28 December 2009

Beri ruang pendidikan jayakan perpaduan

Dunia akan memasuki dekad pertama abad Ke-21. Tidak syak lagi dekad akan datang memerlukan penyelesaian kalaupun tidak sepenuhnya, beberapa perkara yang masih membelenggu sistem pendidikan negara. Pada saya tiga perkara utama yang mesti diselesaikan segera.

Pertama, penekanan yang keterlaluan kepada peperiksaan yang hanya berfungsi menapis pelajar akan membina jurang yang sangat besar. Sedangkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan tidak sepenuhnya menggambarkan kualiti sebenar potensi seseorang pelajar.

Sejak sekian lama, budaya terlalu taksub dan percaya bahawa pencapaian akademik melalui peperiksaan adalah matlamat akhir pendidikan, telah membelenggu sistem pendidikan negara. Sehingga kita gagal menggilap kebijaksanaan sebenar anak-anak kita sejak di sekolah rendah.

Kementerian Pelajaran perlu mendidik ibu bapa supaya menghargai seluruh potensi anak-anak mereka, bukan sekadar meraikan berapa banyak gred A yang diperoleh. Belenggu kedua yang harus diselesaikan tentunya sekolah vernakular atau sekolah pelbagai aliran.

Di negara ini seperti sudah mustahil sekolah satu aliran boleh diwujudkan, malah tiada siapa pun berani menukarkan warisan pendidikan penjajah walaupun selepas 52 tahun negara merdeka. Dari satu segi mungkin ada baiknya sistem pendidikan vernakular kekal kerana situasi politik negara ini memerlukan isu-isu sedemikian untuk 'menutup mulut' terhadap tuntutan kaum tertentu.

Misalnya apabila kalangan pemimpin bukan Melayu menuntut liberalisasi hak-hak keistimewaan Melayu, pemimpin politik Melayu pula akan menuntut diwujudkan sekolah satu aliran, yang akhirnya mententeramkan seketika tuntutan bukan Melayu.

Tetapi untuk jangka panjang sekolah satu aliran pasti penting diwujudkan. Tinggal lagi berapa lama masyarakat kita bersedia menerima sekolah satu aliran. Harus diingat sekolah wawasan gagal bukan kerana kurangnya kelengkapan dan prasarana, tetapi kerana ketidaksediaan masyarakat bukan Melayu menerima konsep sekolah tersebut.

Kalaupun sekolah satu aliran ingin diwujudkan misalnya tiga tahun dari sekarang, apakah perlaksanaannya akan berjaya, atau sekali lagi 'terkorban' seperti sekolah wawasan. Mekanisme kepada sekolah satu aliran perlu dirancang. Kewujudan sekolah satu aliran semata-mata tidak menjanjikan kejayaan mencapai perpaduan.

Tetapi mengapa di Sabah dan Sarawak walaupun sistem pendidikan vernakular masih berjalan, perpaduan masyarakatnya lebih baik dan harmoni? Pentingnya dirancang secara terperinci jika ingin benar-benar sekolah satu aliran diharap membina perpaduan kaum.

Belenggu ketiga ialah merapatkan jurang pendidikan bandar, luar bandar dan pedalaman. Saya melihat isu ini sangat penting. Kemudahan pendidikan, latihan guru, motivasi guru serta kepakaran sejak sekian lama tidak banyak berubah di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Kalau kita bercakap soal globalisasi, tetapi jurang pendidikan tidak dapat diselesaikan dan pemikiran guru tidak ditransformasikan, tidak banyak kejayaan yang boleh diharapkan.

Pengupayaan pendidikan bahasa Inggeris yang rendah serta aktiviti teknologi maklumat yang kurang diamalkan di sekolah luar bandar dan pedalaman akan terus melebarkan lagi masalah ketidakseimbangan masyarakat untuk sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.

Harus diingat bahawa majoriti anak-anak Melayu tinggal di kampung dan pedalaman, manakala sekolah bandar majoriti anak-anak masyarakat Cina. Maka pada akhirnya jika sekolah luar bandar dan pedalaman tidak dibantu, jurang pencapaian pendidikan serta potensi pelajar akan makin membesar, seterusnya membentuk masyarakat yang tidak seimbang dari segi ekonomi dan sosial.

Adakah mekanisme pendidikan negara ketika ini mampu melahirkan generasi dengan modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan?

ANUAR:Tidak banyak kajian dalam negara yang boleh digunakan untuk melihat apakah ilmu yang disampaikan di peringkat sekolah menengah benar-benar mampu membina modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan.

Rujukan yang ada sekadar pernyataan bahawa pendidikan penting untuk membina minda dan modal insan kelas pertama. Saya fikir semua orang tahu tentang hal itu. Soalnya bagaimanakah sistem pendidikan negara kita telah menjayakannya, mana kajian empirikal yang boleh membuktikan. Setahu saya tidak ada.

