26 September 2009

10 LANGKAH MEWUJUDKAN KEYAKINAN DIRI


Berikut merupakan 10 langkah yang ringkas ke arah mewujudkan keyakinan diri:

1.Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama seperti orang lain.

2.Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat?

3.Apa kekurangan/kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya.

4.Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif

5.Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat.

6.Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, ianya sebagai warm up dan dapat mengaktifkan diri seseorang.

7.Kemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu.

8.Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.

9.Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah, tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan dapat selepas tugas tersebut.

10.Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.

INSYALLAH ANDA AKAN DAPAT MENILAI BETAPA BERHARGANYA DIRI ANDA!
SESUNGGUHNYA ANDA ADALAH INSAN YANG MULIA INSAN YANG MULIA MEMPUNYAI POTENSI DAN SETIAP POTENSI HARUS DIUSAHA UNTUK MENDAPATKAN HASILNYA!

Continue Reading...

20 September 2009

Kegagalan dan Kejayaan
Ramai orang beranggapan apa yang betul dan apa yang salah adalah dua perkara yang saling bertentangan. Mereka percaya kalau sesuatu itu betul, ia tidak mungkin salah. Mereka juga percaya perkara-perkara yang dilakukan dengan betul menghasilkan kejayaan, manakala kesilapan menghasilkan kegagalan. Oleh itu kehidupan ini menyediakan pelbagai ganjaran untuk apa-apa yg betul, dan menyediakan pelbagai hukuman bagi kesilapan dan kesalahan. Orang juga percaya bahawa kejayaan dan kegagalan adalah dua perkara yang saling bertentangan - sesuatu kejayaan tidak mungkin berupa kegagalan, manakala sesuatu kegagalan tidak mungkin merupakan kejayaan. Dalam erti kata lain, mana mungkin orang yang gagal dianggap orang yang berjaya. Begitu juga dikatakan, sesuatu yang betul tidak mungkin dapat diterima sebagai salah. Benarkah begitu? Sebenarnya, baik kejayaan mahupun kegagalan, kedua-duanya tidak saling bertentangan, disebabkan kedua-duanya adalah dua aspek proses yang sama, iaitu daya usaha. Seseorang yg tidak mempunyai daya usaha tidak menghasilkan kejayaan mahupun kegagalan. Mana-mana daya usaha yang menghasilkan kejayaan, ia juga dapat menghasilkan kegagalan. Tanpa daya usaha, tidak akan berlaku apa-apa, sama ada yang betul mahupun yang salah; baik kejayaan mahupun kegagalan. Meskipun perkara ini benar, namun ramai orang tidak dapat menerima kesalahan dan kegagalan dengan hati terbuka. Mereka menyediakan dua jenis insentif, satu untuk mendorong kejayaan, dan satu lagi untuk mencegah kegagalan. Bagi setiap kejayaan disediakan intensif positif seperti hadiah dan pengiktirafan. Bagi setiap kegagalan disediakan intensif seperti hukuman dan tiada pengiktirafan. Orang yang tidak cuba melakukan apa-apa yang baru tidak menghadapi risiko. Kalau anda seorang kerani, dan anda terus membuat kerja-kerja perkeranian anda sekarang, anda tidak menghadapi risiko, sebab anda sudah mahir membuat kerja-kerja itu. Tetapi jika anda cuba menukar kerjaya anda, daripada seorang kerani kepada seorang jurujual, anda sudah pasti menghadapi risiko, disebabkan tugas-tugas kejurujualan adalah pekara baru bagi anda. Keupayaan berfikir secara kreatif adalah penting untuk menjadi orang yang berjaya. Sebagai seorang jurujual, pendapatan anda tidak ada batasnya. Bukan seperti seorang kerani, di mana gaji anda sudah ditetapkan dari awal lagi oleh majikan anda. Sebaliknya pendapatan anda sebagai jurujual tidak pernah ditetapkan. Semakin banyak jualan anda semakin tinggi pendapatan anda. Untuk menjadi jurujual yang berjaya, anda perlu mencari cara-cara baru untuk membuat lebih banyak jualan. Ertinya seorang jurujual wajib memiliki daya kreatif. Ertinya anda mencuba, mencuba dan mencuba. Sesetengah orang takut mencuba perkara-perkara baru dan idea-idea baru disebabkan mereka takut menghadapi risiko kegagalan. Ingatlah, Thomas Edison melakukan lebih daripada dua ribu kegagalan sepanjang usahanya mencipta mentol elektrik. Kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati salah satu ciri peribadi yang ketara pada orang yang kreatif ialah sifat sangat tabah dan cekal menghadapi kegagalan demi kegagalan serta sifat tekun berusaha. Apabila mereka menghadapi masalah yang sukar diselesaikan mereka menunjukkan sifat positif terhadap masalah tersebut. Kesilapan ialah anak tangga kegagalan. Kesilapan mempunyai fungsi produktif. Dengan mengetahui apa-apa yang silap, kita dapat mendekatkan diri kepada apa yang betul. Demikianlah apa yg terjadi kepada Thomas Edison. Setiap ujikaji yg gagal bermakna dia semakin hampir kepada kejayaan. Ketabahan dan kecekalan untuk mengalami lebih dua ribu kegagalan bukanlah sifat yang ada pada orang biasa. Dan orang-orang kreatif memang bukan orang biasa. Sifat tabah dan cekal tidak timbul sendiri. Ia adalah hasil daripada proses mengalami kegagalan. Orang yang belum pernah berulang-ulang kali gagal tidak ada latihan untuk menimbulkan sifat-sifat tabah dan cekal. Jumlah kesilapan yang kita buat ditentukan oleh berapa kali kita mencuba sesuatu. Semakin banyak kali kita mencuba, semakin banyak peluang kita mencipta kesilapan, dengan itu juga kegagalan, barulah akan muncul sifat tabah dan cekal dalam diri kita. Inilah asas praktikal daya usaha kreatif. Setiap kali kita mengelakkan risiko, itu bermakna kita memilih apa yang terbukti selamat. Itu bermakna kita hanya ikut sahaja apa yg orang lain sudah buat. Ia bermakna kita mengulang kebiasaan. Orang yang bekerja dengan cara ini adalah orang yg mahir dan cekap bekerja, tetapi mereka tidak kreatif. Mereka cekap membuat lebih banyak perkara-perkara yg sama. Suatu perkara lain yg membuat kita selalu sahaja memilih jalan selamat ialah ciri personaliti kita. Ramai orang memang tidak memiliki ciri-ciri berani berhadapan dengan risiko. Memang mereka takut menghadapi apa jua bentuk risiko. Orang yg berani mencipta idea-idea baru sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko, antaranya termasuklah kerugian kewangan, dicemuh, diejek ataupun disisihkan daripada kumpulan. Tidak ramai orang yg memiliki ketabahan untuk melalui pengalaman sebegitu.
Continue Reading...

