28 December 2009

Beri ruang pendidikan jayakan perpaduan

Dunia akan memasuki dekad pertama abad Ke-21. Tidak syak lagi dekad akan datang memerlukan penyelesaian kalaupun tidak sepenuhnya, beberapa perkara yang masih membelenggu sistem pendidikan negara. Pada saya tiga perkara utama yang mesti diselesaikan segera.

Pertama, penekanan yang keterlaluan kepada peperiksaan yang hanya berfungsi menapis pelajar akan membina jurang yang sangat besar. Sedangkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan tidak sepenuhnya menggambarkan kualiti sebenar potensi seseorang pelajar.

Sejak sekian lama, budaya terlalu taksub dan percaya bahawa pencapaian akademik melalui peperiksaan adalah matlamat akhir pendidikan, telah membelenggu sistem pendidikan negara. Sehingga kita gagal menggilap kebijaksanaan sebenar anak-anak kita sejak di sekolah rendah.

Kementerian Pelajaran perlu mendidik ibu bapa supaya menghargai seluruh potensi anak-anak mereka, bukan sekadar meraikan berapa banyak gred A yang diperoleh. Belenggu kedua yang harus diselesaikan tentunya sekolah vernakular atau sekolah pelbagai aliran.

Di negara ini seperti sudah mustahil sekolah satu aliran boleh diwujudkan, malah tiada siapa pun berani menukarkan warisan pendidikan penjajah walaupun selepas 52 tahun negara merdeka. Dari satu segi mungkin ada baiknya sistem pendidikan vernakular kekal kerana situasi politik negara ini memerlukan isu-isu sedemikian untuk 'menutup mulut' terhadap tuntutan kaum tertentu.

Misalnya apabila kalangan pemimpin bukan Melayu menuntut liberalisasi hak-hak keistimewaan Melayu, pemimpin politik Melayu pula akan menuntut diwujudkan sekolah satu aliran, yang akhirnya mententeramkan seketika tuntutan bukan Melayu.

Tetapi untuk jangka panjang sekolah satu aliran pasti penting diwujudkan. Tinggal lagi berapa lama masyarakat kita bersedia menerima sekolah satu aliran. Harus diingat sekolah wawasan gagal bukan kerana kurangnya kelengkapan dan prasarana, tetapi kerana ketidaksediaan masyarakat bukan Melayu menerima konsep sekolah tersebut.

Kalaupun sekolah satu aliran ingin diwujudkan misalnya tiga tahun dari sekarang, apakah perlaksanaannya akan berjaya, atau sekali lagi 'terkorban' seperti sekolah wawasan. Mekanisme kepada sekolah satu aliran perlu dirancang. Kewujudan sekolah satu aliran semata-mata tidak menjanjikan kejayaan mencapai perpaduan.

Tetapi mengapa di Sabah dan Sarawak walaupun sistem pendidikan vernakular masih berjalan, perpaduan masyarakatnya lebih baik dan harmoni? Pentingnya dirancang secara terperinci jika ingin benar-benar sekolah satu aliran diharap membina perpaduan kaum.

Belenggu ketiga ialah merapatkan jurang pendidikan bandar, luar bandar dan pedalaman. Saya melihat isu ini sangat penting. Kemudahan pendidikan, latihan guru, motivasi guru serta kepakaran sejak sekian lama tidak banyak berubah di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Kalau kita bercakap soal globalisasi, tetapi jurang pendidikan tidak dapat diselesaikan dan pemikiran guru tidak ditransformasikan, tidak banyak kejayaan yang boleh diharapkan.

Pengupayaan pendidikan bahasa Inggeris yang rendah serta aktiviti teknologi maklumat yang kurang diamalkan di sekolah luar bandar dan pedalaman akan terus melebarkan lagi masalah ketidakseimbangan masyarakat untuk sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.

Harus diingat bahawa majoriti anak-anak Melayu tinggal di kampung dan pedalaman, manakala sekolah bandar majoriti anak-anak masyarakat Cina. Maka pada akhirnya jika sekolah luar bandar dan pedalaman tidak dibantu, jurang pencapaian pendidikan serta potensi pelajar akan makin membesar, seterusnya membentuk masyarakat yang tidak seimbang dari segi ekonomi dan sosial.

Adakah mekanisme pendidikan negara ketika ini mampu melahirkan generasi dengan modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan?

ANUAR:Tidak banyak kajian dalam negara yang boleh digunakan untuk melihat apakah ilmu yang disampaikan di peringkat sekolah menengah benar-benar mampu membina modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan.

Rujukan yang ada sekadar pernyataan bahawa pendidikan penting untuk membina minda dan modal insan kelas pertama. Saya fikir semua orang tahu tentang hal itu. Soalnya bagaimanakah sistem pendidikan negara kita telah menjayakannya, mana kajian empirikal yang boleh membuktikan. Setahu saya tidak ada.

Kita mungkin diuar-uarkan dengan segelintir pelajar yang cemerlang setiap kali peperiksaan awam diumumkan. Bagaimana pula dengan kumpulan pelajar yang gagal? Ke mana mereka pergi selepas persekolahan? Apakah kerajaan juga bersedia menguruskan mereka yang gagal dalam SPM atau STPM sebagaimana kerajaan membuat pelaburan ribuan juta ringgit membina universiti untuk pelajar yang berjaya dan cemerlang.

Satu perkara yang jelas sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi di negara ini tidak dibina dalam satu pakej. Pada setiap peringkat akan ada ramai yang digugurkan. Maka itu sistem penilaian pembangunan pelajar perlu dikemaskinikan sejak dari mula.

Seharusnya kita mempunyai laporan profil pembangunan pelajar sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan lima untuk setiap guru meneliti, membimbing dan menunjukkan jalan bagaimana seseorang pelajar dapat meningkatkan potensi diri pada setiap tahap pembelajaran.

Seorang yang lemah akademik di sekolah rendah bukan bermakna beliau akan terus gagal di dalam pendidikan sekolah menengah atau di universiti. Saya fikir PIPP 2006-2010 merupakan satu dokumen yang sangat ideal. Mana mungkin dalam masa beberapa tahun dilaksanakan , semua teras utama boleh dijayakan.

Pendidikan harus membina modal insan berkualiti bukannya pekerja industri semata-mata. Seperkara lagi pengajaran dan pembelajaran keagamaan dan moral harus lebih tegas dan terkamil dalam sistem pendidikan negara. Malangnya walaupun kita mempunyai dasar serta kurikulum pendidikan agama Islam dan moral, dari segi pengamalannya masih tidak banyak membantu hasrat membangunkan modal insan yang bermoral tinggi.

Umum mengetahui sistem pendidikan kita gagal menjadi agen perpaduan. Apa sebenarnya yang menjadi penghalang?

ANUAR: Banyak yang menghalang, tetapi dua yang paling utama. Pertama politik berteraskan perkauman dan keduanya amalan ilmu perpaduan masih kurang di kalangan rakyat massa. Berbeza dengan semangat pendidikan era 1950an dan 1960an, pendidikan sekarang sangat terkongkong dengan sentimen berasaskan kaum. Hinggakan ramai ibu bapa Cina dan India tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan walaupun hampir dengan kediaman kerana bimbang anak mereka 'dimelayukan' atau diislamkan' di sekolah kebangsaan.

Kurangnya maklumat berkaitan perkembangan sekolah kebangsaan dan manipulasi politik oleh kepimpinan politik perkauman mewujudkan prasangka ini. Sedangkan ramai guru-guru berketurunan Cina dan India mengajar di sekolah kebangsaan, malah bahasa mandarin dan Tamil juga diajarkan di sekolah kebangsaan.

Selagi ada ahli politik cuba menangguk di air yang keruh dalam sektor pendidikan yang sepatutnya murni, selagi itu pendidikan di negara ini tidak mampu untuk menjadi teras kepada perpaduan bangsa. Rancanglah apa juga program dan dasar perpaduan, pasti kita tidak akan dapat menjayakannya.

Ahli politik perlu memberikan peluang untuk pendidikan menjayakan perpaduan sewajarnya dan menggilap potensi anak-anak agar Malaysia pada masa depan lebih berdaya saing dan cemerlang.

Keduanya, kurang ilmu perpaduan. Perpaduan adalah ramuan kecemerlangan negara majmuk seperti Malaysia. Konflik kaum akan merosakkan segalanya. Pendidikan hubungan kaum bukan bergantung kepada slogan, lagu atau semangat sukan semata-mata, tetapi tergantung kepada ilmu.

Saya sentiasa ingat kawan saya berketurunan Cina yang akan berhenti berbual bila mendengar azan dilaungkan. Beliau juga akan bertanya sama ada saya ingin berhenti berbincang untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Saya juga rasa diterima dan sering menerima ucapan tahniah daripada rakan berketurunan Cina kerana menguasai serba sedikit bahasa Mandarin. Kami juga sentiasa pastikan menu yang dipesan tidak mengandungi daging lembu bila keluar makan bersama rakan beragama Hindu. Ini adalah contoh ilmu untuk perpaduan. Bukan sekadar tahu tetapi mengamalkannya.

Sistem pendidikan negara dilihat masih tidak dapat dipisahkan dengan survival politik parti-parti tertentu. Apakah sebenarnya kerugian yang terpaksa ditanggung oleh generasi muda dalam soal ini?

ANUAR: Pendidikan sudah menjadi modal politik di negara ini. Malah agama juga turut menjadi mangsa sebagai modal politik. Perlembagaan turut tidak terkecuali. Pendek kata apa sahaja yang penting kepada masyarakat semua sudah menjadi modal politik. Akibatnya kita tidak dapat berkembang dengan cepat dan konsisten.

Apa sahaja walaupun bermatlamat baik akan menjadi isu dalam politik. Pembinaan sekolah yang besar dan selesa akan dianggap pembaziran oleh parti lawan, cadangan membina sekolah satu aliran untuk perpaduan dianggap membunuh identiti kaum lain, mata pelajaran sejarah dianggap sebagai doktrinisasi pihak parti pemerintah, kuota dan biasiswa IPT dipersoalkan.

Bila pula masanya untuk kita menangani isu cabaran globalisasi dan persaingan antarabangsa jika setiap perancangan pendidikan dipolemikkan bagi tujuan politik sempit perkauman.

Kerugian paling besar ialah untuk pembinaan negara bangsa. Kita akan kekal selamanya dalam kepompong kecil politik dalaman sehingga gagal menaakul cabaran di peringkat antarabangsa. Semua parti politik harus insaf untuk membina pendidikan dan bukan mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan parti.

Dipetik daripada: Mingguan Malaysia

Continue Reading...

