12 January 2010

Mengenali Dan Menghadapi Masa Depan

Masa depan. Sering kali kita memikirkan samaada secara sedar atau tidak. Adakalanya masa depan muncul secara tersurat dan adakala pula ia berbentuk tersirat. Apakah yang bermaksud masa depan. Jika hendak ditafsirkan definisinya, lebih kurang masa depan bermaksud, masa yang akan tiba dan bukan masa sekarang ataupun masa lampau. Rata-rata antara kita mengaitkan masa depan dengan sesuatu yang akan berlaku. Apakah perasaan masyarakat bila memikirkan masa depan mereka. Sesetengah mereka gembira, dan ada juga takut dan tidak kurang juga yang tidak menghiraukan apa yang akan terjadi. Apakah perasaan anda pula? Sebab?

Sejak bila wujudnya pemikiran tentang masa depan. Sejak lahir lagi kita sudah dikaitkan dengan masa depan. Sesetengah keluarga yang baru dibina, sudah tentulah sering merancang masa depan mereka. Sesetengah keluarga apabila baru sahaja melahirkan atau sebelum melahirkan (bakal mendapatkan cahaya mata) sudahpun berfikir bagaimanakah corak dan apakah yang perlu dilakukan oleh mereka untuk masa depan bayi tersebut. Masa depan muncul hanya pada dua keadaan iaitu keadaan baik dan keadaan kurang bernasib baik (buruk). Sudah tentulah apabila masa depan yang tiba adalah tidak begitu baik, sesetengah manusia sukar untuk menerimanya. Ia bergantung kepada tahap samaada teruk, lebih teruk ataupun sangat-sangat teruk. Untuk masa depan yang baik sudah tentulah manusia secara semulajadi gembira juga bergantung kepada tahap samaada sederhana, baik atau sangat-sangat baik. Bagaimana anda manangani soal masa depan?.


Masa depan sering dikaitkan dengan cita-cita. Apakah yang dimaksudkan sebagai cita-cita. Cita-cita lebih kurang bermaksud sesuatu yang ingin kita capai pada masa depan. Sejak lahir lagi kita mungkin sudah memiliki cita-cita. Bukan bermakna bayi yang baru lahir boleh berfikir soal cita-cita tetapi sesetengah ibu-bapa yang menetapkan apakah yang patut dicita-citakan oleh bayinya. Tidak hairanlah jika dikatakan ibu-bapa merupakan pencorak masa depan anak-anak mereka. Pada masa-masa yang lepas juga wujud satu slogan yang membawa maksud segalanya bermula dirumah. Bagi saya, tidak setuju dengan pendapat ini. Anda pula bagaimana. Kita perlu ingat dimana kita bukan hidup secara berseorangan, bermakna masa depan kita juga ditentukan oleh apa yang berlaku disekeliling kita. Walaupun benar ibu-bapa wajib mengawal anak-anak mereka untuk membentuk masa depan yang beretika, maju, selamat tetapi dengan adanya cabaran sosial, kemewahan belum tentu ibu-bapa dapat berbuat begitu secara sempurna. Lebih baik jika dikatakan begini, segalanya bermula dimana-mana, apabila kesuatu tempat mula sekali lagi, ketempat lain mula lagi dan begitulah seterusnya.

Masa depan memang boleh dirancang tetapi samaada ia akan tercapai itu bergantung kepada aktiviti sekitar. Masa depan yang dirancang dan berjaya dicapai seperti yang dicita-citakan biasanya berlaku pada masa yang singkat. Masa depan yang memerlukan jangkamasa yang lama biasanya tidak menjadi kenyataan. Sebagai contoh anda terlihat satu model komputer yang anda inginkan dan anda bercita-cita untuk membeli secepat mungkin. Biasanya pada jangkamasa waktu yang singkat model tersebut mungkin kurang berubah dari segi harga, bentuk ataupun ciri-cirinya yang lain. Apapula jika model yang sama tetapi anda merancang proses tersebut yang memakan masa begitu lama. Model komputer tersebut mungkin akan habis dipasaran, atau bertambah mahal atau sudah diluar kemampuan (teknologi sudah usang). Begini anda terpaksa merancang semula sesuatu yang lain dan rancangan anda dahulu dianggap gagal. Salah satu lagi contoh masa depan yang dirancang dan memerlukan masa yang lama ialah memilih kerjaya. Sesetengah manusia ingin menjadi doktor (famous), jurutera dan sebagainya tetapi berapa ramai yang mencapai cita-cita tersebut. Apakah cita-cita terawal anda?. Tercapai?.


Itu merupakan sebahagian dari persoalan masa depan diri sendiri. Tapi bagaimana pula dengan nasib individu yang lain. Adakah mereka memiliki masa depan. Pernahkah kita mengambil berat masalah ini. Kita cuba lihat tentang masa depan orang-orang tua, masa depan remaja-remaja lepak, masa depan kanak-kanak cacat. Pernahkah kita fikirkan. Kebanyakan kita sememangnya sibuk. Jika dibandingkan dengan urusan pada zaman-zaman lampau. Kini ternyata manusia semakin sibuk. Jika dahulu kekuatan adalah segalanya, tetapi kini tidak lagi. Kepintaran mengatasinya. Untuk mencapai masa depan yang cerah, manusia diajar berfikir hingga ketahap tertinggi yang tidak akan ada batasan dan sentiasa berubah dari masa ke semasa. Jika dulu untuk menjadi pegawai hanya memerlukan sijil darjah enam, kini tingkatan enam dikatakan tidak layak. Golongan bijak pandai semakin bertambah sejajar dengan pertambahan penduduk dan teknologi maklumat. Pada masa depan sudah tentu masyarakat terpaksa bersaing hebat. Jadi itulah masa depan masyarakat. Untuk menangani masa depan masyarakat yang gagal ini kita lebih senang menyerahkan kepada kerajaan. Dengan alasan kerajaan telah melaksanakan biro kebajikan masyarakat. Melepaskan tanggungjawab kepada kerajaan, adakah itu berpatutan?

Kesimpulannya masa depan adalah sesuatu yang rumit dan sukar untuk dipastikan. Merancang masa depan hanya boleh dijadikan kata pandu kearah mencapai cita-cita. Oleh kerana masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti, maka dipengaruhi oleh banyak faktor persekitaran, samaada datangnya dari telatah individu, masyarakat mahupun peranan negara yang memandu, mengurus hal-hal ekonomi, politik mahupun sosial."

Dipetik daripada: Seribu Warna Pelangi

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template