26 January 2010

Mengajak Paradigma Diri

MINDA mempunyai pengaruh yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Minda yang bersih akan memancarkan individu yang hebat, berani menghadapi cabaran, reda dengan takdir dan melihat setiap peristiwa dengan kebaikan dan kesyukuran.

Menganjak paradigma bermaksud mengubah kerangka pemikiran sedia ada ke arah pembentukan kerangka pemikiran yang baru dan dapat membawa kejayaan serta kecemerlangan dalam hidup seharian. Kata pepatah lama, 'sekiranya anda mahu berkuasa, berlagaklah seolah-olah anda sedang berkuasa'.

Rasululah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan segala perkara bagi orang yang beriman. Dan semua itu baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh lain, selain orang yang beriman iaitu jika dia mendapat kebaikan atau kesenangan, dia akan bersyukur dan yang demikian itu baik baginya, dan jika dia terkena hal yang tidak menyenangkan, dia akan bersabar dan hal yang demikian itu baik baginya." - Hadis riwayat Muslim.

Mengambil kisah, Victor Seribriakott adalah seorang pelajar yang sama seperti rakan-rakannya yang lain. Ketika berumur 15 tahun, gurunya merendah-rendahkan keupayaannya dan mencadangkannya berhenti sekolah kerana bodoh.

Gurunya turut mencadangkan supaya Victor mencari kerja biasa. Victor mengiyakan kata-kata gurunya. Semasa berumur 32 tahun, Victor tergerak untuk mengambil ujian kepintaran dan keputusannya? Beliau mendapat 161 markah yang mengukur kecerdasan intelektual (IQ), lebih tinggi daripada rakan-rakannya yang lain.

Sejak itu, beliau bertukar daripada individu yang dikelilingi 'kebebalan diri' kepada 'aku cemerlang' sebagai tanda azamnya terhadap perubahan diri. Beliau menjadi penulis dan akhirnya dilantik sebagai Presiden Mensa International Society.

Tetapkan matlamat. Inilah kunci kepada kejayaan kita. Hampir kesemua individu yang berjaya dan mencetuskan perubahan adalah mereka yang menjadikan matlamat sebagai sebahagian daripada hidup. Jika kita mahukan kehidupan yang berjaya dan bahagia, kita perlu melakukan tindakan yang sama.

Pastikan matlamat kita khusus dan jelas supaya ia memberi tenaga kepada setiap usaha fizikal dan mental. Tenaganya samalah seperti yang terdapat pada anak panah murid pendeta yang meluru tepat ke arah mata burung.

Satu matlamat. Satu sasaran. Satu fokus. Hanya ada satu cara untuk kita mencapai matlamat. Hanya ada satu formula yang kita boleh percaya. Hanya ada satu petua untuk membuat perubahan positif dalam hidup kita. Satu cara itu ialah usaha. Kita memerlukan keupayaan dan keberanian untuk melaksanakan impian dan memperuntukkan masa yang cukup ke atas usaha berkenaan.

Kurang daripada satu peratus kejayaan bergantung kepada nasib. Selebihnya, 99 peratus adalah usaha dan doa anda. Jika kita bersedia untuk bekerja kuat, gigih dan berdisiplin, ruang untuk kita gagal amatlah tipis. Sambil kita menulis dan melihat catatan impian masa depan, sering bermain di fikiran kita apa yang akan berlaku jika kita gagal.

Dipetik daripada :Seribu Warna Pelangi

Continue Reading...

24 January 2010

Petua Berjaya Yang Luar Biasa

Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.

Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.

Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.

Pertandingan memanjat pokok pinang.

30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.

Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.

“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.

“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.

Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas. Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.
Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.

Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak.

Batang pinang dipanjat tak kira orang.

Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.

Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.

Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

PENGAJARAN

Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali belajarlah memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan, sama ada pujian. Jika sudah ditetapkan hala tuju, terus sahaja mara ke hadapan.


“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi


Continue Reading...

21 January 2010

Program pembangunan profesional tingkat martabat, baiki kualiti guru

PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedar wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan adalah berita gembira dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga pendidik di Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran itu meniupkan semangat baru untuk warga pendidik memajukan diri mereka.

