08 January 2010

Kekeliruan remaja sambut tahun baru

TIRAI 2010 baru beberapa hari membuka lembaran baru untuk kita mencoretkan warna-warni kehidupan dengan pelbagai rencah kehidupan. Namun ramai yang terlepas pandang apa yang terjadi di sebalik percikan bunga api yang menyinari malam, ramai remaja kita terus terjerumus dengan isu keruntuhan moral dan akhlak.

Seolah-olah menjadi satu trend saban tahun sambutan tahun baru yang berpaksikan ‘gaya hidup’ moden Barat dijadikan peluang bagi remaja untuk meraikan sambutan tahun baru dengan kawan-kawan. ‘Sudah lewat malam’ dan tidak sempat untuk pulang ke rumah dijadikan alasan untuk bermalam dengan kawan atau teman lelaki.

Apa sudah jadi dengan remaja kita? Pastinya keluhan sahaja tidak memadai kerana persoalan ini melibatkan isu moral dan akhlak.

Dengan angka populasi yang menunjukkan jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun meliputi seramai 11.2 juta orang atau kira-kira 41 peratus daripada 27.2 juta penduduk Malaysia, pastinya sumbangan generasi muda dalam menjayakan 1Malaysia dan NKRA yang diumumkan baru-baru ini amat dituntut.

Dalam realiti hari ini, pastinya negara memerlukan angkatan belia yang berwibawa, berwawasan, berpendidikan, bersahsiah dan mempunyai jiwa 1Malaysia. Hakikatnya, apa yang dapat diharapkan jika remaja kita terus hanyut dan terjerumus dalam kancah maksiat? Satu persoalan yang amat menuntut perhatian semua pihak.

Justeru amat penting golongan anak muda menjaga keterampilan diri dan moral kerana mereka bukan sahaja generasi pewaris keluarga, malah juga pewaris bangsa dan negara. Kemuliaan peribadi golongan belia melambangkan identiti sesebuah bangsa, jika baik peribadinya maka baiklah identiti sesuatu bangsa, jika sebaliknya maka buruklah pandangan masyarakat terhadap bangsa tersebut.

Madah pujangga Arab ada mengatakan “Jika kamu ingin melihat keagungan sesuatu bangsa maka lihatlah peribadi kaum belianya”. Jelas sekali keperibadian yang tinggi di kalangan belia mencerminkan kemuliaan sesuatu bangsa.

Remaja hari ini ternyata keliru tentang sambutan tahun baru. Mereka tidak dibimbing ‘sewajarnya’ erti sambutan tahun baru yang sepatutnya memberi keutamaan dan memanfaatkan kedatangan Maal Hijrah.

Kita menyedari cakap sememangnya senang, namun untuk melaksanakannya tidak semudah yang diungkap. Namun jika kita tidak bertindak, siapa lagi yang kita harapkan? Apa yang perlu kita sedari bahawa usaha ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah untuk kita semua laksanakan.

Menyedari betapa kuatnya pengaruh golongan ini terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah, adalah menjadi satu keperluan agar setiap individu belia disuntik dengan didikan dan asuhan agama yang secukupnya agar mereka tidak mudah terpedaya dan terjerumus.

Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak boleh lari daripada membicarakan peranan ibu bapa, ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya. Tidak cukup sekadar menyediakan makan, minum, bantuan kewangan dan tempat tinggal tetapi peranan ibu bapa melangkaui aspek tersebut. Ibu bapa perlu mengawal perlakuan, pergaulan dan penampilan anak-anak kita kerana kemuliaan diri seseorang mencakupi jasmani dan rohani.

Oleh itu adalah penting dan menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga hati para remaja supaya tidak dicemari dan menjadi rosak kerana jika rosak golongan pelapis ini maka hancurlah sesuatu bangsa dalam sesebuah negara. Gagasan 1Malaysia, NKRA dan apa jua yang direncanakan tidak akan berjaya sepenuhnya jika golongan ini tidak bersama membantu kerajaan.

