09 March 2010

Remaja dan sikap positif

Menjadi remaja memberi peluang untuk kita belajar tentang hidup. Remaja belum sampai ke tahap matang dan dewasa. Justeru bersikap positif terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan memberi pedoman kepada remaja supaya dapat membezakan jalan yang benar dan salah.

Remaja sememangnya memiliki rasa ingin tahu yang tinggi dan proses ingin tahu itu perlu disuburkan dengan sikap positif.

Pemikiran positif bermaksud tidak timbul sangka buruk atau prasangka terhadap sesuatu yang berlaku. Pemikiran positif adalah pemikiran yang menjurus ke arah keupayaan dan bukannya ketidakupayaan. Pada asasnya, ia melihat pada aspek yang baik dan membina.

Rasa ingin tahu membolehkan remaja bertanya, mengkaji, menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan salah akan sesuatu yang atau bertindak atas apa yang berlaku. Rasa ingin tahu adalah suatu dorongan fitrah dan proses belajar akan makna sesuatu.

Sesetengah orang tahu sesuatu melalui pertanyaan, perkongsian, pengalaman atau maklumat. Sikap positif memberikan remaja data dan fakta yang berguna untuk membantu membuat kesimpulan terhadap sesuatu yang berlaku.

Contohnya, ada orang berpendapat bahawa barat itu buruk dan Timur itu baik. Sikap positif remaja mestilah dalam andaian tidak semua dari barat itu buruk dan yang datang dari timur semua baik.

Banyak kemajuan, ilmu pengetahuan teknologi dan sains berlaku di barat bermanfaat untuk manusia. Banyak juga keburukan tingkah laku orang timur yang tidak patut dicontohi manusia. Oleh itu bersikap positif terhadap perkara yang baik dan buruk baik dari timur atau barat seharusnya menjadi landasan dan pegangan remaja.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu dan pengalaman yang benar dan betul boleh meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara.

Rasa ingin tahu yang diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran menjadikan remaja manusia yang memahami. Memahami sesuatu bahasa, ilmu, fakta dan data membantu mematangkan fikiran.

Yang selalu berlaku adalah rasa ingin tahu yang tinggi tidak disalurkan menerusi proses pembelajaran yang betul menyebabkan remaja menjadi tidak faham.

Misalnya, remaja adalah golongan yang suka berhibur. Akibat tidak faham akan makna hiburan menyebabkan mereka selalu terjebak dengan hiburan yang merosakkan. Sedangkan hiburan yang positif tidak dilarang oleh agama.

Dalam berhibur, pertimbangan baik buruk haruslah diambil kira. Jika tidak syaitan dan iblis akan campur tangan. Apabila remaja mempunyai pertimbangan dan pedoman, ia tahu memilih, tahu akibatnya dan tahu dosa pahala.

Contohnya, remaja amat suka kepada lagu dan muzik. Pedoman dalam Islam adalah dengarlah lagu dan muzik yang mempunyai tujuan atau risalah.

Maksudnya, hiburan dalam pengertian lirik dan kata-kata yang dilagukan membawa makna ke arah keinsafan dan kebaikan. Iringan muziknya tidak merangsang nafsu-nafsi dan memberi rasa keindahan yang tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah.

Melalui pemikiran yang positif, kita akan berasa seronok kerana di samping terhibur kita tidak hilang kawalan diri, malah dengan terhibur meningkatkan kesedaran kita tentang kebaikan dan arah tujuan dalam hidup.

Di tahap remaja ingin tahu dan cuba memahami, remaja sebenarnya ingin memahami makna akan sesuatu. Memahami makna bererti mengetahui hakikat kejadian peristiwa dan juga sesuatu pegangan.

Ada remaja yang faham akan sesuatu tetapi tidak bertemu makna akan sesuatu. Contohnya remaja tahu akan pentingnya akan pergaulan yang terkawal antara lelaki dan perempuan tetapi disebabkan kefahaman yang tidak mendalam terhadap batas larangan itu dan hukum syarak menyebabkan remaja sering melanggar hukum hakam.

