10 February 2010

Wudukkan anggotamu dengan tujuh perkara

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusof selalu berasa khuatir jikalau ibadahnya kurang khusyuk.Lantas,dia sering bertanya kepada orang yang dianggap lebih warak dan tekun beribadah,bagi memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk itu.

Suatu hari,Isam telah menghadiri majlis yang dikendalikan oleh seorang abid bernama Hatim al-Assam.Di penghujung majlis, Isam pergi mendapatkan abid terkenal itu dan bertanya,
"Wahai Hatim,bagaimanakah caranya tuan solat? "

Jawab Hatim, "Apabila masuk waktu solat,aku berwuduk zahir dan batin."
"Wuduk zahir dan batin ?" Isam bertanya kembali, "Apa maksud tuan?"

Hatim memberitahu,
"Wuduk zahir adalah sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air.Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara,iaitu BERTAUBAT,MENYESALI DOSA YANG TELAH DILAKUKAN,TIDAK MENCARI ATAU MENGHARAP PUJIAN ORANG,TIDAK TERGILA-GILAKAN DUNIA,TINGGALKAN SIFAT MEMBANGGA DIRI, BUANGKAN SIFAT KHIANAT DAN MENIPU, dan yang ketujuh,MENINGGALKAN SIFAT DENGKI."

Seterusnya Hatim memberitahu,
"Selesai wuduk zahir dan batin, aku pergi ke masjid, kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan membayangkan bahawa aku sedang berhadapan dengan Allah,syurga di sebelah kananku,neraka di sebelah kiriku,malaikat maut di belakangku dan aku kini berdiri di atas titian siratal mustaqim.Aku menganggap bahawa solatku ini adalah solat terakhirku,kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.."

"Setiap bacaan dan doa dalam solat aku fahamkan maknanya,kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk,aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas.Begitulah aku bersolat selama 30 tahun."

Demi mendengar kata-kata itu,Isam terus menangis kerana berasakan selama ini ibadahnya kurang baik berbanding Hatim.
Wallahua’lam..

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

09 February 2010

Mulut berbau

MASALAH mulut atau nafas berbau sememangnya memalukan. Namun, ia pasti lebih memalukan jika mereka yang mengalami tidak menyedarinya atau membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

Ini kerana masalah yang juga dikenali halitosis ini bukan setakat membabitkan individu tetapi juga boleh menyebabkan seseorang itu dijauhi. Apakah puncanya masalah ini?

Faktor utamanya adalah disebabkan sisa makanan yang tertinggal di celah gigi. Sisa yang tidak dibersihkan pula akan mereput dan akhirnya menyebabkan nafas berbau. Masalah gusi juga mungkin boleh menyebabkan mulut berbau.

Justeru, memastikan mulut sentiasa bersih adalah tanggungjawab kita sepanjang masa. Mulut tidak hanya membantu fungsi mengunyah makanan, tetapi pada masa sama menjadi rumah kepada ratusan dan mungkin utaan jenis bakteria. Keseimbangan antara jenis-jenis bakteria ini memastikan mulut sentiasa segar.

Perlu diingat, punca mulut berbau tidak sama bagi setiap orang. Pemeriksaan dengan doktor gigi akan memastikan punca sebenar masalah anda.

INFO: Tanda-tanda mulut anda berbau

  • Anda sering berasa ada bau busuk atau rasa kurang enak dalam mulut
  • Rakan atau orang di sekeliling menutup mulut atau mengalihkan pandangan apabila anda bercakap
  • Ada rakan yang menegur atau menghulurkan gula-gula kepada anda
  • Ada kesan atau calitan berwarna kuning atau putih pada lidah anda.



Ada beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Kerap kali, menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan perbuatan flos gigi setiap hari juga membantu menghilangkan bau mulut.

Langkah lain boleh diambil bagi mengurangkan masalah bau mulut:

1) Minum teh

Kajian mendapati bahan kimia dalam teh hijau dan teh hitam dikenali sebagai ‘polyphenols’ membantu menghentikan pertumbuhan bakteria yang bertanggungjawab dalam masalah mulut berbau.

