26 November 2009

Terapi Kesedihan Semulajadi

Apabila angin kurang baik, ada saja yang tidak kena. Perasaan tidak menentu, gelisah mahupun murung juga adakalanya tidak terkawal namun usah pula terburu-buru mengambil ubat-ubatan khususnya ubatan antikemurungan.

Kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Amerika Syarikat pada 2005 menunjukkan lebih ramai yang mengambil ubat antikemurungan berbanding ubat tekanan darah tinggi, asma dan kolesterol tinggi.

Tetapi ramai yang tidak perlukan ubat-ubatan terbabit kerana mereka sebenarnya hanya berasa sedih pada ketika itu saja.

Pakar sakit jiwa dan penulis buku Surviving Panic Disorder, Dr Stuat Shipko berpendapat ubat antikemurungan tidak seharusnya banyak diberikan kepada pesakit kerana ia boleh menyebabkan masalah sebenar seperti ketagihan, masalah seksual atau kedua-duanya.

Tanpa ubat-ubatan, ada pelbagai cara mudah untuk menukar angin yang kurang baik itu, sekali gus membangkitkan semangat serta meningkatkan kesihatan.

Gabungan beberapa kaedah berikut mungkin boleh diikuti untuk menyingkirkan segala perasaan tidak menentu dan meningkatkan semangat diri:

# Ketawa memang terapi yang baik. Kajian mendapati ketawa dan kegembiraan meningkatkan fungsi ketahanan tubuh terutama dari segi pengeluaran sel pembunuh semula jadi yang membantu mempertahankan tubuh daripada penyakit.

Ketawa meningkatkan pembebasan endorfin iaitu sejenis bahan yang memberikan rasa kesejahteraan di dalam otak. Mereka yang gembira lazimnya menikmati kehidupan yang bukan saja menyihatkan, malah mungkin lebih lama.

# Sentuhan manusia antara lain boleh meningkatkan pengeluaran endorfin dan hormon pertumbuhan yang boleh mengurangkan kesan negatif akibat tekanan. Kajian mendapati pesakit yang sentiasa menerima sentuhan akan pulih lebih cepat berbanding mereka yang tidak disentuh. Berikan pelukan untuk yang tersayang kerana ia bukan saja boleh meningkatkan semangat dirinya, tetapi diri anda.

# Bernafas dengan betul memang penting untuk menyingkirkan toksin dan sisa dari dalam tubuh. Malah, dianggarkan manusia menyingkirkan hanya kira-kira 30 peratus toksin dalam tubuh menerusi usus dan pundi kencing, selebihnya menerusi pernafasan.

Bernafas juga satu cara yang baik untuk menenangkan minda, meningkatkan tenaga serta memperbaiki semangat diri. Cuba bernafas dengan perlahan, mendalam serta berirama setiap hari.

# Bau-bauan mempunyai kesan terhadap tubuh dan minda. Apabila saraf di dalam hidung dirangsang, ia akan merangsang suatu sistem di dalam otak yang dikaitkan dengan perasaan dan daya ingatan.

Konsep ini memainkan peranan penting dalam aromaterapi yang menggunakan kuasa pemulihan daripada tumbuhan yang memiliki bau-bauan kuat.

Aromaterapi turut menyarankan rawatan kemurungan menggunakan tumbuhan seperti bunga melur, eucalyptus dan limau gedang untuk membantu meningkatkan kepekaan serta kegembiraan. Bauan seperti oren dan lavender juga membangkit semangat yang positif.

# Ada sebab bunga dijadikan bahan perantara untuk seseorang cepat sembuh. Bungaan yang berwarna-warni mempunyai pengaruh yang kuat bukan saja terhadap perasaan dan semangat seseorang, malah membantu melawan tekanan.

Satu kajian menunjukkan ketika tugasan menaip selama minit, mereka yang duduk bersebelahan jambangan bunga lebih relaks berbanding mereka yang duduk berhampiran tumbuhan yang hanya mempunyai daun.

# Makanan laut banyak mengandungi mengandungi dua jenis asid lemak omega-3 iaitu asid eicosapentaenoic (EPA) dan docosahexaenoic (DHA).

Dalam tubuh manusia, kadar DHA yang tinggi pula dikaitkan dengan peningkatan dopamin dan serotonin iaitu bahan kimia otak serupa yang dirangsang oleh ubat-ubatan antikemurungan.

Menurut Pemangku Ketua Kimia Saraf Pemakanan, Institut Penyalahgunaan Alkohol Amerika, Dr Joseph R Hibbeln, seseorang itu lebih terdedah kepada masalah murung, gelisah dan mudah marah apabila mereka kurang menikmati sajian berasaskan ikan.

# Susu baik untuk minda kerana ia kaya dengan tryptophan, sejenis asid amino diperlukan untuk pengeluaran serotonin yang merangsang perasaan seseorang.

Bagaimanapun, tubuh tidak boleh menghasilkan tryptophan dengan sendirinya. Oleh itu, ia harus diperoleh daripada sumber lain seperti susu yang kaya dengan asid amino.

Selain susu, makanan lain seperti dadih, keju, telur, pisang dan kekacang juga membekalkan sumber bahan berkenaan.

# Tidur juga cara yang baik untuk melegakan tekanan, malah penyelidik mendapati mereka yang mengalami gangguan tidur mempunyai kecenderungan untuk mengalami kemurungan lima kali ganda berbanding mereka yang tidur lena.

# Kekurangan cahaya matahari boleh mengakibatkan kekurangan vitamin D manakala kajian menunjukkan tahap vitamin D berada pada kadar 14 peratus lebih rendah di kalangan mereka yang mengalami kemurungan.

# Mendengar muzik juga antara terapi yang elok kerana kajian menunjukkan mendengar muzik selama sejam sehari selama seminggu boleh membantu mengurangkan petanda kemurungan sehingga 25 peratus.

# Tingkatkan 'hormon keremajaan.' Kajian mendapati mencangkung dan menekan kaki boleh meningkatkan pengeluaran 'hormon keremajaan' semula jadi di dalam tubuh. Peningkatan hormon pertumbuhan boleh meningkatkan perasaan selain faedah fizikal yang lain.

Jika sudah biasa melakukan senaman seperti angkat berat, membengkokkan lutut, tekan tubi dan mendayung, teruskan senaman menyihatkan itu.

# Mereka yang biasa berlari kurang mengalami masalah tekanan melampau atau ketidakpuasan hati, menurut kajian Jurnal Perubatan dan Sains Sukan, Scandinavia yang membabitkan kajian di kalangan lebih daripada 12,000 orang.

Senaman berterusan memudahkan seseorang menyesuaikan diri dengan tekanan serta meningkatkan pembebasan hormon seperti noradrenalin, serotonin, beta endorfin dan dopamin yang membantu meningkatkan perasaan yang baik.

Selain berlari, disarankan senaman berjalan pantas atau sebarang senaman kardiovaskular selama setengah jam, lima kali seminggu.

Dipetik daripada Warna Seribu Pelangi

0 comments:

Post a Comment

 

Rencam

.

Zikir

i love malaysia

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template