Kita mungkin diuar-uarkan dengan segelintir pelajar yang cemerlang setiap kali peperiksaan awam diumumkan. Bagaimana pula dengan kumpulan pelajar yang gagal? Ke mana mereka pergi selepas persekolahan? Apakah kerajaan juga bersedia menguruskan mereka yang gagal dalam SPM atau STPM sebagaimana kerajaan membuat pelaburan ribuan juta ringgit membina universiti untuk pelajar yang berjaya dan cemerlang.

Satu perkara yang jelas sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi di negara ini tidak dibina dalam satu pakej. Pada setiap peringkat akan ada ramai yang digugurkan. Maka itu sistem penilaian pembangunan pelajar perlu dikemaskinikan sejak dari mula.

Seharusnya kita mempunyai laporan profil pembangunan pelajar sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan lima untuk setiap guru meneliti, membimbing dan menunjukkan jalan bagaimana seseorang pelajar dapat meningkatkan potensi diri pada setiap tahap pembelajaran.

Seorang yang lemah akademik di sekolah rendah bukan bermakna beliau akan terus gagal di dalam pendidikan sekolah menengah atau di universiti. Saya fikir PIPP 2006-2010 merupakan satu dokumen yang sangat ideal. Mana mungkin dalam masa beberapa tahun dilaksanakan , semua teras utama boleh dijayakan.

Pendidikan harus membina modal insan berkualiti bukannya pekerja industri semata-mata. Seperkara lagi pengajaran dan pembelajaran keagamaan dan moral harus lebih tegas dan terkamil dalam sistem pendidikan negara. Malangnya walaupun kita mempunyai dasar serta kurikulum pendidikan agama Islam dan moral, dari segi pengamalannya masih tidak banyak membantu hasrat membangunkan modal insan yang bermoral tinggi.

Umum mengetahui sistem pendidikan kita gagal menjadi agen perpaduan. Apa sebenarnya yang menjadi penghalang?

ANUAR: Banyak yang menghalang, tetapi dua yang paling utama. Pertama politik berteraskan perkauman dan keduanya amalan ilmu perpaduan masih kurang di kalangan rakyat massa. Berbeza dengan semangat pendidikan era 1950an dan 1960an, pendidikan sekarang sangat terkongkong dengan sentimen berasaskan kaum. Hinggakan ramai ibu bapa Cina dan India tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan walaupun hampir dengan kediaman kerana bimbang anak mereka 'dimelayukan' atau diislamkan' di sekolah kebangsaan.

Kurangnya maklumat berkaitan perkembangan sekolah kebangsaan dan manipulasi politik oleh kepimpinan politik perkauman mewujudkan prasangka ini. Sedangkan ramai guru-guru berketurunan Cina dan India mengajar di sekolah kebangsaan, malah bahasa mandarin dan Tamil juga diajarkan di sekolah kebangsaan.

Selagi ada ahli politik cuba menangguk di air yang keruh dalam sektor pendidikan yang sepatutnya murni, selagi itu pendidikan di negara ini tidak mampu untuk menjadi teras kepada perpaduan bangsa. Rancanglah apa juga program dan dasar perpaduan, pasti kita tidak akan dapat menjayakannya.

Ahli politik perlu memberikan peluang untuk pendidikan menjayakan perpaduan sewajarnya dan menggilap potensi anak-anak agar Malaysia pada masa depan lebih berdaya saing dan cemerlang.

Keduanya, kurang ilmu perpaduan. Perpaduan adalah ramuan kecemerlangan negara majmuk seperti Malaysia. Konflik kaum akan merosakkan segalanya. Pendidikan hubungan kaum bukan bergantung kepada slogan, lagu atau semangat sukan semata-mata, tetapi tergantung kepada ilmu.

Saya sentiasa ingat kawan saya berketurunan Cina yang akan berhenti berbual bila mendengar azan dilaungkan. Beliau juga akan bertanya sama ada saya ingin berhenti berbincang untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Saya juga rasa diterima dan sering menerima ucapan tahniah daripada rakan berketurunan Cina kerana menguasai serba sedikit bahasa Mandarin. Kami juga sentiasa pastikan menu yang dipesan tidak mengandungi daging lembu bila keluar makan bersama rakan beragama Hindu. Ini adalah contoh ilmu untuk perpaduan. Bukan sekadar tahu tetapi mengamalkannya.

Sistem pendidikan negara dilihat masih tidak dapat dipisahkan dengan survival politik parti-parti tertentu. Apakah sebenarnya kerugian yang terpaksa ditanggung oleh generasi muda dalam soal ini?

