29 December 2011

Apakah Kita Telah Kehilangan Rasa Hormat Pada Undang-Undang & Diri Sendiri

SEJAK sekian lamanya saya berpeluang untuk memerhatikan gelagat dan sikap masyarakat kita sama ada ketika mereka sedang berada di jalan raya atau di tempat awam.

Kesimpulan yang boleh saya lakukan hasil daripada pemerhatian umum itu ialah, saya dapati tanpa disiplin, rasa hormat kepada undang-undang, rasa bertimbang rasa kepada orang lain, semuanya itu akan membawa kepada kemusnahanan polar hidup bermasyarakat.

Maka saya pun tertanya-tanya, apakah yang sebenarnya yang dipelajari oleh generasi kita ketika di sekolah.

Misalnya, ketika kenderaan saya berhenti di simpang empat, pejalan kaki melintas jalan tanpa rasa hormat kepada lampu melintas itu merah atau hijau.

Mereka membuat andaian bahawa sekiranya mereka melintas ketika lampu isyarat pejalan kaki masih merah, kereta wajib memberhentikan kenderaan.

Saya juga dapati, hampir kebanyakan pemandu kereta, lori, teksi, bas atau van jarang sekali memberi lampu isyarat jika mahu memotong laluan atau membelok ke kiri mahu pun ke kanan.

Maka saya pun tertanya-tanya dari sekolah memandu manakah mereka ini mengikuti latihan memandu dan seterusnya bagaimana mereka ini boleh lulus ujian memandu.

Ramai yang tidak sedar ini semua walaupun kelihatan remeh tetapi adalah penyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

Dan yang paling ketara dan menyedihkan ialah hampir tidak ada langsung sikap bertimbang rasa atau menghormati pemandu yang lain yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemandu Malaysia.

Kebanyakannya sangat-sangat mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan tentang diri masing-masing.

Amat jelas dan nyata sekali masyarakat kita telah kehilangan norma-norma yang suatu ketika dahulu sangat sinonim dengan budaya dan diri kita sebagai orang Timur.

Satu-satunya masyarakat yang masih mampu mempertahankan adab resam dan budaya ketimuran mereka ialah orang Jepun.

Walau bagaimana maju sekali pun mereka, mereka tetap orang Jepun dan memastikan jati diri mereka kukuh dan utuh sepertimana dahulu.

Inilah yang menjadikan mereka satu bangsa yang cemerlang, maju dan hampir sempurna.

Dan saya berasa sedih dan sayu dengan sikap yang ditunjukkan oleh sebahagian besar daripada kita rakyat Malaysia.

Dipetik daripada :Star Online

Continue Reading...

25 December 2011

BlackBerry, i-Phone, i-Pad, e-reader atau tetap buku bercetak?

Di dunia Barat, muncul kebimbangan bahawa minat membaca semakin berkurangan lantaran adanya pelbagai peranti yang menjadi alat bagi penyampaian maklumat.

Melalui Internet, seseorang boleh memperoleh apa jua maklumat yang disalurkan bukan saja melalui komputer peribadi (PC) atau komputer riba (laptop) tetapi juga telefon pintar (smartphone), yang dua jenama sedang menguasai pasaran iaitu BlackBerry dan i-phone.

Telefon pintar merupakan alat yang akan mengubah cara manusia berkomunikasi dan seterusnya menjalani kehidupan.

Sememangnya dalam perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), banyak peranti dicipta dan dipasarkan tetapi tidak semua berjaya menguasai minda pengguna. Walaupun komputer riba merupakan peranti yang berjaya, tetapi banyak lagi gajet lain yang gagal. Antaranya adalah seperti Pembantu Digital Peribadi (PDA).

Tetapi telefon pintar ini dipercayai akan berjaya menguasai pasaran. Malah lebih berjaya daripada alat-alat seperti i-Pod.

Satu lagi alat yang akan merobah cara manusia hidup adalah i-Pad dan e-reader yang membolehkan seseorang membaca buku, majalah dan akhbar dengan lebih mudah.