Negara amat memerlukan kudrat dan dinamisme golongan belia untuk memacu negara ke arah 1Malaysia yang bebas daripada jenayah dan ancaman sosial tetapi apakah yang dapat dijanjikan oleh golongan anak muda yang lemah, menghisap dadah, meminum arak, berpeleseran, berkhalwat dan sebagainya?

Apakah yang dapat disumbangkan oleh anak-anak muda yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan semata-mata? Anak-anak muda jelas lebih berminat program hiburan dan ‘realiti’ daripada menghadapi realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat.

Generasi muda perlu bangkit dan bermuhasabah kerana usia remaja hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Kesempatan yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan diri, menjaga nama baik ibu bapa dan memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Jika aspek sosial juga menjarakkan kita dengan bangsa lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?

Dipetik daripada: Utusan Malaysia

Continue Reading...

07 January 2010

Kelebihan Ais & Air Sejuk

  1. Air sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia yang sukar tidur agar dapat kembali tidur seperti biasa.
  2. Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.
  3. Udara panas lebih memudahkan penyebaran penyakit berjangkit kerana bakteria lebih agresif dan cepat membiak dalam cuaca begini.
  4. Liputan ais di Antartika (daerah Kutub Selatan) dan Artik (daerah Kutub Utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.
  5. Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semulajadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.
  6. Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.
  7. Benarkan anak anda mengunyah ais kerana ini akan menguatkan giginya dan benarkan anak anda memakan ais krim secara perlahan-lahan dan berterusan sehingga batuknya hilang dalam masa beberapa jam kerana mengambil ubat batuk biasanya akan mengambil masa satu minggu untuk melegakan batuk secara total.
  8. Membiasakan diri mengunyah ais akan meningkatkan kecerdasan fikiran dan kepantasan pergerakan.
  9. Ais amat diperlukan oleh mana-mana atlit sukan dalam kecederaan yang tidak disangka-sangkakan.
  10. Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi oleh bayi yang mempunyai potensi menghidapi penyakit sawan.
  11. Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang telah patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.
  12. Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.
  13. Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.
  14. Adalah makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang telah terkena panas cahaya matahari yang pastinya akan mengganggu sistem deria pada kulit.
  15. Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti oleh pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai oleh unsur-unsur spiritual yang jahat.
  16. Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan..
  17. Air sejuk akan menguatkan tulang bayi.
  18. Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan berbagai penyakit alahan dan jangkitan.
  19. Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu Intan.
  20. Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.
  21. Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat orang yang telah hilang seperti pengsan, gila dan koma kembali sedar.
  22. Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan dengan urik asid akan meningkatkan suhu tulang dan melemahkan struktur tulang.
  23. Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.
  24. Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.
  25. Air sejuk dapat merakamkan gelombang frekuensi rendah lebih stabil.
  26. Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.
  27. Air kelapa muda bersifat sejuk dan amat baik untuk kesihatan kerana ia amat berkesan meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan di dalam aliran darah. Tubuh secara semulajadi bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.
  28. Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Adalah menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur-unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk di awal pagi kerana ia akan menguatkan perut
Continue Reading...

06 January 2010

Merakyatkan Internet jalur lebar

PENGUMUMAN kerajaan untuk mengkaji semula kadar bayaran perkhidmatan jalur lebar (broadband) di negara ini agar ia mampu dilanggan oleh lebih ramai pelanggan sememangnya suatu pengumuman yang sangat ditunggu-tunggu.

Ini kerana melanggan perkhidmatan Internet terutama rangkaian jalur lebar boleh dianggap seperti suatu keperluan asas masa kini seperti mana kita memerlukan perkhidmatan bekalan elektrik, air dan perkhidmatan telefon.

Jika dahulu, ketiga-tiga perkhidmatan itu perlu ada dalam setiap rumah tetapi kini akses Internet menjadi salah satu elemen baru kerana kepentingannya dalam memudahkan urusan kehidupan kita.

Tanpa Internet di rumah, tentu kita terpaksa ke pejabat dahulu atau ke restoran dengan kemudahan WiFi untuk memeriksa e-mel, mendapatkan maklumat mengenai cuaca, trafik, membuat kerja sekolah, berkomunikasi dengan rakan-rakan melalui rangkaian sosial dan sebagainya.