2) Minum banyak air

Minum banyak air membantu mulut kekal lembap. Dalam kepercayaan perubatan Cina, mulut berbau disebabkan kepanasan yang berlebihan dalam perut. Air, sup atau buah-buahan seperti timun membantu menyeimbangkan tubuh. Sementara minuman seperti kopi, susu, makanan bergoreng atau makanan pedas dipercayai hanya menambah masalah. Apa saja jenis minuman terutama air kosong membantu membuang partikel kecil makanan dan lebihan mukus daripada mulut. Ia juga membantu mengelakkan mulut kering.

3) Penggunaan herba

Selain mengunyah gula-gula getah, amalan mengunyah herba seperti pudina, rosemary dan selasih dapat membantu mengurangkan bau mulut.

4) Belajar mengawal tekanan

Sesetengah orang terutama lelaki muda memiliki rejim kebersihan gigi yang baik tetapi mungkin ramai tidak menyedari yang tekanan meningkatkan penghasilan bau mulut.

5) Berhenti merokok

Merokok bukan saja membuatkan mulut berbau tetapi juga mengeringkan mulut.

Dipetik daripada :Seribu Warna Pelangi

Continue Reading...

08 February 2010

Menyambung Rahim Penyebab Lapang Rezki

Ramai orang mahu kaya tapi malangnya mereka tidak merujuk kepada agama untuk mengetahui kunci-kunci kekayaan. Hadis Nabi saw secara jelasnya menyebut menyebut usaha menyambung rahim adalah antara kunci kepada kelapangan rezki. Rasulullah saw bersabda bermaksud: "sesiapa yang mahu dipanjangkan umurnya dan dilapangkan rezkinya hendaklah dia menyambung rahimnya."

Rahim merujuk kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan darah. Imam Zubaydi dalam Iftihaf al-Saadah al-Muttaqin menyebut bahawa rahim terbahagi kepada dua iatu rahim yang wajib disambung dan rahim yang sunat disambung. Rahim yang wajib disambung merujuk kepada kerabat yang menjadi mahram yang terdiri daripada antaranya ibu, ayah, datuk, nenek, moyang dan seterusnya ke atas, anak, cucu, cicit dan seterusnya ke bawah, ibu dan bapa saudara, datuk dan nenek saudara, anak,cucu dan cicit saudara.

Yang sunat disambung pula ialah kerabat yang bukan mahram seperti sepupu, dua. pupu dan seumpamanya.

Persoalannya sejauh mana kita prihatin dengan kaum kerabat yang berstatus mahram ini? Kita barangkali masih berhubung rahim dengan ibu,bapa, anak dan cucu, tetapi bagaimana dengan ibu dan bapa saudara? Ramai yang tidak mempunyai kesungguhan untuk merapatkan hubungan dengan mereka. Apatah lagi sekiranya ada kalangan ibu dan bapa saudara yang mempunyai masalah hubungan dengan bapa atau ibu mereka. Anak-anak akan terikut-ikut dengan ibubapa mereka yang bermasalah lantas terus memutuskan hubungan rahim dengan ibu dan bapa saudara yang merupakan mahram yang wajib disambung oleh mereka.

Bagaimana pula dengan datuk dan nenek saudara? Moyang saudara? Saya bimbang masyarakat Islam hari ini tidak lagi merasakan mereka adalah sebahagian daripada mahram yang wajib disambung hubungan rahimnya.

Mungkin ada yang berfikir, berhubung rahim dengan datuk dan moyang saudara tentu menyusahkan apatah lagi sekiranya mereka orang-orang miskin. Tentu ada sedikit sebanyak perlu dihulurkan bantuan. Sebenarnya sekiranya mereka sememangnya miskin inilah peluang untuk kita menghulurkan bantuan kepada mereka. Ini kerana sedekah kepada orang mempunyai hubungan kerabat lebih aula berbanding dengan orang yang tiada hubungan kerabat. Dua pahala akan diperolehi. Satunya pahala bersedekah. keduanya pahala menghubungkan rahim sebagaimana dijelaskan oleh para alim ulama berdasarkan petunjuk beberapa hadis.

