09 October 2009

Asas Menjadi Pengerusi Majlis

Berdiri di hadapan khalayak sememangnya menjadi sebahagian daripada perkara yang sering menjadi ketakutan bagi yang belum pernah mengalaminya. Lebih-lebih lagi apabila berdiri untuk menyampaikan syarahan, ceramah, pidato ataupun mungkin sebagai seorang MC (pengerusi majlis). Jika diberitahu lebih awal sudah tentu kita akan dapat membuat persiapan yang rapi. Tetapi andai dilantik sebagai bidan terjun sudah pasti memberikan tekanan yang tinggi pada diri.

Peranan Pengerusi Majlis

Sebenarnya besar peranan pengerusi majlis dalam sesuatu upacara atau majlis. MC berfungsi sebagai ketua dalam memastikan perjalanan program berlangsung dengan lancar dan tersusun. Dan apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan ketika mengendalikan majlis maka MC akan berperanan sebagai ‘back up’ untuk melindungi kekurangan majlis tersebut. Bahkan MC juga yang akan menentukan sesuatu majlis tersebut mendatar, menarik atau memboringkan.

Kemahiran Sebagai Pengerusi Majlis

Terlalu banyak untuk menyenaraikan kemahiran-kemahiran dalam menjadi pengerusi majlis ini. Artikel ini saya tulis berdasarkan kaedah-kaedah yang selalu digunapakai dan juga berdasarkan pengalaman saya untuk dikongsikan bersama anda semua.

Hadam tentatif program

Tidak dapat tidak sebagai seorang MC, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memahami secara keseluruhan perjalanan majlis yang bakal dikendalikan. Kegagalan menghadam tentatif majlis akan mengganggu konsentrasi dan juga keyakinan sewaktu mengendalikannya nanti. Segala yang berkaitan dengan tentatif seperti logistik, persembahan, protokol, sasaran yang hadir dan yang paling penting tujuan majlis tersebut diadakan.

Protokol majlis

Sebagai seorang MC sangat perlu berwaspada dengan protokol. Protokol sesuatu majlis menjadi penilaian pertama apabila mengendalikan majlis. Jadi sebagai MC perlu mengetahui siapa yang hadir dalam majlis tersebut, siapa dif-dif kehormat yang hadir dan yang mana perlu didahulukan dalam menyebutnya. Gelaran kepada dif-dif kehormat juga perlu dihafal sebaik mungkin untuk memperlihatkan bahawa anda seorang MC yang baik. Tan Sri, Dato’, Datin, YB jangan sekali-kali tertukar ketika menyebutnya. Kesilapan anda menyebut akan memalukan dif-dif kehormat yang anda sebut nama mereka.

Buat skrip MC

Sama ada anda seorang MC amatur atau MC profesional, jangan sekali-kali lupa untuk membuat skrip anda. Jangan cuba menghafal tentatif tanpa ada skrip yang menjadi panduan kata-kata anda. Skrip akan membantu anda ketika anda ‘blur’ untuk mengendalikan majlis. Biar nampak anda seolah-olah membaca skrip asalkan perjalanan majlis berjalan dengan lancar dan baik. Lebih-lebih lagi apabila mengendalikan majlis dengan 2 MC (berduet) maka skrip amat penting untuk tidak menyebabkan perselisihan faham ketika mengendalikan majlis.

Bersedia dengan segala kemungkinan

Ingat! Tiga kemahiran di atas dapat dilaksanakan dengan baik jika segala persediaan majlis seperti yang dikehendaki. Namun bagaimana jika sebaliknya? Di sinilah seorang MC akan menjadi ‘leader’ untuk memastikan perjalanan majlis selamat disempurnakan. MC perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan ketika mengendalikan majlis. Sama ada ‘black out’ ketika majlis, perubahan persembahan ketika majlis, dif jemputan yang tidak hadir, mikrofon problem, suasana majlis yang terlalu bising, suasana penonton yang pasif dan pelbagai lagi kemungkinan yang mungkin berlaku. Persediaan awal akan membuatkan anda tidak panik ketika dalam majlis.