Sememangnya jika hendak memperkatakan mengenai kadar langganan Internet di negara ini, tahapnya boleh dikatakan agak tinggi berbanding beberapa negara jiran.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia sehingga suku ketiga tahun lalu adalah 27 peratus berbanding 100 isi rumah.

Untuk kadar jalur lebar ini juga, kedudukan kita masih di hadapan berbanding negara-negara jiran (kecuali Singapura) tetapi ia sebenarnya masih perlu dipertingkatkan.

Ini kerana jika dilihat kadar penembusan perkhidmatan jalur lebar dunia, negara kita tidak termasuk pun dalam senarai 25 negara dalam kedudukan teratas.

Ini kerana kebanyakan daripada pengguna Internet di negara ini masih bergantung kepada talian dial-up, telefon 3G atau menggunakan perkhidmatan WiFi percuma di restoran-restoran.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ada yang berpendapat kerana harga langganan jalur lebar di negara ini masih tinggi walaupun trendnya telah memperlihatkan penurunan.

Secara ringkasnya, harga langganan jalur lebar asas di negara ini bermula dari pakej RM58 sebulan ke atas untuk perkhidmatan akses menggunakan talian tetap atau tanpa wayar.

Kadar ini walaupun kelihatannya sudah agak rendah tetapi ia masih boleh diturunkan jika negara benar-benar hendak menjadikan Internet sebagai satu cara hidup seperti rakyat di negara maju.

Di Jepun misalnya, kadar langganan jalur lebar untuk talian asas iaitu dengan kelajuan 1 Megabit sesaat (Mbps), pengguna hanya dikenakan bayaran langganan bulanan kira-kira RM1 sahaja!.

Manakala di Korea Selatan, pengguna jalur lebar dikenakan bayaran RM1.50 sebulan dan Sweden menggenakan bayaran RM2.20 sebulan. Mungkin syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) di negara kita tidak mampu menawarkan harga seumpama itu kerana kos penyediaan prasarana rangkaian sememangnya agak tinggi.

Bagaimanapun sesuatu harus dilakukan sama ada oleh kerajaan atau ISP sendiri bagi merendahkan lagi kadar sedia ada kerana sememangnya rakyat negara ini telah sebati hidup mereka dengan Internet.

Masyarakat negara ini juga telah menjadikan Internet sebagai medium aktiviti ekonomi mereka dengan menggunakan Internet untuk urusan perbankan, jual beli, membaca akhbar dan sebagainya.

Mungkin faktor harga adalah salah satu daya penarik sahaja untuk meningkatkan kadar langganan jalur lebar di negara ini tetapi faktor-faktor lain juga seharusnya diambil kira.

Antaranya ialah menggalakkan lebih banyak kewujudan laman-laman web dan kandungan yang menarik untuk dilawati, menggunakan Internet sebagai media berurusan dengan agensi-agensi kerajaan, meningkatkan kadar pemilikan komputer peribadi dan juga menjalankan kempen kesedaran yang berterusan.

Jika ibu bapa kita yang boleh dikatakan 'buta teknologi' kini mampu menggunakan kad mesin autoteller (ATM) untuk mengeluarkan wang, sudah tentu generasi kita dan anak-anak kita tiada masalah untuk menjadikan Internet sebagai salah satu keperluan dalam kehidupan masa kini

Dipetik daripada: Utusan Malaysia
Continue Reading...

04 January 2010

Berubahlah Atas Nama Kesihatan

"Ubah Sikap!" Inilah perkara kritikal yang amat perlu dilakukan khususnya masyarakat pengguna negara ini dalam memulakan langkah memasuki gerbang tahun 2010.

Tanpa perubahan sikap, apa sahaja usaha atau kempen yang dilakukan mahupun oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasti tidak terkesan.

Wang juga mencurah-curah dihabiskan tetapi ia tidak lebih bak pepatah "Seperti Mencurah Air Ke Daun Keladi."

