17 May 2011

Sajak - Pesan Seorang Cikgu

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang bergelar teman senasib,
Ingat pesan cikgu,

Tiap-tiap pagi,
Ketika baru bangkit dari tidur yang lena,
Orang kurang upaya penglihatan,
Hidup kita sudah terpilih,
Untuk mengharungi arus cabaran dan rintangan,
Menempuh jalan berliku dan berlekuk.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang dianggap cerdik lagi bestari,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap hari,
Ketika menuntut ilmu di sekolah,
Orang kurang upaya penglihatan,
Tiada ungkapan mudah untuk kita.
Sudah tersurat,
Kita mesti berusaha,
Dengan tulang empat kerat,
Menterjemahkan buku rujukan dan latiha,n
Dari tulisan biasa kepada Braille,
Di samping guru-guru khas,
Akan melakukan bahagian mereka.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang terkenal sikap cekal dan tabahnya,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap tengah hari,
Ketika panas matahari membenamkan bahangnya,
Orang kurang upaya penglihatan,
Seharusnya perkataan putus asa tidak tampil dalam kamus hidup kita.,
Pahit maong keringat yang menitis,
Adalah jerih-perih kita.
Ribut pencubaan yang membadai,
Adalah dugaan yang terpaksa dihadapi.,

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang sempurna sifat takwanya,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap senja,
Ketika burung-burung pulang ke sarang,
Orang kurang upaya penglihatan,
Kepada Tuhan kita berserah,
Segala usaha dan harapan,
Sambil bersujud di ruang Maha Suci,
Membiarkan jiwa dan raga,
Disinggahi suara Azan dan nyanyian Mazmur.

Pelajar-pelajar tercinta,
Yang diseru dengan panggilan rakan seperjuangan,
Ingat pesan cikgu,
Tiap-tiap malam,
Ketika bulan dan bintang sedang menjulang tinggi di langit,
Orang kurang upaya penglihatan,
Jangan lalai oleh mimpi indah,
Juga suara-suara merdu bak madu,
Mereka yang kononnya memperjuangkan hak kita,
Kerana masa depan dan cita-cita kita,
Adalah terletak di tangan kita sendiri.

"Selamat Hari Guru"

Continue Reading...

Perkara Ringan Yang Menyekat Rezeki

Perkara Ringan Yang Menyekat Rezeki

Terdapat beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan kesusahan atau
secara lebih khusus sebagai penyebab ditimpa kesusahan dan penderitaan
yang mana pada kebiasaannya kita mengambil ringan tentang perkara
tersebut. Dalam kitab Al-Barakah fi Fadhl lis Sa'yi Wal Harakah yang disusun
oleh Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Habsyi telah diterangkan
perkara yang mempunyai hubung kait dengan kesusahan seseorang.


1. tidak sembahyang atau solat.
2. tidak membaca Bismillah ketika hendak makan.
3. makan atas pinggan yang terbalik.
4. memakai kasut atau sandal memulakan sebelah kiri.
5. menganggap ringan apa2 yang terjatuh dalam hidangan makanan.
6. berwuduk' di tempat buang air besar atau air kecil.
7. suka bersandar pada pintu rumah.
8. suka duduk di atas tangga.
9. membiasakan diri mencuci tangan di dalam pinggan selepas makan.
10. membasuh tangan dengan tanah atau bekas tepung.
11. tidak membersihkan rumah.
12. membuang sampah atau menyapu dengan kain.
13. suka membersihkan rumah pada waktu malam.
14. suka tidur di atas muka.
15. membakar kulit bawang.
16. menjahit baju yang sedang dipakai.
17. mengelap muka dengan baju.
18. berdiri sambil bercekak pinggang.
19. tidur tidak memakai baju.
20. makan sebelum mandi hadas.
21. tergesa-gesa keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh.
22. pergi ke pasar sebelum matahari terbit.
23. lambat pulang dari masjid.
24. doakan perkara yang tidak baik terhadap ibubapa dan anak-anak.
25. kebiasaan tidak menutup makan yang dihidangkan.
26. suka memadam pelita dengan nafas.
27. membuang kutu kepala dalam keadaan hidup.
28. membasuh kaki dengan tangan kanan.
29. membuang air kecil pada air yang mengalir.
30. memakai seluar sambil berdiri.
31. memakai serban sambil duduk.
32. mandi junub di tempat buang air atau tempat najis.
33. makan dengan menggunakan dua jari.
34. berjalan di antara kambing.
35. berjalan di antara dua perempuan.
36. suka mempermainkan janggut.
37. suka meletakkan jari jemari tangan pada bahagian lutut.
38. meletakkan tapak tangan pada hidung.
39. suka menggigit kuku dengan mulut.
40. mendedahkan aurat di bawah sinaran matahari dan bulan.
41. mengadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil.
42. menguap ketika solat.
43. meludah di tempat buang air besar atau air kecil.