ANUAR: Pendidikan sudah menjadi modal politik di negara ini. Malah agama juga turut menjadi mangsa sebagai modal politik. Perlembagaan turut tidak terkecuali. Pendek kata apa sahaja yang penting kepada masyarakat semua sudah menjadi modal politik. Akibatnya kita tidak dapat berkembang dengan cepat dan konsisten.

Apa sahaja walaupun bermatlamat baik akan menjadi isu dalam politik. Pembinaan sekolah yang besar dan selesa akan dianggap pembaziran oleh parti lawan, cadangan membina sekolah satu aliran untuk perpaduan dianggap membunuh identiti kaum lain, mata pelajaran sejarah dianggap sebagai doktrinisasi pihak parti pemerintah, kuota dan biasiswa IPT dipersoalkan.

Bila pula masanya untuk kita menangani isu cabaran globalisasi dan persaingan antarabangsa jika setiap perancangan pendidikan dipolemikkan bagi tujuan politik sempit perkauman.

Kerugian paling besar ialah untuk pembinaan negara bangsa. Kita akan kekal selamanya dalam kepompong kecil politik dalaman sehingga gagal menaakul cabaran di peringkat antarabangsa. Semua parti politik harus insaf untuk membina pendidikan dan bukan mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan parti.

Dipetik daripada: Mingguan Malaysia

Continue Reading...

27 December 2009

garis panduan bayaran PIBG

Majlis Permuafa:katan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Kementerian Pelajaran menetapkan garis panduan bagi sumbangan ibu bapa pada PIBG bagi mengelak ibu bapa terbeban dengan jumlah kutipan yang tidak seragam oleh pihak sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Ali Hassan berkata, PIBGN menyambut baik usaha kementerian menyeragamkan bayaran tambahan bermula sesi persekolahan tahun hadapan namun timbul beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian.

“Ianya perlu ditetapkan oleh kementerian bagi sekolah rendah dan menengah dengan sekurang-kurangnya mempunyai had minimum dan maksimum agar tidak membebankan ibu bapa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rabu lalu, Kementerian Pelajaran mengumumkan bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara.

Kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini.

Kementerian juga memberi persetujuan kepada pihak sekolah serta PIBG menetapkan jumlah sumbangan ibu bapa berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka.

Ali berkata, bayaran baru yang ditetapkan perlu dibayar pada awal sesi persekolahan dibuka nanti bertentangan dengan arahan kementerian sebelumnya yang menetapkan bayaran pada bulan Jun.

“Jika tahun lalu bayaran pada bulan Jun, tetapi sekarang perlu dibayar pada Januari. Ini membuatkan ibu bapa keliru dengan dasar yang tidak konsisten,” katanya.

Beliau juga keliru mengenai sama ada kementerian masih meneruskan peruntukan RM8 seorang kepada murid sekolah rendah dan RM10 kepada pelajar sekolah menengah sebagai penambahan kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi aktiviti sekolah.

“Buat masa ini, saya masih tidak pasti sama ada ia masih diteruskan atau tidak. Sekurang-kurangnya, peruntukan itu dapat membantu PIBG mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Dipetik daripada: Sinar Harian
Continue Reading...

25 December 2009

Kesan aplikasi sosial maya

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial dinasihatkan supaya tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kerdit, pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya.


FACEBOOK yang mendakwa memiliki 350 juta pengguna kini menyimpan sepuluh bilion gambar pengguna laman web tersebut.


PENGGUNAAN Internet di kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat dan mula mengubah cara hidup mereka.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012.

Kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia pula telah mencatat sebanyak 66 peratus pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatat 74.3 peratus dan 68 peratus.

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web aplikasi rangkaian sosial semakin bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace, Tagged dan sebagainya.

Facebook yang mendakwa memiliki sejumlah 350 juta pengguna dari segenap pelosok dunia, kini menyimpan lebih daripada 10 bilion gambar yang dikongsi oleh pengguna-pengguna laman rangkaian sosial tersebut.

Impak pada masyarakat

Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian sosial Facebook telah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster.

Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.

Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular seperti Facebook telah mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif digunakan seperti eKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta Pacmee.

Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain.

Ciri asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Laporan yang dikeluarkan oleh Sumber Media, Markmonitor bagi suku pertama tahun 2009 menunjukkan peningkatan hampir 240 peratus terhadap serangan phishing di Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan terhadap perkhidmatan rangkaian sosial.


LAMAN sosial Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.


Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Markmonitor, Frederick Felman, serangan phishing itu merupakan salah satu inovasi terbesar. Perkhidmatan rangkaian sosial menjadi sasaran utama penggodam Internet lantaran ia menyimpan banyak maklumat peribadi pengguna yang sangat bernilai.

Setiap maklumat peribadi tersebut dikatakan boleh dijual di pasaran gelap pada harga AS$1 (RM3.80).