Contoh jelas, Kempen "Tak Nak" yang cuba menghakis tabiat merokok dan membakar wang dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka.



KENAIKAN UNTUK KEBAIKAN

Justeru, perokok di negara ini perlu berlapang dada dengan keputusan kerajaan menetapkan harga minimum rokok pada 1 Jan lepas iaitu RM6.40 bagi pek 20 batang.

Kementerian Kesihatan berbuat demikian di bawah Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No 20) 2009 yang diwartakan.

Di bawah peraturan itu, kesemua rokok yang dijual di negara ini hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

Begitu juga dengan pengumuman kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuatkuasa 1 Jan lepas, menjadikan harga gula di Semenanjung sebanyak RM1.65 sekilogram sementara di Sabah dan Sarawak sebanyak RM1.75 sekilogram.

Dua langkah ini sebenarnya mempunyai implikasi jangka panjang yang kesannya lebih memihak kepada kesejahteraan hidup masyarakat pengguna.

Ia sekali-kali seharusnya tidak dianggap sebagai menyusahkan apa tah lagi mendatangkan kesengsaraan.



MAKLUMAT MENAKUTKAN

Menyedari impak buruk ketagihan tembakau atau merokok, kerajaan melancarkan kempen anti-merokok "Tak Nak" pada 9 Feb 2004 dan memperuntuk sekitar RM20 juta setahun untuk kempen berkenaan.

Sejak itulah, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai maklumat yang sepatutnya menakutkan terutama sekali golongan perokok.

Antara maklumat yang lazim diuar-uarkan ialah tentang kandungan rokok itu sendiri. Rokok dilaporkan mengandungi sekitar 4,000 elemen dan sekurang-kurangnya 200 antaranya dikatakan berbahaya untuk kesihatan manusia.

Racun utama di dalam rokok ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. Ketiga-tiga ini, masing-masing memberi impak buruk kepada paru-paru dan peredaran darah!

Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menguar-uarkan menerusi buletinnya, World Health yang maklumatnya turut terkandung dalam laman web Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa nikotin di dalam tembakau rokok menghasilkan tindak balas kimia dalam badan sama seperti yang dihasilkan oleh heroin dan kokain.

ROKOK PEMBUNUH



Menurut laman web kementerian itu, tabiat buruk merokok ini boleh membunuh sekitar 1 bilion orang dalam abad ke-21 ini sekiranya trend merokok sekarang tidak dibendung.

Jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan kira-kira 1.15 bilion orang dan lebih 80 peratus daripada angka itu ialah penghuni negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Laman web itu juga memetik WHO sebagai berkata tembakau ialah satu daripada penyebab paling utama punca kematian di seluruh dunia.

Pertubuhan dunia itu menganggarkan lebih kurang 100 juta orang mati disebabkan oleh penggunaan tembakau di abad ke-20.



SENARIO MALAYSIA

Maklumat yang disiar di laman web Kementerian Kesihatan mengenai senario dan tabiat merokok di negara ini amat tidak menyenangkan dan sewajarnya diambil berat oleh pelbagai pihak.

Hampir separuh daripada lelaki Malaysia dilaporkan merokok dan setiap hari, lebih kurang 45 hingga 50 remaja di bawah umur 18 tahun sudah mula merokok.

Kira-kira 30 peratus daripada remaja lelaki berumur 12 hingga 18 tahun merokok dan bilangan remaja perempuan yang merokok juga semakin bertambah.

Menurut kementerian itu, impak kesihatan akibat tabiat buruk merokok ini termasuk kes kanser paru-paru bertambah dengan kadar 17 peratus setahun.

Tabiat pemusnah ini juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).

Bercakaplah dengan mana-mana pakar kardiologi, mereka pasti menunjukkan kepada jantung dan menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan organ berongga ini.

Satu daripada gaya hidup sihat yang sudah pasti menjadi syor utama mereka ialah jauhi rokok.

Ini kerana selain kolestrol tinggi, diabetes atau kencing manis, dan tekanan darah tinggi, rokok ialah penyumbang kepada masalah jantung.