Penampilan perlu sesuai

Anda seorang MC! Anda akan menjadi tatapan setiap mata yang menghadiri majlis tersebut. Maka sudah tentu anda perlu cantik dan menawan. Penampilan anda perlu sesuai dengan majlis. Jangan ambil muda dalam penampilan. Kerana hadirin yang hadir akan menilai anda dengan mata kasar. Seandainya anda berduet seeloknya carilah warna yang sedondong. Di situ akan menampakkan keserasian di antara anda dan pasangan MC anda.

Rehearsal

Saya memetik maksud ‘rehearsal’ dari Wikipedia “is a preparatory event in music and theatre (and in other contexts) that is performed before the official public performance, as a form of practice, and to ensure that all details of the performance are adequate for professional presentation.”

Apabila anda memegang jawatan MC dalam sesuatu majlis, pastikan anda melakukan persiapan terakhir dengan mencubanya di pentas lokasi majlis. Sedikit sebanyak anda akan lebih memahami suasana majlis tersebut. Dan paling penting anda akan dapat merasakan ‘feeling’ yang lebih baik untuk mengendalikannya. Ingat! Feeling yang baik akan mendorong anda untuk melakukan yang terbaik sewaktu majlis tersebut.

Mudah-mudahan tip-tip ini akan membantu anda sedikit sebanyak. Kemahiran-kemahiran ini adalah asas untuk seorang MC.

Dipetik daripada: Cahaya Hati

Continue Reading...

08 October 2009

Tip 10K Dalam Persahabatan

Setiap orang dianugerahi Allah dengan kelebihan, kebaikan dan keindahan masing-masing. Begitu juga dengan kekurangan, keburukan dan kelemahan masing-masing.

Begitulah sunnatullah. Begitu indah sekali aturan-Nya. Betapa adilnya Dia, menciptakan setiap benda secara seimbang.

Begitu juga halnya dalam persahabatan. Setiap sahabat mempunyai keistimewaan yang telah ditetap Allah sejak azali lagi. Ada sahabat yang kasar, tetapi lembut hatinya, ada sahabat yang nakal, tetapi suka mengambil berat, ada sahabat yang garang, tetapi sebenarnya adalah penyayang dan pelbagai lagi. Macam-macam corak sahabat yang kita boleh dapati setelah bersahabat dengan seseorang.

Setelah menimba pengalaman bersahabat dengan ramai orang, saya ingin membuat kesimpulan mengenai 10 'K' yang perlu dalam sesebuah persahabatan.

"Friendship is an onion. It has many layers in it. Adds taste to your life, but if you try to cut it you will get nothing but tears!"

10 K dalam PERSAHABATAN

* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah).

* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

* KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah.

* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan?

* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe).

* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.

* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).

Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan.

"Adakah anda dan sahabat anda mengamalkan 10 K ini?"
Continue Reading...

06 October 2009

PMR muncul lagi

PMR sekali lagi menyerang pelajar tingkatan 3 seluruh negara. Pelajar tingkatan 3 SMKTPG tidak terkecuali daripada serangan tersebut.Kami guru mengharapkan pelajar telah bersiap sedia untuk menghadapi peperangan ini ,samada mereka berjaya atau tidak adalah berdasarkan persiapan mereka ini.Pada pemerhatian kami hanya sebilangan pelajar sahaja yang nampak begitu bersedia untuk menghadapi perang ini.Nampaknya ramai yang akan terkorban dalam peperangan kali ini,namun begitu bagi kami guru - guru sentiasa berdoa semoga ramai pelajar yang berjaya menghadapi peperangan ini. Semoga tiada pelajar yang akan kesal apabila keputusan PMR keluar nanti.Sesal dahulu pendapatan ,sesal kemudian tidak berguna lagi.
Continue Reading...