27 December 2009

garis panduan bayaran PIBG

Majlis Permuafa:katan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Kementerian Pelajaran menetapkan garis panduan bagi sumbangan ibu bapa pada PIBG bagi mengelak ibu bapa terbeban dengan jumlah kutipan yang tidak seragam oleh pihak sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Ali Hassan berkata, PIBGN menyambut baik usaha kementerian menyeragamkan bayaran tambahan bermula sesi persekolahan tahun hadapan namun timbul beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian.

“Ianya perlu ditetapkan oleh kementerian bagi sekolah rendah dan menengah dengan sekurang-kurangnya mempunyai had minimum dan maksimum agar tidak membebankan ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rabu lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Kementerian juga memberi persetujuan kepada pihak sekolah serta PIBG menetapkan jumlah sumbangan ibu bapa berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

Ali berkata, bayaran baru yang ditetapkan perlu dibayar pada awal sesi persekolahan dibuka nanti bertentangan dengan arahan kementerian sebelumnya yang menetapkan bayaran pada bulan Jun.

“Jika tahun lalu bayaran pada bulan Jun, tetapi sekarang perlu dibayar pada Januari. Ini membuatkan ibu bapa keliru dengan dasar yang tidak konsisten,” katanya.

Beliau juga keliru mengenai sama ada kementerian masih meneruskan peruntukan RM8 seorang kepada murid sekolah rendah dan RM10 kepada pelajar sekolah menengah sebagai penambahan kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi aktiviti sekolah.

“Buat masa ini, saya masih tidak pasti sama ada ia masih diteruskan atau tidak. Sekurang-kurangnya, peruntukan itu dapat membantu PIBG mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Dipetik daripada: Sinar Harian
Continue Reading...

25 December 2009

Kesan aplikasi sosial maya

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial dinasihatkan supaya tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kerdit, pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya.


FACEBOOK yang mendakwa memiliki 350 juta pengguna kini menyimpan sepuluh bilion gambar pengguna laman web tersebut.


PENGGUNAAN Internet di kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat dan mula mengubah cara hidup mereka.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012.

Kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia pula telah mencatat sebanyak 66 peratus pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatat 74.3 peratus dan 68 peratus.

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web aplikasi rangkaian sosial semakin bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace, Tagged dan sebagainya.

Facebook yang mendakwa memiliki sejumlah 350 juta pengguna dari segenap pelosok dunia, kini menyimpan lebih daripada 10 bilion gambar yang dikongsi oleh pengguna-pengguna laman rangkaian sosial tersebut.

Impak pada masyarakat

Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian sosial Facebook telah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster.

Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.

Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular seperti Facebook telah mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif digunakan seperti eKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta Pacmee.

Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain.

Ciri asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Laporan yang dikeluarkan oleh Sumber Media, Markmonitor bagi suku pertama tahun 2009 menunjukkan peningkatan hampir 240 peratus terhadap serangan phishing di Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan terhadap perkhidmatan rangkaian sosial.


LAMAN sosial Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.


Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Markmonitor, Frederick Felman, serangan phishing itu merupakan salah satu inovasi terbesar. Perkhidmatan rangkaian sosial menjadi sasaran utama penggodam Internet lantaran ia menyimpan banyak maklumat peribadi pengguna yang sangat bernilai.

Setiap maklumat peribadi tersebut dikatakan boleh dijual di pasaran gelap pada harga AS$1 (RM3.80).

Selain itu, syarikat perisian antivirus F-Secure turut melaporkan tentang peningkatan risiko perisian berbahaya (malware) dalam perkhidmatan rangkaian sosial berikutan peningkatan serangan sebanyak 100 peratus pada tahun 2007.

Terdapat juga perisian berbahaya yang menyamar seperti tampalan keselamatan (security patch) untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan rangkaian sosial agar memuat turun dan memasangnya.

Hampir kesemua aplikasi rangkaian sosial tidak memiliki kaedah untuk mengesahkan umur sebenar setiap penggunanya, melainkan dinyatakan secara sukarela oleh golongan pengguna yang mendaftarkan diri.

Ini mendedahkan golongan kanak-kanak kepada risiko masalah fidofilia iaitu salah laku seksual antara golongan dewasa dan kanak-kanak. Ia berlaku apabila pengguna dewasa boleh menyamar sebagai kanak-kanak dan menjalin hubungan dengan mereka.

Kebanyakan aplikasi rangkaian sosial membenarkan pengguna meninggalkan komen pada catatan atau gambar pengguna lain. Kemudahan itu telah membuka ruang berlakunya kejadian buli dan gangguan siber.

Keselamatan

Kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja, terhadap aplikasi rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang membimbangkan. Misalnya, seorang gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian sosial Twitter telah terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi.

Aplikasi rangkaian sosial turut dikatakan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah disiplin terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan komputer.

Budaya itu akan membawa kepada masalah kesihatan mata, postur badan disebabkan kedudukan yang tidak ergonomik dan sebagainya.

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial perlu sentiasa peka dan mengambil langkah keselamatan seperti tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kredit, nombor pin, kata laluan pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya di mana-mana aplikasi rangkaian sosial.




Selain itu, setiap pengguna juga perlu berhati-hati dalam memilih dan menerima kenalan yang ditemui dalam rangkaian sosial.

Pengguna perkhidmatan rangkaian sosial diingatkan agar tidak mudah percaya dengan identiti yang dipaparkan kerana terdapat pelbagai kes identiti palsu melibatkan orang yang baru dikenali. Ini boleh membuka jalan kepada berlakunya pelbagai jenayah seperti kes rogol, rompak dan penipuan.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak sesekali klik pada pautan atau menerima dan memasang perisian yang diterima daripada orang yang tidak dikenali.

Fungsi privasi juga perlu diaktifkan pada akaun rangkaian sosial (sekiranya ada) yang digunakan untuk mengawal kumpulan individu tertentu daripada melihat maklumat penuh atau gambar-gambar milik pengguna-pengguna yang boleh dijadikan bahan ugutan.

Hati-hati ketika meletakkan mesej dan gambar yang boleh memberikan petunjuk kepada identiti atau lokasi sebenar pengguna

Dipetik daripada:Kosmo Online
Continue Reading...

Premis Perjudian Di Sebalik Nama Kafe Internet

Papan tanda di luar tertulis Kafe Internet, bagaimanapun beberapa premis ini sebenarnya menjalankan perniagaan mesin judi.

Sepuluh premis sedemikian yang merupakan pusat perjudian, tetapi menyamar sebagai kafe siber, sudah beroperasi di kawasan tumpuan ramai ini sejak setahun yang lalu.

Wartawan Bernama yang menyamar sebagai pelanggan dan mengunjungi empat daripada premis perjudian ini sejak lima bulan lepas mendapati pusat ini bebas beroperasi tanpa mengendahkan peraturan undang-undang.

Setiap premis mempunyai identiti dan pelanggan yang berbeza. Kawalan keselamatan yang ketat biasanya dikenakan kepada pelanggan baru.

Sepuluh premis ini terletak di lima blok berlainan dan kawasan syurga judi ini berjiran dengan pelbagai kedai biasa seperti kedai runcit, restoran, dan bengkel kenderaan.

Dari luar rupanya umpama kafet internet, walhal di dalamnya aktiviti perjudian berjalan 24 jam, membawa keuntungan berjuta ringgit sebulan.

OPERASI TANPA REHAT

Daripada pemerhatian penulis, kebiasaannya pekerja premis membuat pemeriksaan terhadap semua mesin judi dua kali sehari, setiap 12 jam. Mereka akan meneliti setiap mesin untuk mencatat dan mengemas kini data serta rekod wang masuk dan wang keluar.

Untuk berjudi, caranya begitu mudah. Pelanggan hanya perlu memasuki premis dan duduk di tempat yang mempunyai mesin judi dan membayar minimum RM50 untuk mula bermain. Pelanggan akan diberikan kredit berdasarkan jumlah yang dibayarnya dan ini akan tertera pada skrin komputer.

Terdapat pelbagai jenis permainan yang disediakan untuk pelanggan -- roulette, lumba kuda, kungfu, poker dan pelbagai lagi -- yang jarang memberi peluang pelanggan menang. Kalau menang sesekali, setelah dikira modal yang dilaburkan setiap kali bermain, mereka sebenarnya rugi.

Setiap premis mempunyai tiga hingga empat orang pekerja pada satu-satu masa untuk mengira wang, mengawal pintu masuk, mengajar pelanggan baru berjudi dan membuka permainan atau mesin judi.

Beberapa individu yang dipercayai tonto dilihat berlegar-legar di dalam dan luar premis bagi mengawal keselamatan premis.

MATA-MATA ELEKTRONIK

Selain individu berkenaan, premis ini dipasang dengan mata-mata elektronik atau kamera tersembunyi di dalam dan luar penjuru premis bagi memastikan keselamatan premis termasuk kawasan jiran.

Apa yang difahami wartawan Bernama ialah mata-mata elektronik ini akan membantu menyelamatkan jiran yang lain daripada diserbu jika sebuah daripada premis ini, dihampiri pihak berkuasa.

Kamera ini diawasi pekerja lain yang berada di bilik rahsia untuk memberi amaran akan kehadiran pihak berkuasa atau tetamu tidak diundang.

Untuk memasuki bilik rahsia ini, pekerja restoran yang mahu menghantar makanan akan membuat ketukan isyarat tertentu untuk kebenaran masuk.

PELANGGAN TAGIH NASIB DARIPADA TETIKUS

Hampir 90 peratus pelanggan setia premis ini ialah Bumiputera dan selebihnya termasuk warga asing yang membanjiri pusat ini terutama pada hujung bulan, waktu gaji.

Ada di antara mereka menghabiskan wang hingga RM1,000 sehari demi mendapatkan wang segera yang dijanjikan mesin judi itu namun di akhirnya kerugian yang menimpa mereka.

Seorang lelaki berusia 20-an, berkata beliau mengunjungi premis ini kerana banyak pilihan permainan judi dan kawasannya terjamin selamat.

"Kalau gaji datang sini...kadang-kadang menang, tapi banyak kalah...tengok nasib," katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Beliau berkata faktor suka-suka dan ingin mendapatkan wang dengan mudah walaupun risikonya tinggi dijadikan alasan untuk berjudi dengan mesin yang dikawal tetikus ini.

'Otai' gelaran yang diberikan kepada seorang lelaki lain, berusia 40-an, pula berkata keghairahan beliau bermain mesin judi kini lebih kepada bertaruh dengan pemain lain.

Katanya ini bergantung kepada 'nasib', tidak payah berhempas pulas macam 'junior' lain yang baru mencuba berjudi.