Selain itu, syarikat perisian antivirus F-Secure turut melaporkan tentang peningkatan risiko perisian berbahaya (malware) dalam perkhidmatan rangkaian sosial berikutan peningkatan serangan sebanyak 100 peratus pada tahun 2007.

Terdapat juga perisian berbahaya yang menyamar seperti tampalan keselamatan (security patch) untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan rangkaian sosial agar memuat turun dan memasangnya.

Hampir kesemua aplikasi rangkaian sosial tidak memiliki kaedah untuk mengesahkan umur sebenar setiap penggunanya, melainkan dinyatakan secara sukarela oleh golongan pengguna yang mendaftarkan diri.

Ini mendedahkan golongan kanak-kanak kepada risiko masalah fidofilia iaitu salah laku seksual antara golongan dewasa dan kanak-kanak. Ia berlaku apabila pengguna dewasa boleh menyamar sebagai kanak-kanak dan menjalin hubungan dengan mereka.

Kebanyakan aplikasi rangkaian sosial membenarkan pengguna meninggalkan komen pada catatan atau gambar pengguna lain. Kemudahan itu telah membuka ruang berlakunya kejadian buli dan gangguan siber.

Keselamatan

Kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja, terhadap aplikasi rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang membimbangkan. Misalnya, seorang gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian sosial Twitter telah terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi.

Aplikasi rangkaian sosial turut dikatakan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah disiplin terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan komputer.

Budaya itu akan membawa kepada masalah kesihatan mata, postur badan disebabkan kedudukan yang tidak ergonomik dan sebagainya.

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial perlu sentiasa peka dan mengambil langkah keselamatan seperti tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kredit, nombor pin, kata laluan pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya di mana-mana aplikasi rangkaian sosial.




Selain itu, setiap pengguna juga perlu berhati-hati dalam memilih dan menerima kenalan yang ditemui dalam rangkaian sosial.

Pengguna perkhidmatan rangkaian sosial diingatkan agar tidak mudah percaya dengan identiti yang dipaparkan kerana terdapat pelbagai kes identiti palsu melibatkan orang yang baru dikenali. Ini boleh membuka jalan kepada berlakunya pelbagai jenayah seperti kes rogol, rompak dan penipuan.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak sesekali klik pada pautan atau menerima dan memasang perisian yang diterima daripada orang yang tidak dikenali.

Fungsi privasi juga perlu diaktifkan pada akaun rangkaian sosial (sekiranya ada) yang digunakan untuk mengawal kumpulan individu tertentu daripada melihat maklumat penuh atau gambar-gambar milik pengguna-pengguna yang boleh dijadikan bahan ugutan.

Hati-hati ketika meletakkan mesej dan gambar yang boleh memberikan petunjuk kepada identiti atau lokasi sebenar pengguna

Dipetik daripada:Kosmo Online
Continue Reading...

Premis Perjudian Di Sebalik Nama Kafe Internet

Papan tanda di luar tertulis Kafe Internet, bagaimanapun beberapa premis ini sebenarnya menjalankan perniagaan mesin judi.

Sepuluh premis sedemikian yang merupakan pusat perjudian, tetapi menyamar sebagai kafe siber, sudah beroperasi di kawasan tumpuan ramai ini sejak setahun yang lalu.

Wartawan Bernama yang menyamar sebagai pelanggan dan mengunjungi empat daripada premis perjudian ini sejak lima bulan lepas mendapati pusat ini bebas beroperasi tanpa mengendahkan peraturan undang-undang.

Setiap premis mempunyai identiti dan pelanggan yang berbeza. Kawalan keselamatan yang ketat biasanya dikenakan kepada pelanggan baru.

Sepuluh premis ini terletak di lima blok berlainan dan kawasan syurga judi ini berjiran dengan pelbagai kedai biasa seperti kedai runcit, restoran, dan bengkel kenderaan.

Dari luar rupanya umpama kafet internet, walhal di dalamnya aktiviti perjudian berjalan 24 jam, membawa keuntungan berjuta ringgit sebulan.

OPERASI TANPA REHAT

Daripada pemerhatian penulis, kebiasaannya pekerja premis membuat pemeriksaan terhadap semua mesin judi dua kali sehari, setiap 12 jam. Mereka akan meneliti setiap mesin untuk mencatat dan mengemas kini data serta rekod wang masuk dan wang keluar.

Untuk berjudi, caranya begitu mudah. Pelanggan hanya perlu memasuki premis dan duduk di tempat yang mempunyai mesin judi dan membayar minimum RM50 untuk mula bermain. Pelanggan akan diberikan kredit berdasarkan jumlah yang dibayarnya dan ini akan tertera pada skrin komputer.

