulan dan bintang sedang menjulang tinggi di langit,
Orang kurang upaya penglihatan,
Jangan lalai oleh mimpi indah,
Juga suara-suara merdu bak madu,
Mereka yang kononnya memperjuangkan hak kita,
Kerana masa depan dan cita-cita kita,
Adalah terletak di tangan kita sendiri.

"Selamat Hari Guru"

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template