Dan sebenarnya inilah peluang untuk kita mendapat rezki yang lapang.

Sebilangan orang tidak mahu membentuk kumpulan kerja di kalangan adik-beradik dan sanak saudara. Alasan mereka ialah nanti timbul pergaduhan dan perbalahan yang memutuskan terus hubungan. Ini juga pandangan yang silap. Membentuk kerja dan kerjaya untuk mendapatkan rezki secara berjamaah di kalangan ahli keluarga mendatangkan barakah. Di sinilah kelapangan rezki akan datang.

Jangan hairan jika sekiranya di sana terdapat sedikit sebanyak pertelingkahan kerana syaitan sentiasa cuba memutuskan hubungan antara manusia apatah lagi antara yang bersaudara. Itulah ujian keimanan yang perlu ditangani dengan iman.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

07 February 2010

"Engkau mahu lakukan maksiat?"

PADA suatu hari, seorang lelaki datang menemui Ibrahim bin Adham r.a. Lelaki itu bertanya
kepada ulama tersebut, "Ya Ibrahim! Aku ini suka melakukan dosa sedang aku juga takut kepada Allah. Tolonglah berikan aku cara atau nasihat agar aku dapat menghindarinya."

Setelah mendengar kata-kata tersebut, Ibrahim menjawab, "Aku boleh membantumu tapi engkau mesti terlebih dahulu menerima lima syarat yang akan aku berikan sebentar lagi.

Lelaki itu bertanya dengan gembira; "Apa syarat-syaratnya, ya Ibrahim?"

Ibrahim bin Adham r.a. memberitahu syarat pertamanya, "Jika engkau mahu terus melakukan maksiat, jangan makan rezeki-Nya!"

Lelaki itu mengerutkan keningnya: "Jangan makan rezekinya? Ah, kalau begitu, aku nak makan apa? Bukankah semua rezeki di bumi ini milik Allah, ya Ibrahim?"

Tegas Ibrahim Adham r.a., "Ya! Kalau engkau sudah tahu, bolehkah engkau makan rezeki-Nya sedangkan dalam mana yang sama engkau terus melakukan maksiat?"

"Baiklah... baiklah," lelaki itu mengalah, "Apa syarat keduanya, ya Ibrahim?"

"Kalau engkau mahu terus melanggar perintah Allah dan melakukan dosa, jangan engkau tinggal di bumi-Nya ini," Ibrahim Adham r.a. mengajukan syarat kedua.

Syarat ini membuat lelaki itu tercengang, "Hah! Ini lebih teruk lagi! Aku mahu tinggal di mana? Bukankah bumi ini milik Allah?"

Ibrahim Adham r.a. tersenyum. Ulama itu bertanya kepada lelaki tersebut, "Wahai saudaraku, fikirkanlah, apakah engkau layak untuk makan rezeki dan tinggal di bumi ini sedangkan engkau melanggar perintah-Nya?"

Lelaki itu mengalah dan bertanya syarat ketiga pula.

"Kalau engkau masih mahu melakukan dosa, memakan rezeki dan tinggal di bumi-Nya, maka engkau pergilah ke tempat tersembunyi yang tidak mampu dilihat oleh Allah. Engkau lakukanlah maksiat sesuka hatimu di tempat yang tidak dapat dilihat Allah itu," Ibrahim Adham memberitahu syarat ketiganya.

Syarat ini membuat lelaki itu terperanjat, "Ya Ibrahim! Ini nasihat apa? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Nah, kalau engkau yakin dia sentiasa melihat, perlukah engkau melakukannya lagi? Sudahlah engkau makan rezeki dan hidup di bumi-Nya, engkau masih juga melakukan kejahatan di hadapan Allah! Wajarkah?" ucap Ibrahim.

Lelaki itu tunduk mendiamkan diri. "Baiklah, ya Ibrahim! Apakah syarat keempat?"