Maka banyak tanda menunjukkan bahawa buku, majalah dan akhbar berbentuk cetak akan mengucapkan selamat tinggal.

Dalam keadaan begini, perdebatan berlaku di atas kebimbangan bahawa manusia masa depan akan kurang membaca. Beberapa tinjauan dan penyelidikan memang menunjukkan kemerosotan pembacaan buku, majalah dan akhbar.

Tetapi adakah amalan membaca di Barat sudah berkurangan dengan adanya alat-alat baru itu? Maka banyak pihak menyatakan bahawa dengan menggunakan alat-alat itu, manusia tetap melakukan aktiviti membaca.

Mereka cuma tidak membaca buku, majalah dan akhbar dalam bentuk cetakan. Tetapi mereka membaca dengan menggunakan komputer, telefon pintar, malah e-reader. Tidakkah itu membaca namanya? Mereka masih membaca buku, majalah dan akhbar walaupun dalam talian.

Maka timbul empat konsep yang menunjukkan manusia sedang dalam proses kurang membaca. Pertama pengalihan perhatian (distraction). Kedua, pembacaan mendalam (deep reading). Ketiga, memikir secara mendalam (contemplation). Keempat, imej menggantikan perkataan sebagai cara baru komunikasi.

Perlu diingat walau maju manapun teknologi manusia, waktu yang dimiliki hanyalah 24 jam sehari dan hayat aktif bagi seseorang manusia juga terhad.

Manusia tidak akan mempunyai waktu yang mencukupi untuk mendakap maklumat yang dialirkan melalui media itu.

Maka akhirnya kalau dahulu, manusia boleh sering membaca buku, kini perhatian manusia dialihkan kepada banyak tarikan lain; bukan saja televisyen tetapi maklumat yang disalurkan melalui komputer. Begitu juga sms dan e-mel yang memerlukan perhatian.

Huruf-huruf dalam telefon pintar dan komputer perlu dibaca untuk mendapatkan mesejnya. Tetapi oleh kerana terdapat banyak perkara yang hendak dibaca, maka semua ini mengalih perhatian daripada membaca secara sebenar iaitu mendalam.

membaca

Maka sebenarnya selama ini, apa yang disebut sebagai membaca adalah deep reading, yang dilakukan dengan membaca buku. Membaca buku adalah membaca mendalam.

Tetapi membaca sms, e-mel, posting facebook, twitter dan blog tentunya bukan membaca secara mendalam. Ia tetap dilihat sebagai membaca. Tetapi ayat pendek dan mesej ringkas tidak akan dapat membawa pemahaman pemikiran dalam konteks.

Itu belum lagi dikira sifat multimedia dalam alat-alat itu. Adanya imej dan audio yang disertakan pada tulisan menjadikan membaca dalam komputer atau telefon pintar tentu tidak sedalam seperti seseorang membaca buku.

Apabila masa terhad dan kurang kebiasaan membaca tulisan-tulisan yang panjang, maka akhirnya seseorang akan kehilangan keupayaan untuk memahami sesuatu daripada pembacaannya.

Orang akan kurang membaca buku kerana masa dan tenaga banyak dihabiskan membaca atau melayari komputer dan telefon pintar. Tentu tidak sama dan cetek apa yang diperoleh melalui Internet berbanding dengan buku.

Tetapi tidakkah membaca e-book melalui komputer, telefon pintar dan e-reader adalah sama dengan membaca buku cetak?

Sememangnya alat-alat itu mempunyai banyak kelebihan dan membuka peluang besar dalam meluaskan minda seseorang.

Tetapi cuba baca e-book melalui komputer atau telefon pintar. Ia tidak sama dengan membaca buku bercetak. Mungkin kebiasaan untuk itu tidak ada, tetapi banyak perkara lain yang mengganggu seseorang daripada membaca jika menggunakan alat-alat itu. Maknanya walaupun seseorang boleh membaca dengan menggunakan alat-alat itu tetapi dari segi praktikal, ia tidak menggalakkan.

