"Orang yang benar bukanlah orang yang tidak pernah melakukan kesalahan, melainkan orang yang dapat menjadikan kesalahan itu untuk memperbaiki diri."
JANGAN hairan kalau orang melihat anda, lalu berkata, "Dia tu dulu sama kubang parit dengan aku. Masa sekolah bukan main bodoh. carang jadi profesor. Aku macam tak percaya."
Mungkin ada pula orang yang berkata begini di belakang anda, "Masa karni muda-muda dulu dia pernah ajak aku curi rambutan di dusun orang. Sekarang dah jadi ustaz. Ustaz apa bendanya tu?"
Tidak mustahil juga tanpa pengetahuan anda ada orang berkata, "Sekolah sama dengan aku. Aku lulus dia kantoi. Bila aku dah kerja dia masih terkial-kial ambil periksa. Tiba-tiba dia jadi orang kaya. Tak percaya aku dia dapat dengan cara betul. Ini mesti ada muslihat di mana-mana."
Jangan hairan, manusia sentiasa akan berkata sesuatu terhadap anda. Biarpun anda tidak pernah kenal atau tahu siapakah mereka itu. Tidak kira anda orang kecil atau orang besar, anda akan tetap menjadi perbahasan manusia.
Sebenarnya, tradisi sesuatu ilmu itu perlukan tiga tahun untuk dikuasai, maka manusia tradisi akan berpegang pada tempoh masa berkenaan untuk memberikan pengiktirafan. Lebih pendek daripada itu akan dianggap mengguna "kabel".
Begitu juga tradisi jawatan tertinggi dalam satu-satu jabatan terisi dalam tempoh-tempoh tertentu, maka manusia tradisi akan menganggap kenaikan pangkat anda secara mendadak sebagai "kipas" kuat.
Manusia selalunya begitu. Usah bersedih atau terlalu ambil hati. Jangan kecewa dengan tanggapan salah manusia, tetapi anda perlu gembira dengan pencapaian itu. Tidak akan ada sudahnya kalau memerhati kata-kata manusia. Yang berselirat dengan seribu satu pertanyaan itu tidak akan ada noktah jawapannya.
Dahulu A seorang penagih, sekarang tidak lagi, tetapi orang ramai tetap menganggap dia menagih. Maka susah sekali bagi A hendak berubah. Pinangan A mungkin ditolak. Percubaan A untuk memulakan sejarah baru mungkin diperlekeh. Usaha-usaha A akan dipertikai. "Dia tu penagih. Engkau percaya dengan dia lagi? Silap-silap dengan duit engkau sekali dia kapur." Kata-kata itu akan kekal dan sinonim dengan nama A. Apabila orang bercakap tentang A, untuk pasti orang akan bertanya, "A yang mana?" dan orang akan menjelaskan, "A yang penagih tu..." padahal A sudah lama berhenti.
Begitulah manusia, selalu memberikan trade mark kekal kepada apa yang dilihatnya pada suatu ketika, tanpa mahu mengakui bahawa tiada manusia yang sempurna segalanya dan tiada manusia tanpa kesalahan.
Kita lebih seronok untuk mengatakan sesuatu yang negatif tentang seseorang apabila bercerita tentangnya, "Dia tu dulu, masa sekolah, selalu kena berdiri atas bangku, sebab tak buat kerja sekolah, sekarang jadi YB." Jarang kita dengar orang berkata, "Dia tu memang patut berjaya, sebab sejak kecil kuat berusaha. Dia sanggup buat apa saja untuk hidup. Dia memang hebat."
Ibaratnya, kebanyakan manusia seperti tiga budak di bawah:
Budak A: Bapak aku jadi ahli sukan, bapak hang kerja apa?
Budak B dan Budak C menjawab: Bapak kami pun ahli sukan jugak.
Budak A pun bercerita, "Bapak aku jadi perejam lembing, punyalah cepat dia berlari sehinggakan setelah lembing direjam, bapak aku berlari dan menangkap lembing tu sebelum jatuh ke tanah."
Budak B: Itu tak hairan. Bapak aku lagi tangkas. Bapak aku masuk sukan menembak. Punyalah cepat dia berlari sehinggakan selepas peluru keluar daripada pistol, bapak aku sempat berlari dan menangkap peluru itu.
Budak C: Itu taklah hebat. Mari dengar cerita bapak aku pulak, aku rasa bapak aku yang paling cepat dalam bab lari ni. Bapak aku kerja di Alor Setar tapi tinggal di Sungai Petani. Bila pejabat tutup pukul 4.15 petang, pukul 3.50 petang bapak aku dah ada kat rumah. Bayangkan betapa cepatnya bapak aku berlari.
Begitulah keadaan mereka yang suka memper-katakan hal orang. Mohon direnungkan.
Daripada:Seribu warna pelangi
RANCANGAN JAHAT ZELENSKY
2 years ago
0 comments:
Post a Comment