"Tengok permainan juga sebelum bertaruh...kena pandai dan berhati-hati, biar rugi sedikit tapi untung masuk perlahan-lahan," katanya aktif berjudi sejak 10 tahun lalu.

BEBAS BEROPERASI

Peniaga premis lain ketika ditemui berkata 10 pusat perjudian ini kerap diserbu pihak berkuasa namun selang dua tiga hari kemudian akan beroperasi kembali.

Mereka mendakwa kegiatan ini sukar dibendung dan kadang kala menakutkan pelanggan kedai mereka jika pihak berkuasa membuat serbuan terhadap "jiran" mereka ini.

Seorang lelaki yang mengetahui aktiviti perjudian ini berkata pihak berkuasa perlu bertegas dalam mengawal kegiatan ini.

Beliau bimbang premis itu juga didatangi kanak-kanak kerana berhampiran dengan kawasan perumahan. Ada rumah yang hanya kira-kira 50 meter jaraknya.

"Bayangkan kalau anak-anak yang balik sekolah mengunjungi tempat ini dengan tujuan bermain komputer tetapi yang disediakan ialah mesin judi," katanya.

Merancakkan lagi kawasan 10 premis mesin judi ini ialah kehadiran mat rempit dan 'budak jaga kereta' yang mengawal kereta untuk menagih wang segera.

Sesungguhnya kegiatan perjudian ini bagai mendapat kekuatan daripada sokongan jiran dan kumpulan tertentu walaupun acap kali diserbu, tetapi terus hidup seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.

Dipetik daripada :Bernama
Continue Reading...

22 December 2009

Kuasa Pengguna - Antara Kesedaran Dan Kesanggupan Bersuara

Ali, bukan nama sebenar, menjadi pelanggan tetap di sebuah pasar raya di sini, walaupun dia sedar harga barang di pasar raya itu lebih mahal daripada kedai lain.

"Tak apalah mahal sikit, asalkan saya selesa membeli belah di sini," itu alasan yang beliau berikan bila ditanya kenapa tidak ke tempat lain atau adukan saja kepada pihak berkuasa mengenai harga barang di pasar raya itu.

Muthu pula enggan menemani isterinya untuk memulangkan semula blaus mahal yang dibeli isterinya, tetapi mengecut kainnya walau baru sekali cuci, kerana beliau menganggap tiada apa yang mereka boleh lakukan.

Dua kes ini lazim didengar dalam kalangan pembeli di negara ini, yang tidak menyedari mereka boleh berbuat sesuatu untuk menuntut hak mereka dan juga tidak sanggup bersuara.

Walaupun ramai yang tidak mengendahkan perkara ini, ada juga yang berani bersuara. Contohnya seorang pengguna telah ke Tribunal Tuntutan Pengguna, mengadu mengenai kualiti cat yang dibekalkan kontraktornya, tidak sama dengan jenama terkenal yang dijanjikan.

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA UNTUK SEMUA

Aduan pengguna itu didengari di Tribunal, di bawah Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tidak sampai sebulan selepas kes difailkan, dan kosnya hanya RM5 ketika itu.

Semasa pendengaran, pengadu berdepan dengan pembekal khidmat dan barangan, yang didakwa menyeleweng daripada perjanjian asal, tanpa perlu mendapatkan khidmat pihak ketiga mahupun seorang peguam.

"Saya amat berpuas hati, wang saya dikembalikan dan saya uar-uarkan kepada kawan-kawan tentang perlunya kita menegakkan hak sebagai pengguna yang bertanggungjawab.

"Wang kita bukannya senang dicari. Saya pasti kontraktor itu telah mempelajari satu pengajaran yang turut akan memanfaatkan pengguna lain di masa akan datang," jelas pengguna itu.

Tribunal itu memberikan pengguna satu kaedah yang sangat mudah lagi murah untuk menuntut hak mereka dengan membawa transaksi yang tidak mereka senangi ke muka pengadilan.

Saban hari, pengguna perlukan khidmat pembekal untuk memenuhi kehendak cita rasa masing-masing, dan perlu akur membayar fi serta kos yang dikenakan.

Pengguna perlu ingat, periksalah terlebih dahulu produk yang mereka beli itu. Timbangkan sejauh mana barang itu menepati diskripsi awalnya dan juga, ketahanannya berfungsi untuk satu jangka waktu yang berpatutan.

KUASA PENGGUNA TENTUKAN PASARAN

Tema hari pengguna KPDNKK untuk tahun 2009 ialah "1Pengguna 1Suara" - kuasa pada pengguna menjadi penentu setakat mana sesuatu produk dan perkhidmatan itu berjaya di pasaran.

Pengguna disarankan supaya bersatu untuk menuntut hak mereka supaya tindakan yang setimpal dapat diambil terhadap sebarang kejadian yang mendatangkan kesan kepada dunia kepenggunaan.

Bagi Aziah Mohd Yusoff, seorang pengguna yang peka akan haknya dan sanggup bersuara, beliau hanya membeli barang yang disukai dan perkhidmatan yang memenuhi kehendaknya.

"Kalau barangan itu mahupun servis yang ditawarkan tidak menepati cita rasa dan kehendak saya, saya tak belilah," komennya bila diajukan soalan tentang pengguna dan harapan mereka.

Tambah Aziah, "semua yang ada di sekeliling kita, dikawal dan dipengaruhi kuasa wang ringgit. Kalau ada kempen pun ia perlukan rangkaian kesinambungan yang jitu supaya ia terus diingati pengguna dan peniaga tidak ambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya."

Aziah berkata pengguna harus ingat persaingan menjadikan keadaan lebih sukar untuk pengeluar produk mahupun pembekal perkhidmatan menjadi monopoli tunggal di dalam industri yang berkaitan.

Adakalanya, fi yang dikenakan jururunding turut terpaksa dikurangkan untuk berjaya di dalam persaingan mendapatkan pelanggan serta untuk menampung pendapatan syarikat masing-masing.

Oleh itu bagi 1Pengguna 1Suara, semua pengguna perlu sedar akan hak mereka untuk lantang bersuara sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku seperti barangan mereka rosak atau pecah bila dibuka bungkusannya , makanan yang mereka beli basi ataupun tidak seperti yang dinyatakan serta perkhidmatan yang diberikan tidak seperti yang dijanjikan, malah kurang daripada yang dipersetujui semasa transaksi jual beli itu dimeterai.

Tidak kira apa status seseorang itu, hak mereka sebagai pengguna tetap wujud.

HARUS TELUS

Setiap pengguna perlu mengambil berat tentang cara mengadu kepada pihak yang berwajib sekiranya timbul sebarang kemusykilan.

Ini akan memudahkan mereka mendapatkan pihak ketiga mengadili sesuatu aduan yang tidak dapat diselesaikan dengan pihak pembekal atau penjual.

Dalam hal ini, Tribunal menjadi saluran yang paling tepat untuk seseorang pengguna bersuara dan mendapatkan pengadilan.

Tetapi harus diingat, tidak kurang juga pengguna yang cuba mendapatkan pampasan secara tidak telus dan disedari pihak tribunal, lalu keputusan boleh memihak kepada pihak pembekal atau penjual.

Seorang pengguna berpengalaman, Pearly Wong, mahu tuntutan keadilan untuk pengguna dan penguatkuasaaan undang-undang di negara ini, sekata.

"Semasa saya bercuti di Jepun melawat anak saya yang berkahwin dengan seorang wanita di negara itu, senarionya berbeza. Orang di sana dilindungi undang-undang dan penguatkuasaan secara menyeluruh. Pengeluar barangan dan syarikat servis atau perkhidmatan dipantau. Keberkesanan keluaran mereka dipastikan.

Tiada tolak ansur untuk memastikan barangan berkualiti.

Jika tidak, tindakan diambil ke atas syarikat pengeluar dan pembekal itu," katanya.

Wong berkata kempen pengguna yang dijalankan di negara ini kerap dan banyak, tetapi hasilnya tidak berpanjangan.

Maureen Keasbery dari Sabah berpendapat proses aduan pengguna hendaklah dipermudah untuk menggalakkan mereka bersuara dan berkongsi pandangan.

Beliau menceritakan pengalamannnya mengadu mengenai perkhidmatan bas perantaraan di stesen LRT.

"Sudah berkali-kali saya buat aduan, tapi asyik diminta isi borang.

Hasilnya masih seperti dulu, tak ada perubahan.

Jadi pengguna bersuara pun tak mendatangkan kesan jika pihak syarikat yang menawarkan perkhidmatan sebenarnya tidak ada niat hendak memperbaiki perkhidmatannya. Akhirnya pengguna yang kecewa akan berhenti bersuara".

BERSATU TEGUH

Warga Malaysia, yang kini menetap di Arab Saudi, Tengku Elisa Bustaman berkata bukan saja pengguna, pusat jualan juga boleh bersatu untuk memastikan tindakan memboikot bagi menyuarakan bantahan terhadap sesuatu produk boleh berjaya.

Tatkala wujud kontroversi umat Islam membantah tindakan media sebuah negara Eropah yang menghina Islam, sebuah pasar raya di Arab Saudi menghentikan penjualan barang keluaran negara itu dan pengimport turut ikut memboikot.

"Ini bermakna pengguna secara tidak langsung turut tidak membeli barangan negara itu tanpa perlu meuar-uarkan sesama sendiri. Ini lebih efektif kerana barangan yang dihasilkan itu boleh diboikot secara menyeluruh," katanya di dalam 'Facebook'.

Di Malaysia, ada undang-undang yang digubal untuk menjamin hak pengguna, contohnya Akta Perlindungan Pengguna, yang diguna pakai sejak tahun 1999.

Selain itu, pengguna turut dilindungi Akta Kawalan Harga 1946, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Timbang dan Sukat 1972, yang kesemuanya terletak di bawah bidang kuasa KPDNKK.

Ingat juga peribahasa yang menggalakkan kerjasama, "Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh". Oleh itu pastikan kita bersatu dalam menyuarakan hak kita.

Dipetik daripada: Bernama
Continue Reading...

19 December 2009

Pengetua dan Guru Besar Berhak Pecat Guru...

Awal Disember yang lalu, timbalan menteri ada menyatakan yang kandungan revolusi pendidikan yang akan diketengahkan bakal memberikan kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Jika dilihat kepada niat dan kehendak transformasi pendidikan, mungkin ia ada baiknya namun berbaloikah jika kuasa yang diberikan dapat menjanjikan efisien kepada pendidikan negara.

Jika di luar negara, kebanyakan guru mampu dipecat oleh pengurusan sekolah memandangkan lesen untuk mengajar adalah ditanggung sendiri oleh guru berkenaan. Dalam erti kata lain, guru mengeluarkan wang sendiri menghadiri kursus yang berwajib bagi menjadi seorang guru. Jadi mudahlah bagi pihak pengurusan untuk memecat mana-mana guru yang tidak menepati KPI yang ditetapkan.

