24 August 2010

Menjadi Orang Yang Berjaya


kata-hikmah-11.jpg

Semua Orang Sekurang-kurangnya Telah Mendapat Satu Kejayaan Iaitu Di Saat Mereka Dilahirkan

Kita semua memang orang yang berjaya. Sewaktu kita dilahirkan, kita juga orang yang berjaya. Kerana dalam berjuta2 yang bersaing hebat untuk disenyawakan dan bersaing hebat untuk menjadi segumpal daging, kita yang bertuah dan berjaya dalam persaingan itu. Tidakkah kita seharusnya berbangga akan kejayaan kita itu? Dan seharusnya kiat bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa, kerana kita yang bertuah dilahirkan di atas muka bumi ini.

Setelah menjadi seseorang yang berjaya, maka sudah tentu kita mahu untuk terus menjadi orang yang berjaya. Tapi bagaimana? Apakah ciri-ciri orang berjaya? Dan adakah kita memilikinya? Teruskan pembacaan anda.

Orang yang berjaya dari segi psikologinya mempunyai beberapa ciri. Tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mutlak. Hanya sebagai ciri2 yang digariskan menerusi pemerhatian dan pengalaman. Mungkin saja pemerhatian itu kurang tepat, kerana pandangan mata kasar kita sering tertipu dengan apa yang terzahir di depan kita. Mungkin saja pengalaman itu kurang berkesan, kerana tidak semua orang melalaui detik2 sukar yang sama dan pengalaman berbeza mengikut tempat, masa dan keadaan juga.

Orang2 yang berjaya sentiasa :-

1. Yakin dengan langkah pertamanya

Keyakinan untuk memulakan langkah pertama adalah suatu perkara yang mudah disebut tapi amat sukar untuk melaksanakannya. Kenapa? Kerana terlalu banyak kemungkinan dan risiko yang perlu difikirkan dan mungkin dihadapi. Kita sering ragu-ragu untuk berbuat sesuatu kerana bimbang akan kesan dan akibatnya, sedangkan kita tahu terdapat cara2 untuk menanganinya.

Membentuk keyakinan bukanlah sesuatu yang mudah. Keyakinan bukan saja berlandaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, tetapi kesediaan diri untuk menghadapi segala kemungkinan. Oleh itu, kita hendaklah bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani.

Keraguan yang bersarang di dalam hati, merupakan halangan yang menjadi ancaman tidak sedar kita. Di saat kita telah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang bakal tiba, tiba2 kita menjadi ragu akan benarkah tindakan kita dan adakah kita yang sepatutnya? Perasaan ragu2 ini hendaklah dikikis dan dibuang. Sedangkan kita telah mendalami dan memperhalusi hal tersebut habis2an sebelum itu.

Maka bentuklah keyakinan yang utuh dalam diri untuk memulakan langkah yang pertama. Usah ragu2 dan gentar dalam menghadapi cabaran duniawi. Kejayaan tidak datang sendiri, kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Dan ingat kata pepatah, “Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama”

2. Keluar dari Zon SELESA

Pernahkah kita terfikir seketika, kenapa kita tidak berjaya sedangkan kita telah berusaha dan memulakan langkah yang pertama? Jawapannya adalah kerana kita masih berada dalam Zon Yang SELESA.

Apakah itu Zon SELESA? Secara konseptualnya, Zon SELESA adalah satu keadaan di mana kita sudah biasa dengan keadaan tersebut. Dan lantaran kebiasaan tersebut, kita jadi lemah dan kurang berdaya saing.

Kenapa pula begitu? Setelah langkah pertama kita mulakan, normalnya akan hadir pelbagai halangan dan rintangan. Mungkin di pertengahan jalan ataupun mungkin juga di awal permulaan. Kita memang telah bersedia menghadapi segala kemungkinan. Tapi persediaan itu hanya sekadar persediaan yang disematkan di dalam minda. Tetapi dari segi tindakannya, kita belum lagi melaksanakannya.

Maka untuk bersedia dari segi perlaksanaannya, kita perlu keluar dari Zon SELESA yang biasa kita lalui. Kalau kebiasaannya kita bangun seawal jam 6.30 pagi, kali ini kita bangun pula seawal jam 6.00 pagi. Kalau kebiasaannya kita hanya mampu menyimpan RM50 sebulan kerana terlalu banyak berbelanja perkara2 yang tidak ada dalam senarai, kali kita simpan RM100 sebulan dan buatlah bajet persendirian dalam menguruskan hal2 kewangan kita.

Zon SELESA juga boleh jadi apabila kita suka akan sesuatu dan kita sukar untuk melepaskannya, seperti merokok. Kita tahu dengan wang kita laburkan untuk membeli rokok, ianya tidak akan memberi apa2 faedah kepada kita. Sebaliknya mampu memberikan kesan yang tidak baik kepada kesihatan. Oleh itu, keluarlah dari zon itu. Wang tersebut lebih baik disimpan dan dilaburkan di unit2 amanah yang diperakui. Sekurang2nya bertambah jua simpanan kita.

Tidak sukar untuk keluar dari Zon SELESA. Tepuk dada, tanya selera ..

Continue Reading...

