Kini, wanita diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dan sekali gus juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Jelas di sebalik kelembutan wanita, mereka telah berjaya melonjakkan ekonomi negara bersama-sama dengan kaum Adam.
Kaum Hawa Abad 21 Lebih Progresif
Di Kelantan misalnya, wanita dilihat penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui kegiatan perniagaan sedangkan golongan lelaki nampaknya lebih cenderung dalam aktiviti politik.
Contoh paling ketara adalah di menara gading. Statistik menunjukkan bilangan penuntut dari kaum Hawa mendominasi majoriti institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Dalam sektor pertahanan pula, semakin ramai wanita mula memegang senjata dan menjadi polis serta ada yang menjadi juruterbang jet pejuang.
Entah ke mana perginya adik-adik lelaki kita? Yang kita tahu, kumpulan-kumpulan belia ini bagaikan lebih gemar bersenang-lenang dan terlibat dengan pelbagai gejala yang tidak sihat. Kalau tidak, masakan wujud samseng jalanan yang pernah dikenali sebagai mat rempit?
Jika ada yang cuba mempertikaikan perkara ini, sila semak rekod semasa dari pihak-pihak yang bertanggungjawab. Hampir 80 peratus penagih dadah juga adalah lelaki!
Fenomena semasa ini bagaikan suatu petanda bahawa kaum wanita telah dan akan lebih ramai terpelajar berbanding lelaki. Jika ini berterusan tidak mustahil suatu trend atau senario dominasi intelek boleh berlaku.
Jika suatu ketika dahulu, lelaki terlalu banyak mengadu tentang isteri-isteri mereka yang kurang pendidikan, sekarang terbalik pula keadaannya. Kaum Adam pula yang lebih banyak “bergantung” kepada isteri berbanding berdikari.
Sekiranya ini berlaku, jangan terkejut jika lelucon Cerekarama yang tidak pernah kita fikirkan seperti wanita menghalau suami mereka keluar rumah terjadi dan berleluasa.
Ya, ketawalah sekarang tetapi jangan fikir ini terlampau mustahil kalau golongan belia lelaki terus-terusan hanyut dalam arus ketidakmatangan dan tanpa kita mengawasinya!
Kuasa Sebenarnya di Tangan Koloni Yang Bekerja Lebih Keras
Situasi yang sama sebenarnya berlaku apabila pendatang asing lebih keras bekerja daripada penduduk negara tersebut. Mereka akhirnya akan membentuk suatu koloni yang lebih kuat dan mengambil alih penguasaan negara.
Sejarah telah berulang kali membuktikan apabila sesebuah negara maju dan bertamadun, rakyat akan mula malas dan menyerahkan urusan pertahanan negara kepada golongan pendatang. Senario menyerah senjata sebegini telah terbukti suatu faktor penyumbang kepada kejatuhan empayar kuno seperti Rom dan Sepanyol.
Demikianlah dalam situasi ini, sekiranya lelaki tidak gigih bekerja, mereka akan kehilangan kuasa pengaruh ke atas keluarga dan masyarakat sekeliling yang dipimpinnya. Memang benar sektor korporat dan institut pengajian tinggi belum dikuasai oleh kaum Hawa sepenuhnya.
Namun, jika kaum Adam selalu berfikir bahawa mereka adalah tuan atau ketua, asyik mencuri tulang dan sering menyerahkan tugas kepada orang lain, akhirnya kaum Adam akan menjadi terlalu malas untuk menghalang kaum Hawa.
Kaum Adam Pula Kenalah Gigih !
Perlu diingatkan lagi bahawa kaum lelaki mesti matang atas tanggungjawabnya di masa depan.
Ada hati dan usaha pasti boleh! Lihat sahaja, kaum wanita yang dahulu pernah menjadi jaguh di dapur, kini chef-chef di dapur adalah terdiri dari kaum lelaki. Justeru, sekiranya kaum Adam bekerja lebih keras daripada kaum Hawa, KDNK secara keseluruhannya pasti akan melonjak dengan lebih baik.
Namun dalam pada itu, kaum Hawa janganlah menjadi golongan terlampau sehingga hendak melanggar syariat seperti dalam isu Amina Wadud yang mengimamkan solat jemaah lelaki. Seperti Dr. Mahathir, saya juga bersetuju bahawa kaum wanita kelihatan begitu menjelikkan jika mereka mula melibatkan diri dalam sukan gusti!
Dipetik dari Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment