20 October 2009

Bajet 2010 Untuk Pendidikan

PENAMBAHAN peruntukan bagi mengatasi masalah sekolah sesak dengan pelajar dan kedaifan kemudahan pendidikan di luar bandar wajar dijadikan antara teras utama Bajet 2010.

Beberapa pertubuhan guru ketika mencadangkan perkara itu berpendapat ia penting bagi memastikan usaha pembangunan modal insan tidak terjejas walaupun saiz bajet tahun depan dijangkakan lebih kecil.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madon, berkata penyediaan infrastruktur dan prasarana terbaik perlu terus diutamakan bagi memastikan peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan secara menyeluruh khususnya di luar bandar.

“Ini kerana kini masih ada murid yang terpaksa belajar dalam kontena atau kabin sebagai kelas sementara.

“Kelewatan menanganinya membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran hingga merugikan pelajar serta menjejas kualiti penyampaian pendidik.

“Pembinaan sekolah di setiap kawasan perumahan baru juga perlu supaya isu kesesakan pelajar tidak berterusan, sekali gus membolehkan persekolahan satu sidang dapat dilaksanakan secara berperingkat," katanya kepada Berita Harian.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Pheng, berkata peningkatan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di luar bandar perlu diteruskan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap sekolah khususnya di kawasan berkenaan memiliki kemudahan seimbang di bandar.

“Usaha ini bukan saja memastikan lebih ramai pelajar luar bandar celik teknologi maklumat, malah membantu kerajaan merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan desa,” katanya.

Lok turut menyarankan kerajaan mengumumkan insentif berkaitan bagi menggalakkan pembukaan lebih banyak pusat pendidikan awal terutama di luar bandar.

Sejajar hasrat mahu lebih ramai kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah, katanya, kerajaan perlu memberi galakan pembukaan lebih banyak tadika di kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah keciciran pendidikan peringkat awal itu.

Turut dinantikan, beliau berkata, pengumuman bonus bagi semua kakitangan awam merangkumi Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Sementara itu, Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia berharap kerajaan terus memberi perhatian utama terhadap pembangunan kemudahan pendidikan di Sabah dan Sarawak terutama kuarters guru.

Yang Dipertuanya, Azam Mat Atan, berkata keselesaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta penginapan pelajar dan guru di Malaysia Timur ketika ini terlalu daif dan boleh menjejas pencapaian mereka.

“Walaupun bajet tahun depan dijangka berkurangan, diharap peruntukan untuk sektor pendidikan tidak dipotong terlalu banyak kerana masalah prasarana dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak perlu ditangani segera,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template