Continue Reading...

26 March 2011

Mimpi Nabi Muhammad SAW

9 Mimpi Nabi Muhammad SAW

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda: Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan........"

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya,ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita disekelilingnya,sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-menderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya,lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api kemukanya,maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut. BERSABDA RASULULLAH SAW, "SAMPAIKANLAH PESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT"

Continue Reading...

09 December 2010

Remaja Islam malas membaca, berbincang dan berfikir

ALLAH s.w.t. mengurniakan manusia akal. Potensi akal membolehkan manusia merenung, memerhati, mengetahui dan berfikir. Kekuatan minda menjadikan seseorang mampu mengingat, berfikir dan mempunyai daya taakulan. Menerusi berfikir dan mengkaji datangnya maklumat, fakta, data dan ilmu. Melalui maklumat dan ilmu membolehkan manusia tahu. Pengetahuan menjadikan manusia memiliki cara untuk tahu tentang sesuatu. Al-Quran pula menghasilkan hikmah dan daripadanya pemikiran mendapat suluh membimbing manusia ke arah pengetahuan yang benar.

Tony Buzan yang mempunyai kepakaran dalam Peta Minda menyebutkan manusia hanya menggunakan satu peratus daripada otak kanan dan otak kiri. Otak kanan berguna untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan seni dan sastera sementara otak kiri berguna untuk berfikir hal-hal yang berkait dengan angka. Penggunaan otak kanan dan otak kiri, kata Tony Buzan, boleh meningkatkan kualiti berfikir seseorang.

Amalan berfikir adalah suatu tabiat baik sama ada ia menjadi amalan individu atau kelompok yang ingin mengembang dan menajamkan minda. Pepatah ada menyebut bahawa 'fikir itu pelita hati' yang membawa maksud bahawa seseorang yang melakukan amalan berfikir, dia sentiasa menerima cahaya dan petunjuk. Amalan berfikir bermula dengan tabiat membaca yang tinggi, tabiat berbincang yang baik dan tabiat menghasilkan pemikiran dalam bentuk karya sama ada berbentuk kreatif mahupun deskriptif.

Remaja adalah tenaga yang segar dan amat berpotensi untuk membina amalan berfikir. Dengan potensi akal yang tinggi dan segar, otak memerlukan latihan. Apa yang remaja baca, bincang, renung dan fikir memberi sumbangan yang amat berguna untuk mempertajam dan memperkasa minda. Orang yang tajam mindanya adalah hasil latihan otak yang berterusan. Mindanya menjadi kreatif, pandangannya menjadi kritis dan analisisnya menjadi sistematik. Ia mampu menilai sesuatu data, fakta dan menyebabkan maklumat berkembang. Ilmunya meningkat dan bertambah dan menyebabkan upaya bijaksananya tinggi. Hasilnya ialah pengalaman berfikir meningkat dan kewibawaan ilmu juga berkembang.

Para remaja harus menyajikan minda dengan bahan-bahan yang baik dan yang berguna untuk difikirkan. Membaca buku-buku yang berfaedah, majalah yang bermutu, berbincang isu-isu ilmu yang bermanfaat, meneliti perkembangan semasa yang sedang berlaku boleh mengembangkan daya fikir. Amalan membaca bukan hanya menerima apa yang dibaca dan dibincang tetapi ia merupakan langkah awal untuk menyuburkan tabiat berfikir.

