28 November 2011

Mencari keberkatan masa

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.

Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.

Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita.

Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.

harta

Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.

Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).

Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.

Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).

Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

rancangan

Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.

Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.

Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.

Dipetik daripada Utusan Malaysia
Continue Reading...

03 November 2011

Bagaimana Seorang Pelajar Mengatasi Penyakit Tidur Dan Malas

PENYAKIT mudah tidur dan malas merupakan halangan utama bagi seorang pelajar untuk membaca dan belajar.
Pelajar yang berjaya selalunya mengurangkan waktu tidurnya,dia tidak mengalah kepada mengantuk dan malas.
Tips-tips yang boleh mengelakkan seseorang pelajar daripada tidur:

1: Apabila sesorang itu mengantuk dan berasa malas,jangan turutkan perasaan itu,sebaliknya ubahlah ketempat lain atau lakukan aktiviti lain atau mandi atau berborak dengan kawan seketika,selepas itu dia akan cergas semula.
Apabila kamu menuruti perasaan kamu untuk tidur maka ia akan menjadi kebiasaan kamu apabila kamu terasa untuk tidur kamu terus tidur. Ini akan merugikan kamu di dalam pembelajaran.
“ Barangsiapa menguasai nafsunya sekali dia akan mengusai dirinya selama-lamanya”

2: Fikirkan Kamu Adalah Harapan Umat Dan Agama
Apabila kamu terasa mengatuk dan malas,kamu cuba fikirkan kamu adalah harapan agama dan umat. Cuba bayangkan betapa ruginya agama dan umat apabila kamu tidur. Sebagai seorang pelajar kamu harus sedar bahawa ramai dikalangan umat Islam tidur waktu pertengahan malam atau tidur sampai kesubuh,kalau yang berjaga pun, dia tidak membaca buku.
Maka kalau kamu sebagai pelajar pun tidur, maka siapa yang mempertahankan agama dan umat ini,dalam masa yang sama agama dan umat akan lemah dan ketinggalan.

3: Membaca Buku-Buku Kisah Orang Berjaya
Di antara perkara-perkara yang membantu seseorang pelajar tidak mudah tidur dan malas ialah membaca buku-buku kisah orang yang berjaya. Pembacaan seperti ini penting untuk menanam minat dan semangat untuk mencapai kejayaan di dalam menuntut ilmu.
Apabila sesorang pelajar selalu membaca buku-buku kehidupan ulama,dia akan mendapati bahawa kejayaan di dalam menuntut ilmu tidak akan dicapai dengan berehat sebaliknya ia dicapai dengan kepenatan.
Berkata seorang ulama “ Tidak akan merasai nikmat ilmu mereka yang tida merasai kepenatan di dalam menuntut ilmu”.
Pelajar perlu bezakan di antara kejayaan di dalam peperiksaan dan kejayaan di dalam ilmu. Kejayaan di dalam peperiksaan mungkin kita boleh capai dengan sedikit usaha tetapi ilmu tidak mungkin dicapai melainkan dengan usaha sebab ilmu lautan yang perlu diredah. Dan kebiasaannya orang yang berenang dia merasai kepenatan.

4: Bergaul Dengan Orang-Orang Rajin
Di antara ubat yang paling mujararab seklai kita bergaul dengan orang rajin, tidak membuang masa kepada perkara –perkara yang sia-sia. Selalu menjaga waktunya. Menunaikan kewajipan sebagai pelajar. Tidak menangguhkan kerja yang boleh disiapkan hari ini kepada hari esok kerana sikap suka menangguh kepada hari esok itu adalah sikap orang-orang lemah.
Kata ulama, manusia seperti angin,kalau ia berada ditempat yang wangi,ia akan menjadi wangi,kalau ia berada ditempat yang busuk maka ia akan menjadi busuk. Begitulah manusia. Sebab itulah kata ulama “ Duduklah dengan seseorang,kamu akan jadi sebangsa dengannya”. Maka kita duduk dengan orang rajin insyallah kita akan jadi rajin.

5: Berdoa
Inilah senjata kita yang paling ampuh dengan kita selalu meminta doa kepada Allah Taalaagar dihindari penyakit malas dan mudah tidur bukan pada waktunya. Bacalah doa yang Nabi صلى الله عليه وسلم ajar
اللهم أني أعوذ بك من الهم والحزن، وأعوذ بك من العجز والكسل وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال
Ulanglah doa ini berkali-kali agar kita menjadi muslim yang rajin dan cergas serta kuat. Orang mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah Taala daripada mukmin yang lemah.
Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template