E-reader cuba mengatasi masalah ini dengan menggunakan e-ink yang memaparkan tulisan seperti mana dalam buku bercetak. Alat ini mempunyai kelebihan dan akan memperkayakan cara manusia membaca.

Tetapi ia tetap tidak dapat menandingi buku bercetak. Perkara ini sememangnya menjadi tanda tanya kerana tidakkah e-reader boleh membuat banyak perkara yang mana buku tidak boleh lakukan? E-reader tertentu boleh memuat turun buku melalui Internet sekelip mata. Ia juga menyimpan berpuluh-puluh e-book di dalamnya. Ia boleh menyiarkan imej dan bunyi. Tetapi tidakkah semua ini mengganggu pembaca sedangkan apa yang hendak dilakukan adalah membaca secara senyap dan tanpa perkara-perkara yang mengalih perhatian seseorang?

Membaca buku adalah sebenarnya berfikir pada suatu tempoh yang bebas daripada gangguan. Maka buku bercetak adalah platform paling sesuai untuk kegiatan ini.

Ini kerana aktiviti membaca memerlukan disiplin dan tumpuan yang tinggi. Sedangkan dalam gajet ICT, terdapat banyak gangguan.

Daripada Utusan Malaysia

Continue Reading...

10 December 2011

Bila waktu berhenti berdetik...

BAYANGKAN saat-saat akhir tatkala seorang pelajar diminta meletakkan penanya dalam suatu peperiksaan penting. Ketika itu, masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan-soalan telah tamat.

Apa pun yang telah termaktub di atas kertas jawapan tidak boleh lagi diubah-ubah dan bakal menjadi suatu manifestasi sejauh mana jerih-perih dan usaha bersungguh-sungguh yang telah disemai sekian lama membuahkan hasil yang didambakan atau sebaliknya.

Ia laksana suatu timbang tara dan juga jawapan kepada pengharapan tulus dari ibu bapa, rakan taulan dan guru-guru yang tentunya mengharap keputusan paling gemilang.

Nafsu serakah menjadi kitab panduan

Hakikatnya, situasi masyarakat dunia kini tidak begitu banyak berbeza dengan suasana yang digambarkan saya itu. 'Ahli-ahli masyarakat dunia' sebenarnya adalah ibarat 'pelajar' yang digalaskan dengan amanah oleh generasi terdahulu untuk meneruskan agenda kemajuan, mengekalkan keamanan dan kesentosaan di seluruh pelosok bumi.

Ironinya, generasi manusia hari ini lebih kepada ibarat 'pelajar yang malas-malas' dan 'tidak boleh diharap'. Kegetiran 'menjawab persoalan', meneruskan kelangsungan amanah suci yang diwariskan tidak lagi dipikul sebagai suatu keutamaan agenda. Ketamakan dan kerakusan sebaliknya bermaharajalela lantaran nafsu serakah yang menjadi kitab panduan!

Sedangkan malaikat tunduk kepada manusia

Dalam paparan kejadian Nabi Adam, tingginya martabat manusia dan penciptaannya sehinggakan Allah menyuruh malaikat dan syaitan tunduk menyembah. Malangnya, manusia tampak lebih minat berbalah, bersengketa, berbunuhan sesama sendiri.

Betapa suatu gambaran yang manusia gagal menghargai kedudukan terpuji yang Allah Taala tetapkan kepada manusia. Betapa manusia mudah terlupa amanah 'kekhalifahan' yang ditugaskan oleh-Nya!

Pernyataan yang menyebut bahawa manusia hari ini semakin moden dan ketamadunannya pula telah berkembang pada tahap terbaik - tidaklah tepat. Ketamadunan dan peradaban manusia hakikatnya tidak boleh hanya dinilai melalui pembangunan material dan fizikal semata-mata.

Dan bila mana aspek spiritual dan perkembangan minda dijadikan kayu ukuran, cara pemikiran manusia tampak jelas tidak banyak berubah dalam tempoh ribuan tahun. Peperangan sebagai contohnya masih lagi menjadi agenda yang diagung-agungkan.