Jalan berfikir yang berkesan selalunya dua hala; ia tidak sehala. Oleh itu berfikir seorang diri kadang-kadang tidak menjadikan minda remaja tangkas dan perkasa. Tetapi bila berlaku perbincangan dua hala minda remaja akan dilatih dengan amalan berfikir, memberi buah fikiran yang bernas dan akhirnya bersedia untuk memberi dan menerima kritik dan pandangan yang membina terhadap sesuatu perkara.

Al-Quran memberi keutamaan kepada amalan berfikir yang mempunyai maksud yang baik dan bermanfaat. Konsep ya'qilun, yatafaqqarun dan yatadabbarun sebenarnya mengajak manusia berfikir, merenung dan mengkaji atau menyelidik. Tradisi ini sangat hebat dilakukan oleh pemikir, ilmuwan dan ulama silam. Amalan berfikir tidak hanya terlihat dalam muzakarah yang berterusan, halaqah yang subur tetapi juga dalam penulisan. Ulama-ulama besar pada masa dulu berfikir tentang diri, hubungan dengan alam dan Pencipta dan memanfaatkan pensyariatan Allah dalam al-Quran, melakukan tadabbur atau kaji selidik yang berbentuk sains, ilmu bintang, falsafah dan lain-lain. Kemajuan umat Islam pada masa lalu adalah akibat berkembangnya tabiat dan tradisi berfikir di kalangan pemeluknya khususnya para ilmuwan, ahli fikir dan juga ulama.

Pada hari ini, antara punca kelemahan umat Islam ialah mereka malas membaca dan akhirnya malas berbincang dan berfikir. Kemalasan berbincang menyebabkan tiadanya idea-idea baru. Akhirnya kita menjadi jumud atau beku dan menjadi pengekor dan penciplak ilmu orang lain dan akhirnya menjadikan kita bangsa atau umat pengguna sepanjang zaman.

Ada beberapa langkah boleh dilakukan oleh para remaja supaya amalan dan tradisi berfikir boleh bertunas dan berkembang. Pertama, remaja mesti ada keinsafan bahawa akal merupakan sebesar-besar kurniaan Allah yang perlu dimanfaatkan. Kemahiran dan kesuburan berfikir harus dikembangkan supaya kesukaan kepada membaca dan mendapatkan idea-idea baru membolehkan pemikiran berkembang.

Kedua, gunakan potensi otak kanan dan kiri supaya amalan berfikir akan mendapat faedah maksimum. Ibn Sina malah Albert Einstein umpamanya menggunakan kedua-dua otak kanan dan kiri yang menjadikan mereka ahli fikir sekali gus pakar dalam bidang sains. Tetapi para remaja tidak boleh hanya bergantung kepada sumber pemikiran untuk mengetahui sesuatu. Pemikiran remaja dan manusia dalam apa bentuk pun adalah terbatas. Tetapi yang terbatas itu boleh berkembang sekiranya suluh hikmah atau al-Quran dijadikan pedoman untuk mengembangkannya. Dalam al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai. Bagi mereka yang berfikir, sumber itu akan memberikan kekuatan untuk membimbing manusia meneroka dan mencari kebenaran.

Ketiga, para remaja mesti ada kecenderungan membaca, mendengar, berbincang, menulis supaya buah fikiran berkembang. Remaja Islam tidak harus hanya membatasi diri dengan hanya membaca buku-buku atau kitab-kitab yang ditulis oleh penulis-penulis Islam saja. Para remaja Islam harus dapat mengembangkan ruang pembacaan terhadap bahan berbanding daripada sumber Barat dan Timur. Mengetahui jalan berfikir orang lain adalah jalan terbaik untuk memahami budaya dan cara hidup orang lain. Sekiranya ada di kalangan remaja bertekad untuk menjadi pendakwah, mengetahui dan memahami fahaman dan budaya orang lain amat dituntut supaya para pendakwah memiliki kebijaksanaan dalam melakukan usaha-usaha penyeruan dan pengajakan.

Keempat, para remaja harus membina asas berfikir yang sifatnya

kreatif, lateral, strategik, deskriptif dan analitis supaya perkembangan minda dapat ditingkatkan, dipertajamkan dan diperkasakan. Corak cabaran pada era globalisasi sifatnya tidak sehala atau mudah. Kompleksnya hidup pada era globalisasi menuntut para remaja membina persiapan minda yang tinggi dan nilai agama yang diperoleh menjadi asas untuk menyaring yang baik dengan yang buruk atau antara yang bermanfaat atau sebaliknya.

