27 November 2009

EQ,IQ Perlu Seimbang

SAMA ada secara sedar atau tidak, hari ini ibu bapa terlalu menekankan pencapaian akademik berbanding kecerdasan emosi dan mental (EQ) anak-anak. Markah tinggi dan kedudukan nombor teratas di dalam kelas menjadi kebanggaan ibu bapa. Nombor corot pula dianggap bodoh dan tidak mempunyai masa depan.

Sayang sekali ramai ibu bapa tidak sedar atau tidak ingin tahu bahawa kecerdasan otak (IQ) bukan penjamin untuk membesarkan seorang anak sebagai insan luhur. Kebijaksanaan hati atau EQ jarang diambil kira sedangkan ia lebih penting untuk seseorang berjaya dalam apa juga bidang diceburi dan lebih stabil dari segi pemikiran serta tidak terlalu emosional dalam sebarang keadaan.

Kegagalan memupuk kebijaksanaan hati atau EQ terbukti apabila semakin ramai remaja mudah terpengaruh dan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral. Tidak kurang mereka yang berpendidikan tinggi tetapi terbabit dengan jenayah seperti pembunuhan, rogol, penagihan dadah dan sebagainya. Dalam bidang pekerjaan dan sosial pula, mereka tidak pandai mengawal emosi apabila berurusan dengan orang lain, tidak dapat mengawal masalah yang dihadapi, gagal mempamer sikap terpuji dan kurang berbudi bahasa.

Perunding Psikologi Kanak-Kanak, Pusat Psikologi Malaysia untuk Kanak-Kanak dan Remaja, K Vijayan berkata, tidak semua yang berkualiti berkaitan dengan IQ tetapi bagaimana seseorang itu dapat menggunakan boleh menyesuaikan diri dengan sesuatu keadaan dan individu lain.

“Kajian demi kajian menunjukkan kanak-kanak yang berkemahiran EQ lebih gembira, yakin dan lebih berjaya di sekolah. Kemahiran EQ juga membantu kanak-kanak membesar dengan penuh rasa tanggung jawab, penyayang dan produktif. Bagaimanapun hari ini EQ semakin menurun manakala IQ lebih dipentingkan. Kita tidak mahu generasi masa depan seperti masyarakat di barat yang semakin hilai nilai diri akibat terlalu mementingkan IQ. IQ tinggi tetapi EQ yang rendah hanya akan mewujudkan insan yang tidak sempurna dan lebih bermasalah,” katanya.

Katanya EQ adalah cara baru yang harus digunakan untuk mendidik anak. EQ bukan pengukur berapa cerdik seorang kanak-kanak tetapi EQ adalah karektor personaliti atau watak. Kajian demi kajian menunjukkan kemahiran sosial dan emosi mungkin lebih kritikal berbanding pencapaian intelektual untuk berjaya dalam hidup.

“Tidak seperti IQ, EQ tidak boleh diajar tetapi boleh dibentuk. Ia bukan bakat, pencapaian atau personaliti hebat. EQ tidak boleh menggantikan IQ, bukan berkaitan agama atau budaya dan bukan gender. Tidak dinafikan dalam sesetengah hal, wanita memiliki EQ lebih tinggi berbanding lelaki.

“EQ rendah mungkin berpunca dari cara hidup apabila semakin ramai kanak-kanak membesar sendirian di rumah. Mereka di kunci di dalam rumah sehingga terdapat satu kes anak mati terbakar dalam rumah yang terbakar kerana tidak dapat melarikan diri. Dulu ada datuk dan nenek yang membantu menjaga mereka ketika ibu bapa keluar bekerja tetapi hari ini mereka perlu berdikari. Semua ini tanpa disedari menekan jiwa kanak-kanak dan membentuk insan yang tidak stabil dari segi emosi yang menghasilkan sikap ganas,” katanya.

Katanya, ibu bapa berperanan penting membentuk EQ. Ibu bapa yang bersikap terbuka, penyayang, sentiasa memberikan sokongan dan memiliki perhubungan positif dengan anak-anak boleh menjadi faktor kejayaan anak dan sifat kemanusiaannya.

