19 October 2011

Tanggungjawab pelajar terhadap gurunya..

BAGAIMANA besarnya tanggungjawab guru terhadap murid, begitu jugalah besarnya tanggungjawab murid terhadap gurunya. Jika tidak ada guru, maka tidak ada murid. Guru juga seperti ibu bapa yang patut dihormati dan dipatuhi segala ajarannya yang baik. Jika di rumah anda harus menurut segala perintah dan ajaran ibu bapa dengan taat, tetapi di sekolah anda harus pula mentaati guru dan segala ajarannya harus disematkan di hati.

Seorang murid harus menghormati bantuan gurunya untuk membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT untuk menuntut ilmu demi bekalan hidup mereka.

Jangan sekali-kali membantah atau mencela guru kerana guru adalah merupakan orang yang sentiasa membimbing anda untuk mencapai cita-cita.

Antara Adab-adab Murid Terhadap Gurunya

1. Memberi hormat ketika guru masuk ke kelas dengan memberi salam kepada guru kelas anda. Jika guru terdahulu memberi salam hendaklah segera dijawab.

2. Tunjukkan muka yang manis ketika menyambut guru masuk ke bilik darjah anda.

3. Perhatikan guru anda dengan tenang dan mula membuka buku untuk pelajaran hari itu jika diperintahkan oleh guru.

4. Tumpukan perhatian ketika guru mengajar. Jika kurang faham bolehlah bertanya kepada guru anda dengan sopan.

5. Catatkan apa yang disampaikan oleh guru jika dia menyuruh anda berbuat demikian.

6. Jangan berkata-kata atau berbual dengan rakan-rakan ketika guru sedang mengajar.

7. Tumpukan perhatian sepenuhnya ketika guru sedang memberi penerangan. Sematkan di hati anda apa yang diajarkan ketika itu.

8. Ucapkan terima kasih kepada guru anda sebaik sahaja guru itu selesai mengajar.

Seorang murid harus peka dengan apa yang disampaikan oleh guru mereka, dengan cara ini anda akan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran anda. Anda jangan menyalahkan guru anda jika anda kurang faham apa yang diajari oleh guru anda, sebaiknya anda harus banyak bertanya dari banyak merungut untuk mendapatkan kefahaman.

Jika anda ingin menjadi seorang murid / pelajar yang berjaya, anda harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan itu, jangan cuma berharap pada guru sahaja. Guru hanya boleh mengajar untuk menyampaikan ilmu, sedangkan anda adalah seorang murid yang harus tahu membuat sesuatu untuk mencapai kejayaan itu.

Usaha anda untuk menjadi murid yang berjaya adalah lebih bererti dari hanya mendengar guru mengajar sedangkan anda tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan pelajaran itu.

Kejayaan seorang pelajar itu bergantung kepada kegigihannya untuk mencapai kejayaan, tanpa mengharap pertolongan orang lain untuk menjayakan diri sendiri.

Seorang murid harus menghormati gurunya sebagaimana dia menghormati ibu bapanya juga. Rasa hormat kepada guru membuatkan anda dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan sudah tentu lebih keberkatan ilmu yang anda pelajari itu. Di samping berusaha anda harus berdoa, agar segala usaha anda itu akan beroleh kejayaan cemerlang.

INGAT!!! Seorang pelajar itu adalah bakal pemimpin masa hadapan, oleh itu tidak ada sebab anda tidak mahu berusaha untuk terus mencapai kejayaan. Kerana mundur atau majunya sesebuah negara itu bergantung kepada para belia dan remajanya yang rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.
Continue Reading...

18 October 2011

Dunia internet pengaruhi sahsiah remaja

Ibu bapa perlu bendung kesan negatif rosakkan moral anak

GOLONGAN remaja sewajarnya berusaha untuk belajar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Ungkapan ini bukan ingin menuduh golongan remaja tidak bertanggungjawab ketika di dunia siber dan tidak juga mengiakan mereka ini lebih beretika lagi ketika di alam nyata kehidupan seharian mereka berbanding di alam siber.

Ini memandangkan kurangnya kajian secara empirikal dan mendalam berhubung salah laku moral remaja ketika di internet dan kaitannya dengan kegiatan mereka ketika di luar alam siber. Malah, penulisan ini sebenarnya cuba melihat perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan kehidupan realiti mereka.

Namun apa yang pasti, kegiatan tidak beretika di alam siber sudah tentu akan mengundang golongan ini untuk terjebak dengan pelbagai gejala salah laku moral, sama ada di dunia siber, atau di alam nyata.

Perspektif masyarakat menilai golongan remaja sebagai kumpulan berisiko tinggi terbabit dengan pelbagai bentuk gejala salah laku sosial dan moral seperti suka bergaduh, gangsterisme, berlumba haram, merokok, melepak, ponteng kelas dan pembuli. Ada segelintir mereka terbabit dengan kegiatan jenayah berat seperti kes bunuh dan rompakan bersenjata.