Kelima, bila para remaja sudah mempunyai asas dan tabiat berfikir ia menjadi petanda cerah remaja memiliki identiti dan integriti yang akan dihormati kerana remaja yang berfikir tidak mudah dipengaruhi, diperlecehkan malah dibuli oleh pemikiran-pemikiran cetek dan tidak bernilai.

Remaja yang menjadikan berfikir sebagai amalan akan merasakan hikmah yang luar biasa hasil daripada berfikir. Apabila dewasa nanti amalan berfikir akan menjadi sebati dan inilah petanda negara memiliki harta yang sangat bernilai kerana kekuatan negara bergantung antaranya kepada warganya yang mampu berfikir, kaya dengan idea dan sentiasa memiliki pemikiran alternatif apabila berdepan dengan cabaran dan ujian.

Modal insan yang amat bernilai ialah mereka yang berfikir. Mereka yang berfikir tidak saja menjadi pengguna kepada sesuatu yang baik daripada orang lain tetapi bakal menjadi penyumbang kepada tamadun umat Islam dan tamadun umat manusia.

Oleh: DR. SIDEK BABA
Continue Reading...

02 December 2010

Apa yang Anda fikirkan itulah yang akan Anda perolehi.

Apa yang Anda fikirkan itulah yang Anda perolehi. Allah menciptakan manusia lengkap dengan kemampuan untuk berpikir. Dari fikiran dunia berkembang dari peradaban primitif menjadi yang paling moden. Segala apa yang manusia ciptakan berasal dari kemampuan untuk memperdayakan fikiran. Kekuatan fikiran seringkali kita lupakan. Bila kita berfikir bahwa kita telah dikalahkan, maka sebenarnya kita telah kalah sebelum berperang, bila kita

berfikir kita tidak mampu, maka sungguh kita menjadi lemah.

Bila kita ingin menang tapi kita berfikir kita tidak boleh menang, maka kita tidak akan pernah menjadi seorang pemenang. Bila kita berfikir bahwa kita benar-benar rugi maka kita akan benar-benar mengalaminya. Kejayaan, manafaat, berasal dari kemampuan manusia mewujudkan jalan fikirannya.

Segala sesuatu dalam kehidupan ini, perjuangan kehidupan Anda untuk kejayaan atau tidak, salah satunya ditentukan dari kemampuan Anda untuk memperadayakan pikiran Anda. beberapa fikiran yang harus anda fikirkan agar dapat mewujudkan mimpi.

1. Nasib saya tergantung dari diri saya

Bila Anda menghabiskan waktu hanya untuk menunggu datangnya keajaiban, maka Anda akan menunggu lama sekali, malah barangkali sia-sia. Seseorang yang berjaya selalu melakukan sesuatu, secara baik dan tepat, untuk mewujudkan keinginannya. Anda sebaiknya bergerak dan melakukan sesuatu, cari cara yang baik dan tepat, jangan hanya menunggu. Anda pasti akan berhasil dan berhak untuk mewujudkan impian.

2. Segala sesuatu mungkin saja terjadi

Anda berfikir tidak mungkin menjadi wakil pengarah, Mempunyai usaha sendiri, Segera menikah. Jika demikian, maka Anda memang tidak akan pernah mendapatkan mimpi anda. Ingat, jika Anda berfikir tidak boleh, maka Anda tidak akan pernah berjaya. Tetapi bila berpikir Anda boleh, maka Anda pasti boleh.

3. Pekerjaan apapun harus dilakukan dengan baik

Anda tidak pernah tahu ketika Anda diperhatikan atau dinilai. Bila Anda terbiasa melakukan pekerjaan dengan baik dan benar, maka Anda tidak mendapatkan kesulitan untuk menerima tanggung jawab yang lebih besar.

4. Menganggap penting setiap orang

Bila Anda ingin bersikap agresif, Anda pun perlu bersikap baik dengan rakan sekerja serta orang-orang yang berada di sekeliling. Anda keliru kalau menganggap tidak perlu menjalin hubungan baik dengan orang sekitar. Bersikaplah dengan sopan dan ramah terhadap orang-orang di sekeliling Anda. Soalnya, kita tidak pernah tahu, sikap baik itu mungkin memegang peranan penting bagi masa depan Anda.