Antara strategi dirangka untuk memartabatkan profesion perguruan ialah meningkatkan kualiti guru dengan menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah. Di samping itu, kementerian akan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada profesion perguruan.

Selain itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik. Ini seharusnya dilihat sebagai usaha dan perkembangan positif dalam memartabatkan profesion perguruan kerana program pembangunan profesional yang berterusan mensasarkan kepada matlamat mempertingkatkan kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.


Strategi ini juga bertujuan memberi galakan kepada individu yang berkebolehan dan berbakat menyertai profesion perguruan dan melihat bidang ini mempunyai prospek kerjaya menarik. Segala strategi ini dijangka mampu memberi motivasi dan galakan kepada guru untuk lebih bekerja keras dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa yang menjadi pewaris masa depan negara.

Profesion perguruan sentiasa dilabelkan sebagai satu kerjaya mudah, tidak mencabar, masa bertugas yang pendek, banyak cuti dan sebagainya. Kenapa kita sering mendengar persatuan perguruan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan, mengapa kita sering membaca luahan guru yang tidak berpuas hati dengan beban tugas yang pelbagai. Jawapannya cukup mudah kerana guru adalah satu profesion yang dipertanggungjawabkan dengan beban tugas pelbagai. Pengalaman dan pemerhatian mendapati guru bukan saja memainkan peranan untuk mengajar dan mendidik, malah lebih daripada itu.

Guru memainkan peranan yang pelbagai selain penekanan bidang akademik pelajar, guru juga perlu memastikan kokurikulum pelajar juga seiring dengan pencapaian akademik. Itu tidak lagi termasuk tugas pengurusan dan pentadbiran contohnya mesyuarat tidak kira masa termasuk pada hari minggu, mengiringi pelajar untuk projek sekolah ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Individu yang terbabit dalam bidang perguruan antara warga Malaysia yang berkebolehan, cemerlang akademik, berkelulusan tinggi, berbakat dan berjaya dalam pelbagai aspek. Namun, mengapa individu yang cemerlang dan menjadi aset berguna ini memilih profesion perguruan berbanding profesion lain yang lebih hebat seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya. Individu ini berjiwa besar dan mencintai anak bangsa dan melihat bidang perguruan sebagai wadah untuk mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Walaupun ganjaran dan pendapatan diperoleh tidak memadai dengan tanggungjawab dipikul dan ilmu dimiliki, golongan guru tetap menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin. Kenapa tidak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang menjadi payung kepada seluruh guru di Malaysia mempertimbangkan sedikit ganjaran atau insentif khas kepada guru untuk menghargai pengorbanan mereka selama ini mendidik dan meluangkan masa tanpa berkira mendidik anak kita sehingga berjaya menjadi manusia berguna.

Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati. Namun, masyarakat sering tidak meletakkan guru pada tempat sepatutnya dengan segala penat lelah yang mereka sumbangkan.

Sekiranya profesion perguruan tidak dimartabatkan pada tempat sepatutnya pada hari ini, kesannya pada masa akan datang bidang perguruan tidak lagi dipandang tinggi dan kurang penyertaan golongan profesional kerana ganjaran tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kemahiran dan ilmu dimiliki mereka.

Ganjaran bukanlah isu utama kepada guru, namun tanggungjawab mereka juga bertambah seiring dengan kemajuan negara dalam membentuk modal insan berkualiti. Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk memastikan profesion guru di Malaysia mencapai standard kualiti yang diingini, menjadi prospek kerjaya yang menarik, memberi motivasi kepada guru untuk terus menjalankan amanah dan memartabatkan profesion guru di mata masyarakat Malaysia.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia
Continue Reading...

20 January 2010

Beg plastik, pembunuh senyap

TAHU atau tidak, bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberikan impak yang lebih besar kepada alam sekeliling termasuk manusia.

Dan ada kajian yang menunjukkan statistik rakyat Malaysia membuang plastik yang sebenarnya boleh dikitar semula bernilai kira-kira RM163 juta.

Jumlah yang banyak itu bukan hanya membazir dan sepatutnya boleh dikitar semula, namun dalam masa yang sama ia turut merosakkan alam sekitar. Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih kurang peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot tanpa mengambil pendekatan yang serius.