Terdapat pelbagai jenis permainan yang disediakan untuk pelanggan -- roulette, lumba kuda, kungfu, poker dan pelbagai lagi -- yang jarang memberi peluang pelanggan menang. Kalau menang sesekali, setelah dikira modal yang dilaburkan setiap kali bermain, mereka sebenarnya rugi.

Setiap premis mempunyai tiga hingga empat orang pekerja pada satu-satu masa untuk mengira wang, mengawal pintu masuk, mengajar pelanggan baru berjudi dan membuka permainan atau mesin judi.

Beberapa individu yang dipercayai tonto dilihat berlegar-legar di dalam dan luar premis bagi mengawal keselamatan premis.

MATA-MATA ELEKTRONIK

Selain individu berkenaan, premis ini dipasang dengan mata-mata elektronik atau kamera tersembunyi di dalam dan luar penjuru premis bagi memastikan keselamatan premis termasuk kawasan jiran.

Apa yang difahami wartawan Bernama ialah mata-mata elektronik ini akan membantu menyelamatkan jiran yang lain daripada diserbu jika sebuah daripada premis ini, dihampiri pihak berkuasa.

Kamera ini diawasi pekerja lain yang berada di bilik rahsia untuk memberi amaran akan kehadiran pihak berkuasa atau tetamu tidak diundang.

Untuk memasuki bilik rahsia ini, pekerja restoran yang mahu menghantar makanan akan membuat ketukan isyarat tertentu untuk kebenaran masuk.

PELANGGAN TAGIH NASIB DARIPADA TETIKUS

Hampir 90 peratus pelanggan setia premis ini ialah Bumiputera dan selebihnya termasuk warga asing yang membanjiri pusat ini terutama pada hujung bulan, waktu gaji.

Ada di antara mereka menghabiskan wang hingga RM1,000 sehari demi mendapatkan wang segera yang dijanjikan mesin judi itu namun di akhirnya kerugian yang menimpa mereka.

Seorang lelaki berusia 20-an, berkata beliau mengunjungi premis ini kerana banyak pilihan permainan judi dan kawasannya terjamin selamat.

"Kalau gaji datang sini...kadang-kadang menang, tapi banyak kalah...tengok nasib," katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Beliau berkata faktor suka-suka dan ingin mendapatkan wang dengan mudah walaupun risikonya tinggi dijadikan alasan untuk berjudi dengan mesin yang dikawal tetikus ini.

'Otai' gelaran yang diberikan kepada seorang lelaki lain, berusia 40-an, pula berkata keghairahan beliau bermain mesin judi kini lebih kepada bertaruh dengan pemain lain.

Katanya ini bergantung kepada 'nasib', tidak payah berhempas pulas macam 'junior' lain yang baru mencuba berjudi.

"Tengok permainan juga sebelum bertaruh...kena pandai dan berhati-hati, biar rugi sedikit tapi untung masuk perlahan-lahan," katanya aktif berjudi sejak 10 tahun lalu.

BEBAS BEROPERASI

Peniaga premis lain ketika ditemui berkata 10 pusat perjudian ini kerap diserbu pihak berkuasa namun selang dua tiga hari kemudian akan beroperasi kembali.

Mereka mendakwa kegiatan ini sukar dibendung dan kadang kala menakutkan pelanggan kedai mereka jika pihak berkuasa membuat serbuan terhadap "jiran" mereka ini.

Seorang lelaki yang mengetahui aktiviti perjudian ini berkata pihak berkuasa perlu bertegas dalam mengawal kegiatan ini.

Beliau bimbang premis itu juga didatangi kanak-kanak kerana berhampiran dengan kawasan perumahan. Ada rumah yang hanya kira-kira 50 meter jaraknya.

"Bayangkan kalau anak-anak yang balik sekolah mengunjungi tempat ini dengan tujuan bermain komputer tetapi yang disediakan ialah mesin judi," katanya.

Merancakkan lagi kawasan 10 premis mesin judi ini ialah kehadiran mat rempit dan 'budak jaga kereta' yang mengawal kereta untuk menagih wang segera.

Sesungguhnya kegiatan perjudian ini bagai mendapat kekuatan daripada sokongan jiran dan kumpulan tertentu walaupun acap kali diserbu, tetapi terus hidup seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.

Dipetik daripada :Bernama
Continue Reading...

22 December 2009

Kuasa Pengguna - Antara Kesedaran Dan Kesanggupan Bersuara

Ali, bukan nama sebenar, menjadi pelanggan tetap di sebuah pasar raya di sini, walaupun dia sedar harga barang di pasar raya itu lebih mahal daripada kedai lain.

"Tak apalah mahal sikit, asalkan saya selesa membeli belah di sini," itu alasan yang beliau berikan bila ditanya kenapa tidak ke tempat lain atau adukan saja kepada pihak berkuasa mengenai harga barang di pasar raya itu.