5. Tidak terpaku pada latar belakang pendidikan

Bila selalu merasa bahwa pekerjaan yang Anda lakukan tidak sesuai dengan latar belakang pendidikan, maka Anda akan menghasilkan pretasi yang buruk. Mungkin pekerjaan yang Anda lakukan tidak terlalu sesuai bagi Anda, tetapi seorang profesional yang berjaya melakukan tugas yang dibebankan kepadanya dengan sebaik-baiknya tanpa peduli di mana mereka berada. Orang berjaya bukan selalu orang yang berpendidikan tingggi.

6. Memiliki jejaring yang kuat

Pegawai yang berjaya memahami dengan baik pentingnya suatu jaringan, baik di dalam maupun di luar pejabat. Anda perlu bersikap proaktif untuk mengembangkan hubungan profesional. Ajak dan undang rakan sekerja untuk makan tengahari di luar. Atau berinteraksi dengan rakan lama anda, dengan Milist, atau apapun yang membuka jaringan luas untuk hidup anda. dengan
mempunyai jaringan yang luas kesempatan berjaya akan semakin besar.

7. Kegagalan merupakan kunci kejayaan

Setiap orang pasti pernah mengalami kegagalan dari masa ke semasa. Perbezaan antara orang yang berjaya dan orang yang gagal adalah dari bagaimana mereka menghadapi kegagalan yang dialami. Pegawai yang berjaya selalu belajar dari kesalahan yang mereka lakukan dan tetap maju.

8. Tunjukkan kemampuan

Apakah Anda menunggu sampai seseorang menunjukkan bakat dan kemampuan Anda? Mungkin sudah tiba masanya anda memperlihatkan kemampuan Anda. Katakan kejayaan Anda dan apa yang telah Anda lakukan bagi perusahaan. Profesional yang maju memahami cara menunjukkan kejayaan mereka tanpa sombong.

9.Tidak pernah berhenti mencari peluang

Tentu saja ada masa di mana Anda puas dengan pekerjaan yang sedang Anda ceburi. Tetapi jangan lupa, profesional yang berjaya selalu mencari kesempatan untuk maju dan berkembang. Pasang mata, buka telinga, dan buka wawasan untuk tantangan dan kesempatan baru. Anda tidak pernah tahu, bila akan mendapatkan sesuatu yang dapat mengubah karier Anda menjadi lebih
cemerlang.

Sikap mental yang positif merupakan hasil dari kehidupan yang didedikasikan untuk pengembangan diri. Dengan komitmen peribadi untuk melakukan hal yang terbaik hari ini, anda tidak perlu terlalu memikirkan hari esok. Anda akan mempunyai kepercayaan bahawa hal-hal baik akan terjadi seperti halnya anda mempunyai keyakinan bahawa jika suatu saat muncul masalah, maka anda akan mempunyai kekuatan dan ketrampilan untuk menangani, mengambil alih dan kemudian menaklukkannya. Anda adalah orang yang tegar. Anda tidakakan mengizinkan keraguan-keraguan anda merosak mimpi-mimpi anda. Harapan membuat musim semi menjadi abadi.

Jadi anda adalah apa yang anda fikirkan, tapi jangan hanya terus berfikir wujudkan segala yang ada didalam fikiran anda. ayuh segera capai kejayaan dalam hidup. Mimpikan.. FIkirkan.. dan Lakukan... itulah kunci menggapai kejayaan.
Continue Reading...

01 December 2010

Remaja dan masalah sosial

MASYARAKAT Malaysia hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku hampir setiap hari.

Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Remaja mengandung luar nikah semakin mengancam keharmonian masyarakat, semakin banyak ditegur, dipapar dan disiarkan gambar-gambar bayi yang dibuang macam sampah oleh pelaku tidak bermoral itu, semakin bertambah pula bilangan bayi-bayi yang dibuang.

Mengapa anak-anak remaja kita semakin runtuh akhlaknya dan hilang sikap malu dan adab sopan sebagai manusia? Tiada siapa mampu memberi jawapannya kerana yang pasti akhlak remaja semakin rosak dan liar.

