19 October 2011

Tanggungjawab pelajar terhadap gurunya..

BAGAIMANA besarnya tanggungjawab guru terhadap murid, begitu jugalah besarnya tanggungjawab murid terhadap gurunya. Jika tidak ada guru, maka tidak ada murid. Guru juga seperti ibu bapa yang patut dihormati dan dipatuhi segala ajarannya yang baik. Jika di rumah anda harus menurut segala perintah dan ajaran ibu bapa dengan taat, tetapi di sekolah anda harus pula mentaati guru dan segala ajarannya harus disematkan di hati.

Seorang murid harus menghormati bantuan gurunya untuk membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT untuk menuntut ilmu demi bekalan hidup mereka.

Jangan sekali-kali membantah atau mencela guru kerana guru adalah merupakan orang yang sentiasa membimbing anda untuk mencapai cita-cita.

Antara Adab-adab Murid Terhadap Gurunya

1. Memberi hormat ketika guru masuk ke kelas dengan memberi salam kepada guru kelas anda. Jika guru terdahulu memberi salam hendaklah segera dijawab.

2. Tunjukkan muka yang manis ketika menyambut guru masuk ke bilik darjah anda.

3. Perhatikan guru anda dengan tenang dan mula membuka buku untuk pelajaran hari itu jika diperintahkan oleh guru.

4. Tumpukan perhatian ketika guru mengajar. Jika kurang faham bolehlah bertanya kepada guru anda dengan sopan.

5. Catatkan apa yang disampaikan oleh guru jika dia menyuruh anda berbuat demikian.

6. Jangan berkata-kata atau berbual dengan rakan-rakan ketika guru sedang mengajar.

7. Tumpukan perhatian sepenuhnya ketika guru sedang memberi penerangan. Sematkan di hati anda apa yang diajarkan ketika itu.

8. Ucapkan terima kasih kepada guru anda sebaik sahaja guru itu selesai mengajar.

Seorang murid harus peka dengan apa yang disampaikan oleh guru mereka, dengan cara ini anda akan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran anda. Anda jangan menyalahkan guru anda jika anda kurang faham apa yang diajari oleh guru anda, sebaiknya anda harus banyak bertanya dari banyak merungut untuk mendapatkan kefahaman.

Jika anda ingin menjadi seorang murid / pelajar yang berjaya, anda harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan itu, jangan cuma berharap pada guru sahaja. Guru hanya boleh mengajar untuk menyampaikan ilmu, sedangkan anda adalah seorang murid yang harus tahu membuat sesuatu untuk mencapai kejayaan itu.

Usaha anda untuk menjadi murid yang berjaya adalah lebih bererti dari hanya mendengar guru mengajar sedangkan anda tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan pelajaran itu.

Kejayaan seorang pelajar itu bergantung kepada kegigihannya untuk mencapai kejayaan, tanpa mengharap pertolongan orang lain untuk menjayakan diri sendiri.

Seorang murid harus menghormati gurunya sebagaimana dia menghormati ibu bapanya juga. Rasa hormat kepada guru membuatkan anda dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan sudah tentu lebih keberkatan ilmu yang anda pelajari itu. Di samping berusaha anda harus berdoa, agar segala usaha anda itu akan beroleh kejayaan cemerlang.

INGAT!!! Seorang pelajar itu adalah bakal pemimpin masa hadapan, oleh itu tidak ada sebab anda tidak mahu berusaha untuk terus mencapai kejayaan. Kerana mundur atau majunya sesebuah negara itu bergantung kepada para belia dan remajanya yang rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template