Tidak cukup dengan Perang Dunia Kedua beberapa dekad lepas, peperangan demi peperangan tidak kunjung sepi diatur dan dicatur atas pelbagai sebab tersirat yang keji. Nyawa manusia tak berdosa menjadi halal untuk dikorbankan.

Nawaitu sebenar di sebalik perang 'dibungkus kemas-kemas dengan pembalut kertas berlabelkan keadilan' sedangkan isi di dalamnya ialah motif politik jijik dan kepentingan ekonomi yang memualkan!

Di Iraq misalannya, demi menjatuhkan rejim Saddam Hussein, tag-team 2B (Bush-Blair) mereka-reka ceritera kisah WMD (weapon of mass destruction) yang konon-kononnya dimiliki rejim terbabit. Akhirnya Saddam Hussein tersungkur dari kerusi kuasa dan ratusan ribu rakyat terkorban sia-sia, sementara senjata pemusnah yang didakwa wujud terbukti dusta semata-mata.

Dalam tragedi 11 September di Menara Berkembar World Trade Center, bukti dan cakap-cakap bahawa runtuhnya 'ikon' New York itu sebenarnya adalah suatu konspirasi terancang pihak tertentu bagi menghalalkan perang ke atas negara tertentu di Asia Barat bukan lagi cerita baru.

Daripada aspek mengekalkan kelestarian alam, kegagalan Protokol Kyoto suatu bukti bahawa masih ada kelompok manusia yang begitu mementingkan diri. Negara besar AS rupanya tidaklah 'semaju' mana pemikirannya kerana masih gagal memikirkan sama sekali nasib generasi masa depan.

Itu kalau hendak mengambil kira dalam konteks dunia secara amnya. Kalau dalam ruang lingkup yang lebih khusus seperti Malaysia sendiri, kita sebenarnya pun boleh melihat 'trend' yang sama.

50 tahun warisan keamanan

Sesudah 50 tahun kita diwariskan dengan negara yang aman dan sentosa, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita sememangnya sudah maklum akan adanya usaha-usaha persengketaan kaum dan agama yang cuba dibawa, disemai dan dibajai sesempurnanya.

Apa yang paling dikesalkan ialah kita sudah pun mempunyai suatu fundamental sistem masyarakat yang luhur dan aman selama ini. Lalu mengapa perlu dicarik-carik, dipersoal, dipertikai dan diperlekeh sedangkan sudah terbukti ia berjaya menjamin kedamaian sejak separuh abad? Adakah hanya demi kepentingan politik kita rela suasana yang harmoni dikorbankan?

Awas! Jangan fikir terlalu mustahil jika suatu ketika nanti kita akan terjerumus ke lembah huru-hara yang mengorbankan nyawa andai kata kita masih lagi tidak mahu sedar-sedar.

Perbuatan merosakkan beberapa surau, masjid dan gereja baru-baru ini wajib dilihat dengan mata hati yang tajam. Bahawa ia suatu petanda awal sekiranya kita terlalu memberontak dan tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada; menghargai sesuatu yang sudah pun berada dalam genggaman kita.

Jangan wariskan negara yang tenat

Janganlah diikutkan sangat kata nafsu dan usahlah mudah dipermainkan dengan dakyah tertentu yang hanya berbekalkan niat yang satu; kepentingan politik tanpa kira apa jalan dan harga sekalipun!

Kalau sudah terlewat, air mata darah pun mungkin keadaan tidak dapat kembali kepada asal lagi. Kembalilah kepada ajaran agama masing-masing yang senantiasa menuntut penganutnya berfikiran waras dan secara terbaik.

Kita sepatutnya insaf dan bertanya dengan diri kita sendiri 'bila waktu berhenti berdetik dan keranda diangkat nanti, sudahkah amanah yang diwarisi ditunaikan untuk diwariskan secara terbaik pula buat generasi seterusnya?'

Apakah kita mahu mewariskan mereka dengan dunia yang sakit dan negara yang tenat? Fikir-fikirkanlah !

Dipetik dpd: Utusan Malaysia

Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template