Apabila kita renung kembali dengan ikhlas sebagai ahli masyarakat, ibu bapa dan juga pemimpin, mengapa masalah sosial ini terus berlaku? Ini kerana kita terlupa atau buat-buat lupa tentang punca akar umbi masalah sosial tersebut.

Berikut sedikit sebanyak punca masalah sosial remaja kita.

1. Kendiri

Remaja hari ini kurang mampu dan mapan mengurus diri sendiri kerana semua keperluan diri disediakan oleh ibu bapa yang tidak mahu anak-anak merasa susah dalam kehidupan mereka. Kesan daripada sikap ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan material dan perhatian berlebih-lebihan itu menjadikan anak-anak kurang berdikari dan tidak mahu susah dalam kehidupan mereka.

Akibatnya anak-anak remaja sukar mengendalikan emosi semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada rakan-rakan. Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka. Jika mereka berhadapan dengan tekanan dan pujukan rakan-rakan yang mengajak melakukan jenayah atau kehidupan sosial negatif yang lain seperti minum arak, dadah, seks bebas dan sebagainya, mereka tidak mampu menepis dan menolak pujukan tersebut kerana tidak mempunyai jati diri yang kukuh.

2. Keluarga

Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah dek kerana ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki dan tidak menumpukan perhatian terhadap kualiti kehidupan berkeluarga dan anak-anak. Walaupun usaha murni ibu bapa adalah untuk memberi kesenangan kepada anak-anak dan keluarga, namun pembentukan sahsiah diri anak-anak perlu diberi perhatian. Jika ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan tidak bimbang untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak sihat di rumah sendiri atau di kawasan persekitaran rumah seperti menagih dadah, menonton video lucah dan mencuri sebagainya.

Masalah yang berlaku dalam rumah juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak seperti ibu bapa yang bercakaran di hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk kerapuhan diri dan jiwa anak-anak akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.

3. Kewangan

Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh soal kewangan kerana keinginan anak-anak muda hari ini semakin meningkat untuk menggunakan barangan mewah bagi menunjukkan status diri mereka di kalangan rakan-rakan sebaya. Tidak semua anak-anak remaja ini lahir dari keluarga berada dan mampu menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga susah, mereka mudah terikut-ikut rakan-rakan yang mewah tetapi soalnya bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan tersebut. Sudah tentu dengan melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.

4. Kemasyarakatan

Masyarakat hari ini sudah kurang peka dan banyak buat 'pekak' terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Struktur pembinaan perumahan hari ini juga banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat yang negatif. Kondominium dan pangsapuri mewah mementingkan gaya hidup individualistik. Rumah-rumah banglo pula diiklankan dengan gaya hidup berfokuskan keselamatan yang berlebihan seperti guarded and gated agar tidak diganggu penjenayah. Sedar atau tidak, masyarakat kita telah membina jurang hidup secara manual dengan jiran dan masyarakat setempat.

5. Rakan-rakan

Faktor ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah jati diri dan tiada tujuan hidup.

6. Keagamaan

Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir mengenai perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan.

Dengan itu, ibu bapa, ahli masyarakat, guru dan pemimpin perlu berusaha membantu anak-anak remaja hari ini daripada terus menerus melakukan kegiatan yang tidak bermoral.

Penulis ialah pensyarah di Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional.
Continue Reading...

29 November 2010

Jalan yang diredai


muslimah1.jpg



REMAJA adalah kelompok yang amat aktif dalam semua perkara. Remaja suka bertanya, suka mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, berjiwa adventure, suka menarik perhatian, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah remaja dalam proses membentuk diri masuk ke alam dewasa.

Sebagai seorang remaja Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan. Potensi yang dimiliki remaja boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara dan potensi itu juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan juga negara. Isu utama di sini ialah bagaimana potensi dapat digilap dan disuburkan secara fitrah dan bagaimana bakat dapat digunakan secara bermanafaat dan berfaedah. Terdapat petanda yang jelas bagaimana bakat remaja terbazir dan disalahgunakan begitu saja tanpa memahami tujuan hidup dan tuntutan persiapan diri bagi remaja.