Apa pun, kini ada sedikit kesedaran di mana Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak berjaya mengumumkan Hari Tanpa Plastik dan dilihat memberi sedikit sinar kepada bumi.Malah bukan hanya dua negeri ini, kompleks membeli-belah, institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat produk tempatan dan banyak lagi yang mengambil inisiatif sama untuk mengurangkan atau tidak menggunakan plastik sama sekali.

Tapi kenapa plastik menjadi agenda utama dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Bukan penggunaan plastik menjadi masalah utama tetapi cara pelupusan bahan tersebut yang memberi impak pada alam sekitar,” respons spontan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor mengenai penggunaan beg plastik di Malaysia.

Dalam satu temu bual yang diadakan sebelum ini, Dr. Salleh mengatakan beg plastik mampu memberi ancaman paling besar jika tiada rancangan yang teliti mengenai pengurusan pembuangan bahan plastik tersebut.

Kata beliau: “Plastik memerlukan lebih daripada program kitar semula yang biasa dan teknologi yang digunakan haruslah berkesan untuk menyelesaikan isu ini.

“Jadi kenapa sehingga sekarang, kita masih belum mampu menetapkan peraturan ketat seperti dilakukan oleh beberapa negara Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri atau dikenali sebagai Green Bag sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah.”

Satu perangkaan lain pula mengatakan, secara purata di Malaysia, seorang individu menggunakan hampir lapan beg plastik seminggu dan ada di antara mereka membuang beg plastik berkenaan selepas hanya dipakai sekali.

Tidak banyak yang diketahui kenapa bahan ringan, tidak mudah pecah, dan murah ini menjadi ancaman kepada alam sekitar jika pembaca tidak meneliti jurnal dan makalah saintifik.

Yang nyata, beg plastik mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai sebatian organik Bis(2-ethylhexyl)phthalate atau lebih dikenali sebagai DEHP atau phthalates (disebut THA-lates), satu bahan yang akan membuatkan bahan plastik menjadi lembut dan mudah dilentur.

Penyelidik di Universiti Harvard pada tahun 2002 berjaya membuat penemuan baru mengenai kesan kimia phthalates yang mampu merosakkan DNA sperma manusia.

Walaupun pengeluar mengatakan dos phthalates yang digunakan mematuhi syarat standard pengeluaran, namun dalam tempoh yang panjang, pengguna sebenarnya terdedah secara berterusan kepada kimia ini yang mampu memudaratkan manusia.

Puncanya adalah daripada kita, maka kita juga mampu untuk menyelesaikannya. Apa kata, bermula hari ini, hindarkan daripada menggunakan beg plastik.

Dipetik daripada : Utusan Malaysia

Continue Reading...

19 January 2010

Sifat Yang Melemahkan Diri

Kawal perasaan apabila hendak marah. (Gambar hiasan - dipetik daripada filem).
Secara sedar atau tidak, setiap manusia ada kelemahannya. Manusia sememangnya mempunyai kelebihan berbanding dengan makhluk lain ciptaan Allah s.w.t. Tetapi, di sebalik kehebatan itu, manusia diperingatkan dan dikecam oleh Allah s.w.t kerana memiliki kelemahan dan kekurangan yang membawa ke lembah kehinaan.

Di dalam hati manusia, terbit beberapa sifat kelemahan seperti marah, tamak dan tergesa-gesa yang muncul tanpa disedari. Walau pun nampak remeh, tetapi sifat-sifat itu menjadi laluan oleh syaitan untuk mencapai tujuannya. Manusia perlu diperingatkan tentang kelemahan itu. Ikuti maklumat bermanfaat itu sebagai santapan untuk rohani anda.


MARAH

Perasaan marah yang terbit adalah api di dalam dada insan. Sifat ini hadir apabila berlaku sesuatu yang tidak menepati kehendak hati. Perasaan itu akan berkobar-kobar dengan hebatnya jika api kemarahan dihembus lagi. Imam Ghazali menggambarkan sifat marah itu bagaikan darah yang mendidih di dalam dada. Ia akan menghasilkan asap hitam yang menyembur ke otak dan seterusnya menguasai akal fikiran manusia. Akibatnya, sifat itu mempengaruhi fizikal manusia sehingga menutup mata dan menggelapkan pandangan.