ELAK JADI SEMUT



Seperti rokok, gula juga memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia tetapi sesetengah pengguna di Malaysia masih tidak bijak dalam penggunaan bahan pemanis ini.

Setiap kali berlaku krisis kekurangan gula, antaranya kerana sikap rakus segelintir peniaga yang menaikkan harga bahan ini atas alasan kekurangan bekalan, ada pengguna yang sanggup menyerbu kedai dan pasar raya, berebut-rebut membuat pembelian yang berlebihan.

Tindakan itu sebenarnya bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi lambat-laun akan merobek kesejahteraan kesihatan pengguna sendiri terutamanya apabila menjelang usia senja.

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan 20 sen harga gula baru-baru ini, senario yang sama berlaku di beberapa premis perniagaan.

Orang ramai yang dilihat ghairah berbelanja di pasar raya, mengisi troli dengan berpek-pek gula malah ada akhbar yang menunjukkan rak gula yang mulai kosong. Di setengah tempat pula ada peniaga yang cuba "menangguk di air keruh" dengan menjual gula pada harga RM1.70 sekilogram.

Malah yang lebih menghairankan apabila ada pengguna yang mengeluh dengan berkata tindakan kerajaan itu menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu!

Komen-komen seperti ini sudah pasti memeningkan kepada terutama pertubuhan bukan kerajaan yang sekian lama melaung-laungkan supaya pengguna perlu bijak mengatur perbelanjaan mengikut keutamaan mereka termasuk mengurangkan pengambilan gula.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang begitu prihatin dengan kesihatan pengguna menghasilkan buku panduan 'Gula Memudaratkan Kesihatan'.

Mereka yang meluangkan masa untuk membaca buku kecil ini sudah pasti akan berfikir, bukan sahaja dua kali tetapi berkali-kali, sebelum mengambil makanan yang manis atau menyudu gula ke dalam minuman atau apa jua hidangan.



SAKIT KERANA GULA



Menurut CAP, gula secara kimia hampir menyamai alkohol dan prosesnya sama seperti heroin. Ia bertindak seperti ubat berbanding makanan dan adalah adiktif.

Penduduk Malaysia dilaporkan mengambil 26 sudu teh gula sehari berbanding dengan saranan supaya hanya mengambil tujuh sudu teh sehari! Ini jauh berbanding dengan purata pengambilan gula dunia iaitu 11 sudu teh sehari.

Bagi mereka yang sering mencapai minuman ringan atau berkabonat apabila ke kedai atau pasar raya atau apabila memesan minuman di restoran, fikir-fikirkanlah bahawa setiap tin minuman itu mengandungi antara 7 atau 8 sudu teh.

Kita sebenarnya telah terbiasa dengan kemanisan gula sehinggakan kita merasa tidak boleh hidup tanpa gula, seperti sang semut yang sanggup mati kerana mengarak sebutir gula.

Menurut CAP, bahan putih yang juga namakan "gula" itu sebenarnya "racun buatan manusia" yang berselindung di sebalik rasa manis, dan ia bukanlah makanan sebenar.

Gula buka wujud secara semula jadi. Ia adalah bahan kimia yang diproses secara industri dan diperkenal dalam diet manusia lebih 500 tahun lalu.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menyisihkan gula daripada kehidupan mereka, ingatlah gula dikaitkan dengan 60 jenis penyakit termasuk kanser, asma, alahan, diabetes (kencing manis), penyakit jantung, batu karang hempedu, masalah sistem imun, penyakit buah pinggang dan kesihatan mental yang lemah.

Fikir-fikirkan juga statistik 2009 yang menunjukkan 17 peratus daripada 27 penduduk Malaysia menderita diabetes. Diabetes boleh menghasilkan komplikasi iaitu buta, penyakit jantung, kegagalan renal (buah pinggang) dan strok (sakit ahmar)!

Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti.

Justeru, jadilah pengguna jauhari, bijaklah memilih yang terbaik untuk diri sendiri dan juga keluarga.