Islam memberikan remaja jalan dan nilai. Memahami ajaran Islam secara baik membantu remaja bagaimana dapat menjalani hidup secara terancang dan memberi faedah. Islam memandu remaja bagaimana melakukan pergaulan yang sihat supaya naluri berkawan dapat dipenuhi dan batas syarak dapat dipatuhi. Islam memberi dorongan untuk menuntut ilmu supaya dewasanya remaja nanti memiliki kekuatan yang amat perlu bagi pembangunan negara. Islam mendidik remaja menjadi jujur dan amanah supaya apabila mengambil tanggungjawab nanti, remaja akan mempunyai persiapan. Islam memandu remaja supaya memilih hiburan yang tidak melampaui batas supaya hiburan tidak menjadikan remaja lalai dan hilang keutamaan.

Islam tidak mengajar remaja hilang adab kepada orang tua kerana ia adalah tidak baik. Islam tidak menyuruh remaja bersifat takbur kerana orang yang takbur tidak diredai Allah. Islam tidak mengajar kita supaya miskin harta dan miskin ilmu malah Islam menganjurkan kita sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat. Islam tidak menganjurkan remaja supaya bersikap mundur terhadap kemajuan dan perubahan kerana keadaan sedemikian boleh menyebabkan kita hina dan dipandang rendah.

Kental

Yang lebih utama ialah harus ada jiwa yang kental bahawa remaja ada Allah yang sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang tidak terkira. Tanda-tanda kebesaran Allah adalah amat banyak untuk menjadikan kita yakin dan patuh kepada-Nya. Remaja tidak melakukan penciptaan terhadap sesuatu tetapi ia dilakukan oleh Allah. Remaja hanya mampu mereka, mengolah dan menggubah daripada sesuatu yang sedia ada kerana manusia ada pemikiran kreatifnya. Bayangkan tanpa air sebagai sumber nikmat apakah yang dapat kita minum. Bayangkan tanpa akal untuk berfikir apakah daya untuk memiliki ilmu dan ikhtiar. Kalau hujan tidak diturunkan, bayangkan tanah-tanah yang kering tidak akan subur untuk menumbuhkan pokok yang menjadi sumber rezeki manusia. Perhatikan planet yang bergerak teratur dan tersusun, siapakah pengawalnya kalau tidak Allah. Manusia cuba menguruskan sistem di jalan raya. Sehebat mana susunannya, kemalangan tetap berlaku dan kesesakan sering terjadi. Betapa sistem solar dan kosmos yang berputar menyebabkan sesuatu itu berjalan dengan tepat tanpa adanya perlanggaran dan kesesakan. Kuasa apakah itu yang Maha Pengatur Dan Maha Penyusun. Remaja seperti orang lain memiliki roh.

Roh itu tidak datangnya daripada manusia. Roh itu pastinya milik Allah. Disebabkan roh itu milik-Nya, ia boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang ia mahu. Remaja hanya mampu berdoa dan berikhtiar. Ketentuan akhir bagi sesuatu bukan di tangan kita. Ia adalah milik Pencipta. Remaja dan manusia lain juga sifatnya fana atau tidak kekal. Berlaku silih gantian antara yang hidup dengan yang mati dan antara pohon yang tumbuh dan rebah. Manusia dan makhluk tidak kekal. Tetapi siapa yang kekal? Kalau tidak ada yang kekal tentu tidak ada yang sementara. Adanya kesementaraan tentu ada yang kekal kerana yang kekallah menyebabkan adanya kesementaraan. Tanpa yang kekal tidak akan ada silih gantian. Yang kekal itu ialah Allah dan yang sementara itu adalah kita. Hinggalah kita bertemu dengan-Nya nanti maka barulah Allah menentukan di mana kita.

Memahami hakikat ketuhanan boleh menyebabkan remaja yakin tentang Pencipta yang Maha Berkuasa. Daripadanya datang jiwa hamba yang tinggi. Daripadanya lahir rasa patuh, akur, taat dan tunduk. Daripadanya datang sifat melakukan sesuatu untuk mendapatkan perkenan-Nya atau reda-Nya. Bersifat jujur, baik hati, suka membantu, rajin bekerja, amanah dalam pengurusan, taat kepada ibu bapa, kasihkan guru, setia kepada kawan yang baik, cintakan ilmu, tahu membezakan baik dan buruk terhadap sesuatu adalah perkara-perkara yang Allah reda.