Ibrahim menjawab, "Syarat seterusnya, jika malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kamu, katakanlah kepadanya bahawa nanti dulu! Jangan cabut nyawaku sekarang, aku mahu bertaubat dan melakukan amal soleh dulu!"

Lelaki itu menggeleng kepala. "Ya Ibrahim, mana mungkin malaikat maut terima rayuan aku! Mana boleh kematian kita ditangguh-tangguh!"

Ibrahim bin Adham r.a. pantas menjawab, "Nah, kalau engkau yakin tidak boleh mengelak dan menangguhkan kematian, apakah jalan terbaik untuk keluar daripada kemarahan Allah Taala?"

Sekali lagi lelaki tersebut mendiamkan diri. Dia bertanya syarat kelima pula.

"Wahai saudaraku, jika malaikat Zabaniyah datang hendak mengheret kamu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan ikut bersamanya! Kalau engkau mampu melakukan syarat terakhir ini, maka engkau boleh terus melakukan maksiat semasa engkau masih hidup ini," Ibrahim Adham r.a. memberitahu syarat kelima.

Kata-kata Ibrahim membuatkan lelaki itu terdiam. Dia bertanya, "Ya Ibrahim, syarat ini terlalu menakutkan. Malaikat itu tidak akan menerima permintaanku!"

Lelaki itu tidak mampu lagi mendengar kata-kata Ibrahim. Dia menangis dan dengan wajah menyesal berkata: "Ya Ibrahim, cukup... cukup... jangan kau teruskan lagi. Mulai saat ini, aku bertaubat kepada Allah Taala. Aku takkan lakukan maksiat lagi," kata lelaki itu.

Ternyata dia menepati janjinya. Sejak dari pertemuannya dengan Ibrahim Adham r.a., lelaki itu benar-benar bertaubat. Dia melakukan segala amal ibadah dan mematuhi perintah Allah hingga menemui ajalnya.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

Pesanan Untuk Anak

SUATU ketika, Lukmanul Hakim telah berpesan kepada anak-anaknya. Kata sahabat Nabi yang alim dan bijak berfalsafah itu....

I. Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai yang telah karam di dalamnya. Jika engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakal kepada Allah.


2. Wahai anakku, orang yang berasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat serta taat kepada Allah, maka dia itu orang yang tawaduk, lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat.

3. Wahai anakku, seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu itu adalah bagaikan baja untuk tanam-tanaman.

4. Wahai anakku, ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya itu lebih mudah daripada mengajar orang yang tidak mahu diajar.

5. Wahai anakku, apabila engkau mempunyai dua pilihan, menziarahi orang mati atau hadir ke majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati kerana ia akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi semata-mata.

6. Wahai anakku, janganlah engkau menelan sahaja kerana manisnya sesuatu makanan dan janganlah memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu makanan itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

7. Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya, kerana ia tidak ubah seperti orang yang mencari kayu bakar, tetapi setelah banyak, dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih mahu menambahkannya.

8. Wahai anakku, bila mana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih beru-
saha menginsafkanmu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Jika tidak demikian, maka berhati hatilah.

9. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

10. Wahai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata-kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya, bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

11. Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya, janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

05 February 2010

Tidurlah dalam senyuman

SETIAP orang berhak untuk bahagia! Ingin tahu bagaimana menjadikan hidup anda lebih ceria? Ikuti beberapa tip di bawah. Mungkin ia dapat membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Buka hari anda dengan sebuah senyuman! Senyumlah, anda akan berasa lebih segar. Sebaik anda buka mata, senyumlah pada yang tersayang. Mungkin dia juga menunggu untuk senyum kepada anda. Atau, bukalah tingkap dan pandanglah pada mentari yang sedang menanti anda. Ukirlah senyuman manis di bibir anda apabila melihat sinarannya.

Pastikan hari anda lebih indah daripada sebelumnya. Anda berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari anda. Jadi, pilihlah untuk mulakan hari anda dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir. Biasanya, sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan lebih baik!

