Lazimnya apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pencapaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.
Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.
Ibu bapa juga perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang serta menguruskan masa dengan bijak.
Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.
Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.
Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.
Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.
Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.
Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.
Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.
Oleh itu, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak.
Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap memuaskan kerana anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang.
Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian.
Sebagai permulaan, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik.
Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan seperti menyusun perhiasan di ruang tamu supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa.
Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat pertama turun kepada Rasulullah SAW ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)
Ibu bapa memainkan peranan penting mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga seperti budaya solat, makan dan bercuti bersama.
Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah.
Diriwayatkan oleh Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi."
Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.
Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.
Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."
RANCANGAN JAHAT ZELENSKY
2 years ago
1 comments:
ermm..
parents saya da jadi yang terbaik
dan saya harap saya takkan sangkut agi
doakan jeh la saya :)
harap saya takkan frust menonggeng nanti !
Post a Comment