Manusia yang sedang membara kemarahannya boleh dilihat menerusi air mukanya yang berubah, tindakannya yang tidak menentu dan tutur katanya tidak teratur. Akal fikirannya waktu itu seolah-olah suatu benda yang terbakar. Api marah dapat membakar hati dan sikap ini tidak elok dibiarkan berterusan.

Dalam konteks agama, Islam membenarkan manusia marah dengan maksud untuk meluruskan yang salah, mencegah yang mungkar dalam keadaan yang terkawal dan waktu dan tempat yang sesuai. Sebab itulah ada ungkapan yang mengatakan, marah biarlah bertempat.

Jika tidak sesuai dengan keadaan, marah tidak dibenarkan kerana syaitan paling mudah menguasai manusia ketika sedang marah. Waktu itu, syaitan menciptakan keadaan yang boleh menyebabkan manusia tidak sedar apa yang mereka ucapkan dan perbuatan yang dilakukan.

Al-Quran ada merakamkan beberapa kisah tentang sifat marah yang terjadi kepada beberapa orang Nabi yang marah disebabkan oleh kedurhakaan kaumnya yang enggan taat kepada perintah Allah s.w.t. Mengenai kisah Nabi Yunus misalnya, al-Quran menyentuh mengenai marahnya terhadap sekelompok Bani Israil yang enggan taat sehingga dia meninggalkan tugas dan menuju ke laut. Dia menduga bahawa “Kami tidak akan memberinya hukuman atas marah”. (Surah al-Anbiya, ayat 87). Malah Rasulullah s.a.w sendiri diingatkan oleh Allah s.w.t akan bahaya sifat marah. Allah bersabda, “Janganlah engkau menjadi seperti Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan besar,” (Surah al-Qalam, ayat 47).

Memandangkan banyak kesan buruk akan berlaku akibat sifat marah, Rasulullah s.a.w berpesan kepada kita agar tidak mudah marah. Andai kata rasa terdorong untuk marah, al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita supaya memohon perlindungan Allah s.w.t daripada syaitan. Ini kerana syaitan akan mengipas dan menyiram minyak untuk menyemarakkan api di dalam hati.

Anda dianjurkan untuk diam, duduk dan meninggalkan tempat itu. Jika perasaan marah masih memuncak, eloklah berbaring. Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau salah seorang di antara kamu marah, sedang ketika itu dia berdiri, maka hendaklah duduk. Kalau marahnya belum reda, hendaklah berbaring,” (Riawayat Abu Daud dan Ibnu Hibban).


TAMAK

Sifat tamak adalah ekoran daripada keinginan yang sangat berlebihan yakni di luar batas kewajaran dan kemampuan. Bak ungkapan orang arif dan cerdik pandai, “Ukurlah kemampuan anda dan berusahalah untuk meraih keinginan. Ketahuilah batas anda dan jangan melampaui batas. Terimalah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kamu dan syukurilah anugerah itu.”

Tidak dinafikan bahawa keinginan yang berlebihan untuk mendapatkan sesuatu adalah sifat azali yang sudah tertanam dalam diri manusia. Nabi Muhammad pun memiliki sifat itu. Baginda berkeinginan agar seluruh manusia beriman kepada Allah s.w.t.

Keinginan Rasulullah s.a.w itu diingatkan oleh Allah s.w.t bahawa beliau hanya berkewajipan menyampaikan ajakan dan risalah Allah s.w.t dan bukan menjadikan mereka beriman seperti dalam sabda, “Engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang engkau cintai tetapi Allah s.w.t yang memberi petunjuk siapa yang dikehendakiNya.” (Surah al-Qasas ayat 56).

Perasaan keinginan nafsu yang melampaui batas adalah pintu masuk syaitan ke dalam jiwa manusia. Segala jalan akan ditempuh dengan sedaya upaya untuk memuaskan keinginan yang belum pasti diraih meskipun ia bertentangan dengan hati dan ajaran agama.

Akibat daripada sifat itu, seseorang manusia akan bangga dan merasa puas apabila berhasil memiliki sesuatu yang dimiliki oleh orang lain dan tidak pernah merasa senang dan puas melihat kelebihan dan kejayaan kawan apatah lagi lawannya.

Jiwa orang yang memiliki sifat itu sentiasa goncang dan tidak tenteram. Dia tidak pernah menikmati apa yang dimilikinya. Apa yang membahayakan ialah apabila keinginan nafsu adalah kuat tetapi kurang kemampuan untuk melakukannya.


TERGESA-GESA

Sudah menjadi lumrah bahawa setiap manusia ingin mendapatkan sesuatu yang diinginkannya dengan segera. Begitu juga sewaktu berdoa dengan harapan doa yang dipanjatkan akan segera dikabulkan oleh Allah s.w.t. Sifat ini adalah satu kelemahan manusia. Adakah tergesa-gesa sama dengan gerak cepat?

Sifat tergesa-gesa kerap terjadi akibat daripada satu tindakan. Kadang-kadang menyebabkan manusia menjalankan kewajipan asal menjadi sesuka hati dengan mengambil jalan pintas yang bertentangan dengan hukum. Bukankah banyak dosa yang terkumpul akibat kesilapan manusia disebabkan sifat tergesa-gesa?

Menghindari sifat ini tidak bermakna Allah s.w.t menggalakkan manusia bertindak lambat, menunda kerja hingga keesokan hari dan sebagainya. Sebaliknya ia bermaksud sebagai larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan tergesa-gesa sehingga tidak sesuai dan memenuhi ketentuan atau mengambil kesempatan dalam kesempitan. Rasulllah s.a.w. bersabda, “Tidak tergesa-gesa (berfikir matang) bersumber daripada Allah, dan tergesa-gesa bersumber daripada syaitan.” (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai renungan, eloklah merujuk nasihat al-Jahiz (775-867H) tentang sikap tergesa-gesa. “Hati-hatilah, jangan sampai syaitan memperdaya kamu, sehingga menguburkan tekad dan iltizam kamu atau memperlihatkan sikap suka menunda-nunda sebagai bentuk tawakkal (berserah diri kepadanya). Jangan sampai pula syaitan mencabut sikap berhati-hati yang melahirkan keengganan untuk bertindak dengan bertopengkan takdir.”

Hakikatnya terdapat banyak kelemahan manusia yang dapat dimanfaatkan oleh syaitan. Semoga dengan selalu mengingati Allah s.w.t dan mengingat permusuhan dengan syaitan, anda dapat menghindari semua sifat kelemahan. Mudah-mudahan Allah s.w.t melindungi anda daripada kelemahan berkenaan.

Dipetik daripada : Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

18 January 2010

Senyum

SENYUM adalah bahasa dunia. Ia menunjukkan keceriaan.

SENYUM adalah perhiasan batin yang dapat membantu mengindahkan perhiasan lahir yang tidak sempurna.

Setiap kali berhubung dengan orang lain, sewajarnyalah kita SENYUM.

SENYUM adalah jalan pintas bagi menyatakan anda menyukai seseorang.

"SENYUM" yang kamu berikan apabila berhadapan dengan sahabatmu adalah satu sedekah.

SENYUM adalah jambatan persahabatan.

SENYUM adalah satu perlabuhan yang pastinya tidak akan merugikan.

Di Moscow, Rusia, ada sekolah yang mengajar untuk SENYUM.

SENYUM harus ada ketululusan.

SENYUM yang dibuat-buat pasti tidak akan menyenangkan, sama saja dengan kening yang berkerut.

Adalah diperakui, setiap kali terSENYUM kita hanya menggerakkan 15 otot manakala ketika marah kita akan mengedutkan 63 otot di bahagian muka. Perbuatan mengerutkan dahi saja memerlukan gerak kerja 40 otot. Bayangkanlah !!!

"SENYUM" juga adalah malaikat rahmat yang turun ke dunia.

Kebanyakkan SENYUM adalah jangkitan.

Apabila kita SENYUM orang akan SENYUM balik kepada kita.

Orang akan merasa dihargai bila kita SENYUM padanya, sekligus ia akan memberi tanggapan yang baik kepada diri kita. Lantas .... kenapa kita tidak muliakan ? Muliakan dengan diri kita. SENYUMlah hari ini.