Akhirnya sebahagian remaja yang kurang kawalan iman terjebak dengan tabiat buruk dan hilang makna dalam kehidupan. Tidak dinafikan bahawa persekitaran dan ruang didikan sekeliling sangat penting dalam membentuk sikap dan pemikiran positif dalam diri remaja.

Pengalaman penulis yang bertemu bual dengan beberapa orang remaja semasa kerja-kerja amal tuisyen kepada penduduk setempat beberapa tahun lalu memberi keinsafan bahawa ramai remaja kini ketandusan jiwa.

Mereka tidak memahami akan matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Justeru tidak hairanlah ramai yang lebih gemar bersuka-suka daripada memikirkan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Sikap keterbukaan remaja dalam meluahkan perasaan mereka jelas menunjukkan bahawa mereka merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan.

Ada antaranya yang cuba memahami akan makna kehidupan dengan cuba belajar bersungguh-sungguh dan menggapai impian, tetapi malangnya tidak dipedulikan oleh ibu bapa yang sibuk mencari rezeki.

Malah ada yang bertemu mengadu dijaga oleh datuk dan nenek, sedangkan duduk serumah dengan ibu bapa. Belum lagi disentuh hal-hal seperti perangai ibu bapa yang suka mendera, minum arak, menghisap dadah, selalu bergaduh dan sebagainya.

Agak menyedihkan apabila remaja yang sedang meningkat dewasa terpaksa melalui peringkat-peringkat kehidupan seperti ini. Ia bakal menyebabkan anak itu membesar dengan pelbagai andaian negatif dan prasangka bahawa untuk apa kejayaan dicapai sekiranya tidak dihargai oleh ibu bapa sendiri.

Selain itu, ia bakal membentuk watak remaja yang degil dan suka memberontak. Mereka mungkin faham bahawa belajar itu penting, tetapi tidak menghayati akan makna mencari ilmu itu sendiri adalah untuk kepentingan mereka di dunia dan akhirat. Lalu tanggungjawab mencari ilmu diambil mudah ditambah pula masalah keliling yang membelenggu dan mengekang pemikiran positif.

Ada remaja yang merasakan mereka tenang dan positif apabila bersama rakan-rakan. Walhal mereka sedang melakukan perkara-perkara yang kurang elok seperti melepak, ponteng sekolah, menghisap rokok dan sebagainya.

Tanggapan seperti ini menjadikan remaja menganggap perkara yang positif adalah sesuatu yang boleh menjanjikan keseronokan semata-mata dan boleh memuaskan perasaan walaupun ia bertentangan dengan hukum, nilai, etika mahupun undang-undang.

Oleh itu, pemikiran positif sewajarnya menjadikan kita lebih aktif dan proaktif. Sesuatu maklumat yang kita terima berkemungkinan boleh mendatangkan manfaat dan juga mudarat. Dengan sikap positif yang ada kepada kita seharusnya menjadikan kita orang yang suka mengambil tahu, membuat penyelidikan dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Pemikiran positif bukan bermaksud kita menerima semua maklumat atau membuat pelbagai andaian untuk mempositifkan sesuatu keadaan yang nampak negatif tanpa terlebih dahulu membuat penyelidikan dan analisis.

Kita sering kali boleh ditipu jika semata-mata bersikap baik sangka tanpa menggunakan pemikiran yang analitik dan kritis.

Oleh itu remaja harus dididik agar tidak bersikap 'main hentam saja' asalkan sesuatu perkara itu nampaknya menguntungkan dan akhirnya mereka mempelajari bahawa sikap mereka yang terlalu berbaik sangka telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan atau mempunyai niat-niat tertentu.