Muthu pula enggan menemani isterinya untuk memulangkan semula blaus mahal yang dibeli isterinya, tetapi mengecut kainnya walau baru sekali cuci, kerana beliau menganggap tiada apa yang mereka boleh lakukan.

Dua kes ini lazim didengar dalam kalangan pembeli di negara ini, yang tidak menyedari mereka boleh berbuat sesuatu untuk menuntut hak mereka dan juga tidak sanggup bersuara.

Walaupun ramai yang tidak mengendahkan perkara ini, ada juga yang berani bersuara. Contohnya seorang pengguna telah ke Tribunal Tuntutan Pengguna, mengadu mengenai kualiti cat yang dibekalkan kontraktornya, tidak sama dengan jenama terkenal yang dijanjikan.

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA UNTUK SEMUA

Aduan pengguna itu didengari di Tribunal, di bawah Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tidak sampai sebulan selepas kes difailkan, dan kosnya hanya RM5 ketika itu.

Semasa pendengaran, pengadu berdepan dengan pembekal khidmat dan barangan, yang didakwa menyeleweng daripada perjanjian asal, tanpa perlu mendapatkan khidmat pihak ketiga mahupun seorang peguam.

"Saya amat berpuas hati, wang saya dikembalikan dan saya uar-uarkan kepada kawan-kawan tentang perlunya kita menegakkan hak sebagai pengguna yang bertanggungjawab.

"Wang kita bukannya senang dicari. Saya pasti kontraktor itu telah mempelajari satu pengajaran yang turut akan memanfaatkan pengguna lain di masa akan datang," jelas pengguna itu.

Tribunal itu memberikan pengguna satu kaedah yang sangat mudah lagi murah untuk menuntut hak mereka dengan membawa transaksi yang tidak mereka senangi ke muka pengadilan.

Saban hari, pengguna perlukan khidmat pembekal untuk memenuhi kehendak cita rasa masing-masing, dan perlu akur membayar fi serta kos yang dikenakan.

Pengguna perlu ingat, periksalah terlebih dahulu produk yang mereka beli itu. Timbangkan sejauh mana barang itu menepati diskripsi awalnya dan juga, ketahanannya berfungsi untuk satu jangka waktu yang berpatutan.

KUASA PENGGUNA TENTUKAN PASARAN

Tema hari pengguna KPDNKK untuk tahun 2009 ialah "1Pengguna 1Suara" - kuasa pada pengguna menjadi penentu setakat mana sesuatu produk dan perkhidmatan itu berjaya di pasaran.

Pengguna disarankan supaya bersatu untuk menuntut hak mereka supaya tindakan yang setimpal dapat diambil terhadap sebarang kejadian yang mendatangkan kesan kepada dunia kepenggunaan.

Bagi Aziah Mohd Yusoff, seorang pengguna yang peka akan haknya dan sanggup bersuara, beliau hanya membeli barang yang disukai dan perkhidmatan yang memenuhi kehendaknya.

"Kalau barangan itu mahupun servis yang ditawarkan tidak menepati cita rasa dan kehendak saya, saya tak belilah," komennya bila diajukan soalan tentang pengguna dan harapan mereka.

Tambah Aziah, "semua yang ada di sekeliling kita, dikawal dan dipengaruhi kuasa wang ringgit. Kalau ada kempen pun ia perlukan rangkaian kesinambungan yang jitu supaya ia terus diingati pengguna dan peniaga tidak ambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya."

Aziah berkata pengguna harus ingat persaingan menjadikan keadaan lebih sukar untuk pengeluar produk mahupun pembekal perkhidmatan menjadi monopoli tunggal di dalam industri yang berkaitan.

Adakalanya, fi yang dikenakan jururunding turut terpaksa dikurangkan untuk berjaya di dalam persaingan mendapatkan pelanggan serta untuk menampung pendapatan syarikat masing-masing.

Oleh itu bagi 1Pengguna 1Suara, semua pengguna perlu sedar akan hak mereka untuk lantang bersuara sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku seperti barangan mereka rosak atau pecah bila dibuka bungkusannya , makanan yang mereka beli basi ataupun tidak seperti yang dinyatakan serta perkhidmatan yang diberikan tidak seperti yang dijanjikan, malah kurang daripada yang dipersetujui semasa transaksi jual beli itu dimeterai.

Tidak kira apa status seseorang itu, hak mereka sebagai pengguna tetap wujud.

HARUS TELUS

Setiap pengguna perlu mengambil berat tentang cara mengadu kepada pihak yang berwajib sekiranya timbul sebarang kemusykilan.

Ini akan memudahkan mereka mendapatkan pihak ketiga mengadili sesuatu aduan yang tidak dapat diselesaikan dengan pihak pembekal atau penjual.