Alangkah mudahnya membina rangkaian
persahabatan........ Willian Shakespere
mengatakan : "Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan SENYUM daripada memotong dengan pedang"

Semasa bekerja, semasa belajar, SENYUMlah.
Ia akan menumbuhkan rasa keriangan dan kegembiraan.

Bila berhadapan dengan keadaan sukar SENYUMlah. Bukankah ketawa yang sopan itu sehat.

Pujangga menyebut : "SENYUMan itu kelopak.
Tertawa itu bunga yang sempurna kembangnya.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

Continue Reading...

17 January 2010

Beza antara mentega & marjerin..

Beza Antara Mentega Dan Marjerin (Differences Between Butter And Margarine)
Dipetik dari Rense.com <
http://rense. com/>

Marjerin pada asalnya bahan yang dihasilkan bagi menggemukkan ayam belanda (turkey). Apabila ia menyebabkan kematian kepada haiwan terbabit, orang yang melabur wang mereka dalam kajian itu mahukan wang mereka semula lalu memerah otak untuk mencari jalan apa yang mahu dibuat dengan barangan tersebut bagi mendapat semula wang pelaburan mereka.

Ianya adalah sebatian bahan berwarna putih yang tidak menyelerakan lalu
mereka tambah pewarna kuning dan menjual kepada orang ramai sebagai ganti mentega. Suka tak? Mereka dengan liciknya telah menghasilkan marjerin dengan pelbagai perasa baru.


TAHUKAH ANDA ...perbezaan antara marjerin dan mentega?
Bacalah sehingga ke akhirnya.anda tentu tertarik! Kedua-duanya mempunyai
jumlah kalori yang sama. Mentega sedikit tinggi kandungan lemak tepunya sebanyak 8 gram berbanding 5 gram pada marjerin. Dengan memakan marjerin boleh meningkatkan penyakit jantung pada wanita sebanyak 53% berbandingmemakan jumlah sama mentega, menurut Kajian Perubatan Harvard yang terbaru. Memakan mentega meningkatkan penyerapan banyak nutrien lain dalam makanan. Mentega mempunyai banyak faedah nutrisi berbanding marjerin kerana ia adalah makanan tambah nilai!

Mentega lebih enak berbanding marjerin dan ia boleh menaikkan rasa makanan
lain. Mentega sudah pun wujud selama berabad-abad sedangkan marjerin
terhasil kurang dari 100 tahun.

Dan sekarang kita bercakap tentang marjerin. Ia sangat tinggi kandungan asid
lemak Trans. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak tiga
kali ganda. Ia meningkatkan kolesterol total serta LDL (kolesterolberbahaya) dan menurunkan HDL (kolesterol bagus). Marjerin menaikkan risiko penyakit barah sebanyak lima kali ganda. Ia mengurangkan jumlah susu badan. Ia juga merendahkan respons pertahanan tubuh serta keberkesanan insulin semula jadi badan.

Dan ini ialah fakta yang paling membimbangkan . INI IALAH BAHAGIAN YANG
SANGAT MENARIK! Marjerin hanya kekurangan SATU MOLEKUL untuk menjadi PLASTIK. Fakta ini sahaja sudah cukup membuatkan saya mengelak dari memakan marjerin seumur
hidup saya dan setiap barangan yang melalui proses hidrogenasi (ia bermakna
hidrogen ditambah, mengubah struktur molekul bahan).

Anda boleh cuba melakukan ujikaji ini:
Belilah satu mangkuk marjerin dan tinggalkan ia dalam garaj mahupun tempat
teduh. Dalam masa dua hari anda akan dapati dua perkara berikut:

*tiada lalat yang menghurung, tidak juga lalat buah akan menghampirinya (ia
sepatutnya memberitahu sesuatu kepada anda)
*ianya tidak akan membusuk atau bertukar baunya kerana ia tiada nilai-nilai
nutrisi; tidak akan ada apa yang tumbuh atasnya. Hatta satu mikroorganismajuga tidak akan membiak atasnya. Kenapa? Kerana ia sangat hampir kepadaplastik. Mahukah anda meleburkan Tupperware dan menyapu ia ke atas roti
anda?


BAGUSLA KALAU DAH TAHU..Sebar2kan supaya jumlah pesakit jantung & barah berkurang.


hmm...

Dipetik daripada : Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template