Kesimpulan

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Menjadi positif tidak bermakna menerima sesuatu bulat-bulat tanpa usul periksa. Sebaliknya, ia menggalakkan remaja supaya berlapang dada dalam mencari sesuatu maklumat dan bersedia menerima kebenaran.

Apabila proses rasa ingin tahu dan mengetahui remaja dikayakan dengan proses pembelajaran yang betul, ia bakal menghasilkan kefahaman yang tinggi terhadap sesuatu perkara. Seterusnya memungkinkan remaja itu dewasa dengan ilmu dan pemikiran yang seimbang.
Continue Reading...

08 March 2010

Hargai..............

Hargai ibu bapa
Selalu telefon apabila bejauhan.
Jangan lupa kirim wang walaupun sedikit (andai sudah bekerja ).
Beri hadiah pada hari penting (Hari Ibu, Hari Bapa dan hari lahir).
Cium tangan ibu bapa.
Apabila sudah berkeluarga, selalu pulang ke kampung kerana mereka rindu untuk bertemu cucu.
Minta pandangan mereka dalam menyelesalkan masalah.
Pulang apabila mereka sakit.

Hargai suami
Selalu berikan senyuman.
Berhias untuk suami.
Masak masakan kegemaran.
Minta pandangan suami jika ada masalah.
Selalu urut suami.
Menjaga maruah suami.
Puji suami di depan keluarga atau orang lain.
Beri hadiah hari jadi.
Pandai mengambil hati.
Selalu memberi sokongan apabila suami ada masalah.
Membina hubungan baik dengan keluarga suami.
Minta izin suami sebelum buat sesuatu.
Mohon maaf dengan suami sebelum tidur.

Hargai isteri
Ingat tarikh penting bersama isteri (ulang tahun perkahwinan, hari lahir).
Ingat tarikh lahir anak.
Bantu isteri melakukan kerja rumah.
Ungkapkan kata cinta sebelum tidur.
Selalu beri pelukan dan kucupan.
Membina hubungan baik dengan keluarga isteri.
Ucapkan terima kasih apabila bersama.
Selalu memberikan kejutan menggembirakan.
Selalu berpenampilan segak (isteri dipuji apabila suami bagus).
Memberikan kemaafan.
Panggil isteri dengan panggilan yang manja.
Puji isteri depan anak dan keluarga.
Berikan hadiah apabila isteri melahirkan anak.


Hargai anak
Selalu memberi pujian ikhlas.
Galak anak melakukan yang terbaik.
Beri hadiah atas kejayaan anak walaupun kejayaan kecil
Selalu beri pelukan.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

07 March 2010

Hikmah di sebalik gagal

TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual.

Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, ada kalanya ramai juga akan mengutuk diri sendiri atas kegagalan yang menimpa.

Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa kepada putus asa.

Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya.

Daripada sudut fizikal, bagi segelintir individu, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya.

Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali.

Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Imannya tergoncang.


Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati.

Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.

KEGAGALAN DAN SAYA Saya pernah gagal dalam banyak perkara, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar bagi memperbetulkannya.

Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa.

Walau sukar dan berat, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik.

Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita.

Ia seperti satu simpang yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa depan.

Saya teringat betapa kecewanya saya apabila tidak berjaya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana Muda di Timur Tengah.

Sekarang saya sedar dan tahu betapa besar hikmah untuk saya belajar di Universiti Malaya (UM), segala pengalaman yang diperoleh itu banyak mencorak kehidupan saya selepas itu.

Akhirnya, selepas tiga tahun menamatkan pengajian di UM, saya berjaya ke Jordan, bukan untuk peringkat Sarjana Muda tetapi Sarjana.

Banyak perkara dan jenis kegagalan dan saya kini sedar hikmah dan kebaikan daripadanya, namun ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.

Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif.

Ia ibarat satu konflik yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar.

Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif.