18 September 2009

Cabar Diri Untuk Berjaya



Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.

Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain


Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, "Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ". Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif.
Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan 'Standard' Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan 'standard' kita.Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak 'standard'lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak 'standard' lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak 'standard' lah selama-lamanya dapat markah 'C', 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat 'A' pula. Tidak 'standard' lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak 'standard' lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut 'standard' baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam 'standard' yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung 'standard' tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
Continue Reading...

16 September 2009

Tips Bijak Uruskan Masa


Sebijak mana seseorang itu belajar namun kegagalan menguruskan masa memungkinkan mereka gagal dalam hidup.
Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata pengurusan masa penting kerana ia membentuk disiplin seseorang untuk berjaya.
“Setiap pelajar mesti merancang masa belajarnya, ulang kaji, bermain dan kokurikulum.
“Kegagalan mengurus masa antara faktor kegagalan dalam pelajaran,” katanya.
Berikut adalah beberapa petua untuk muncul pelajar yang bijak mengurus masa:

1. Pastikan waktu mengulang kaji anda lebih dari tiga jam sehari. Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar lima hingga tujuh jam sehari.
Dalam tempoh itu, anda mungkin belajar sejam pada waktu subuh, dua jam pada waktu petang dan tiga jam pada waktu malam.
2. Tahap tumpuan belajar adalah berbeza. Ada pelajar yang boleh tumpu selama sejam dan ada hanya 20 minit. Jangan paksa diri anda.
Sekiranya tumpuan terganggu, ambil rehat seketika kira-kira lima minit. Selepas itu sambung semula belajar. Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang anda ketahui sebelumnya.
3. Dalam satu sesi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu. Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang sudah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.
4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar. Jumlah bahan yang mahu diulang kaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar ditetapkan.
5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan mengenai bahan yang mahu diulang kaji. Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan.
6. Sediakan senarai tugas harian pada malam sebelumnya. Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari. Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan. Seperti kata Stephen Covey; “Put first things first”.
7. Rekodkan perkembangan anda pada sehelai kertas. Setakat mana anda lakukan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai ‘To do’ anda.
8. Beri ganjaran buat diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.
9. Gunakan teknik membaca yang berkesan. Membaca sejam penuh tumpuan lebih baik dari membaca tiga jam dengan fikiran melayang.
10. Fokus sekurang-kurangnya 50 peratus daripada masa belajar anda terhadap proses ‘Recall’. Iaitu proses memanggil semula maklumat.
11. Gunakan kad kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil antara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas dan lain-lain.
Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya sejam hingga dua jam dalam sehari. Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil.
12. Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten sejam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun? Ke mana perginya lagi 350 hari masa anda?
YAng paling penting... ..DUIT... ..Doa... Usaha... Iktikad... Tawakal..InSyaALLAh

Continue Reading...