Perkembangan ini, mampu meletakkan sekolah ke tahap yang memuaskan kerana kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pengetua memecat guru mampu membuang mana-mana guru semborono atau kurang pencapaian dan inisiatif mereka ke arah kecemerlangan sekolah. Tetapi jika kuasa yang diberikan tidak mempunyai batas, bimbang salah guna kuasa boleh berlaku sehingga menyebabkan kebajikan guru tidak terbela. Jika ada masalah, guru yang tidak disukai boleh dibuang manakala yang baik di mata guru besar dan pengetua dikekalkan.

Apabila berbual dengan beberapa pentadbir dan guru biasa, terdapat rasional yang baik jika kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Ia termasuk menjadikan transformasi berjalan dengan lancar khususnya peringkat akar umbi iaitu sekolah. Bermakna guru yang betul-betul bermasalah baharu dipecat dan bukan guru yang tidak disukai kerana sifat lantang memberikan cadangan baik kepada pihak pengurusan.

Oleha sebab itu, ada baiknya pelaksanaan ini mempunyai kajian yang mendalam sehingga mengambil kira kebajikan serta kedudukan guru dan sumbangan mereka supaya kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pentadbir tidak disalahgunakan. Mungkin juga ada jawatankuasa khas mengkaji keputusan guru besar dan pengetua dan mekanisme rayuan diadakan bagi mencabar kembali keputusan yang kurang relevan jika kuasa ini diberikan kepada mereka.

Guru permulaan yang berstatus GST juga adalah golongan yang perlu diperhatikan dari segenap sudut supaya mereka benar-benar kompeten menjadi guru jika tidak guru besar dan pengetua berhak memecat terus mereka jika mereka ternyata melanggar peraturan dan tidak mempunyai personaliti yang baik sehingga mencemarkan nama baik pendidikan negara.Heboh ketika dahulu seorang guru menyertai pertandingan ratu pondan menjadi justifikasi jelas yang golongan seperti ini perlu disingkirkan terus dari perkhidmatan perguruan berasaskan kuasa guru besar dan pengetua. Maka ia menjadi perkara yang jelas untuk menggunakan kuasa memecat ke atas individu guru yang tidak bertanggungjawab serta tidak bermoral.

Walaubagaimanapun, Falsafah Pendidikan Guru dapat dijadikan asas kepada menggubal dan menyediakan kuasa mutlak untuk guru besar dan pengetua memecat guru. Jangan nanti hanya berbeza pendapat, pecat sana serta pecat sini dengan semudahnya.

Continue Reading...

17 December 2009

Harapan Rakyat Menjelang Tahun Baru

Umat Islam akan meraikan Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam dan ia akan disusuli pula sambutan tahun baru 2010 masihi yang sekali gus akan melabuhkan tirai 2009.

Isu politik, sosial dan ekonomi terus mewarnai kenangan tahun 2009 yang telah pun membuka pelbagai lembaran baru yang seterusnya merintis jalan kepada harapan yang tinggi bagi tahun 2010 kelak.

Perubahan tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah titik permulaan era baru landskap politik negara ini. Memulakan zaman pemerintahannya dengan memperkenalkan konsep '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bersemangat dan yakin.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh beliau telah mula menampakkan hasilnya.

Namun segala usaha tersebut nampaknya bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai rintangan terutamanya isu-isu perpaduan, sentimen perkauman dan pelbagai tuntutan politik yang tidak munasabah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tersendiri sedikit sebanyak merencatkan agenda keharmonian politik negara kita.

Akibatnya rakyat mula kebingungan manakala kontrak sosial yang dibanggakan selama ini juga dilihat mengalami sedikit keretakan. Perasaan prejudis dan curiga sudah mula mengambil tempat dalam masyarakat kita.

Ini ditambah pula dengan pelbagai masalah sosial yang terus menghantui rakyat negara ini. Jenayah ragut, bunuh dan rogol misalnya semakin menjadi-jadi dan mula meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa.

Maka sinar tahun baru dinantikan dengan penuh harapan dan debaran oleh setiap rakyat negara ini agar ia akan membawa khabar gembira untuk kita semua.

Sesungguhnya rakyat sangat mendambakan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan mengutamakan rakyat tanpa propaganda politik yang boleh menghancurkan perpaduan kaum serta keamanan dan keselamatan negara ini. Untuk mencapai tahap itu, institusi politik negara ini memerlukan suatu anjakan paradigma yang besar-besaran dan menyeluruh dengan segera.

Kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada pihak keselamatan terutamanya PDRM agar terus memainkan peranan yang efektif dalam membendung semua jenis jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam. Ini penting kerana senario semasa menunjukkan seolah-olah rakyat kita semakin takut untuk keluar rumah ataupun berada di jalanan kerana jenayah ragut dan kemalangan jalan raya yang semakin menghantui mereka.

Dan yang pastinya rakyat juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan semua program dan projek yang telah dibentangkan dalam Bajet 2010 untuk merangsang kembali dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.

Ia diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diterokai. Menjelang tahun baru ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia berganding bahu membentuk sebuah negara yang aman dan terus mekar di persada antarabangsa.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia

Continue Reading...

16 December 2009

Cara Finland martabatkan guru

KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru - sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

Dipetik daripada: Utusan Melayu

Continue Reading...

Permata Pintar

Apabila program Permata Pintar dilaksanakan dengan mempunyai sekolah sendiri bermula 2011 ini, bermakna ia menjadi sejarah buat negara dalam menguruskan sumber manusia yang pintar kognitif dan mempunyai kekuatan otak yang luar biasa. Justeru, kehadiran 'kampus kecil' yang dibuat dalam UKM dikatakan menjadi inspirasi buat murid dan pelajar pintar ini mendalami ilmu dengan suasana penyelidikan.

Program ini diwujudkan dengan harapan dapat menguruskan pelajar pintar yang dapat menyumbangkan kepada perkembangan saintifik dan kemajuan negara. Berkemungkinan besar tenaga pengajar yang mengajar di sini juga adalah di kalangan pintar-pintar belaka kelak. Prinsip "the best breed the best" terpakai demi melihat semua kanak-kanak ini diuruskan perkembangan mereka supaya tidak lagi kehebatan IQ serta keupayaan mereka tercicir begitu sahaja. Kita semua sedih melihat contoh Sufiah yang cemerlang ketika kanak-kanak namun menjadi sebaliknya apabila dewasa. Mungkin inilah menjadi pendorong untuk diwujudkan suatu sistem persekolahan yang menyokong kebolehan dan keupayaan luar biasa kanak-kanak Malaysia supay terurus dengan jayanya kehidupan mereka.

Selepas ini, SBP, SBT dan entah apa lagi konsep sekolah hanya menempatkan orang biasa-biasa sahaja memandangkan ada yang lebih luar biasa akan diwujudkan di Permata Pintar.

Continue Reading...

14 December 2009

Manusia Dan Tumbuhan

Jangan suka mendedah tubuh
Jadilah seperti jagung, jangan seperti gajus.
Jagung membungkus bijinya yang banyak, sedangkan gajus mempamerkan bijinya yang cuma satu.


Setia terhadap pasangan

Jadilah seperti pohon pisang.
Pohon pisang kalau berbuah hanya sekali seumur hidupnya.


Kecantikan dalaman

Jadilah seperti durian, jangan seperti kedondong.
Durian walaupun di luarnya penuh kulit yang tajam, tetapi di dalamnya lembut dan manis.
Berbeza dengan kedondong, di luarnya mulus dan berkilat, tetapi di dalamnya ada biji yang berduri.


Jaga kesucian dalam bergaul

Jadilah seperti sengkuang, walaupun hidup dalam tanah dan selut, tetapi umbinya tetap putih bersih.


Selalu bertindak adil

Jadilah seperti tandan petai, bukan tandan rambutan.
Tandan petai membahagi makanan sama rata ke biji2nya, semua seimbang, tidak seperti rambutan, ada yang kecil ada yang besar.


Semakin tua semakin bijaksana

Jadilah seperti cili. Semakin tua,semakin pedas.


Jangan bermuka-muka

Jadilah seperti buah manggis.
Buah manggis bisa diteka isinya dari bahagian bawah buahnya.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

13 December 2009

Apabila facebook menjadi fenomena dunia

AFILA dan Azira, masing-masingnya berusia 23 dan 20 tahun mungkin gelihati bila mendapati 'akhirnya' pak usu mereka menyertai laman sosial interaktif, Facebook pada April lalu iaitu pada tahun kelima kewujudan Facebook. Ini kerana hanya beberapa minggu sebelum itu, bapa saudara mereka ini 'sibuk menasihati' mereka supaya berhati-hati di alam maya dan tidak mendedahkan identiti diri.

Faktor kedua mendorong penulis menyertai Facebook ialah kerana 'dipujuk-paksa' oleh rakan yang enggan menghantar gambar kami di Phuket menggunakan e-mel, sebaliknya meminta mengambilnya dari akaun Facebook miliknya.

Maka penulis pun membuka akaun Facebook. Dan jika anda pun baru menyertai Facebook dalam waktu yang bersamaan dengannya, ketahuilah kita membentuk 350 juta pengguna Facebook di seluruh dunia sekarang ini.

Angka luar biasa besar itu yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada 1 Disember lalu, tidaklah memeranjatkan kerana minat untuk memiliki akaun Facebook sudah menjadi fenomena di mana-mana.

Meskipun mendapat saingan daripada beberapa rangkaian sosial lain seperti Friendster dan Twitter, sekurang-kurangnya di Malaysia Facebook kekal teratas sebagai pilihan utama.

Menurut mashable.com, Facebook mencatat sekurang-kurangnya 500,000 pengguna setiap hari. Ini kerana untuk menjadi pengguna adalah cukup mudah dan percuma.

Banyak juga kelebihan yang boleh diperoleh daripada Facebook seperti menemukan kembali rakan-rakan sekolah yang berdekad lamanya terpisah, menyambung persahabatan dan membuat kawan baru, walaupun penulis menolak beberapa permintaan bila mendapati mereka lahir sebelum 1991.

Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa Facebook hanyalah satu daripada bentuk permainan Internet yang melekakan, ia kini diguna secara meluas untuk tujuan komersial bagi sektor perniagaan dan platform propaganda bagi entiti politik untuk sampai ke sasaran audiens.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan akaun Facebook baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama media.

media

Kebelakangan ini, media-media arus perdana Barat tidak teragak-agak memetik kenyataan seseorang individu atau selebriti dalam Facebook sebagai bahan berita. Bulan lalu, bekas calon Naib Presiden AS, Sarah Palin menulis dalam akaun Facebook kepada sejuta 'rakan-rakannya', membidas penggunaan gambarnya yang berseluar pendek di muka depan sebuah majalah. Jelas, Palin tidak memerlukan agensi perhubungan awam lagi.

Pada Rabu lalu, Facebook melaksanakan kawalan tambahan bagi privasi atau 'bebas dari gangguan atau perhatian awam'. Pengguna Facebook tentu perasan kepada soalan mengenai penetapan arahan pada kerahsiaan butir-butir peribadi yang terpampang semasa membukanya minggu ini.

Kawalan tambahan itu terpaksa dilakukan oleh Facebook setelah menerima banyak kritikan mengatakan syarikat itu tidak cukup sensitif terhadap privasi pengguna. Usaha Facebook sebelum ini menerusi inisiatif Beacon turut dikritik, apabila pengguna mendapati mereka secara tidak semena-mena menjadi 'orang penghubung' bagi servis atau laman-laman web dalam Facebook yang kerap mereka sertai.

Kawalan tambahan ini memberikan pengguna alat yang mudah tetapi lebih berkuasa untuk mengehadkan perluasan maklumat peribadi mereka. Paling signifikan dalam penambahbaikan itu ialah keupayaan untuk mengehadkan sesiapa untuk melihat tulisan atau gambar atau video yang disiarkan oleh pengguna di dalam rangkaian termasuk. Maknanya, tiada lagi sesiapa yang tidak berkenaan (terutama pengiklan) daripada menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna.

Dalam konteks ini, sesetengah pejuang privasi berkata, senarai rakan-rakan ini sama sensitif dengan maklumat peribadi kerana dengan meninjau pada senarai rakan-rakan yang dikenali itu pun boleh mendedahkan maklumat sulit.

Mengapa Facebook melakukan perubahan ini? Jawapannya mudah. Ia adalah atas nama perniagaan semata-mata dan elemen utama perniagaan Internet ialah menarik lebih banyak trafik dan mencipta dagangan daripada sekurang-kurangnya satu maklumat yang didedahkan oleh pengguna.

Satu lagi tarikan dalam Facebook ialah permainannya seperti FarmVille - yang secara umumnya begitu mudah dimainkan tanpa perlu banyak berfikir, asalkan rajin 'bercucuk tanam' atau realitinya, menekan tetikus berjam-jam.

Menurut Daniel Lyons menerusi artikelnya dalam Newsweek, permainan FarmVille walaupun mengasyikkan, ia sebenarnya meletakkan pengguna dalam keadaan 'dipergunakan' secara tidak langsung oleh kelompok yang diistilahkan sebagai Scammers.

Facebook meraih keuntungan dengan menjual ruang iklan, sesetengahnya kepada scammers," katanya.

Dipetik daripada : Utusan Malaysia

Continue Reading...

12 December 2009

Teori-teori tentang Motivasi

Menurut teori Keperluan, manusia termotivasi untuk bertingkah laku
adalah kerana ingin memenuhi bermacam-macam keperluan seperti
berikut:

1. Keperluan fizikal, iaitu meliputi keperluan makan, minum, seks
atau kenikmatan dan keselamatan fizikal lainnya. Oleh kerana itu
sekolah hendaknya menyediakan persekitaran yang menimbulkan
kenikmatan, keamanan secara fizikal bagi para pelajar, sehingga
mereka merasa senang dan nyaman dalam belajar.

2. Keperluan emosional, iaitu meliputi keperluan untuk mencapai
prestasi dan harga diri. Ini dijadikan dorongan yang memotivasi
dalam belajar dengan cara melibatkan pelajar dalam menentukan tujuan
dan aktiviti untuk mencapai tujuan belajar. Aktiviti belajar
hendaklah benar-benar bermanfaat bagi pelajar. Tugas-tugas belajar
hendaklah cukup mencabar pelajar untuk berusaha secara maksimum,
tidak terlalu mudah dan tidak pula terlalu sukar. Urutan-urutan
aktiviti belajar hendaklah diatur sedemikian rupa sehingga pelajar
benar-benar dapat berhasil dalam belajar, sekalipun dia adalah
pelajar yang lembab. Dalam hal ini guru memperlakukan pelajar dengan
penuh manusiawi dan menhormati serta menghargai mereka.

3. Keperluan kognitif, iaitu meliputi keperluan untuk berhasil
menciptakan atau memecahkan suatu suasana konflik atau hal-hal yang
saling bertentangan dan keperluan untuk mendapatkan rangsangan.
Untuk itu guru perlu memberi tahu pelajar tentang tujuan pelajaran
sehingga mereka mengetahui keberhasilan yang bagaimana yang
diharapkan untuk mereka capai. Berbagai macam cara penyajian dapat
dilaksanakan, seperti melalui teka-teki, pertanyaan yang mengundang
perdebatan atau berbagai pendapat untuk menjawabnya, memunculkan
pandangan-pandangan yang berlawanan atau berbeza atau aneh sehingga
pelajar-pelajar terangsang untuk berfikir dan membahasnya.
Menyediakan rangsangan dengan memberikan maklumat baru dan
berkualiti melalui ceramah, demonstrasi dan perbincangan.



Abraham Maslow, seorang pakar motivasi terkenal dan pencipta teori
keperluan mengemukakan suatu hubungan hirarki di antara pelbagai
keperluan. Menurutnya jika keperluan pertama terpuaskan atau
terpenuhi, maka keperluan kedua dirasakan oleh individu sangat
penting untuk dipuaskan. Demikian seterusnya sampai keperluan yang
paling tinggi, iaitu keperluan aktualisasi diri.



Para pakar Humanistik menitik-beratkan pentingnya motivasi dari
dalam diri sendiri (self-motivation). Mereka menganjurkan agar guru-
guru mendorong berkembangnya rasa ingin tahu dan minat semulajadi
pelajar dalam belajar. Para pakar Behavioristik pula menekankan
pentingnya persekitaran dalam menciptakan kondisi yang memotivasi
pelajar. Mereka menganjurkan agar guru mengaitkan belajar dengan
rangsangan yang menimbulkan perasaan senang dan membentuk tingkah
laku pelajar melalui pemberian hadiah atau berbagai penguatan
lainnya.


4. MOTIVASI DI DALAM KELAS

Dengan memahami teori-teori yang termasyhur tentang motivasi, maka
guru dapat mengembangkan lapan (8) jenis motivasi di dalam kelas,
iaitu: (1) motivasi tugas; (2) motivasi aspirasi; (3) motivasi
persaingan; (4) motivasi afiliasi; (5) motivasi kecemasan; (6)
motivasi menghindar; (7) motivasi penguatan; dan (8) motivasi yang
diarahkan oleh diri sendiri.



Motivasi tugas adalah motivasi yang ditimbulkan oleh tugas-tugas
yang ditetapkan sama ada oleh guru, murid sendiri, mahupun yang
dirancangkan oleh guru dan murid secara bersama-sama. Pelajar yang
memiliki motivasi tugas memperlihatkan keterlibatan dan ketekunan
yang tinggi dalam menyelesaikan tugas-tugas belajar. Motivasi tugas
hendaklah dibangun di dalam diri pelajar dan ini dapat dilakukan
oleh guru kalau dia mengetahui cara-caranya.

Motivasi aspirasi yang tinggi tumbuh dengan subur kalau pelajar
memiliki perasaan sukses. Perasaan gagal dapat menghancurkan
aspirasi pelajar dalam belajar. Oleh kerana itu guru jangan
menjadikan pelajar selalu gagal, walaupun ini bukan bermakna guru
harus menjadikan pelajar sukses terus menerus. Suatu konsep yang
harus ditanam oleh guru kepada pelajar agar ia memiliki aspirasi
yang tinggi adalah bahawa kesuksesan atau kegagalan ditentukan
oleh 'usaha', bukan oleh kemampuan atau kecerdasan.



Persaingan yang sihat dapat menjadi motivasi yang kuat dalam
belajar. Namun memupuk rasa persaingan yang berlebih-lebihan, di
kalangan pelajar dalam belajar dapat menimbulkan persaingan yang
tidak sihat, kerana pelajar bukan menjadi giat belajar, tetapi
dengan berbagai cara berusaha mengalahkan pelajar lain untuk
mendapatkan status. Membangun persaingan dengan diri sendiri pada
setiap pelajar akan menimbulkan motivasi persaingan yang sihat dan
berkesan dalam belajar.



Motivasi afiliasi adalah dorongan untuk melaksanakan kegiatan
belajar dengan sebaik-baiknya, kerana ingin diterima dan diakui oleh
orang lain. Pelajar-pelajar yang masih kecil berusaha meningkatkan
usaha dan prestasi dalam belajar agar dia dapat diterima dan diakui
oleh orang dewasa, iaitu guru dan ibu bapanya. Namun para remaja
lebih terdorong belajar untuk mendapatkan penerimaan dan perakuan
dari rakan sebaya. Oleh kerana itu, guru-guru yang mengajar pelajar-
pelajar yang masih kecil hendaknya memberikan perhatian dan
penghargaan yang penuh terhadap peningkatan usaha dan hasil belajar
yang ditampilkan oleh pelajar. Bagi pelajar remaja, guru hendaknya
dapat memanfaatkan kelompok untuk meningkatkan usaha dan prestasi
belajar ahli kelompok.



Kecemasan dapat mendorong usaha dan hasil belajar. Tetapi kecemasan
yang berlebihan dapat menurunkan keghairahan dan hasil belajar.
Pelajar yang telah memiliki motivasi yang tinggi dalam belajar jika
mengalami kecemasan dapat menurunkan motivasinya itu. Demikian juga
dengan pelajar-pelajar yang memiliki kecerdasan (IQ) rendah kalau
mengalami kecemasan menyebabkan usaha dan hasil belajar mereka
menjadi bertambah merosot. Tetapi kecemasan sangat berkesan untuk
meningkatkan usaha dan hasil belajar pelajar yang bermotivasi rendah
dan yang memiliki kecerdasan tinggi.



Motivasi penguatan dapat ditimbulkan melalui diagram kemajuan
belajar murid, memberikan komentar pada setiap kertas tugas, ujian
dan peperiksaan pelajar dan memberikan penghargaan. Guru hendaklah
menjauhi pemahaman bahawa pemberian angka sebagai sumber utama untuk
menimbulkan motivasi penguatan, kerana menitik-beratkan pemberian
angka dalam memotivasi pelajar dapat menimbulkan persaingan yang
tidak sihat dan akan menimbulkan kecemasan di dalam kelas.



Motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri sangat berkesan dalam
meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar. Pelajar-pelajar ini
menunjukkan tingkah laku yang mandiri dalam belajar dan mempunyai
sistem nilai yang baik yang melatar-belakangi tingkah laku mereka
itu. Pembentukan sistem nilai-nilai yang menjadi tanggung jawab guru
pada setiap pelajar, sehingga pelajar-pelajar memiliki motivasi yang
diarahkan oleh diri sendiri adalah sangat penting. Bagi pelajar-
pelajar yang telah memiliki motivasi yang diarahkan oleh diri
sendiri, guru hanya perlu memberikan pelayanan yang sesuai dengan
tuntutan aktiviti belajar mereka.





---------------------------------------------------------------------
-----------




5. MOTIVASI DAN ASPEK-ASPEK PENGAJARAN



Aspek-aspek yang terlibat dalam pengajaran yang meliputi sikap guru,
kaedah pengajaran, bahan pelajaran, media pengajaran dan penilaian
hasil pengajaran sangat mempengaruhi minat dan keghairahan pelajar
dalam belajar.



Sikap atau tingkah laku guru dijadikan model oleh pelajar-
pelajarnya. Pelajar-pelajar meniru sikap atau tingkah laku guru,
sama ada yang pantas mahupun yang buruk. Gaya guru dalam memimpin
kelas juga mempengaruhi suasana kelas dan kegiatan pelajar dalam
belajar. Guru yang memberi semangat kepada pelajar dengan menekankan
bahawa semua pelajar dapat berhasil dalam belajar, asal berusaha
keras, rajin, tekun dan tidak mengenal putus asa, akan menimbulkan
semangat pelajar untuk belajar. Mereka tidak takut untuk salah dalam
belajar, kerana mereka yakin jika salah, mereka boleh berusaha lagi
untuk memperoleh yang benar. Guru seperti ini mengembangkan standard
(tingkat kualiti) kesuksesan yang disebut "Multidimensional
Classroom". Berbeza dengan gaya guru yang mengembangkan standar
kesuksesan "Unidimensional Classroom", yang menekankan bahawa
kesuksesan hanya dapat diraih oleh pelajar yang mempunyai potensi
inteligensi tinggi atau pelajar yang cerdas. Pelajar-pelajar yang
dianggap guru kurang berpotensi inteligensi tinggi atau kurang
cerdas, tidak bersemangat untuk belajar dan merasa diri mereka tidak
mampu untuk menyelesaikan tugas-tugas belajar. Gaya guru dalam
memimpin kelas seperti ini buruk pengaruhnya terhadap suasana kelas
dan motivasi pelajar.



Tingkah laku pelajar dalam belajar dapat pula mempengaruhi
keberkesanan pengajaran. Kalau tingkah laku pelajar positif maka
guru-guru cenderung menampilkan pengajaran yang berkesan, dan jika
tingkah laku pelajar negatif maka guru-guru cenderung untuk
menampilkan pengajaran yang kurang berkesan. Ada di antara guru-guru
yang memberikan pelayanan yang tidak sama terhadap pelajar-pelajar
yang berbeza status sosial-ekonomi, berbeza jenis kelamin, berbeza
kebudayaan dan berbeza prestasi belajarnya. Tentu sahaja cara ini
tidak sesuai dengan idea pendidikan yang sebenarnya.



Kaedah mengajar yang dapat mengghairahkan dan meraih minat pelajar
untuk belajar adalah memungkinkan pelajar terlibat secara aktif
dalam belajar. Berbagai model mengajar yang dikembangkan oleh Bruce
Joyce dan Marsha, memungkinkan keterlibatan pelajar yang maksimum
dalam belajar. Model-model kaedah mengajar ini menuntut keaktifan
pelajar sesuai dengan taraf perkembangan masing-masing pelajar. Pada
taraf perkembangan pelajar yang tertinggi diharapkan pelajar-pelajar
dapat belajar mandiri; melakukan kegiatan belajar tanpa tergantung
banyak terhadap guru.



Bahan pengajaran sangat penting peranannya dalam meningkatkan
motivasi pelajar dalam proses pembelajaran. Guru harus mengenal
faktor-faktor yang harus dikembangkan dalam memilih bahan pelajaran.
Di samping itu guru juga harus mahir dalam mengelola bahan
pengajaran sehingga menarik dan memudahkan pelajar untuk memahami
bahan pengajaran tersebut.



Media pengajaran dapat berfungsi untuk mendorong murid belajar
dengan minat dan keghairahan yang tinggi apabila media pengajaran
itu dipilih dengan mempertimbangkan ciri-ciri pelajar, tujuan
pengajaran, jenis bahan pengajaran itu sendiri dan bentuk penilaian
pengajaran yang akan dilaksanakan. Untuk memilih media pengajaran
yang baik maka guru perlu mengetahui langkah-langkah yang harus
ditempuhnya.



Aspek pengajaran lainnya yang dapat mempengaruhi motivasi pelajar
dalam belajar adalah pelaksanaan penilaian pengajaran. Penilaian
pengajaran yang dapat meningkatkan aktiviti murid dalam belajar,
adalah penilaian yang dapat memberitahu pelajar tentang kelemahan
dan kekuatannya dalam belajar dan penilaian itu dirasakan oleh
pelajar sebagai penggambaran yang benar tentang taraf penguasaannya
dalam belajar. Penilaian hendaknya diikuti dengan tindak lanjut dari
guru, iaitu membantu pelajar untuk meningkatkan taraf penguasaan
belajar yang sempurna, sehingga pelajar dapat berprestasi lebih
tinggi.





---------------------------------------------------------------------
-----------




6. MOTIVASI DAN PERSEKITARAN



Persekitaran sekolah mahupun persekitaran rumah penting peranannya
dalam meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar. Guru mahupun ibu
bapa hendaknya dapat menciptakan persekitaran sekolah dan
persekitaran rumah yang memungkinkan keghairahan dan minat murid
belajar menjadi meningkat. Persekitaran fizikal sekolah, sama ada
yang menyangkut pengaturan ruangan kelas mahupun pengaturan jumlah
pelajar dalam satu kelas, hendaknya mempertimbangkan persyaratan
fizikal mahupun psikologikal yang menunjang keberkesanan pelajar
dalam belajar.



Situasi sosial dalam kelas hendaknya dapat menjamin perasaan aman
dan tingginya kerjasama dikalangan pelajar dalam mencapai tujuan
akademik.



Ibu bapa dapat menciptakan situasi fizikal mahupun psikologikal yang
menyokong minat dan keghairahan anaknya dalam belajar. Penyediaan
kesempatan yang diperlukan anak dalam belajar di rumah mahupun di
luar sangat menunjang kesuksesan anak dalam belajar. Membina
hubungan akrab dengan anak dan memberikan perhatian yang tinggi
penting dan patut dilakukan oleh ibu bapa, kalau mahu anaknya
berjaya dalam belajar.





---------------------------------------------------------------------
-----------




7. TEKNIK-TEKNIK MEMOTIVASI MURID DALAM BELAJAR



Banyak teknik yang dapat dipergunakan guru untuk meningkatkan
motivasi murid dalam belajar. Guru hendaknya selalu ingat betapa
pentingnya memberikan alasan-alasan kepada pelajar mengapa mereka
harus belajar dengan sungguh-sungguh dan berusaha untuk berprestasi
sebaik-baiknya. Guru juga perlu menjelaskan kepada pelajar-pelajar
apa yang diharapkan dari mereka selama dan sesudah proses belajar
berlangsung. Lebih jauh, guru perlu mengusahakan agar pelajar-
pelajar mengetahui tujuan jangka pendek dari pelajaran yang sedang
diikutinya. Ingatlah bahawa ada cara-cara yang berkesan dan ada pula
cara-cara yang tidak berkesan dalam memberikan penghargaan untuk
meningkatkan kegiatan belajar, sikap terhadap belajar dan sikap
terhadap diri sendiri murid, tetapi jangan lupa bahawa untuk pelajar-
pelajar tertentu mungkin dapat merosak motivasi belajar mereka. Oleh
kerana itu, anda sebagai guru harus berhati-hati dalam melaksanakan
ujian dan memberikan angka atau markah kepada pelajar.



Cubalah guru melakukan sesuatu yang menimbulkan kekaguman kepada
pelajar untuk merangsang perasaan ingin tahunya. Memang baik sekali
untuk menimbulkan minat belajar, jika sekali-sekala guru memberikan
aktiviti dengan memperkenalkan sesuatu yang baru bagi para pelajar.
Berilah pelajar-pelajar kesempatan untuk mendapatkan penghargaan.
Jadikan jangka masa belajar awal (permulaan) menjadi lebih mudah
bagi pelajar dan usahakan agar semua pelajar mendapat kesempatan
untuk merasa sukses. Tingkatkan motivasi pelajar dengan merangsang
perasaan ingin tahu dengan cara memperkenalkan contoh-contoh yang
khas dalam menerapkan konsep-konsep dan prinsip-prinsip. Doronglah
pelajar untuk mempergunakan pengetahuan dan kemahiran serta
pengalaman yang telah mereka pelajari dari bahan pelajaran
sebelumnya untuk mempelajari bahan-bahan yang baru. Cubalah masukan
unsur permainan dalam proses belajar untuk menarik minat dan
memudahkan pemahaman pelajar terhadap bahan yang dipelajari.
Doronglah pelajar anda untuk melaksanakan usaha-usaha penemuan atau
berbagai percubaan (penyelidikan) untuk menemukan sesuatu yang belum
pernah ada.



Guru haruslah berusaha untuk sedapat mungkin mengurangi persaingan
di antara pelajar-pelajar dalam meningkatkan motivasi untuk mencapai
prestasi akademik. Jauhilah perkara-perkara atau kejadian-kejadian
yang dapat menimbulkan keengganan murid untuk belajar, sama ada yang
merupakan ketidak-selesaan secara fizikal mahupun yang menyebabkan
hilangnya harga diri pelajar. Jangan ada keinginan guru untuk
menghukum pelajar dengan maksud agar pelajar akan belajar, tetapi
sebaliknya berilah mereka penghargaan. Terakhir yang patut
diperhatikan oleh guru dalam meningkatkan motivasi pelajar adalah
bahawa guru hendaknya peka terhadap suasana atau iklim sosial
sekolah dan benar-benar memahami bagaimana pengaruh iklim sosial itu
terhadap nilai-nilai yang dipegang oleh para pelajar.