UCAPAN STEVE JOBS YANG HEBAT Ketika saya menulis ini, saya sangat kagum dengan tips dan nasihat Steve Jobs, Pegawai Eksekutif syarikat ternama dunia, Apple dan Pixar. Pengasas iPhone, iPod juga iPad.


Jobs menceritakan bagaimana beliau gagal di universiti yang akhirnya membuahkan idea penciptaan perisian dan komputer Macintosh, satu revolusi dalam dunia komputer, malah ia adalah idea yang kemudian ditiru oleh Bill Gates, pengasas Microsoft, dengan sedikit perubahan.

Beliau menceritakan bagaimana pada umur 30 tahun, akibat kebuntuan syarikat yang diasaskannya iaitu Apple, lembaga pengarah syarikat menolaknya keluar dari syarikat berkenaan.

Hasil kegagalan itu, lahirlah revolusi kartun moden menggunakan animasi komputer. Lahirlah animasi ‘Toy Story’ yang sungguh popular.

Jika tidak kerana kegagalan pertama, revolusi animasi seperti Toy Story mungkin belum pasti bila akan wujud.

Selain itu, pelbagai nasihat lain diberi oleh Jobs dalam ucapannya, termasuk memastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta juga minat.

Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.

Ucapan beliau semakin menarik apabila mendedahkan bagaimana perasaan ‘berasa akan mati’ memotivasikan diri untuk membuat keputusan tepat dalam kehidupan.

Jobs berkata: “Mengingati yang saya akan mati tidak lama lagi adalah alat utama yang saya tidak pernah temui untuk membantu saya membuat keputusan penting dalam kehidupan.

“Ini kerana, hampir keseluruhan kepelbagaian perasaan luaran akan hilang di ambang kematian, yang tinggal hanya perkara paling penting.

“Mengingati anda akan mati adalah cara yang saya tahu paling baik untuk mengelak diri anda terperangkap dalam pemikiran anda akan kehilangan sesuatu,” katanya.

Dalam Islam, kematian memang sudah lama dijadikan prinsip oleh Rasulullah SAW untuk diterapkan kepada umatnya supaya berusaha berfikir sesuatu yang lebih penting dan meninggalkan yang tidak penting serta kurang penting.

Bagi umat Islam, yang paling penting adalah apa yang akan kita bawa selepas mati. Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya.

Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.

Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal.

Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

Continue Reading...

05 March 2010

Ayah yang derhaka.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan seorang ayah akan menjadi ayah yang derhaka pada anak-anaknya ;

1) Seorang ayah yang memilihkan ibu yang tidak baik untuk anak-anaknya iaitu bukan dari kalangan perempuan solehah sebagai isteri.Peri pentingnya seorang lelaki memilih calon ibu yang baik untuk mengandungkan benihnya dikalangan wanita yang solehah kerana wanita yang solehah sahaja yang mampu mendidik anak-anak mengikut acuan islam dengan iman dan taqwa.

2) Seorang ayah yang tidak mengajar anak-anak membaca Al-Quran sejak dari kecil sedang dirinya sendiri tidak pernah melagukan Al-Quran di rumahnya dan tidak mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam kalam suci itu.

3) Seorang ayah yang mencari rezeki yang tidak diketahui sumbernya sama ada halal atau haram, dari sumber yang shubhah yakni dari sumber yang diragukan.Rezeki yang di perolehi di bawa pulang dan diberi makan pada anak dan isteri dan kemudian menjadi darah daging mereka.Lama kelamaan anak-anak dan isteri menjadi gelap hati dan sukar menilai dan menerima kebaikan lagi.

4) Seorang ayah yang terlalu memenuhi keinginan duniawi anak-anaknya secara melampaui batas, segala kemahuan dituruti tanpa sebarang pertimbangan yang wajar. Bila mana anaknya membesar menjadi insan yang terlalu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain hatta keluarganya sendiri.

Renung-renungkanlah saudaraku..