05 October 2009

Kegagalan Semalam Bukan Pengukur Kejayaan Hari ini dan Esok

Ramai pelajar menjadikan kegagalan masa lalu sebagai pengukur kepada usaha untuk membina kejayaan pada hari ini dan hari esok. Kenapa mesti begitu?

Kenapa mesti kejam pada diri sendiri? Kenapa mesti menyamakan masa lalu dengan masa sekarang, sedangkan pada hakikatnya ia dua ruang masa yang cukup berbeza?

Jika Anda seorang pelajar dan Anda pernah gagal satu subjek pada peperiksaan lalu, terimalah hakikat yang perkara itu berlaku di masa lalu, semester lalu atau beberapa bulan yang lalu. Jangan jadikan sebagai faktor untuk Anda tidak berusaha belajar bersungguh-sungguh supaya lulus di hari ini, pada masa ini supaya esok-esok bila habis study, senang hati.

Buat apa nak ingat perkara yang sudah berlalu? Sebab apa dan untuk apa? Apa faedahnya? Mengapa terlalu banyak fikirkan masa lalu, bukan fikir masa depan sedangkan masa lalu sudah tidak boleh Anda ubah lagi?

Buat apa tak bersemangat hanya sebab pernah gagal subjek itu di masa lalu? Anda menyusahkan diri sendiri.

Maknanya, sendiri cari susah, sendiri merasa payah. Tak ada sesiapa pun suruh Anda buat begitu

Ramai orang tak sayangkan diri mereka. Tak sayangkan masa depan dan hidup mereka. Sebab asyik mendorong diri dengan kata-kata negatif yang menyesakkan kepala.

Dalam hidup, Anda dan saya sentiasa ada dua pilihan. Ia tetap akan ada dua. Apa jua jenis keputusan yang Anda akan buat, tetap kena pilih satu keputusan di antara dua pilihan.

Saya andaikan jika Anda menyamakan masa lalu dengan masa ini, Anda memilih untuk gagal. Anda memilih untuk tidak berjaya.

Anda memilih untuk jadi orang sengsara, duka dan tidak bahagia kerana Anda menyamakan kesengsaraan, kedukaan masa lalu dengan masa sekarang. Bagaikan sudah tidak ada beza, bagaikan sudah tidak ada peluang nak mengubahnya.

Kebahagiaan akan muncul bila Anda memilih untuk berusaha menjadi orang berjaya - student berjaya, pekerja berjaya, usahawan berjaya atau suri rumah berjaya.

Bila berjaya, bahagia akan ada lalu disitu muncul rasa gembira. Gembira ni yang kita mahu supaya ia menjadi booster untuk kita semakin rajin berusaha. Menerima hakikat, maksudnya kita menerima ketatapan yang masa lalu kita menjadi tidak sama dengan masa sekarang dan masa depan.

Macam baca buku setebal 30 muka surat. 10 muka surat yang sudah Anda baca, tak akan sama ceritanya dengan 10 muka surat yang Anda baca sekarang ni dan 10 muka surat yang belum Anda baca lagi. Buat apa menyamakan cerita yang ada dalam 10 muka surat tadi dengan 10 muka surat yang dibaca sekarang? Untuk apa dan sebab apa? Kan ke tak syok camtu.

Mana sama ceritanya. Ia akan membuat Anda keliru. Oleh sebab keliru, Anda hilang semangat nak membaca.

Begitu juga dengan hidup ni. Dah gagal di masa lalu, tak semestinya itu sebab utama kita malas berusaha. Jika Anda ada perangai camtu, boleh diumpamakan dengan sikap malas atau berat hati nak mengusahakan sesuatu.

Jangan pernah samakan masa lalu dengan masa sekarang. Bila Anda asyik menyamakan masa lalu dengan masa sekarang, anda akan malah berusaha, bagaikan tidak ada sebab untuk Anda rajin berusaha mengulangkaji pelajaran.