Guru hendaklah berhati-hati terhadap apa yang sedang berlangsung di
dalam kelasnya dan mencuba merasakan apabila mengajar sesuatu topik
dengan cara tertentu. Buatlah kumpulan pengalaman mengajar anda
untuk dijadikan cermin dalam mengadakan perbaikan-perbaikan.
Janganlah takut melakukan berbagai percubaan untuk menemukan cara
yang terbaik dalam mengajar. Oleh kerana itu anda harus yakin akan
pentingnya belajar melalui pengalaman. Jika suatu cara yang anda
lakukan berjalan lancar, lakukan lagi; tetapi jika cara itu tidak
atau sedikit sekali memotivasi murid dalam belajar, tinggalkan cara
itu. Mengajar adalah suatu proses yang menuntut perbaikan secara
cermat dan terus menerus.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

11 December 2009

Serangan jantung dan Minum air suam

Fakta ini sangat bagus. Bukan semata-mata berkenaan air suam, tetapi berkenaan Serangan Jantung ... Masyarakat Cina dan Jepun minum teh panas untuk ketika bersarapan, bukannya air sejuk, mungkin inilah masanya kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan

Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Adalah penting untuk minum sup panas atau air suam selepas makan.


Petanda Lazim Serangan Jantung

Amaran berkenaan serangan jantung – Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri
.

Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa. Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.



Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada 10 orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

10 December 2009

Tujuh Makanan Cegah Batuk Dan Selsema

Kamu sering di serang batuk dan selesema? Selain mengambil ubat dan vitamin c tambahan, 7 makanan berikut boleh membantu mengubati batuk dan selsema kamu.

1. SUP AYAM
hidangan yang panas boleh membantu melancarkan pernafasan yang tersumbat dan memberikan tenaga tambahan. Campurkan bawang merah dan bawang putih dalam sup agar lebih cepat sembuh.

2. MAKANAN PEDAS.
Bawang putih, lada hitam/putih atau sos pedas boleh membantu melancarkan hidung yang tersumbat.

3. BAWANG PUTIH
Di akui boleh mengurangkan tanda-tanda selsema dan batuk. tambahkan bawang putih dalam makanan kegemaran kamu atau kunyahkan seulas dua bawang putih mentah

4. AIR
Pesakit digalakkan untuk meminum banyak air masa dan jus buah-buahan. Elakkan kopi, minuman manis dan berkarbonat.

5. BUAH-BUAHAN SITRUS
Buah-buahan sitrus seperti lemon, oren atau limau mempunyai kandungan bitamin c yang tinggi, sekiranya kamu merokok, kamu memerlukan lebih vitamin C kerana merokok meningkatkan serangan selsema dan batuk.

6. SUMBER VITAMIN C
Selain buah-buahan sitrus, kamu juga disarankan untuk menambah pengambilan kentang, lada hijau, strawberi dan nanas dalam menu makanan harian sebagai salah satu usaha mencegah selsema dan batuk

7. HALIA
Air rebusan halia bukan sahaja mampu membuang angin tetapi baik juga untuk mengubati selsema dan batuk.

Dipetik daripada : Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

07 December 2009

Lelaki kini lebih ‘bergantung’ dari berdikari

Kini, wanita diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan sekali gus juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Jelas di sebalik kelembutan wanita, mereka telah berjaya melonjakkan ekonomi negara bersama-sama dengan kaum Adam.

Kaum Hawa Abad 21 Lebih Progresif

Di Kelantan misalnya, wanita dilihat penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui kegiatan perniagaan sedangkan golongan lelaki nampaknya lebih cenderung dalam aktiviti politik.

Contoh paling ketara adalah di menara gading. Statistik menunjukkan bilangan penuntut dari kaum Hawa mendominasi majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam sektor pertahanan pula, semakin ramai wanita mula memegang senjata dan menjadi polis serta ada yang menjadi juruterbang jet pejuang.

Entah ke mana perginya adik-adik lelaki kita? Yang kita tahu, kumpulan-kumpulan belia ini bagaikan lebih gemar bersenang-lenang dan terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Kalau tidak, masakan wujud samseng jalanan yang pernah dikenali sebagai mat rempit?

Jika ada yang cuba mempertikaikan perkara ini, sila semak rekod semasa dari pihak-pihak yang bertanggungjawab. Hampir 80 peratus penagih dadah juga adalah lelaki!

Fenomena semasa ini bagaikan suatu petanda bahawa kaum wanita telah dan akan lebih ramai terpelajar berbanding lelaki. Jika ini berterusan tidak mustahil suatu trend atau senario dominasi intelek boleh berlaku.

Jika suatu ketika dahulu, lelaki terlalu banyak mengadu tentang isteri-isteri mereka yang kurang pendidikan, sekarang terbalik pula keadaannya. Kaum Adam pula yang lebih banyak “bergantung” kepada isteri berbanding berdikari.

Sekiranya ini berlaku, jangan terkejut jika lelucon Cerekarama yang tidak pernah kita fikirkan seperti wanita menghalau suami mereka keluar rumah terjadi dan berleluasa.

Ya, ketawalah sekarang tetapi jangan fikir ini terlampau mustahil kalau golongan belia lelaki terus-terusan hanyut dalam arus ketidakmatangan dan tanpa kita mengawasinya!

Kuasa Sebenarnya di Tangan Koloni Yang Bekerja Lebih Keras

Situasi yang sama sebenarnya berlaku apabila pendatang asing lebih keras bekerja daripada penduduk negara tersebut. Mereka akhirnya akan membentuk suatu koloni yang lebih kuat dan mengambil alih penguasaan negara.

Sejarah telah berulang kali membuktikan apabila sesebuah negara maju dan bertamadun, rakyat akan mula malas dan menyerahkan urusan pertahanan negara kepada golongan pendatang. Senario menyerah senjata sebegini telah terbukti suatu faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar kuno seperti Rom dan Sepanyol.

Demikianlah dalam situasi ini, sekiranya lelaki tidak gigih bekerja, mereka akan kehilangan kuasa pengaruh ke atas keluarga dan masyarakat sekeliling yang dipimpinnya. Memang benar sektor korporat dan institut pengajian tinggi belum dikuasai oleh kaum Hawa sepenuhnya.

Namun, jika kaum Adam selalu berfikir bahawa mereka adalah tuan atau ketua, asyik mencuri tulang dan sering menyerahkan tugas kepada orang lain, akhirnya kaum Adam akan menjadi terlalu malas untuk menghalang kaum Hawa.

Kaum Adam Pula Kenalah Gigih !

Perlu diingatkan lagi bahawa kaum lelaki mesti matang atas tanggungjawabnya di masa depan.

Ada hati dan usaha pasti boleh! Lihat sahaja, kaum wanita yang dahulu pernah menjadi jaguh di dapur, kini chef-chef di dapur adalah terdiri dari kaum lelaki. Justeru, sekiranya kaum Adam bekerja lebih keras daripada kaum Hawa, KDNK secara keseluruhannya pasti akan melonjak dengan lebih baik.

Namun dalam pada itu, kaum Hawa janganlah menjadi golongan terlampau sehingga hendak melanggar syariat seperti dalam isu Amina Wadud yang mengimamkan solat jemaah lelaki. Seperti Dr. Mahathir, saya juga bersetuju bahawa kaum wanita kelihatan begitu menjelikkan jika mereka mula melibatkan diri dalam sukan gusti!

Dipetik dari Utusan Malaysia

Continue Reading...

05 December 2009

Mendidik Anak Untuk Siapa?

Bagi kebanyakan manusia, termasuk orang Melayu,anak-anak yang masih kecil dianggap sebagai cahaya mata, belahan hati, penawar jiwa, intan payung dan macam-macam lagi. Sangat disayang dan dimanjakan.Apabila besar sikit, disediakan anak-anak itu untuk menghadapi tuntutan hidup. Diberi pelajaran dan kemahiran setinggi-tingginya supaya apabila besar nanti dapat kerja, dapat jawatan dan dapat gaji lumayan. Mereka rasakan itulah tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Mereka mahukan anak-anak mereka berjaya dan senang dalam hidup.


Kadang-kadang terselit juga di hati ibu ayah, kalau-kalau anak-anak sudah besar dan berjaya, maka akan senanglah hidup ibu ayah. Anak- anak akan membantu dan membela mereka. Anak-anaklah menjadi tempat mereka bergantung apabila tua kelak. Anak-anaklah yang menjamin masa depan mereka. Mereka bersandar kepada anak-anak mereka untuk hari tua.

Memang anak-anak patut membela dan berkhidmat kepada ibu ayah setelah mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini juga tuntutan agama. Tuhan pun memang hendak begitu. Tetapi patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk tujuan ini semata-mata.Patutkah ibu ayah mendidik anak-anak untuk kepentingan diri mereka sendiri? Patutkah anak-anak itu dianggap sebagai satu pelaburan untuk kebaikan dan kesenangan masa depan ibu ayah? Kalau begitu, anak-anak tidak ubah sebagai haiwan ternakan. Dibela, diternak supaya akan dapat merasakan untung dan hasilnya satu hari nanti. Kalau begitu mendidik anak tak ubah seperti satu usaha komersial atau satu penanaman modal atau satu kegiatan ekonomi.

Konsep ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia tersimpang dari kehendak agama dan kehendak Tuhan. Anak-anak itu adalah amanah Tuhan. Mereka perlu dididik untuk Tuhan.Mereka perlu dididik untuk mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka perlu dididik supaya menjadi hamba Tuhan selepas itu menjadi khalifah Tuhan dimuka bumi. Mereka perlu dididik untuk mengabdi diri kepada Tuhan dan menjadikan cinta agung mereka. Mereka perlu dididik supaya menjadi orang yang beriman dan bertaqwa yang hidup mati mereka hanyalah untuk Tuhan. Anak-anak itu anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah didik mereka untuk Tuhan.

Kalau ini dilakukan, barulah anak-anak itu akan menjadi orang-orang soleh yang berakhlak dan berjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia, lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka. Soal anak-anak menjaga dan membela ibu ayah mereka akan terjadi dengan sendiri setelah anak-anak itu menjadi hamba-hamba yang beriman dan bertaqwa.

Apabila anak-anak dididik hanya untuk mengejar dunia dan tidak untuk mengenal, mencintai dan takut dengan Tuhan, maka dunialah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Keinsanan mereka tidak akan terbina, nafsu mereka akan menjadi rakus dan segala sifat-sifat mazmumah yang keji seperti tamak, haloba, hasad, dengki, bakhil, pemarah dan lain- lain yang bersarang dihati mereka.