Dalam hal ini, Tribunal menjadi saluran yang paling tepat untuk seseorang pengguna bersuara dan mendapatkan pengadilan.

Tetapi harus diingat, tidak kurang juga pengguna yang cuba mendapatkan pampasan secara tidak telus dan disedari pihak tribunal, lalu keputusan boleh memihak kepada pihak pembekal atau penjual.

Seorang pengguna berpengalaman, Pearly Wong, mahu tuntutan keadilan untuk pengguna dan penguatkuasaaan undang-undang di negara ini, sekata.

"Semasa saya bercuti di Jepun melawat anak saya yang berkahwin dengan seorang wanita di negara itu, senarionya berbeza. Orang di sana dilindungi undang-undang dan penguatkuasaan secara menyeluruh. Pengeluar barangan dan syarikat servis atau perkhidmatan dipantau. Keberkesanan keluaran mereka dipastikan.

Tiada tolak ansur untuk memastikan barangan berkualiti.

Jika tidak, tindakan diambil ke atas syarikat pengeluar dan pembekal itu," katanya.

Wong berkata kempen pengguna yang dijalankan di negara ini kerap dan banyak, tetapi hasilnya tidak berpanjangan.

Maureen Keasbery dari Sabah berpendapat proses aduan pengguna hendaklah dipermudah untuk menggalakkan mereka bersuara dan berkongsi pandangan.

Beliau menceritakan pengalamannnya mengadu mengenai perkhidmatan bas perantaraan di stesen LRT.

"Sudah berkali-kali saya buat aduan, tapi asyik diminta isi borang.

Hasilnya masih seperti dulu, tak ada perubahan.

Jadi pengguna bersuara pun tak mendatangkan kesan jika pihak syarikat yang menawarkan perkhidmatan sebenarnya tidak ada niat hendak memperbaiki perkhidmatannya. Akhirnya pengguna yang kecewa akan berhenti bersuara".

BERSATU TEGUH

Warga Malaysia, yang kini menetap di Arab Saudi, Tengku Elisa Bustaman berkata bukan saja pengguna, pusat jualan juga boleh bersatu untuk memastikan tindakan memboikot bagi menyuarakan bantahan terhadap sesuatu produk boleh berjaya.

Tatkala wujud kontroversi umat Islam membantah tindakan media sebuah negara Eropah yang menghina Islam, sebuah pasar raya di Arab Saudi menghentikan penjualan barang keluaran negara itu dan pengimport turut ikut memboikot.

"Ini bermakna pengguna secara tidak langsung turut tidak membeli barangan negara itu tanpa perlu meuar-uarkan sesama sendiri. Ini lebih efektif kerana barangan yang dihasilkan itu boleh diboikot secara menyeluruh," katanya di dalam 'Facebook'.

Di Malaysia, ada undang-undang yang digubal untuk menjamin hak pengguna, contohnya Akta Perlindungan Pengguna, yang diguna pakai sejak tahun 1999.

Selain itu, pengguna turut dilindungi Akta Kawalan Harga 1946, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Sewa Beli 1967, Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Timbang dan Sukat 1972, yang kesemuanya terletak di bawah bidang kuasa KPDNKK.

Ingat juga peribahasa yang menggalakkan kerjasama, "Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh". Oleh itu pastikan kita bersatu dalam menyuarakan hak kita.

Dipetik daripada: Bernama
Continue Reading...

19 December 2009

Pengetua dan Guru Besar Berhak Pecat Guru...

Awal Disember yang lalu, timbalan menteri ada menyatakan yang kandungan revolusi pendidikan yang akan diketengahkan bakal memberikan kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Jika dilihat kepada niat dan kehendak transformasi pendidikan, mungkin ia ada baiknya namun berbaloikah jika kuasa yang diberikan dapat menjanjikan efisien kepada pendidikan negara.

Jika di luar negara, kebanyakan guru mampu dipecat oleh pengurusan sekolah memandangkan lesen untuk mengajar adalah ditanggung sendiri oleh guru berkenaan. Dalam erti kata lain, guru mengeluarkan wang sendiri menghadiri kursus yang berwajib bagi menjadi seorang guru. Jadi mudahlah bagi pihak pengurusan untuk memecat mana-mana guru yang tidak menepati KPI yang ditetapkan.

Perkembangan ini, mampu meletakkan sekolah ke tahap yang memuaskan kerana kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pengetua memecat guru mampu membuang mana-mana guru semborono atau kurang pencapaian dan inisiatif mereka ke arah kecemerlangan sekolah. Tetapi jika kuasa yang diberikan tidak mempunyai batas, bimbang salah guna kuasa boleh berlaku sehingga menyebabkan kebajikan guru tidak terbela. Jika ada masalah, guru yang tidak disukai boleh dibuang manakala yang baik di mata guru besar dan pengetua dikekalkan.