17 August 2010

Mencari ketenangan hidup


kata-hikmah-230.jpg
Tidak dapat kita nafikan manusia sangat memerlukan ketenangan dalam hidup ini. Ada berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada di antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan pergi melancong, membeli belah, makan angin, bersukan, mereka seni, melukis, mengambil gambar dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencari ketenangan dengan ber'blogging' .

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa dengan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa, manusia akan menghadapi banyak risiko, bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Bukan hiburan semata-mata

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya tidak terbabas daripada landasan syariat. Jika ketenangan dicari melalui permainan, bersuka-ria, dengan lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya, itu semua hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya. Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta-benda, anak-pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan tiadalah (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah al-An'aam [006], ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaa-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Ruum [030], ayat 21).

Dengan adanya ketenangan jiwa, akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah SWT dan melakukan ibadah kepada-Nya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah SWT. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah adz-Dzaariyaat [051], ayat 56)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh al-Quran yang bermaksud, "Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati." (Surah al-An'am [006], ayat 29).

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempersonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang mementang kehendak hukum syarak. Apa yang menyedihkan, hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu.

Sifat orang lalai

Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata-mata. Sebagai orang Islam, kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Quran ada mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan; merekalah orang-orang yang beroleh azab yang menghinakan. " (Surah Luqman [031], ayat 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam tafsirnya, "(Orang-orang kafir itu adalah) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan gurau-senda (hiburan) yang melalaikan, dan mereka telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya) . Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami." (Surah al-A'raaf [007], ayat 51)

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang, sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas daripada itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanyalah hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.

Mencari ketenangan hidup

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra'd [013], ayat 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah SWT.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.” (Surah Al-Baqarah [002], ayat 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah SWT. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran pencipta-Nya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.” (Surah Yunus [010]: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah SWT yang tafsirnya, “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Surah Az-Zumar [039], ayat 23)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat- Nya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal) .” (Surah Al-Anfaal [008], ayat 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya, “Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah Al-Hajj [022], ayat 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya, “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang.” (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Semoga kita sentiasa menjaga iman dan rahmat Allah SWT adalah hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepada-Nya. Amiin.
Continue Reading...

16 August 2010

Kesihatan, Ketahanan Jiwa Antara Nikmat Ibadat Puasa

BERPUASA Ramadan bukan sekadar berlapar atau dahaga, malah mempunyai rahsia dan nikmat lebih daripada itu. Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

Menguatkan Jiwa

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu. Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.
Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud : ?Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.? (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

Dengan puasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasulullah bersabda, ertinya : ?Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.? (Hadis riwayat Tirmidzi).

Mendidik Keinginan Ke Arah Kebaikan.

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran. Rasulullah bersabda, maksudnya: ?Puasa itu sebagai benteng (daripada serangan keburukan).?

Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

Menyihatkan Badan

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

Mengenal Nilai Kenikmatan Dan Bersyukur

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.

Di sinilah, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah berfirman bermaksud : ?Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.? (Surah Ibrahim, ayat 7).

Mengingati Dan Merasakan Penderitaan Orang Lain

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.

Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman bermaksud : ?Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.? (Surah at Taubah, ayat 103)
Continue Reading...

10 August 2010

Persiapan Ramadan

MARHABAN ya Ramadan - Selamat datang Ramadan diucapkan untuk bulan yang suci serta mengharapkan agar jiwa raga kita serta keluarga dan anak-anak dan umat Muslim seluruhnya diasah dan diasuh bagi melanjutkan perjalanan menuju Allah SWT. Kita perlu mempersiapkan bekal bagi tujuan menyelusuri jalan itu.

Tahukah saudara apakah bekal itu? Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga Muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.

Sebagai keluarga Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.

Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.

Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.

Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, terawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan bermacam-macam amalan baik yang lain pada bulan yang mulia.

Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. (al-Qadr: 1)

Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.

Menghadapi bulan Ramadan memerlukan persiapan mental dan spiritual khususnya dari segi semangat dan ketahanan. Ini sangat penting untuk mendapatkan hasil yang maksimum daripada kegiatan puasa itu.

Ada sesetengah orang bersiap sedia dari segi mental tetapi tidak mempunyai nawaitu (niat). Manakala sesetengahnya sempurna dari segi niat tetapi tidak pula mempunyai semangat dan ketahanan dalam menghadapi puasa di bulan Ramadan.

Kurang daripada segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan sesetengah orang tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan 'hangat-hangat tahi ayam'.

Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."

Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.

Mari kita persiapkan diri serta keluarga dan bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat terawih hukumnya cuma sunat.

Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu Imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid. Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.

Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.

Persiapan kita bukan sekadar menghadapi lapar dan dahaga tetapi bersedia untuk memahami dan menghayati makna-makna falsafah yang terdapat di dalamnya.

Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar di kalangan orang kita pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan Ramadan. Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang-orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, zikir dan sembahyang.

Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.

Di samping persiapan dari segi spiritual, ingatlah Ramadan adalah bulan maghfirah (pengampunan) dan rahmah (kasih sayang). Persiapan dari segi rohani diperlukan untuk membetulkan niat, membersihkan hati, membangun tekad dan bersiap untuk menerima bimbingan serta petunjuk Allah SWT.

Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.

Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan.
Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template