• Hadapi semua masalah dengan hati terbuka. Kemudian, barulah bertindak. Mungkin hari ini anda sedang menghadapi detik-detik sukar dalam hidup anda. Sekalipun kita tidak mampu mengelak daripada masalah tersebut, kita mesti berjaya berdepan dengannya. Yakinilah, jika anda telah berusaha keras untuk menanganinya, hasilnya juga pasti berbaloi. Anda hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang kepada anda. Ia tetap datang. Cepat atau lambat sahaja. Hidup ini memang begitu! Dan sebenarnya, kehidupan kita pada hari ini hasil daripada apa yang telah kita lakukan pada hari sebelumnya.

• Hulurlah tangan kepada sesiapa yang memerlukan. Meringankan penderitaan seseorang akan dapat meringankan hati anda. Andainya anda terlihat seekor rama-rama terkapai-kapai di permukaan air dengan badannya yang terbalik ke atas, ambillah sedikit masa untuk menyelamatkannya. Jika tergerak naluri anda untuk menyelamatkan seekor rama-rama yang hampir kelemasan, tentulah anda tidak sampai hati membiarkan seorang manusia seperti anda menanggung kesusahannya seorang diri.

Paling tidak, berilah sokongan kepadanya sekalipun anda tidak mampu menghulurkan bantuan yang lebih dari itu. Hari ini seseorang memerlukan anda, tapi pada hari esok anda pasti memerlukan seseorang. Oleh itu, patuhilah fitrah alam bahawa kita saling memerlukan.

• Belajarlah untuk berkata benar. Kebenaran itu indah. Tapi harus berpada-pada. Pastikan kebenaran itu tidak melukai sesiapa. Mungkin kebenaran itu bermakna bagi satu pihak, tapi menyakitkan bagi satu pihak yang lain. Letakkan diri anda di tempat pihak tersebut dan cubalah fahami situasinya jika berdepan dengan kebenaran yang bakal anda bentangkan. Tidak salah berkata benar, malah memang anda dituntut untuk berbuat demikian. Tapi, nyatakannya dengan berhemah agar tidak melukai hati sesiapa.

• Cuba hadkan keinginan harian anda. Keinginan yang terlampau banyak dan tinggi hanya akan menambahkan tekanan dan kerisauan. Janganlah dalam sehari itu anda mengerah segala tumpuan dan usaha untuk memiliki rumah besar, kereta mewah dan wang berjuta. Semua ini boleh menyebabkan anda tidak senang duduk.

Jangan sesekali membebankan hidup dengan memikirkan bagaimana caranya untuk mendapatkan semua itu serentak, pada hari itu juga. Penuhi keperluan asas anda dan keluarga terlebih dahulu. Kemudian, barulah fokus kepada kehendak tersebut satu per satu.

• Hargai dan fahamilah bahawa Tuhan merupakan pemilik yang agung. Anda perlu menerima hakikat bahawa apa yang menjadi milik anda pada hari ini hanyalah milikan sementara. Tiada yang kekal. Hari ini anda disayangi keluarga, rakan-rakan, teman sepejabat, tidak mustahil suatu hari nanti situasi akan berubah. Mungkin hari ini anda mempunyai kereta yang cantik atau rumah yang besar tapi belum tentu anda akan memiliki benda yang sama pada hari esok.
Anggap saja ia sebagai amanat yang dipertanggungjawabkan oleh Tuhan kepada anda. Dan suatu hari nanti, anda akan memulangkannya kepada yang hak iaitu Tuhan. Hargai dan syukuri apa yang ada dalam genggaman anda hari ini dan biarkan ia pergi jika memang itu yang telah dilakdirkan.

• Sekiranya anda berjumpa seseorang yang lebih baik daripada anda, jangan sesekali biarkan perasaan dengki menyelubungi diri anda. Kagumi kejayaannya. Dalam masa yang sama, fikirkan orang lain yang jauh lebih teruk berbanding anda. Anda sebenarnya bernasib baik jika dibandingkan dengan sesetengah orang yang terpaksa hidup, dalam penderitaan dan kesengsaraan. Jika anda fikirkan anda manusia malang, ketahuilah bahawa di luar sana ramai lagi yang lebih malang.

