30 October 2009

Membacalah

Paling sinonim dengan adik-adik remaja yang masih bergelar pelajar tentulah buku. Satu-satunya keperluan yang tidak boleh dinafikan kerana buku-buku ini punya kepentingan tersendiri dalam hidup adik-adik sekarang. Tidak kiralah apa-apa genre buku sekalipun, yang pasti, membaca adalah keperluan yang tidak boleh ditinggalkan.
Matlamat membaca boleh jadi berbeza antara individu dengan individu lain. Bagi kalangan pelajar seperti anda, tentunya anda membaca kerana ingin cemerlang dalam peperiksaan dan disebabkan itu, buku-buku akademik menjadi pilihan. Pada tahap ini, adalah tidak layak anda mengatakan bahawa anda tidak suka membaca kerana membaca adalah tanggungjawab yang sedang anda pikul.
Lebih kurang 20 tahun lalu (1985), kadar membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dikatakan berada di tahap yang menyedihkan dengan purata satu halaman setahun. Walau bagaimanapun, kadar ini menunjukkan peningkatan apabila kajian profil membaca sejak 10 tahun lalu (1996) bertambah kepada dua buah buku setahun.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa kadar yang boleh membaca (celik huruf) meningkat kepada 97 peratus dan sebanyak 83 peratus daripada mereka mengamalkan budaya membaca. Daripada peratusan yang mengamalkan budaya membaca itu, pilihan bahan bacaan mereka adalah surat akhbar, diikuti majalah, dan seterusnya barulah buku.
Sama ada surat khabar, majalah, ataupun buku, ketiga-tiganya adalah pilihan yang memberikan faedah. Membaca akhbar penting untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai negara dan antarabangsa. Begitu juga majalah, ia tidak kurang dengan maklumat berguna sekiranya kita pandai memilih majalah yang baik. Bahan bacaan yang terbaik, tentulah buku, kerana selain dapat menghayati cerita, kita juga berupaya membaiki penguasaan bahasa dan membina daya imaginasi.
Membaca buku sering sahaja dianggap "sedikit berat" dalam kalangan remaja, Hal ini demikian kerana kebanyakan remaja sekolah membaca semata-mata kerana peperiksaan. Selain itu, untuk meredakan rasa tertekan apabila penat belajar (kononnyal), mereka memilih bahan bacaan ringan seperti novel romantis, komik, majalah hiburan, atau melayari Internet pada waktu luang.
Masalah dalam kalangan kebanyakan kita, apabila kita membaca bukan kerana ilmu. Sebaliknya, lebih ramai yang membaca untuk tujuan hiburan atau eskapisme bagi melupakan tekanan yang melanda diri. Maka disebabkan itu, ramai yang memilih bacaan yang begitu santai kononnya kerana tidak mahu terbeban dengan isinya yang berat.
Dalam kalangan remaja sekolah pula, ramai yang membaca kerana terpaksa. Selain terpaksa membaca buku akademik kerana tuntutan peperiksaan, mereka juga rasa terpaksa untuk membaca sebahagian buku atau majalah separa ilmiah yang lain untuk melengkapkan lagi kejayaan akademik yang diburu.
Keadaan ini sebenarnya melanda ramai remaja kita. Ramai lepasan sekolah yang berkongsi cerita dengan saya, bahawa mereka hanya membaca ketika di alam persekolahan. Selepas tamat sekolah dan memasuki dunia kerjaya, membaca bukan lagi keutamaan hidup kerana ketika ini mereka sibuk mencari wang pula. Jangan kata beli buku, surat khabar pun mereka tidak sempat baca!
Tiada masa untuk membaca - ini satu lagi alasan yang sering dirungutkan oleh para remaja. Kata mereka, "Kami sudah penat mengulang kaji pelajaran. Kami sudah letih dengan banyak kegiatan kokurikulum di sekolah. Kami tiada masa lagi hendak membaca." Namanya pun alasan, maka tentulah banyak helah untuk mengelak!
Membaca merupakan amalan yang tidak boleh dipaksa-paksa. Amalan membaca tidak akan menjadi semacam suatu bebanan jika diri memang suka melakukannya. Tanyalah para pencinta buku, mereka tidak pernah punya alasan untuk berkata "tidak" pada membaca kerana amalan itu sudah menjadi darah daging mereka. Bagi mereka juga, tidak mengapa jika tidak cukup tidur asalkan dapat menikmati makanan jiwa mereka iaitu buku.
Bagi adik-adik remaja, janganlah hadkan membaca hanya pada buku-buku sekolah dan untuk lulus peperiksaan semata-mata. Terokalah buku-buku genre lain seperti fiksyen, sejarah, biografi, agama, atau isu-isu antarabangsa yang lain. Jangan takut untuk membaca buku-buku yang mengangkat tema berat seumpama ini kerana buku-buku ini tidak akan membunuh anda. Sebaliknya, buku-buku ini akan memperkayakan minda dan percayalah, anda akan sedar, betapa ruginya jika anda melepaskan peluang ini.
Bersahabatlah dengan buku kerana inilah satu-satunya sahabat yang tidak akan merugikan sesiapa pun. Membaca bukan sahaja memerdekakan minda daripada belenggu kejahilan tetapi juga membawa kita kepada suatu ruang pengembaraan ilmu yang cukup menakjubkan. Percayalah!

dipetik daripada: coretan Salina Ibrahim

0 comments:

Post a Comment

 

Anak pertiwi Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template