Dipetik daripada: Bernama

Continue Reading...

03 January 2010

Mencari keberkatan masa

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.

Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.

Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita.

Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.

harta

Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.

Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).

Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.

Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).

Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

rancangan

Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.

Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.

Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.

Dipetik daripada : Utusan Malaysia

Continue Reading...

02 January 2010

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah

Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".

Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah

Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan

Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri

Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi

Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa

Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik, ia akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu.

Di mana syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu.

Sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktunya.

5) Fokus

Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.

Dipetik daripada : Utusan Malaysia

Continue Reading...

01 January 2010

Masih Ramai Pengguna Salah Faham Mengenai RON95

Sebelum ini setiap kali mengisi minyak petrol, Izzat Amir, hanya menumpukan perhatian pada nombor yang tertera di ruang harga.

Namun sejak pelarasan klasifikasi minyak petrol kepada dua jenis RON (Research Octane Number) -- RON95 dan RON97 -- September lalu, perhatian eksekutif muda ini lebih tertumpu kepada nombor RON yang tercatat.

Izzat berasakan minyak RON95 menjadikan enjin kereta Proton Waja Premium keluaran tahun 2003 miliknya kurang mantap dan mengeluarkan bunyi bising.

Berbeza pula dengan pengalaman P.Aravind yang mengatakan beliau menggunakan RON95 untuk kereta Peugeot 207cc dan berpuas hati dengan penggunaan petrol dan kecekapan enjinnya.

Walaupun berasa skeptikal pada mulanya, Aravind mencuba RON95 selepas melihat spesifikasi pada pelekat di penutup tangki minyak.

Tetapi yang mengecewakan beliau ialah terdapat pekerja di stesen minyak yang mengatakan tindakannya menggunakan petrol yang lebih 'murah' merosakkan enjin kereta.

Seperti Izzat dan Aravind, anda juga pasti pernah melihat minyak petrol yang diklasifikasi sebagai RON95 dan RON97 di stesen-stesen minyak, terbaca pelbagai isu berbangkit mengenainya dan mungkin juga sebagai pengguna, keliru dengan klasifikasi ini.

Kerajaan memperkenal minyak petrol RON95 bagi menggantikan RON92 yang dimansuh jualannya manakala RON97 menjadi petrol premium mulai 1 Sept lalu.

Meski pun telah dihebahkan dan diberi penerangan secara meluas, masih ramai yang salah faham mengenai keperluan klasifikasi RON ini.

APA ITU RON?

RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.

RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya ialah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.

Pada asasnya RON ialah gred bagi keupayaan petrol menentang pembakaran tidak normal dan menjana tenaga pada masa yang sepatutnya ketika proses pembakaran.

Penggunaan RON yang betul untuk enjin kenderaan, biasanya dinyatakan di dalam manual pemilik, dan kadang kala pada pelekat yang terdapat pada penutup tangki minyak.

Pengguna seharusnya tidak bimbang mengenai hal ini kerana kebanyakan kenderaan boleh menggunakan petrol RON95 tanpa sebarang masalah atau kehilangan kuasa memecut.

Pakar kejuruteraan produk Chevron, Greg Engeler berkata ramai yang salah faham bahawa petrol dengan RON yang lebih tinggi akan menjadikan enjin lebih cekap sedangkan RON yang lebih tinggi daripada spesifikasi yang ditentukan tidak akan memberi kesan yang signifikan.

Katanya teknologi enjin, jenis kenderaan dan cara pemanduan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan ekonomi petrol berbanding perbezaan nilai RON.

Tambahnya lagi kelebihan jangka panjang dengan penggunaan RON95 ialah bila Malaysia memenuhi spesifikasi Euro 2M, proses penerimaan teknologi baru yang lebih cekap dan mesra alam daripada Eropah akan menjadi lebih mudah.

Menurut portal majalah kereta.com.my, di Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama iaitu RON91, RON95 dan RON98.

Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin daripada pengeluar yang berlainan.

RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.

Di Eropah juga penggunaan RON95 ialah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan.

