25 December 2011

BlackBerry, i-Phone, i-Pad, e-reader atau tetap buku bercetak?

Di dunia Barat, muncul kebimbangan bahawa minat membaca semakin berkurangan lantaran adanya pelbagai peranti yang menjadi alat bagi penyampaian maklumat.

Melalui Internet, seseorang boleh memperoleh apa jua maklumat yang disalurkan bukan saja melalui komputer peribadi (PC) atau komputer riba (laptop) tetapi juga telefon pintar (smartphone), yang dua jenama sedang menguasai pasaran iaitu BlackBerry dan i-phone.

Telefon pintar merupakan alat yang akan mengubah cara manusia berkomunikasi dan seterusnya menjalani kehidupan.

Sememangnya dalam perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), banyak peranti dicipta dan dipasarkan tetapi tidak semua berjaya menguasai minda pengguna. Walaupun komputer riba merupakan peranti yang berjaya, tetapi banyak lagi gajet lain yang gagal. Antaranya adalah seperti Pembantu Digital Peribadi (PDA).

Tetapi telefon pintar ini dipercayai akan berjaya menguasai pasaran. Malah lebih berjaya daripada alat-alat seperti i-Pod.

Satu lagi alat yang akan merobah cara manusia hidup adalah i-Pad dan e-reader yang membolehkan seseorang membaca buku, majalah dan akhbar dengan lebih mudah.

Maka banyak tanda menunjukkan bahawa buku, majalah dan akhbar berbentuk cetak akan mengucapkan selamat tinggal.

Dalam keadaan begini, perdebatan berlaku di atas kebimbangan bahawa manusia masa depan akan kurang membaca. Beberapa tinjauan dan penyelidikan memang menunjukkan kemerosotan pembacaan buku, majalah dan akhbar.

Tetapi adakah amalan membaca di Barat sudah berkurangan dengan adanya alat-alat baru itu? Maka banyak pihak menyatakan bahawa dengan menggunakan alat-alat itu, manusia tetap melakukan aktiviti membaca.

Mereka cuma tidak membaca buku, majalah dan akhbar dalam bentuk cetakan. Tetapi mereka membaca dengan menggunakan komputer, telefon pintar, malah e-reader. Tidakkah itu membaca namanya? Mereka masih membaca buku, majalah dan akhbar walaupun dalam talian.

Maka timbul empat konsep yang menunjukkan manusia sedang dalam proses kurang membaca. Pertama pengalihan perhatian (distraction). Kedua, pembacaan mendalam (deep reading). Ketiga, memikir secara mendalam (contemplation). Keempat, imej menggantikan perkataan sebagai cara baru komunikasi.

Perlu diingat walau maju manapun teknologi manusia, waktu yang dimiliki hanyalah 24 jam sehari dan hayat aktif bagi seseorang manusia juga terhad.

Manusia tidak akan mempunyai waktu yang mencukupi untuk mendakap maklumat yang dialirkan melalui media itu.

Maka akhirnya kalau dahulu, manusia boleh sering membaca buku, kini perhatian manusia dialihkan kepada banyak tarikan lain; bukan saja televisyen tetapi maklumat yang disalurkan melalui komputer. Begitu juga sms dan e-mel yang memerlukan perhatian.

Huruf-huruf dalam telefon pintar dan komputer perlu dibaca untuk mendapatkan mesejnya. Tetapi oleh kerana terdapat banyak perkara yang hendak dibaca, maka semua ini mengalih perhatian daripada membaca secara sebenar iaitu mendalam.

membaca

Maka sebenarnya selama ini, apa yang disebut sebagai membaca adalah deep reading, yang dilakukan dengan membaca buku. Membaca buku adalah membaca mendalam.

Tetapi membaca sms, e-mel, posting facebook, twitter dan blog tentunya bukan membaca secara mendalam. Ia tetap dilihat sebagai membaca. Tetapi ayat pendek dan mesej ringkas tidak akan dapat membawa pemahaman pemikiran dalam konteks.

Itu belum lagi dikira sifat multimedia dalam alat-alat itu. Adanya imej dan audio yang disertakan pada tulisan menjadikan membaca dalam komputer atau telefon pintar tentu tidak sedalam seperti seseorang membaca buku.

Apabila masa terhad dan kurang kebiasaan membaca tulisan-tulisan yang panjang, maka akhirnya seseorang akan kehilangan keupayaan untuk memahami sesuatu daripada pembacaannya.

Orang akan kurang membaca buku kerana masa dan tenaga banyak dihabiskan membaca atau melayari komputer dan telefon pintar. Tentu tidak sama dan cetek apa yang diperoleh melalui Internet berbanding dengan buku.

Tetapi tidakkah membaca e-book melalui komputer, telefon pintar dan e-reader adalah sama dengan membaca buku cetak?

Sememangnya alat-alat itu mempunyai banyak kelebihan dan membuka peluang besar dalam meluaskan minda seseorang.

Tetapi cuba baca e-book melalui komputer atau telefon pintar. Ia tidak sama dengan membaca buku bercetak. Mungkin kebiasaan untuk itu tidak ada, tetapi banyak perkara lain yang mengganggu seseorang daripada membaca jika menggunakan alat-alat itu. Maknanya walaupun seseorang boleh membaca dengan menggunakan alat-alat itu tetapi dari segi praktikal, ia tidak menggalakkan.

E-reader cuba mengatasi masalah ini dengan menggunakan e-ink yang memaparkan tulisan seperti mana dalam buku bercetak. Alat ini mempunyai kelebihan dan akan memperkayakan cara manusia membaca.

Tetapi ia tetap tidak dapat menandingi buku bercetak. Perkara ini sememangnya menjadi tanda tanya kerana tidakkah e-reader boleh membuat banyak perkara yang mana buku tidak boleh lakukan? E-reader tertentu boleh memuat turun buku melalui Internet sekelip mata. Ia juga menyimpan berpuluh-puluh e-book di dalamnya. Ia boleh menyiarkan imej dan bunyi. Tetapi tidakkah semua ini mengganggu pembaca sedangkan apa yang hendak dilakukan adalah membaca secara senyap dan tanpa perkara-perkara yang mengalih perhatian seseorang?

Membaca buku adalah sebenarnya berfikir pada suatu tempoh yang bebas daripada gangguan. Maka buku bercetak adalah platform paling sesuai untuk kegiatan ini.

Ini kerana aktiviti membaca memerlukan disiplin dan tumpuan yang tinggi. Sedangkan dalam gajet ICT, terdapat banyak gangguan.

Daripada Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template