Apabila berbual dengan beberapa pentadbir dan guru biasa, terdapat rasional yang baik jika kuasa mutlak memecat guru kepada guru besar dan pengetua. Ia termasuk menjadikan transformasi berjalan dengan lancar khususnya peringkat akar umbi iaitu sekolah. Bermakna guru yang betul-betul bermasalah baharu dipecat dan bukan guru yang tidak disukai kerana sifat lantang memberikan cadangan baik kepada pihak pengurusan.

Oleha sebab itu, ada baiknya pelaksanaan ini mempunyai kajian yang mendalam sehingga mengambil kira kebajikan serta kedudukan guru dan sumbangan mereka supaya kuasa yang diberikan kepada guru besar dan pentadbir tidak disalahgunakan. Mungkin juga ada jawatankuasa khas mengkaji keputusan guru besar dan pengetua dan mekanisme rayuan diadakan bagi mencabar kembali keputusan yang kurang relevan jika kuasa ini diberikan kepada mereka.

Guru permulaan yang berstatus GST juga adalah golongan yang perlu diperhatikan dari segenap sudut supaya mereka benar-benar kompeten menjadi guru jika tidak guru besar dan pengetua berhak memecat terus mereka jika mereka ternyata melanggar peraturan dan tidak mempunyai personaliti yang baik sehingga mencemarkan nama baik pendidikan negara.Heboh ketika dahulu seorang guru menyertai pertandingan ratu pondan menjadi justifikasi jelas yang golongan seperti ini perlu disingkirkan terus dari perkhidmatan perguruan berasaskan kuasa guru besar dan pengetua. Maka ia menjadi perkara yang jelas untuk menggunakan kuasa memecat ke atas individu guru yang tidak bertanggungjawab serta tidak bermoral.

Walaubagaimanapun, Falsafah Pendidikan Guru dapat dijadikan asas kepada menggubal dan menyediakan kuasa mutlak untuk guru besar dan pengetua memecat guru. Jangan nanti hanya berbeza pendapat, pecat sana serta pecat sini dengan semudahnya.

Continue Reading...

17 December 2009

Harapan Rakyat Menjelang Tahun Baru

Umat Islam akan meraikan Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam dan ia akan disusuli pula sambutan tahun baru 2010 masihi yang sekali gus akan melabuhkan tirai 2009.

Isu politik, sosial dan ekonomi terus mewarnai kenangan tahun 2009 yang telah pun membuka pelbagai lembaran baru yang seterusnya merintis jalan kepada harapan yang tinggi bagi tahun 2010 kelak.

Perubahan tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah titik permulaan era baru landskap politik negara ini. Memulakan zaman pemerintahannya dengan memperkenalkan konsep '1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bersemangat dan yakin.

Perubahan demi perubahan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh beliau telah mula menampakkan hasilnya.

Namun segala usaha tersebut nampaknya bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai rintangan terutamanya isu-isu perpaduan, sentimen perkauman dan pelbagai tuntutan politik yang tidak munasabah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tersendiri sedikit sebanyak merencatkan agenda keharmonian politik negara kita.

Akibatnya rakyat mula kebingungan manakala kontrak sosial yang dibanggakan selama ini juga dilihat mengalami sedikit keretakan. Perasaan prejudis dan curiga sudah mula mengambil tempat dalam masyarakat kita.

Ini ditambah pula dengan pelbagai masalah sosial yang terus menghantui rakyat negara ini. Jenayah ragut, bunuh dan rogol misalnya semakin menjadi-jadi dan mula meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa.

Maka sinar tahun baru dinantikan dengan penuh harapan dan debaran oleh setiap rakyat negara ini agar ia akan membawa khabar gembira untuk kita semua.

Sesungguhnya rakyat sangat mendambakan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan mengutamakan rakyat tanpa propaganda politik yang boleh menghancurkan perpaduan kaum serta keamanan dan keselamatan negara ini. Untuk mencapai tahap itu, institusi politik negara ini memerlukan suatu anjakan paradigma yang besar-besaran dan menyeluruh dengan segera.

Kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada pihak keselamatan terutamanya PDRM agar terus memainkan peranan yang efektif dalam membendung semua jenis jenayah yang mengganggu gugat ketenteraman awam. Ini penting kerana senario semasa menunjukkan seolah-olah rakyat kita semakin takut untuk keluar rumah ataupun berada di jalanan kerana jenayah ragut dan kemalangan jalan raya yang semakin menghantui mereka.

Dan yang pastinya rakyat juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan semua program dan projek yang telah dibentangkan dalam Bajet 2010 untuk merangsang kembali dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.

Ia diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diterokai. Menjelang tahun baru ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia berganding bahu membentuk sebuah negara yang aman dan terus mekar di persada antarabangsa.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia

Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template