“EQ terbahagi kepada emosi dari segi moral iaitu bersikap mengambil berat dan penyayang. Sikap ini menyebabkan mereka boleh memahami perasaan orang lain dan kerana sikapnya itu, dia diterima oleh orang lain juga. Semua sikap ini penting sebagai persediaan untuk anak keluar bekerja dan lebih penting apabila mendirikan rumah tangga,” katanya.

Dalam mendidik sikap ini, kanak-kanak belajar berdasarkan pengalaman berbanding mendengar leteran atau syarahan. Bahasa dan logik penting untuk mendidik nilai ini, bagaimanapun perasaan maruah diri dan sikap menyayangi dan membantu orang lain adalah guru terbaik dalam membentuk peribadi anak.

“Jadikan diri anda sebagai ibu bapa sebagai contoh terbaik untuk anak. Misalnya tolong membukakan pintu untuk orang yang membawa barang yang banyak. Galakkan mereka menulis di dalam diari mengenai apa yang mereka lakukan agar mereka merasa diri mereka baik dan berguna. Anak juga perlu diajar agar lebih jujur sewaktu mereka masih kecil. Jadikan topik jujur dan etika dalam perbualan sejak dari kecil dan membaca buku, video atau permainan yang boleh menerap kualiti ini,” katanya.

Bagi menerap nilai kejujuran, elakkan hukuman apabila anak menipu. Pastikan kejujuran dilakukan kerana rasa hormat. Secara normal, berbanding kanak-kanak lebih dewasa (5 hingga 12 tahun) kanak-kanak berusia empat tahun tidak memahami makna menipu dan tidak sepatutnya mereka dihukum kerana melakukannya.

EQ turut merangkumi kemahiran berfikir yang boleh dibentuk dengan membaca buku cerita. Jangan sembunyikan kebenaran daripada anak-anak walaupun ia menyakitkan kerana anak belajar daripada anda mengenai pemikiran realistik.

“Kemahiran berfikir termasuk bersikap optimis bagi mengelak tekanan dan lain-lain kesihatan mental dan masalah fizikal. Optimis datang daripada pemikiran realistik serta peluang berjumpa dan menguasai cabaran. Kanak-kanak belajar lebih bersedia melalui pemerhatian pertuturan dan tindakan ibu bapa. Sikap kanak-kanak boleh diubah melalui cara mereka berfikir. Ajar anak untuk mengatasi masalah melalui proses ulangan untuk memastikan mereka menguasai teknik untuk tampil lebih ceria,” katanya.

Teknik penyelesaian masalah boleh dilatih dengan mencabar anak menyelesaikan masalah mereka sendiri berbanding meminta bantuan anda. Tunjukkan cara bagaimana anda menyelesaikan masalah anda sendiri. Pada usia empat tahun, anda boleh mengajar anak bahasa untuk menyelesaikan masalah bermula dengan permainan perkataan mudah yang akan secara langsung mengajar mereka menyelesaikan sesuatu situasi.

“Sebaik saja kanak-kanak ke sekolah, mereka akan belajar bagaimana menyelesaikan pelbagai situasi. Apabila usia mencecah lapan atau sembilan tahun, mereka mempunyai kapasiti untuk membezakan antara benar dan tidak serta pilihan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Fokuskan jalan penyelesaian berbanding masalah yang dihadapi untuk memudahkan kanak-kanak mengatasi sebarang halangan. Sediakan satu cara kerja untuk anak menyelesaikan sesuatu masalah tetapi jangan campur tangan,” katanya.

Kemahiran bersosial termasuk kemahiran perbualan. Kemahiran berbual tidak sama dengan bercakap.

Kemahiran sosial boleh diajar bagi membantu kanak-kanak menyertai rakan lain secara individu dan kumpulan. Faktor humor adalah kemahiran sosial yang paling penting. Semua kanak-kanak menghargai humor untuk menjadikan mereka mudah berkawan dan memiliki sahabat.

“Anda perlu melatih anak menghadapi kegagalan dan menghargai usaha yang dilakukannya. Paling penting ialah mendidik anak mengawal rasa marah dan keganasan dengan mengajar mereka kemahiran bertimbang rasa. Komputer boleh membantu pelbagai kemahiran EQ melalui rangsangan emosi dan bahagian pemikiran pada otak. Tetapi ibu bapa perlu mengawal dan membantu anak apabila mereka menggunakan internet bagi mengelak masalah tidak diingini,” katanya.

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

0 comments:

Post a Comment

 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template