15 September 2009

35 Petua Pelajar Cemerlang

PELAJAR CEMERLANG AKAN

Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat
aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut
Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
a). kita ingat 10% apayang dibaca
b). kita ingat 20% apa yang didengar
c). kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
d). kita ingat 70% apa yang dicakapkan
e). kita ingat 90% setelah dipraktikkan
1. Belajar secara aktif dengan pen/ pensil ditangan
2. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu ( tidak termasuk kerja rumah )
3. Belajar dalam persekitaran kondusif
a). pastikan cahaya adalah terang
b). kurangkan gangguan bunyi
c). tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
d). tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
e). kerusi dan meja menghadap kiblat
f). janagan lupa untuk senyum
4. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan
5. Mengulang kaji menggunakan kaedah output learning iaitu belajar untuk melatih otak
menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku /
nota, ingat kembali, lakar / tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan
6. Tahu teknik merangsang memori:
a). memasukkan maklumat dalan memori ( registration )
b). menyimpan maklumat dalam sel memori ( retention )
c). mengingat kembali ( recall )
d). menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain ( application )
7. Sentiasa awal dan mendahului
a). persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang
positif pada guru
b). pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya
c). belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan
8. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru
mengajar
9. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru
10. Mempunyai teknik membaca yang betul
a). duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
b). membrika tumpuan sepanuhnya
c). menggunakan jari telunjuk untuk membaca
d). menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
11. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh &
malas
12. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji,
dan sebelum menghadapi peperiksaan
13. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih
14. Mengadar rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji
15. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri ( study according to your biologicl
clock ).
16. Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur,
selepas bangun tidur, selepas mandi air panas,selepas baca al-quran / zikir selepas riadah
dan selepas berdoa
17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar ( kita akan lupa
80% selepas belajar )
18. Mengulang kaji secara persendiran atau berkumpulan
19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sbelum peperiksaan.
20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa
22. Tahu petua mengulang kaji
a). cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
b). siapkan semua ?bekalan? dengan sempurna
c). duduk tegak dikerusi yang selesa
d). baca doa penerang hati
e). baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
f). fikir dan ingat kembali isi utama
g). catat / lakar
h). semak semula ketepatan maklumat
i). ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
j). buat rumusan
k). jawab soalan
l). tampal maklumat yang rumit di dinding
m). baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat
khabar, melawat rakan dan sebagainya
24. Tahu petua-petua agar tidak lupa
a). jangan makan kepala ikan
b). jangan makan organ dalaman
c). jangan minum semasa makan

Continue Reading...

12 September 2009

Dorongan Ibu Bapa Bantu Anak Hadapi Peperiksaan


Lazimnya apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pencapaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.

Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.

Ibu bapa juga perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang serta menguruskan masa dengan bijak.

Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.

Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.

Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.

Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.

Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.

Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.

Oleh itu, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak.

Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap memuaskan kerana anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang.

Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian.

Sebagai permulaan, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik.

Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan seperti menyusun perhiasan di ruang tamu supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa.

Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat pertama turun kepada Rasulullah SAW ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)

Ibu bapa memainkan peranan penting mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga seperti budaya solat, makan dan bercuti bersama.

Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah.

Diriwayatkan oleh Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi."

Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.

Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

Continue Reading...

07 September 2009

Langkah-Langkah Bijak Menjelang Peperiksaan



1. Bertenang dan melapangkan fikiran.

2. Melakukan ulangkaji bagi semua topik.

3. Tidur yang mencukupi.

4. Menjaga kesihatan diri.

5. Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat dan berzat.

6. Bagi pelajar Islam, perbanyakkan sembahyang hajat .

7. Membuat dan membaca nota-nota ringkas.

8. Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan peluh.

9. Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai kerana badan yang cergas akan meransang kecerdasan otak.

10. Meminta doa dan restu ibu bapa dan guru-guru.

11. Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.

12. Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan rakan-rakan.

13. Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.

14. Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula.

15. Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan.

16. Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan sarapan yang berzat supaya tenaga fizikal dan minda cukup untuk menghadapi peperiksaan.

17. Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah menjawab sebelum dan selepas peperiksaan.

18. Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.

19. Membaca dengan teliti setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.

20. Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.

21. Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang dinyatakan

Continue Reading...
 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template