Kadang-kadang bila di dalam hidup kita dirundung masalah yang tidak pernah putus-putus, cuba kita muhasabah diri bagaimanakah hubungan kita dengan Allah selama ini dan bagaimanakah hubungan kita dengan ibu dan ayah kita.

Cubalah koreksi diri sendiri adakah solat kita sempurna, rezeki yang kita perolehi selama ini adakah berkat, dan adakah kita telah mengeluarkan zakat.

Mungkin selama ini hati kita masih lagi kotor dengan dosa yang kita lakukan tanpa pernah bertaubat.Ayuhla semua dirikan solat sunat taubat semoga diri kita, keluarga kita, anak- anak kita dikurniakan hati yang bersih, barulah kebahagiaan akan dapat kita kecapi.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

04 March 2010

Cakap, amalan gambaran hati

ADA frasa menyebut antara maknanya: 'Sesiapa yang banyak ingat sesuatu, dia akan banyak menyebut yang diingatinya'. Contohnya remaja, kalau dia ingat kerja, selepas tamat pengajian mereka akan mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan bagi membantu menyara kehidupan diri serta keluarga.


Mereka akan banyak bercakap berkenaan kerja, jenis serta gaji. Orang miskin pula apabila kekurangan belanja akan memikirkan bagaimana untuk mengatasinya. Orang kaya dan berharta sentiasa membayangkan harta dan kekayaannya. Mereka akan bercakap soal projek dan bagaimana mengatur strategi bagi menambah kekayaan.


Seorang pendakwah fikirannya sentiasa berlegar terhadap masalah umat dan cara memperbaiki serta menyampaikannya. Mereka sentiasa berbicara bagaimana dakwahnya boleh sampai ke telinga mereka yang masih tidak dapat menerimanya.


Seorang yang sentiasa hidup memburu nafsu akan mencari kawan sealiran dengan mereka untuk berseronok. Seorang yang sedang bercinta akan suka bercakap dengan kekasihnya hingga ia terbawa-bawa di dalam mimpi disebabkan terlalu banyak mengingatinya.


Apa yang kita cakap dan lakukan selama ini mencerminkan apa yang ada di dalam hati kita. Apa yang diutarakan ini nampak seperti berbelit-belit tetapi sebenarnya yang lebih ditakuti, jika kita terbelit dengan fikiran dan tindakan yang tidak berasaskan ingatan terhadap Allah s.w.t. Kita banyak berfikir terhadap hal keduniaan tetapi kita tidak berapa mengingati kepada yang lebih agung iaitu Allah yang mencipta seluruh kejadian di muka bumi ini. Kita banyak memikirkan ciptaan Allah s.w.t tetapi kita lupa kepada penciptanya.

Kalau kita bercakap pun kurang, apatah lagi amalan kita. Kalau yang kita cakap itu pun belum tentu dibuat, apatah lagi yang tidak bercakap langsung, malah lebih parah terlintas di fikiran pun tidak.


Bayangkan kalau tidak terlintas sedikit pun mahu melaksanakan perintah beribadat, bersyukur, berzikir serta memperjuangkan kalimah Allah. Itulah yang membawa kepada segala gejala. Sebenarnya gejala sosial bermula apabila kita 'bermasalah' dengan Allah.


Pendek kata, punca segala yang tidak kena dengan kehidupan kita apabila kita melupakan Allah s.w.t. Kalau menyebut pun sudah jarang-jarang, bagaimana pula hendak berjuang serta mempertahankannya? Dalam suasana orang kita bercakap polemik kalimah Allah ditulis di gereja, sebahagian kita baru tersentak yang mana satu betul. Masa ini baru hendak ambil pusing nama Allah yang dulunya banyak 'terpusing' dengan putaran dunia. Solat dan zakat serta haji entah ke mana, malah semuanya tidak ke mana. Kita bukan hanya perlu memperjuangkan kalimah Allah s.w.t yang Maha Agung semata-mata tetapi hendak hidup dan mati dengan 'skrip' Allah melalui al-Quran dan hadis.


Apa ertinya kita pertahankan nama Allah tetapi hidup menyusahkan Islam dan membuat fitnah terhadap agama gara-gara perilaku kita.


Sama juga kita bermati-matian mempertahankan identiti seorang mualaf yang mati supaya dikebumikan di kubur orang Islam. Tetapi ketika hidupnya, kita tidak prihatin untuk menyampaikan dakwah dan tidak ambil tahu kehidupan agamanya.


Kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin dan ulama supaya kita dapat menyelesaikan isu kalimah Allah yang hendak ditulis di gereja ini.


Sebagai penutup bicara, elok kita meneliti di peringkat mana hati dan ingatan kita terhadap Allah s.w.t agar selepas ini, kita lebih prihatin dengan keadaan umat Islam serta hubungan kita dengan Allah s.w.t.


Cuba perhatikan senarai berikut, di mana kedudukan kita?

1. Hati yang lalai kepada Allah.


2. Hati yang ingat Allah bila susah dan bermasalah.


3. Hati yang asyik dengan Allah.

4. Hati yang makrifat kepada Allah Kedudukan hati di peringkat pertama dan kedua, kita belum selamat dan tidak boleh diharap menjadi penyelamat serta pembela kepada diri, keluarga serta masyarakat. Usahakan semoga kita dapat naik ke peringkat ketiga kerana pada peringkat itu kita mulai selamat dan menyelamat manakala peringkat keempat adalah peringkat pejuang serta pemenang dunia dan akhirat.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

Continue Reading...

02 March 2010

Bebaskan diri daripada tekanan

TEKANAN atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, berprasangka buruk dan berdendam.

Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menanganinya dengan bijak.

Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tersebut agar tidak terus mengganggu kehidupan seharian.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan setiap individu kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri.

Mereka yang berjaya menangani tekanan akan berjaya menguruskan diri dengan baik.

Hakikatnya, tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.

Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.

Antara punca tekanan ialah sifat terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.

Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot, kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.

Di bawah terdapat beberapa kaedah yang boleh mengurangkan atau mengatasi tekanan dalam menghadapi dugaan hidup.

lSenyumKebanyakan kita bila berhadapan dengan masalah pasti akan bermasam muka. Paling tak pun kita akan mengeluh atau mengomel sendirian? Apa kata bila kita hadapi tekanan seperti ini kita senyum dahulu. Bila kita senyum, pasti sedikit tekanan akan reda.Cubalah, pasti merasai kelainan.

lBersendirianAda sesetengah orang suka bersendirian, memencil diri untuk mencari ketenangan seketika. Renungkan kembali apa yang berlaku dan ambi iktibar dari sudut yang positif setiap perkara yang terjadi itu kemudian perbaiki pada keadaan yang lebih baik.

lBertenangJanganlah serabutkan lagi keadaan yang sedia ada. Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan secara perlahan-lahan. Cuba elakkan diri daripada membuat sebarang keputusan dalam keadaan tertekan. Ini kerana keputusan itu mungkin bersandarkan pada emosi anda semata-mata. Bukan itu sahaja malahan jika tiada perincian yang dibuat dalam keputusan tersebut takut sebarang kemudaratan akan berlaku nanti. Berbuat baiklah pada insan. Cuba kurangkan perbuatan dari menyakiti hati orang di sekeliling.Jadilah insan yang berhati luhur dan pemaaf. Bunyi memang senang tapi bila kita hendak melakukannya mungkin agak sukar. Tapi itulah yang harus anda lakukannya. Hanya dengan cara inilah pasti hati kita akan berlapang dada tekanan yang di hadapi juga akan berkurang.