Sekiranya perlakuan remaja dalam reda Allah, amalan di dunia akan jadi natijah akhirat. Kebaikan yang remaja lakukan dalam hidup ini tidak saja membawa kebaikan kepada remaja tetapi membawa kebaikan juga kepada orang lain juga. Katakan remaja kasihkan Allah kerana Ia Maha Berkuasa dan Perkasa menyebabkan remaja akan kasihkan ibu bapa dan orang lain. Tidak mungkin orang yang benar-benar kasihkan Allah akan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Remaja yang beriman dan bertakwa akan sentiasa memiliki kesedaran ketuhanan yang tinggi. Remaja akan sentiasa insaf bahawa perbuatannya diperhatikan, perilakunya dicatatkan dan setiap apa yang dikerjakan sentiasa dalam pengetahuan Allah. Oleh itu pancaran kasih kepada Allah adalah gambaran ketaatan, kepatuhan yang tinggi terhadap-Nya.

Katakan remaja kasihkan ilmu kerana ilmu memberi manfaat kepada manusia. Tidak mungkin ilmu datang kepada remaja tanpa izin daripada Allah. Ilmu yang Allah reda tidak saja berguna dan berfaedah tetapi mendekatkan manusia dengan Pencipta. Apabila remaja berasa kedekatan dan kehampirannya dengan Allah, ilmu akan terus dicari dan ditingkatkan Dan amalan juga terus diperbanyak dan dikembangkan. Kedekatan dan kehampiran kepada Allah bukan bermakna hampir dan dekat dari segi jarak tetapi kedekatan dan kehampiran remaja terhadap Allah dilihat daripada bukti amalan yang Allah reda, niat yang sentiasa ikhlas dan hati remaja yang sentiasa tidak putus asa yang membayangkan usaha remaja yang berterusan untuk melakukan kebaikan kerana kebaikan walaupun sebesar biji sawi, Allah mengetahuinya. Keyakinan inilah yang sebenarnya menyebabkan remaja yakin akan reda Allah.

Budaya

Sekiranya budaya atau cara hidup yang yang bersandarkan kepada reda Allah wujud pada diri remaja, ia menyebabkan para remaja tidak sahaja memiliki pedoman dan dorongan yang terbaik untuk memandu jalan hidup remaja tetapi budaya reda Allah ini boleh membentuk kedewasaan remaja nantinya menjadi orang yang sentiasa taat dan patuh terhadap apa yang disuruh oleh Allah dan sentiasa mengelak dan tidak melakukan apa yang dilarang. Budaya ini apabila meresap dalam diri dan amalan remaja ia bakal menjadikan remaja orang yang sentiasa dalam rahmat Allah.

Bayangkan pada hari ini ramai remaja terjebak dengan salah laku yang berbagai. Perhatikan pada masa kini ramai remaja menjadi mangsa dadah, salah laku sosial, malah mangsa AIDS/HIV yang akhirnya jadi derita dan sengsara. Saksikan bagaimana mangsa-mangsa ini sudah hilang jalan kembali. Harapan untuk berperanan sudah hilang. Hidupnya pun ibarat bangkai bernyawa. Tidak memberi guna kepada diri dan menjadi beban terhadap orang lain. Puncanya ialah kerana hilang pedoman, tunduk kepada rangsangan hawa nafsu, tidak takutkan balasan Allah dan akhirnya kelazatan yang sementara menjadi buruan.

Memilih jalan yang Allah reda adalah jalan yang terbaik bagi remaja bagi menentukan hala tuju hidupnya. Keyakinan terhadap Allah adalah syarat utama. Allah turunkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan sumber ilmu. Tanpanya remaja bakal hilang pedoman kerana kekuatan akal adalah tidak segala-gala. Allah pilih nabi dan rasul untuk menjadi contoh ikutan kerana tanpa sumber teladan yang fitrah remaja akan kesasaran dan memilih ‘idola’ dan ‘diva’ sebagai lambang. Allah berikan remaja rahmat dan nikmat yang banyak supaya daripadanya remaja akan hidup dan bakal dewasa dalam reda-Nya.

Inilah jalan pencarian yang perlu bagi remaja supaya hidup yang sementara memberi makna yang kekal di akhirat nanti. Inilah jalan reda yang perlu diikuti supaya remaja tidak sesat dan akhirnya menyesal.
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template