• Berani mengakui kesalahan sendiri. Ketepikan sejenak ego yang ada dalam diri, hati anda akan lebih tenang. Tiada sesiapa yang dapat lari daripada membuat kesilapan. Itulah fitrah manusia seperti kita.

• Sebelum melelapkan mata, insafilah semua rahmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada anda sepanjang hari itu. Ingatlah semua yang telah anda lakukan pada hari ini. Bermohonlah kepada Yang Maha Kuasa supaya anda akan kekal dalam rahmatnya untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana menjadikan diri anda seperti anda pada hari ini. Setelah itu, pejamkan mata dengan bibir yang tersenyum serta hati yang bersih dan ceria.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

04 February 2010

Pengurangan bajet KPM: Cabaran buat guru

Pengurangan bajet oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi para guru dan pihak pengurusan sekolah dalam usaha mereka bagi mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta melahirkan pelajar-pelajar cemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad, melalui pengurangan bajet oleh KPM itu banyak aktiviti sokongan pendidikan seperti aktiviti luar bilik darjah tidak dapat dijalankan.

''Pihak sekolah hanya dapat melaksanakan aktiviti peringkat dalaman sahaja manakala peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tidak dapat dilaksanakan.

''Aktiviti-aktiviti sebegini penting dalam usaha mengasah bakat pelajar selain meningkatkan disiplin, motivasi dan sahsiah pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian mempunyai alasan dan sebab mereka tersendiri mengurangkan bajet tersebut dan ia dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya sekarang.

''Guru-guru tidak perlu merasa sangat terbeban dengan pengurangan bajet itu kerana ia adalah bersifat sementara. Anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha memartabatkan pendidikan negara dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

''Pengurangan bajet ini juga akan meningkatkan semangat guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk berusaha lebih bagi menjadikan sekolah mereka sebagai salah satu sekolah berprestasi tinggi di negara ini. Ianya tidak mustahil untuk dicapai," jelasnya.

Sabri berkata, janganlah terlalu mengharapkan imbuhan dan bantuan dari kerajaan dan sebagai guru, kita perlu memahami juga apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan semua.

''Diharap agar guru-guru akan lebih berdaya saing dalam menunjukkan kualiti mereka selain melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

''Pengorbanan yang lebih perlu dilakukan oleh mereka dalam mendidik para pelajar dan perkara ini adalah tidak mustahil untuk dijayakan jika adanya kerjasama dan kesepaduan di kalangan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Dalam pada itu beliau turut meminta supaya pengurangan bajet yang melibatkan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan dikaji semula.

''Pengurangan bajet itu akan menjejaskan baucer tuisyen bagi pelajar- pelajar miskin dimana peluang untuk pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan semakin sukar dan syarat yang dikenakan lebih ketat.

''Bantuan pakaian seragam untuk aktiviti badan beruniform pelajar-pelajar miskin juga sudah tidak diberikan," katanya.

Selain itu jelasnya, pihak sekolah kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan dan utiliti seperti bayaran bil elektrik dan bekalan air dimana kesannya lebih teruk dirasai oleh sekolah dua sesi.

''Saya meminta supaya KPM mengekalkan bajet terutamanya perbelanjaan dan utiliti sekolah kerana ianya dirasakan tidak adil kepada pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, pihak sekolah memahami kehendak KPM mengurangkan bajet kerana faktor kegawatan ekonomi negara sekarang.

Namun begitu katanya, sebaiknya segala peruntukan yang melibatkan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta latihan perguruan tidak perlu dikurangkan atau disentuh langsung.

''Pengurangan itu bakal menyebabkan terjejasnya tujuan pendidikan selain akan membantutkan usaha dalam melahirkan guru-guru cemerlang di negara ini," katanya.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia

Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template