lPeluk sesuatuAnda pasti akan rasa lebih tenang dan damai di dalam hati jika dapat memeluk makhluk lain. Maksud di sini jika anda mempunyai teman baik perempuan sama perempuan anda peluklah dia, dengan cara ini ia dapat meredakan sedikit tekanan atau kemarahan anda.

lLavenderBagi yang suka pada aroma terapi minyak pati lavender amat sesuai sekali untuk meredakan tahap tekanan anda. Ini kerana minyak Lavender dikenali sebagai herba penenang yang boleh mengurangkan tekanan.

lKasih sayangTerapi yang mudah kita dapat melalui kawan-kawan, anak-anak atau pasangan (yang berkahwin), anak saudara, ibu bapa. Kasih sayang daripada mereka adalah sumber kekuatan anda dan sebenarnya anda tidak berseorangan di dunia ini.

lAllahIkutilah perintah dan suruhan Allah serta tinggalkan perkara yang dilarang. Hayatilah suruhan Allah nescaya anda tidak akan rugi walau sesaat. Dekatkan diari terhadap-Nya.

lCeriaJanganlah bebankan fikiran dengan semua perkara yang ada di sekeliling anda setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hidup di dunia ini hanya untuk sementara jadi, nikmatilah hari ini dengan seadanya.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

Continue Reading...

01 March 2010

Mencari Sahabat..

1. Sahabat Yang Baik

Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri.

2. Mencari Sahabat di Waktu Susah

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Padahal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Kalau duka melanda, aku sering bertanya ...siapakah yang sudi menjadi sahabatku. Dikala aku senang, sudah biasa bahawa banyak orang yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

3. Pasang Surut Persahabatan

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tak ubahnya roda zaman yang tak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri dari mereka, mereka mencemuhkanku, dan jika aku sakit, tak seorangpun yang menjengukku. Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai

4. Mengasingkan Diri Lebih Baik Daripada Bergaul Dengan Orang Jahat

Bila tak kutemukan sahabat-sahabat yang taqwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang-orang jahat. Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti kuwaspadai.

5. Sukarnya Sahabat Sejati

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Dan bersikaplah seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua tanganmu dari zaman tersebut dan dari manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka, maka kelak kamu akan memperolehi kebaikannya. Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang-orang ***** kerana banyak kejelekannya dan kujauhi orang-orang mulia kerana kebaikannya sedikit.

6. Sahabat Sejati Di Waktu Susah

Kawan yang tak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. Sepanjang hidupku aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tak satu negarapun yang penduduknya berhati manusia.

7. Rosaknya Keperibadian Seseorang

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi tipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri-duri itu.

8. Menghormati Orang Lain

Barangsiapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barangsiapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barangsiapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barangsiapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat.

9. Menghadapi Musuh

Ketika aku menjadi pemaaf dan tak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas dari bara permusuhan. Ketika musuhku lalu di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga daku dari kejahatan. Aku tampakkan keramahanku, kesopananku, dan rasa persahabatanku kepada orang-orang yang kubenci, sebagaimana kutampakkan hal itu kepada orang-orang yang kucintai. Manusia adalah penyakit, dan penyakit itu akan muncul bila kita mendekati mereka. Padahal menjauhi manusia bererti memutuskan persahabatan.

10. Tipu Daya Manusia

Mudah-mudahan anjing-anjing itu dapat bersahabat denganku, kerana bagiku dunia ini sudah hampa dari manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk majikannya yang tersesat, tidak seperti manusia-manusia jahat yang selamanya tak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

11. Tempat Menggantungkan Harapan

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang-orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya, dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahupun setelah mati.

12. Menjaga Nama Baik

Jika seseorang tak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. Dalam hati masih ada kesabaran buat sang kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu, dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tak sopan. Jika cinta suci tak datang dari tabiatnya, maka tak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal-hal yang kelmarin menjadi rahsia. Selamat tinggal dunia jika atasnya tidak lagi ada sahabat yang jujur dan menepati janji.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template