Dipetik dari I-Motivasi

Continue Reading...

03 October 2009

Gagal

Apa makna sebenar gagal?

Gagal ialah satu keadaan bila mana apa yang kita buat tak menjadi seperti yang kita inginkan. Ataupun, gagal adalah satu situasi bila kita tak mencapai apa yang kita targetkan, kita tak mendapat apa yang kita mahukan.

Gagal wujud dalam segenap aspek hidup kita. Gagal dalam pelajaran. Gagal mendirikan sembahyang Subuh, gagal mengatur masa kerja dengan baik, gagal memasak dengan cukup sedap, gagal berusaha dengan cukup rajin. Itulah beberapa contoh kegagalan kecil yang kita lakukan.

Setiap hari, bila kita gagal mendirikan sembahyang Subuh, sebagai orang Melayu beragama Islam, kegagalan yang kecil tu akan melarat kepada kegagalan-kegagalan besar. Maka sebab itulah dalam azan, sering dilaungkan frasa “marilah menuju kejayaan” (hayya alal falah) untuk mengingatkan kita.

Gagal hanyalah suatu cara yang salah, satu usaha yang kurang berhasil, boleh juga dipanggil usaha yang dijalankan dengan cara kurang betul. Bukan tak betul, cuma kurang betul.

Kena fikir optimis!

Continue Reading...

02 October 2009

Hidup Mahu Menguji Kita

Banyak perkara berlaku sekarang ni, terutama perubahan cuaca. Sekejap panas, sekejap hujan. Sekejap jerebu sampai naik kering tekak dibuatnya. Namun, yang pasti, semua itu berlaku semata-mata mahu menguji kita.

Ia menguji keimanan kita, emosi kita juga tahap motivasi kita. Kesusahan adalah satu ujian. Kesenangan juga adalah satu ujian kepada kita- cemana kita handle dan cemana kita buat yang terbaik, make the best of it.

Kita cepat lalai bila kita dah senang. Kita cepat menyalahkan takdir bila kita susah. Sebagai manusia beremosi, itulah kelemahan kita.

Maka, kita kena bijak mengawal emosi supaya kita boleh menarik situasi-situasi yang boleh membuat kita berjaya, bekerjasama dengan orang-orang yang membantu kita mencapai kejayaan dan bertemu perkara-perkara yang membuat kita cepat mencapai kejayaan.

Latih diri untuk tidak selalu menyalahkan - menyalahkan orang, menyalahkan situasi, menyalahkan perkara atau menyalahkan sesuatu benda.

Jangan komen dan jangan banyak songeh.

Lalui saja, kemudian jangan berhenti memfokus kepada apa yang kita mahu capai, iaitu matlamat kita.

Ujian akan menjadi sementara bila kita laluinya dengan sabar dan tenang. Andai kata kita menggelabah, marah atau tertekan, ujian yang datang makin bertambah bertimpa-timpa. Memula kita anggap ujian, tapi tertekan punya pasal, kita anggap ia satu musibah.

Last-last, motivasi kita hilang entah ke mana.

Apa-apapun yang mendatang, apa-apapun yang berubah disekeliling kita, apa-apapun emosi yang menguasai kita, nak menghadapi semua tu pendirian kita kena teguh. Jiwa kita kena kuat.

Menikmati kejayaan dan kecemerlangan, kita perlu bersedia menghapi apa jua yang mendatang walau cemana pun rupanya - susah atau senang.

Mulai hari ini, jangan mudah lalai bila kita sudah berada di tahap selesa, kemudian jangan mudah terkasima bila ujian diturunkan buat kita.

Kita mesti tahu apa yang kita nak capai dalam hidup dan apa peranan kita, barulah kita boleh mencemerlangkan diri kita dalam apa jua yang kita lakukan.

Continue Reading...