Timbul persoalan mengapa golongan remaja sering dikaitkan dengan pelbagai bentuk gejala salah laku seperti ini. Jawapan yang sering diajukan kepada umum pula ialah peringkat kehidupan remaja adalah satu fasa peralihan daripada zaman kanak-kanak yang tidak matang kepada satu kehidupan alam dewasa yang lebih bebas dan berkuasa.

Mereka berada di tengah-tengah antara dua kelompok generasi masyarakat ini. Maka perilaku dan pemikiran mereka belum mantap. Ada ketika berkelakuan seperti kanak-kanak dan pada ketika yang lain sering memberontak bagi mendapatkan kedudukan istimewa sebagai individu dewasa yang lebih bebas, tiada kongkongan.

Pertembungan antara dua generasi dalam satu jiwa ini menjadikan mereka sering kurang stabil dari segi emosi dan pemikiran, kerap memberontak dan tidak sehaluan dengan generasi yang berbeza identiti dari mereka. Pada peringkat ini, remaja akan sentiasa mencari arah haluan bagi membentuk siapakah identiti diri mereka yang sebenarnya.

Pencarian ini akan berakhir apabila model identiti yang lebih sesuai dengan fitrah mereka ditemui, lantas dimantapkan dengan beberapa ciri tertentu yang menjadikan mereka sebagai insan unik. Pada peringkat perkembangan kritikal seperti ini, golongan dewasa dan ibu bapa perlu menyedari hakikat bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk membantu membina golongan remaja membentuk personaliti dan sahsiah di dalam lingkungan peradaban murni.

Malah, remaja itu sendiri sewajarnya turut membantu diri mereka dengan berusaha mendidik dan membentuk diri serta kehidupan mereka agar sejajar dengan norma murni kerohanian dan kesusilaan. Ini bukannya satu harapan yang terlalu unggul sifatnya atau terlalu sukar untuk dicapai dan golongan remaja pula tidak perlu melihat ia sebagai satu kongkongan atau pertembungan di antara naluri keremajaan mereka.

Pertembungan seperti inilah yang dilihat masyarakat cendekiawan sebagai titik asas kepada konflik yang menghantui diri remaja. Sesuatu yang tidak wajar dilupakan, dalam era letusan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ketika ini, konflik naluri remaja menjadi semakin akrab dan jitu, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan apa yang diungkapkan sebagai kelahiran 'millennials' atau 'Generasi Y'.

Mereka yang dilahirkan antara 1980-an sehingga penghujung 2001, menjadikan internet, terutama laman web berkaitan jaringan sosial seperti YouTube, Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya, sebahagian daripada hidup mereka.

Trend ini sejajar di serata pelosok dunia, termasuk di negara ini. Pengaruh aktiviti internet seperti ini dalam kehidupan mereka amat besar. Malah, kajian di Amerika Syarikat mendapati satu pertiga aktiviti internet adalah berkaitan laman web sosial seperti itu dan ia begitu popular di kalangan remaja.

Di negara ini, remaja berusia antara 15-19 tahun mewakili peratusan terbesar pengguna internet, iaitu 17.9 peratus pada 2008, berbanding kumpulan umur lain. Apa yang amat dikhuatiri ialah kesan penggunaan teknologi ini yang memburukkan lagi konflik sedia ada dalam jiwa remaja.

Ini kerana dalam peringkat usia sebegini, golongan remaja masih lagi melalui proses perkembangan dan kematangan intelek, emosi dan sosial. Namun, ketaksuban ruang dan masa di dunia maya tidak akan membantu mereka menjalani proses perkembangan ini secara sihat dan teratur.

Bahkan ini akan menjadikan mereka keliru dan tidak mampu menilai apakah gambaran interaksi sosial yang sebenarnya. Interaksi sosial pada mereka adalah bersifat maya (virtual), penuh kebebasan, malah sesuatu yang bersifat peribadi di alam nyata, tetapi di dunia siber, pengertian peribadi berbeza.

Ia boleh diperbahaskan secara meluas, bebas dan tanpa sekatan. Lantaran itu, pada mereka, inilah interaksi yang sebenarnya. Memandangkan remaja terlalu individualistik dan 'egosentrik', sikap menghormati hak dan kewujudan orang lain dalam kehidupan mereka, sebagaimana di dunia siber, tidak wujud sama sekali di alam nyata.

Interaksi secara bebas tanpa sekatan di alam maya lebih membentuk diri mereka melihat norma kehidupan alam nyata sebagai sekatan kepada kebebasan yang mereka idamkan. Ini akhirnya memberi kesan negatif kepada perkembangan personaliti golongan ini.

Maka itu, timbul pelbagai gejala salah laku moral dan etika remaja, bukan hanya ketika berinteraksi di internet, malah akan terbawa dalam kehidupan di alam nyata. Di antara contohnya seperti bertutur dalam bahasa yang kasar dan lucah, penyebaran bahan berbaur fitnah dan lucah.

Continue Reading...
 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template