Mereka tidak akan mempedulikan halal atau haram, hak atau batil, benar atau salah, adil atau zalim, manusia ataupun Tuhan. Kalau Tuhan pun mereka tidak pedulikan, apakah harapan mereka memperdulikan ibu ayah mereka, jauh sekali untuk membela dan berkhidmat kepada mereka. Ibu ayah akan menjadi penghalang untuk
mereka mengejar dunia mereka. Mereka akhirnya derhaka kepada ibu dan ayah.
Di Akhirat nanti anak-anak ini akan menjadi orang yang muflis. Mereka akan menentang dan menjadi seteru kepada ibu ayah mereka.Mereka akan menuntut hak yang tidak diberikan kepada mereka. Mereka akan menyalahkan ibu ayah mereka kerana tidak mendidik mereka untuk Tuhan. Ibu dan ayah yang tidak mendidik anak-anak mereka untuk Tuhan pasti akan rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Di
Akhirat nanti anak yang mereka sayang itu akan bertukar menjadi musuh.

Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan hingga mereka menjadi orang- orang yang beriman dan bertaqwa mereka akan menjadi aset kepada kedua ibu ayah mereka. Mereka akan menjadi aset di dunia dan aset di Akhirat. Di dunia mereka akan berkhidmat dan membela kedua ibu ayah mereka. Apabila mati kedua ibu dan ayah, anak seperti ini akan mendoakan mereka. Doa mereka tidak terhijab. Ibu dan ayah juga kan terus mendapat pahala yang mengalir ke dalam kubur hasil dari amalan soleh yang dibuat oleh anak mereka di dunia berkat dididkan dan ilmu yang telah mereka curahkan kepada anak mereka itu.

Hadis ada menyebut:
" Bila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dibuatnya, ilmu yang bermenafaat yang diajarnya dan anaknya yang soleh."

Kita harus ingat bahawa anak kita itu adalah hamba Tuhan. Tuhan lebih berhak ke atasnya daripada kita. Hanya Tuhan mengamanahkan dia kepada kita. Oleh itu, kita perlu didik dia untuk Tuhan, bukan untuk kita.

Anak kita hanya anak kita sementara di dunia. Di Akhirat, dia bukan anak kita lagi. Di Akhirat, anak tak peduli ayah, anak tak peduli ibu. Ibu ayah juga tak pedulikan anak. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Setakat mana kita mampu mendidik anak-anak kita untuk Tuhan, setakat itulah manfaatnya untuk diri kita.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi
Continue Reading...

04 December 2009

Buku Teks Jana Pemikiran Kritikal Dan Membina

Semasa membentangkan Bajet 2008 di Dewan Rakyat pada September 2007, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan buku teks akan dibekalkan percuma kepada pelajar semua sekolah kerajaan di seluruh negara.

Orang ramai termasuk badan-badan bukan kerajaan menyambut baik langkah itu, sambil menyatakan usaha itu akan membantu meringankan beban ibu bapa dalam memberi keperluan persekolahan pada anak-anak mereka.

Ada juga yang menyatakan langkah kerajaan dalam menyediakan buku teks secara percuma memberi ruang kepada ibu bapa membeli buku rujukan yang lain bagi meninggikan pencapaian akademik anak-anak mereka.

Tetapi ada juga yang 'kurang sedar' bahawa buku teks yang dibekalkan sekolah sudah cukup dan memadai bagi keperluan pelajaran serta peperiksaan anak mereka. Bahkan ada juga yang agak terkejar-kejar mendapatkan buku rujukan komersil untuk kegunaan anak mereka di sekolah.

"Masih ada dalam kalangan ibu bapa yang menganggap anak mereka perlu buku rujukan lain untuk mencapai markah yang baik dalam peperiksaan seperti PMR dan SPM," kata bekas guru besar Shamsuddin Meah.

SUKATAN KEMENTERIAN PELAJARAN

Menurut Shamsuddin, kandungan buku teks yang dibekalkan sekolah berada dalam linkungan sukatan pelajaran yang ditentukan Kementerian Pelajaran.

"Buku-buku teks itu sentiasa diteliti Kementerian Pelajaran yang bertanggung jawab dalam menyediakan kurikulum pelajaran di sekolah, yang menepati keperluan pelajar sekolah di seluruh negara.

"Jadi, bila menggunakan buku teks ini, pelajar tidak meyimpang daripada ilmu pengetahuan yang mereka perlukan, dan mereka berada dalam kawasan selamat kerana tidak dibebankan maklumat yang mereka tidak berapa perlu. Bagaimanapun pelajar digalakkan membaca dari sumber-sumber yang lain," kata beliau.

Ramai dalam kalangan pelajar yang gemar menggunakan buku rujukan komersil selain daripada buku teks yang dibekalkan sekolah kerana anggapan mereka, buku-buku teks 'percuma' ini tidak cukup untuk menolong mereka mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

BUKU TEKS SEKOLAH LEBIH BAIK

Sebelum tahun 2008, skim buku teks percuma hanya dipanjangkan kepada pelajar dari keluarga yang kurang mampu tetapi sejak tahun itu, skim berkenaan meliputi semua pelajar tidak kira berapa pendapatan keluarga mereka.

Di bawah skim ini, buku aktiviti serta buku kerja juga dibekalkan secara percuma.

Menurut laporan berita, Dewan Rakyat semalam (2 Dis) diberitahu bahawa buku teks sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersil yang boleh didapati dari kedai.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata buku rujukan komersil lebih 'berorientasikan peperiksaan' jika dibandingkan dengan buku teks yang dibekalkan Kementerian Pelajaran.

Menurut beliau, buku teks yang dibekalkan kementerian telah dipilih, ditulis, disusun dan diadaptasikan mengikut sukatan pelajaran yang ditentukan oleh pihak berkuasa pelajaran dan memang sesuai digunakan pelajar.

"Kandungan buku teks ini selari dengan apa yang dimahukan sukatan Kementerian Pelajaran," Dr Mohd Puaad dilaporkan berkata demikian.

"Buku teks sekolah disediakan dengan menggunakan pelbagai kaedah pedagogi pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai objektif Falsafah Pendidikan Negara bagi membentuk keupayaan individu secara holistik dan berintegrasi," kata Dr Mohd Puad.

Ini juga untuk menjadikan mereka manusia yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal berdasarkan prinsip kepercayaan dan ketaatan kepada Tuhan, kata beliau.

"Oleh itu, buku teks yang diguna di sekolah adalah lebih baik daripada buku rujukan komersil," kata beliau.

Kata Dr Mohd Puaad lagi, buku-buku teks sekolah sentiasa dipantau dan dinilai oleh universiti serta juga guru pakar (master teacher) bagi memastikan kualiti.

BERFIKIR SECARA KRITIKAL, MEMBINA

Pendidik Lee Soo Chin berkata kandungan buku teks sekolah sentiasa disemak oleh Kemeterian Pelajaran.

"Oleh itu, buku-buku teks ini lebih baik daripada buku rujukan yang dijual di luar (sekolah), kerana buku teks ini sentiasa dikemaskini secara berjadual," kata beliau.

Menurut Lee, terpulang pada guru memberi motivasi kepada pelajar mereka untuk menggunakan kaedah terbaik buku teks sekolah bagi memastikan mereka memahami dengan lebih dalam pelajaran yang diajar di kelas.

Terdapat juga ibu bapa yang bertanya apakah pelajar perlu mendapatkan buku rujukan komersil bagi kerja sekolah untuk berjaya dalam peperiksaan.

"Jawapan saya adalah tidak, kerana buku yang dibekalkan oleh kerajaan sudah cukup ataupun lebih baik," menurut Aminuddin Mat, guru dari Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini.

Kata Aminuddin, walaupun buku teks sekolah kadang-kadang kelihatan tidak begitu menarik, buku-buku ini mengajak pelajar berfikir secara kritikal dan membina.

"Untuk menjadi pemimpin negara di masa depan, pelajar perlulah berupaya berfikir secara membina serta kritikal dan aspek ini memang wujud dalam buku teks sekolah," kaat beliau.
Continue Reading...

03 December 2009

Remaja Berinteraksi ,Jangan Berkonfrontasi

RAMAI orang minta orang lain berubah. Anak-anak mesti berubah. Remaja sering ditanya kenapa berdegil tidak mahu berubah-ubah?

Malah, ada juga orang bertanya kenapa ekonomi tidak berubah, politik pun macam dulu tidak berubah-ubah. Pendek kata, semua kena berubah.


Sebenarnya rahsia perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Jika mahu ubah keluarga, ubahlah diri dulu. Jika diri berubah barulah keluarga terubah, masyarakat berubah, malah hendak ubah negara pun ubahlah diri sendiri.

Jika hendak ubah orang lain tetapi kita tidak ubah diri kita, orang akan ketawakan kita.

Maksudnya asyik memikirkan kesalahan orang, keburukan orang, kelalaian orang tetapi lupa untuk membetulkan diri.

Kita berani membuka keaiban orang, membincangkan keburukan orang tetapi jarang berani melihat keaiban diri sendiri.

Tidak ramai orang berani mengakui kelemahan diri. Amat sedikit orang berterima kasih apabila ditegur dan dinasihati, sedangkan agama Islam didasari dengan saling nasihat menasihati.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam itu nasihat.”

Kita perlukan remaja dan pemuda yang hebat untuk mewarisi negara dalam menghadapi cabaran global yang kompleks.

Remaja yang berjiwa besar ialah remaja yang boleh menerima dan berkongsi kekuatan dengan orang tua berpengalaman.

Orang tua yang hebat juga ialah mereka yang memahami dan menghormati perasaan remaja. Pendek kata, mereka yang berjiwa besar menjadi ejen pengubah dan perubahan datang daripada diri sendiri. Inilah calon orang-orang besar.

Kegigihan mengubah diri sendiri membuatkan orang lain melihat dan merasakannya, malah memberi pengaruh pada orang di sekitarnya. Dia menjadi dorongan serta simpati juga untuk berubah.

Kita tidak boleh menguasai hati orang untuk berubah dan orang pun susah untuk menguasai diri kita. Paling penting kita menggunakan kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan orang yang rapat dengan kita.

Mula-mula ubah diri kita, isteri kita, anak-anak kita. Jika semua bertindak proaktif begini tersebarlah perubahan itu.

Ramai orang berkata “susahnya hendak ubah remaja” , “isteri degillah” , “pekerja keras kepalalah.” Jawapan sebenarnya ada di dalam diri kita, asalkan jangan terlebih dulu menyalahkan orang lain.

Memang mereka pun ada salah, tetapi kita pun ada silap juga. Mungkin cara penyampaian yang tidak kena.

Kekuatan mengajak memang disuruh tetapi jangan lupa kekuatan contoh amat penting. Rasulullah diutus untuk mengajak dan memberikan contoh baik. Kita pula banyak mengajak tetapi kurang contoh yang baik.

Banyakkan ajakan, kurangkan ejekan. Berinteraksilah, jangan berkonfrantasi. Sayangilah jangan membenci. Perubahan bermula dari diri sendiri.

Dipetik daripada :Utusan Malaysia
Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template