01 October 2009

Sifat Yang Melemahkan Diri


Kawal perasaan apabila hendak marah. Secara sedar atau tidak, setiap manusia ada kelemahannya. Manusia sememangnya mempunyai kelebihan berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah s.w.t. Tetapi, di sebalik kehebatan itu, manusia diperingatkan dan dikecam oleh Allah s.w.t kerana memiliki kelemahan dan kekurangan yang membawa ke lembah kehinaan.

Di dalam hati manusia, terbit beberapa sifat kelemahan seperti marah, tamak dan tergesa-gesa yang muncul tanpa disedari. Walau pun nampak remeh, tetapi sifat-sifat itu menjadi laluan oleh syaitan untuk mencapai tujuannya. Manusia perlu diperingatkan tentang kelemahan itu. Ikuti maklumat bermanfaat itu sebagai santapan untuk rohani anda.


MARAH

Perasaan marah yang terbit adalah api di dalam dada insan. Sifat ini hadir apabila berlaku sesuatu yang tidak menepati kehendak hati. Perasaan itu akan berkobar-kobar dengan hebatnya jika api kemarahan dihembus lagi. Imam Ghazali menggambarkan sifat marah itu bagaikan darah yang mendidih di dalam dada. Ia akan menghasilkan asap hitam yang menyembur ke otak dan seterusnya menguasai akal fikiran manusia. Akibatnya, sifat itu mempengaruhi fizikal manusia sehingga menutup mata dan menggelapkan pandangan.

Manusia yang sedang membara kemarahannya boleh dilihat menerusi air mukanya yang berubah, tindakannya yang tidak menentu dan tutur katanya tidak teratur. Akal fikirannya waktu itu seolah-olah suatu benda yang terbakar. Api marah dapat membakar hati dan sikap ini tidak elok dibiarkan berterusan.

Dalam konteks agama, Islam membenarkan manusia marah dengan maksud untuk meluruskan yang salah, mencegah yang mungkar dalam keadaan yang terkawal dan waktu dan tempat yang sesuai. Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan, marah biarlah bertempat.

Jika tidak sesuai dengan keadaan, marah tidak dibenarkan kerana syaitan paling mudah menguasai manusia ketika sedang marah. Waktu itu, syaitan menciptakan keadaan yang boleh menyebabkan manusia tidak sedar apa yang mereka ucapkan dan perbuatan yang dilakukan.

Al-Quran ada merakamkan beberapa kisah tentang sifat marah yang terjadi kepada beberapa orang Nabi yang marah disebabkan oleh kedurhakaan kaumnya yang enggan taat kepada perintah Allah s.w.t. Mengenai kisah Nabi Yunus misalnya, al-Quran menyentuh mengenai marahnya terhadap sekelompok Bani Israil yang enggan taat sehingga dia meninggalkan tugas dan menuju ke laut. Dia menduga bahawa “Kami tidak akan memberinya hukuman atas marah”. (Surah al-Anbiya, ayat 87). Malah Rasulullah s.a.w sendiri diingatkan oleh Allah s.w.t akan bahaya sifat marah. Allah bersabda, “Janganlah engkau menjadi seperti Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan besar,” (Surah al-Qalam, ayat 47).

Memandangkan banyak kesan buruk akan berlaku akibat sifat marah, Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita agar tidak mudah marah. Andai kata rasa terdorong untuk marah, al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita supaya memohon perlindungan Allah s.w.t daripada syaitan. Ini kerana syaitan akan mengipas dan menyiram minyak untuk menyemarakkan api di dalam hati.

Anda dianjurkan untuk diam, duduk dan meninggalkan tempat itu. Jika perasaan marah masih memuncak, eloklah berbaring. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau salah seorang di antara kamu marah, sedang ketika itu dia berdiri, maka hendaklah duduk. Kalau marahnya belum reda, hendaklah berbaring,” (Riawayat Abu Daud dan Ibnu Hibban).