CUBA SEMUA JENAMA

Jika anda masih tidak berpuas hati, pendekatan Herlina Ahmad mungkin patut dicontohi.

Pensyarah muda yang memandu Toyota Avanza 1.3 keluaran tahun 2006 ini mencuba pelbagai jenama petrol RON95 yang terdapat di pasaran dan merekodkan jumlah perjalanan dan kos secara terperinci.

Beliau mendapati walaupun perbezaan tidak begitu ketara, dua jenama kurang efisien dari segi ekonomi, satu kurang cekap dan beliau berpuas hati dengan dua lagi jenama yang lain.

"Pikap kereta normal, kadang-kadang saya memecut hingga 140km sejam. Keluar dari simpang pun macam biasa," katanya.

Begitu juga dengan Noor Shafina Adullah yang menggunakan RON95 untuk kereta Kembara yang dipandunya sejak lapan tahun lalu.

"Setakat hari ini, tiada masalah. Saya rasa ia lebih kepada kesan psikologi. Kalau ada pun perbezaan saya rasakan ialah petrol RON95 syarikat A lebih menjimatkan atau efisyen dari syarikat B," katanya yang menggunakan petrol berselang-seli dengan gas NGV.

JANGAN MEMBAZIR

Jadi, sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97?

Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan.

Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik ialah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.

Setiap pengeluar mempunyai resepinya yang tersendiri untuk menjadikan petrol mereka membakar dan membersih dengan efisien. Mereka memiliki pusat penyelidikan untuk membuat rumusan petrol dengan jisim seperti bersifat 'mencuci', mengekalkan tahap pembakaran, ketahanan dengan suhu dan pelbagai aspek untuk memastikan petrol mereka konsisten mengikut spesifikasi enjin yang direka untuknya.

Ramai yang salah faham bila menganggap RON97 menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding RON95, apatah lagi realitinya lebih tinggi nilai RON, lebih sukar bahan api dibakar. RON hanya merujuk kepada kemampuan bahan api untuk menahan ketukan semata-mata.

Enjin yang memerlukan nilai RON yang lebih tinggi lazimnya mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi seperti Satria GTI.

PERAKUAN PENGELUAR KERETA

Kesimpulannya, RON ialah berdasarkan kesesuaian enjin, bukan kualiti semata-mata.

Apatah lagi hampir semua pengedar dan pengeluar kereta di negara ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai kesesuaian model mereka dengan RON95.

Antaranya, kumpulan Automotif Naza menggalakkan pemilik kenderaan Naza, KIA dan Peugeot yang menggunakan bahan api petrol menggunakan RON95.

Syarikat itu berkata RON95 sesuai bagi kereta Naza Ria, Naza Citra, Naza Suria, Naza Citra II Rondo, Kia Sportage, Kia Carnival, Kia Carens, Kia Picanto, Kia Optima, Kia Spectra5, Kia Spectra, Kia Rondo, Naza 206 Bestari, Peugeot 206, Peugeot 407, Peugeot 308 Turbo, Peugeot 308Vti dan Naza Forza manakala Naza Sorento, Kia Sorento dan Kia Pregio menggunakan diesel.

UMW Toyota Motor juga mengeluarkan kenyataan petrol RON95 sesuai bagi kegunaan semua kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual oleh syarikat itu.

Pengedar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia itu berkata pemilik kereta-kereta ini, yang ketika ini menggunakan petrol RON97, boleh beralih kepada RON95 tanpa perlu bimbang akan masalah kerosakan enjin atau hilang prestasi.

Honda Malaysia juga mengumumkan bahawa semua model yang diedarkan oleh syarikat itu serasi dengan minyak petrol RON95.

Honda Malaysia memberikan jaminan kepada semua pemandu kenderaan Honda bahawa RON95 seharusnya tidak menjejaskan mana-mana model yang diedarkan oleh wakil jualan sahnya, kecuali model Civic Type R.

Civic Type R dicadangkan menggunakan RON97 kerana enjinnya yang berprestasi tinggi, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toru Takahashi.

Dipetik daripada:Bernama
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template