TAMAK

Sifat tamak adalah ekoran daripada keinginan yang sangat berlebihan yakni di luar batas kewajaran dan kemampuan. Bak ungkapan orang arif dan cerdik pandai, “Ukurlah kemampuan anda dan berusahalah untuk meraih keinginan. Ketahuilah batas anda dan jangan melampaui batas. Terimalah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kamu dan syukurilah anugerah itu.”

Tidak dinafikan bahawa keinginan yang berlebihan untuk mendapatkan sesuatu adalah sifat azali yang sudah tertanam dalam diri manusia. Nabi Muhammad pun memiliki sifat itu. Baginda berkeinginan agar seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t.

Keinginan Rasulullah s.a.w itu diingatkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau hanya berkewajipan menyampaikan ajakan dan risalah Allah s.w.t dan bukan menjadikan mereka beriman seperti dalam sabda, “Engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang engkau cintai tetapi Allah s.w.t yang memberi petunjuk siapa yang dikehendakiNya.” (Surah al-Qasas ayat 56).

Perasaan keinginan nafsu yang melampaui batas adalah pintu masuk syaitan ke dalam jiwa manusia. Segala jalan akan ditempuh dengan sedaya upaya untuk memuaskan keinginan yang belum pasti diraih meskipun ia bertentangan dengan hati dan ajaran agama.

Akibat daripada sifat itu, seseorang manusia akan bangga dan merasa puas apabila berhasil memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain dan tidak pernah merasa senang dan puas melihat kelebihan dan kejayaan kawan apatah lagi lawannya.

Jiwa orang yang memiliki sifat itu sentiasa goncang dan tidak tenteram. Dia tidak pernah menikmati apa yang dimilikinya. Apa yang membahayakan ialah apabila keinginan nafsu adalah kuat tetapi kurang kemampuan untuk melakukannya.


TERGESA-GESA

Sudah menjadi lumrah bahawa setiap manusia ingin mendapatkan sesuatu yang diinginkannya dengan segera. Begitu juga sewaktu berdoa dengan harapan doa yang dipanjatkan akan segera dikabulkan oleh Allah s.w.t. Sifat ini adalah satu kelemahan manusia. Adakah tergesa-gesa sama dengan gerak cepat?

Sifat tergesa-gesa kerap terjadi akibat daripada satu tindakan. Kadang-kadang menyebabkan manusia menjalankan kewajipan asal menjadi sesuka hati dengan mengambil jalan pintas yang bertentangan dengan hukum. Bukankah banyak dosa yang terkumpul akibat kesilapan manusia disebabkan sifat tergesa-gesa?

Menghindari sifat ini tidak bermakna Allah s.w.t menggalakkan manusia bertindak lambat, menunda kerja hingga keesokan hari dan sebagainya. Sebaliknya ia bermaksud sebagai larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan tergesa-gesa sehingga tidak sesuai dan memenuhi ketentuan atau mengambil kesempatan dalam kesempitan. Rasulllah s.a.w. bersabda, “Tidak tergesa-gesa (berfikir matang) bersumber daripada Allah, dan tergesa-gesa bersumber daripada syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai renungan, eloklah merujuk nasihat al-Jahiz (775-867H) tentang sikap tergesa-gesa. “Hati-hatilah, jangan sampai syaitan memperdaya kamu, sehingga menguburkan tekad dan iltizam kamu atau memperlihatkan sikap suka menunda-nunda sebagai bentuk tawakkal (berserah diri kepadanya). Jangan sampai pula syaitan mencabut sikap berhati-hati yang melahirkan keengganan untuk bertindak dengan bertopengkan takdir.”

Hakikatnya terdapat banyak kelemahan manusia yang dapat dimanfaatkan oleh syaitan. Semoga dengan selalu mengingati Allah s.w.t dan mengingat permusuhan dengan syaitan, anda dapat menghindari semua sifat kelemahan. Mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi anda daripada kelemahan berkenaan.
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template